BAB 2

Romance Completed 208025

JARUM jam sudah menginjak ke angka 10 pagi. Zehan masih tetap menunggu di lapangan kapal terbang itu. Sudah tiga hari perkhabaran berita kapal terbang yang dinaiki oleh Yazid terhempas namun Zehan masih tidak dapat menerima kenyataan. Selama tiga hari itu juga dia berkampung di lapangan terbang ini. Menanti kepulangan Yazid biarpun dia sendiri tahu lelaki itu tidak akan kembali lagi...

“B...” Air matanya kembali deras mengalir di pipi. Dadanya terasa ketat setiap kali mengingati Yazid.

Hatinya hancur. Perit untuknya menerima kenyataan ini. Mengapa begitu cepat Yazid meninggalkannya?

Mata dipejam sesaat. Dia memerhati orang lalu lalang di lapangan kapal terbang ini.

“Zehan!”

Zehan menoleh saat namanya diseru. Matanya tercari-cari si pemilik suara yang memanggil namanya.

“Lara.” Nama kawan baiknya itu disebut perlahan.

Kelihatan Lara sedang berlari anak ke arahnya.

“Ya Allah kau dekat sini rupanya Zehan. Puas aku cari kau tau. Kau buat apa dekat sini?” soal Lara dengan nafas yang tercungap-cungap. Penat berlari!

“Aku...aku tunggu Yazid.”

Jawapan yang keluar daripada mulut Zehan membuatkan Lara menggelengkan kepalanya. Dia tahu bukan mudah untuk Zehan menerima  kenyataan itu tetapi itulah kenyataan yang perlu Zehan hadap. Yazid sudah tiada lagi.

“Zehan, Yazid dah tak ada.” Kedua belah bahu Zehan dipegang.

Tangisan Zehan semakin kuat kedengaran.

“Tak...Yazid masih ada...aku tunggu dia balik Lara.”

“Zehan janganlah macam ni. Aku tahu tak mudah untuk kau terima kehilangan Yazid tapi Allah lebih sayangkan dia. Dia dah tak ada Zehan.”

Zehan menekup kedua belah telinganya. Kepala digeleng-gelengkan.

“Kau tipu Lara! Kau tipu aku!”

Kolam mata Lara bertakung melihat keadaan kawan baiknya itu. Dia simpati dengan apa yang menimpa Zehan. Namun dia tak mampu nak berbuat apa-apa. Sudah tertulis takdir hidup Zehan begini.

“Zehan, famili kau cari kau. Dia orang semua tengah risaukan kau.”

Zehan melabuhkan duduknya di kerusi yang disediakan di lapangan kapal terbang itu.

“Aku tak akan balik selagi aku tak jumpa Yazid. Aku nak tunggu dia Lara. Dia dah janji nak balik.”

Lara buntu. Tidak tahu bagaimana lagi ingin memujuk Zehan.

“Zehan, listen here. Yazid dah tak ada. Dia dah meninggal dunia Zehan. Dia tak akan balik. Jasad dia pun dah hancur.”

“Lara!” Zehan terus merenung Lara tajam.

“Zehan.” Lara terus memeluk erat tubuh Zehan. Tangisannya juga pecah.

Tubuh Zehan semakin melemah. Mana tidaknya, dia langsung tak makan. Cuma minum air. Itupun boleh kira berapa teguk saja air yang masuk ke dalam tubuhnya.

“Zehan?” Lara panik melihat mata Zehan yang hampir terpejam itu.

“Ya Allah Zehan!”

Tubuh Zehan melorot jatuh. Lara cepat-cepat menahan tubuhnya supaya tidak jatuh ke lantai. Beberapa orang awam yang ada di situ turut datang membantu.

PERLAHAN-LAHAN Zehan membuka matanya. Cahaya yang datang daripada tingkap bilik itu menbuatkan pandangannya jadi silau. Dahinya berkerut sedikit.

Matanya meliar memerhati sekeliling bilik berwarna putih ini. Dia berada di hospital?

Zehan cuba mengingati apa yang terjadi padanya. Baru dia ingat. Kepalanya tiba-tiba rasa sakit dan selepas itu dia terus tidak sedarkan diri.

Baru dia ingin bangun daripada pembaringannya, pintu bilik ditolak kasar daripada luar. Terjengul wajah Tan Sri Bahar dan Puan Sri Rosa.

“Ha dah bangun pun. Apa yang kau dah buat ni Zehan?” Memetir suara Tan Sri Bahar. Matanya yang merah bagai biji saga itu merenung wajah pucat Zehan. Macam nak telan Zehan hidup-hidup pun ya.

Zehan tergamam. Dia tidak mengerti mengapa tiba-tiba papanya itu mengamuk. Dipandang wajah Puan Sri Rosa meminta penjelasan.

“Abang, bawa bertenang. Kita kan dekat hospital. Malulah kalau orang dengar abang bising-bising macam ni.” Seperti biasa, Puan Sri Rosa menenangkan suaminya itu.

Dia sendiri macam tak percaya dengan apa yang Zehan telah lakukan. Namun marah bukan jalan penyelesaiannya. Ada baiknya jika mereka berbincang terlebih dahulu. Dia juga mahu mendengar penjelasan daripada Zehan sendiri.

“Papa cakap apa ni? Zehan tak faham. Apa yang Zehan dah buat?” soal Zehan.

“Kau tanya aku apa yang kau dah buat? Tu, benih dalam perut kau tu. Anak siapa? Tergamak kau malukan aku Zehan.” Tan Sri Bahar benar-benar tidak menyangka Zehan tega menconteng arang di wajahnya.

Zehan terdiam. Anak? Dia mengandung?

“Zehan...Zehan...” Menggeletar bibirnya. Jantungnya bagai nak gugur. Rahsianya sudah terbongkar.

“Jawab Zehan! Anak siapa? Biar aku bunuh jantan tak guna tu!”

Laju air mata Zehan mengalir di pipi. Tan Sri Bahar tak perlu susah-susah nak bunuh lelaki itu. Yazid sudah tiada...

“Zehan dah kahwin. Anak ni anak suami Zehan.”

Jatuh rahang Tan Sri Bahar mendengar jawapan anak tunggalnya itu. Begitu juga dengan Puan Sri Rosa.

“Kau cakap apa ni Zehan? Apa yang kau dah buat dekat belakang aku?” Amarah Tan Sri Bahar semakin memuncak. Menggigil tubuhnya.

Zehan tunduk menekur lantai. Dia tidak menjawab. Suaranya seperti tersekat di kerongkong saat ini. Cuma tangisannya yang kedengaran.

“Mana jantan tu? Mana?!”

“Dia dah tak ada papa. Dia dah tinggalkan Zehan.”

Puan Sri Rosa turut menangis. Dia terus memeluk erat tubuh Zehan. Marah memang marah kerana Zehan tergamak membuat keputusan membelakangkan mereka tetapi apa lagi yang mampu dia lakukan. Nasi sudah menjadi bubur.

Zehan menceritakan dari awal sampai akhir tentang hubungannya dengan Yazid. Tan Sri Bahar terus angkat kaki meninggalkan wad.

“Zehan tunggu sekejap ya. Biar mama cakap dengan papa.” Puan Sri Rosa turut meminta diri.

Tinggallah Zehan sendirian di dalam wad itu. Matanya dipejam perlahan. Sungguh dia tak sangka ada malaikat kecil yang menghuni rahimnya tika ini. Sayang seribu kali sayang. Yazid tak sempat ingin melihat anaknya lahir.

“B, anak kita...” Tangannya mengusap perlahan perutnya yang masih kempis itu. Mata dipejam perlahan. Anak ini satu-satunya kenangan yang Yazid tinggalkan untuknya.

Masih terngiang-ngiang di telinganya janji terakhir Yazid padanya.

“B janji ini kali terakhir B tinggalkan Zehan.”

Ya ini memang kali terakhir Yazid meninggalkannya. Cuma kali ini pemergiannya buat selamanya. Yazid tak akan kembali lagi.

Dada Zehan dihimpit kesedihan yang tak terungkap. Hanya orang yang pernahnmerasainya saja tahu betapa sakitnya kehilangan seseorang yang dicintai.

KERETA yang dipandu Pak Abu berhenti di hadapan sebuah rumah batu berwarna kuning.

“Turun,” arah Tan Sri Bahar tegas.

Puan Sri Rosa mengajak Zehan keluar daripada perut kereta. Dahi Zehan berkerut seribu. Dia tertanya-tanya rumah di hadapannya ini rumah siapa? Atas tujuan apa papanya itu bawa dia datang ke sini?

Pintu rumah terbuka. Terjengul wajah seorang wanita berusia lingkungan 50-an di muka pintu.

“Mak Wan?” Zehan masih kenal bekas pembantu rumahnya itu. Mana mungkin dia lupa. Sudah lapan belas tahun wanita itu bekerja dengan keluarnya. Tiga tahun lepas, Mak Wan membuat keputusan untuk berhenti kerja. Kata Mak Wan, anaknya yang minta dia berhenti kerja.

“Assalammualaikum Tan Sri, Puan Sri.” Mak Wan tersenyum lebar pada bekas majikannya itu. Dia sudah sedia maklum akan kehadiran mereka hari ini.

“Pak Abu, keluarkan beg Zehan,” arah Tan Sri Bahar.

Pak Abu hanya menurut. Bonet kereta dibuka. Bagasi milik Zehan dikeluarkan. Zehan sendiri tidak tahu ada bagasinya yang dibawa bersama. Pasti Tan Sri Bahar meminta prmbantu rumahnya yang kemaskan pakaian Zehan.

“Papa, mama kenapa ni? Kenapa bawa beg baju Zehan?” soal Zehan bingung.

“Zehan, mulai hari ni Zehan akan tinggal dengan Mak Wan sampai Zehan bersalin nanti,” balas Puan Sri Rosa. Tan Sri Bahar pula hanya diam. Dia masih marahkan Zehan.

Zehan menggeleng perlahan. Kenapa dia perlu tinggal di sini?

“Zehan tak nak! Kenapa Zehan kena tinggal dekat sini pula?” soalnya tak puas hati.

“Habis tu kau nak satu Malaysia ni tahu yang kau mengandung? Kau sengaja nak malukan aku?” hambur Tan Sri Bahar geram.

Zehan ketap bibir. Air mata sudah bertakung di tubir mata. Sampai hati Tan Sri Bahar perlakukan dia seperti ini.

“Zehan bukan mengandung anak luar nikah. Zehan ada suami,” tegas Zehan.

Tan Sri Bahar ketawa mengejek.

“Tapi sekarang suami kau tu pun dah mati Zehan. Orang tetap akan anggap kau mengandung anak luar nikah. Hakikatnya budak tu memang tak ada bapak!”

Jantung Zehan bagai ditikam berkali-kali mendengar apa yang keluar daripada mulut papanya.

“Sudah. Mari kita balik Rosa,” ajak Tan Sri Bahar. Dia terus masuk ke dalam perut kereta kembali.

“Mama, jangan tinggalkan Zehan. Tolonglah, Zehan tak nak tinggal dekat sini. Zehan nak ikut mama,” ujar Zehan separuh merayu. Wajahnya sudah basah dengan air mata.

“Zehan mama minta maaf. Mama tak ada pilihan. Ini jalan yang terbaik. Mama janji lepas Zehan bersalin nanti mama dan papa akan jemput Zehan ya?”

“Mama...” Kepala digeleng perlahan.

“Mama balik dulu. Jaga diri. Jangan susahkan Mak Wan. Kalau ada apa-apa nanti telefon mama.” Puan Sri Rosa mengucup dahi Zehan buat seketika sebelum dia juga turut masuk semula ke dalam kereta.

Zehan terduduk lemah saat kereta milik keluarganya meluncur keluar meninggalkan halaman rumah Mak Wan. Teresak-esak dia melepaskan tangisannya.

“Zehan, Zehan jangan risau. Mak Wan akan jaga Zehan.” Mak Wan mengusap perlahan belakang tubuh Zehan. Dia faham perasaan Zehan tika ini.

Dia juga bersimpati dengan nasib gadis itu. Muda-muda lagi Zehan perlu melalui semua ini. Pada mulanya Mak Wan juga terkejut apabila diberitahu Zehan sudah bernikah.

Dia sendiri tidak menyangka Zehan sanggup membuat keputusan membelakangkan keluarga. Tapi tidak hairanlah. Mak Wan sendiri kasihan melihat Zehan yang tak pernah berpeluang untuk menentukan hidupnya sendiri. Semuanya diatur oleh Tan Sri Bahar. Mungkin itu salah satu sebab mengapa Zehan bernikah tanpa pengetahuan keluarganya.

MATA Zehan meliar memerhati sekeliling rumah itu. Jauh beza kalau nak dibandingkan dengan rumahnya. Tapi nak buat macam mana, rumah inilah yang akan menjadi tempat tinggalnya sehingga dia selamat bersalin nanti.

Kaki dibawa melangkah ke dapur. Dia mahu pergi ke bilik air. Mak Wan pula ada di luar rumah. Wanita itu sedang membersihkan halaman rumahnya.

Baru beberapa tapak Zehan melangkah ke dapur, tiba-tiba pintu dapur terbuka. Jantung Zehan sudah berdegup kencang saat ini. Matanya melingas mencari senjata yang boleh digunakan untuk menyelamatkan diri.

Terjengul wajah seorang lelaki di muka pintu. Lelaki itu turut memandang hairan ke arah Zehan. Zehan terus capai sekaki payung yang diletakkan di tepi bilik air.

Tanpa menunggu lama, dia terus memukul kuat badan lelaki itu dengan payung.

“Hei, hei! Kau kenapa ni?” Dani cuba mengelak namun Zehan terus memukulnya.

“Perompak! Haa mati kau. Hidup nak senang jer kan. Carilah duit sendiri!” Makin kuat Zehan memukul tubuh lelaki itu.

“Hei kau ni siapa?” Dani terus merampas payung yang berada di tangan Zehan.

“Argh!” Zehan yang tidak dapat mengimbangi tubuhnya terus terjatuh di atas tubuh Dani.

“Aduh!” Dani mengaduh kesakitan apabila tubuhnya bertemu dengan lantai. Ditambah pula beban yang ada di atas badannya tika ini.

Zehan tergamam. Kedua belah tangannya berada di atas dada lelaki itu. Mata mereka beradu buat seketika.

Share this novel

DHIA AMIRA
2021-05-02 10:19:01 

wah ... time dia tjtuh atas dani ...aww suwettt bnget


NovelPlus Premium

The best ads free experience