Bab 4

Humor Completed 60891

Aiman tak habis-habis menyumpah seranah dalam hati. Lepas sahaja pintu gerabak MRT dibuka, terus Aiman meluru keluar lalu menarik nafas dalam. Terhinjut-hinjut dirinya menahan sakit di kaki.

Luka dua hari lepas masih belum pulih sepenuhnya.

“Pergh! Setahun tak mandi ke apek tu?!” Sumpah Aiman dah nak muntah dengan bau ‘haruman segar’ yang dikeluarkan oleh badan apek yang berdiri di hadapannya. Nak beralih ke tempat lain, tak boleh sebab MRT sesak. Jadinya terpaksalah dia menahan nafas sepanjang perjalanan ke kampus.

Baru hari pertama sudah begini ragamnya. Hari seterusnya bagaimana pula? Takkan nak macam ni lagi, Aiman? Semalam pun Aiman sanggup tidak keluar rumah kerana tiada kenderaan yang boleh dia bawa. Dengan kaki yang luka pun masih nak berjalan lagi. Hei!

Bukan Aiman la namanya kalau tak buat perkara luar alam! Runsing juga kepalanya memikirkan jalan keluar. Alangkah senang kalau masalah ini boleh dia selesaikan dengan sekali cuba seperti soalan peperiksaan. Aiman memang seorang genius. Cuma seperti yang dikatakan, dia jadi ralat mahu mempamerkan kepandaiannya dalam pembelajaran kerana semua orang pasti akan membuat kesimpulan bahawa daddy Aiman ada menggunakan orang dalam untuk ‘mencantikkan’ markah peperiksaan Aiman. Situasi begitu sudah Aiman alami sejak dari bangku sekolah rendah lagi.

Jadi Aiman lebih selesa untuk berdiam diri sahaja. Porsche... Porsche... Baru satu hari Aiman sudah merindui kereta Porsche merahnya. Mengingatkan hal itu, semerta Aiman rasa bagai nak cincang-cincang daging perempuan tu. Azlin! Ya, gadis itu akan kena dengannya hari ini. Aiman akan ‘basuh’ dia habis-habisan! Tidak cukup dengan kad kredit, TV, PS3 dan Xbox, duit belanjanya juga dipotong daddy sebanyak 90 peratus. Malah kereta kesayangannya juga turut ‘disita’ daddy. Seratus dolar! Apa yang boleh dia beli dengan hanya seratus dolar sehari? Nak beli makan pun tak cukup bagi Aiman.

Dia sudah terbiasa makan di restoran mewah pada waktu rehat. Selalunya dia diberi seribu dolar sehari. Namun dek kerana hukuman daddynya, maka dia hanya menerima wang belanja seratus dolar sehari sahaja. Langkah kaki Aiman terhenti di hujung tangga. Telinganya menangkap bunyi suara beberapa wanita. Entah kenapa, suara mereka seperti pernah didengarinya sebelum ini.

“Sakit kak...” mendayu-dayu suara Azlin memohon simpati Marissa. Junita di sisi Marissa hanya tersenyum sinis.

“Mana rantai aku yang aku suruh kau ambil dari kedai kelmarin hah?! Kau jangan ingat sebab kawan papa datang haritu, kau boleh lari dengan rantai aku begitu sahaja!” suara Marissa naik satu oktaf.

Geram betul dia dengan adik tirinya, Azlin kerana menghilang semalam. Hari Jumaat dia ada menyuruh Azlin mengambil rantai sekaligus membayarkan harga penuh rantai yang ditempahnya namun hingga kini dia tidak berkesempatan untuk memintanya dari Azlin. Oleh kerana hari Sabtu kawan papa datang ke rumah, dia hanya mendiamkan sahaja perkara ini. Hari Ahad pula dia diberitahu bahawa Azlin mengikut papa ke Johor.

Macamlah tak ada hari lain mereka hendak ke Johor!  

“Betul kak! Azlin tak sempat nak ambil rantai akak! Azlin tak pergi pun ke kedai emas yang akak maksudkan tu...” Azlin masih cuba melepaskan cengkaman tangan Marissa dan Junita dari tangannya. Marissa di sebelah kanan manakala Junita di bahagian kiri pula.

“Kau bohong, kan! Eh! Sudah-sudahlah tu dengan drama kau! Kau ingat kami tak tahu? Papa bagi kau duit belanja yang lebih dari kami bukan? Sebabnya, kamu tu anak kandung papa sedangkan kami? Hanya anak tiri papa! Tak ada masa kau kata? Habis tu yang kau ikut papa ke Johor tu ada masa pulak ya?!” tengking Marissa lagi.

Tidak benar! Dusta belaka! Hakikatnya Encik Din memberi wang belanja yang sama pada kesemua mereka. Apa yang Azlin dapat, turut Marissa dan Junita dapat. Bukannya Azlin dapat wang belanja yang lebih dari papanya akan tetapi memang sudah menjadi sikap Azlin yang suka menyimpan wang belanjanya. Dia tidak seperti kakak tirinya yang memang boros dan suka berbelanja setiap kali tiba hujung minggu. Dan perihal Azlin mengikut papanya ke Johor juga bukanlah di atas kerelaan hatinya. Dia dipaksa! Papa begitu beria-ia mengajaknya ke Johor. Hati Azlin sememangnya mudah lentur dengan pujukan dari papa. Terlebih lagi bila Abang Zain turut masuk dalam pujukan untuk mengajaknya pulang ke JB, lagilah Azlin lemah.

Akhirnya dia turutkan jua permintaan dua orang tersayang dalam hidupnya itu.

“Hei! Kau jangan nak tipu kami! Kalau kau tak pergi ke kedai emas tu, kau pergi ke mana?!” kali ini Junita menyampuk.

“Azlin pergi town, kak!” kali ini air mata Azlin tumpah. Junita dan Marissa berpandangan sesama sendiri.

“Pergi town buat apa?! Kan aku dah cakap... kau kena ambil dan bayarkan rantai aku tu!” kasar sekali nada suara Marissa. Langsung tidak sesuai dengan rupa dan gayanya yang cantik bak model itu.

“Azlin hantarkan assignment kawan, kak! Percayalah! Azlin sanggup bagi kakak duit Azlin kalau itu yang akak mahukan!”

Azlin benar-benar terdesak kali ini. Marissa dan Junita berperangai serupa syaitan bertopengkan manusia! Langsung tiada belas kasihan dalam diri melihat adik tiri mereka yang berada dalam kesakitan. Tangan Azlin dipulas Marissa dengan lebih kuat lagi. Kali ini Azlin mengerang kerana tidak sanggup menahan kesakitan di tangan kanannya. Air matanya pula laju menuruni lekuk pipi.

“Kau nampak tak ini apa?” Junita mengeluarkan sebatang rokok dari poket seluarnya. Dia memberi isyarat mata pada Marissa. Marissa yang faham dengan bahasa tubuh adiknya mengeluarkan lighter dari poket belakang jeansnya. Rokok di tangan Junita itu Marissa hidupkan. Junita pula dengan angkuhnya meniup asap rokok yang tebal itu ke muka Azlin. Terbatuk Azlin jadinya.

Junita tiba-tiba melepaskan tawa dengan kuat. Menggegarkan segenap ruang tangga kampus.

“Kau... pernah nampak apa sebatang rokok yang telah dinyalakan boleh dilakukan ke atas muka kau yang cantik tu?” gertak Junita. Nafas Azlin sudah mula berombak kencang. Aiman yang sedari tadi menyorok tersentak. Dia tahu dia harus lakukan sesuatu dengan lekas. Dalam seketika saat itu dia mendapat akal.

Aiman keluar dari tempat persembunyiannya lalu dengan lagak tenang dia menuruni anak tangga satu persatu. Sakit di kaki kanannya ditahan sebaik mungkin. Earpiece pula sudah disumbatkan ke telinga. Matanya sengaja dihala ke arah ketiga mereka. Sepantas kilat, Marissa dan Junita melepaskan tangan Azlin lalu mula menapak pergi meninggalkan Azlin dan Aiman seorang diri di situ. Memang tidak banyak orang yang menggunakan tangga tersebut jadinya Marissa dan Junita pasti tidak menyangka bahawa mereka bakal bertembung dengan mana-mana pelajar.

Terlebih lagi Aiman! Azlin kaku. Aiman berdiam diri. Tiada satu pun diantara mereka yang berani menutur kata kala ini. Beberapa minit berlalu. Azlin mengelap saki-baki air mata di wajahnya. Perlahan-lahan beg Jansport merah jambu dipikul di bahunya. Azlin mula mengorak langkah berniat untuk menuruni anak tangga namun langkah kakinya terhenti saat dirinya dipanggil Aiman.

“Oi. Azlinmon!” Diam. Kaku. Azlin masih tidak menoleh ke belakang menghadap Aiman.

“Kenapa kau tak melawan? Kau ni memang bodoh ke ha?” Nak kata minah ni bodoh, dia sama course dengan aku.

Bisik hati Aiman. Mana ada orang bodoh yang boleh ambil diploma in Law and Management? Azlin senyap seketika.

“Saya dah biasa.” sepatah tu aje yang dibalas Azlin. Aiman mengerutkan dahi. Dah biasa? Gila agaknya budak ni... Aiman malas nak ambil kisah lagi. Lantas apabila Azlin dilihatnya mula menuruni anak tangga, dia hanya mengekori dari belakang. Namun disebabkan luka di kaki kanannya belum pulih sepenuhnya, maka terpaksalah dia jalan perlahan-lahan.

Berdecit mulutnya menahan bisa di kaki. Kalau ikutkan hati dia, memang malas dia nak ke kampus hari ini. Mana dengan sekatan kemewahan dari daddynya juga dengan kaki yang masih belum baik, memang dia tak ada hati nak ke kampus! Dia pergi ni pun sebab nak basuh minah tu habis-habisan. Tapi dah begini akhirnya keadaan mereka...

“Awak dah habis sekolah?” tutur Azlin lembut. Aiman panggung kepala.

“Kau sibuk apa fasal?!” datang sudah angin puting beliung Aiman. Geram memikirkan yang dirinya terpaksa menaiki kenderaan awam untuk pulang nanti.

Dah la dia terpaksa tanggung kesakitan di kaki searian di kuliah. Ditambah pula dengan soalan tak masuk akal Azlin tu. Dah terang lagi bersuluh yang mereka punya jadual yang sama!

“Abang saya jemput saya pulang hari ni. Kalau awak nak, saya boleh minta tolong abang saya hantarkan awak pulang.” Azlin memujuk dengan suara yang lembut. Aiman tayang muka riak. Dilihatnya Azlin tenang berjalan meninggalkannya di belakang. Terhinjut-hinjut Aiman berjalan mengekori Azlin dari belakang.

“Hoi Azlinmon! Tunggu akulah!” pekik Aiman.

Pekikan Aiman itu nyata mendapat perhatian Zain yang sedang menanti di luar BMW 745i miliknya. Semerta wajah Zain berubah tegang dalam sekelip mata. Wajah Aiman tak usah dikata la. Teringat dia bagaimana bengisnya rupa Zain tatkala menanam penumbuk sulung di perutnya kelmarin. Manalah Aiman tahu yang Azlin dan Zain itu adalah anak kandung Uncle Din.

Dia kira Azlin itu hanya pembantu rumah sahaja. Azlin yang tidak muncul mahupun turut serta dalam perbualan mereka di ruang tamu kelmarin mengukuhkan sangkaan Aiman bahawa Azlin merupakan orang gaji di rumah Encik Din. Zain yang bengang ketika itu sudah tidak tahan lagi lantas bertindak menumbuk Aiman di bahagian perut. Serasa bagai nak terkeluar isi perutnya ketika ditumbuk Zain petang itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience