BAB 3

Romance Completed 208025

“SAMPAI bila kau nak landing atas badan aku ni?”

Zehan tersentak. Cepat-cepat dia bangun. Dada bidang Dani ditekan kuat sewaktu ingin bangun membuatkan lelaki itu mengaduh kesakitan.

“Zehan, Dani kenapa ni?” Mak Wan terkocoh-kocoh mendapatkan mereka. Dia terdengar bunyi bising di dapur. Itu yang membuatkan dia cepat-cepat masuk ke dalam rumah. Risau jika apa-apa terjadi pada Zehan.

“Zehan tak apa-apa ke?” soal Mak Wan. Dia membantu Zehan berdiri.

Mata Dani mengecil memandang ibu saudaranya itu. Aku yang kena tindih, bukannya perempuan tu. Sepatutnya Mak Wan tanya soalan tu pada dia bukan Zehan.

“Zehan okay. Tapi ni...lelaki ni perompak Mak Wan!” Jari telunjuknya dihalakan tepat ke arah Dani yang sudah pun kembali berdiri.

Terjengil mata Dani memandang Zehan. Perompak? Agak-agak lah oi. Muka aku ni macam muka perompak ke?

“Zehan, lelaki ni Dani. Anak saudara Mak Wan. Dia memang tinggal dengan Mak Wan,” jelas Mak Wan.

Zehan ketap bibir. Dia termalu sendiri. Sudahlah teruk dia belasah lelaki itu dengan payung tadi. Dia perasan Dani sedang merenungnya tajam sekarang ni. Sengaja dia buat-buat tak nampak.

“Jom.” Mak Wan terus menarik tangan Zehan keluar daripada dapur. Zehan hanya menurut. Lagipun dia tak sanggup terus menjadi mangsa renungan Dani.

Dani menggeleng perlahan. Kepalanya yang diketuk dengan payung tadi diusap-usap perlahan. Sakit oi! Sudahlah dia penat baru balik kerja. Pinggangnya juga diurut perlahan. Boleh tahan berat juga badan Zehan. Nampak jer kurus.

“Gila punya perempuan! Dekat manalah mak jumpa dia agaknya?” rungut Dani sendiri.

MAK Wan membawa Zehan masuk ke dalam bilik. Mujur saja masih ada bilik kosong di rumahnya. Memang bilik ini disediakan untuk tetamu. Tapi dia tak sangka anak bekas majikannya itu yang akan menjadi penghuni bilik ini.

“Ni bilik Zehan. Maaflah kalau bilik ni tak selesa macam bilik Zehan.” Mak Wan tahu bilik ini bagai langit dengan bumi kalau nak dibandingkan dengan bilik Zehan.

“Takpa Mak Wan.” Zehan tersenyum nipis. Nak buat macam mana, nak atau tak terpaksalah dia hadap. Tiada pilihan lagi. Mak Wan sudi tumpangkan rumah untuknya pun dah kira syukur.

Runtun hatinya mengenangkan Tan Sri Bahar. Sampai hati papanya itu memperlakukan dia seperti ini. Lelaki itu langsung tidak memikirkan perasaannya. Yang dia tahu cuma mahu menjaga reputasi syarikatnya.

“Mak Wan keluar dulu. Zehan rehatlah dulu ya?” Mak Wan minta diri.

“Kejap Mak Wan. Lelaki tadi tu anak saudara Mak Wan ya?” soal Zehan. Setahunya Mak Wan memang tiada anak kandung. Suaminya pula sudah meninggal 20 tahun yang lalu.

“Iya. Dani tu anak saudara Mak Wan. Tapi Mak Wan dah anggap dia tu macam anak kandung Mak Wan sendiri. Lepas mak dia meninggal dunia, dia tinggal dengan Mak Wan.”

Zehan mengangguk faham.

“Zehan rehat ya. Kalau ada apa-apa panggil jer Mak Wan.”

“Baik Mak Wan.”

Mak Wan terus keluar daripada bilik Zehan. Pintu bilik ditutup rapat.

Zehan mengeluh perlahan. Tingkap dibilik itu dibuka. Panas! Rasa macam duduk dalam microwave pun ya.

“Kipas ke apa ni? Slow nya pusing,” rungut Zehan sambil membelek kipas meja yang ada di bilik itu. Sebelah tangannya lagi digunakan untuk mengibas-ngibas wajahnya. Berpeluh-peluh dibuatnya. Ditambah pula dengan cuaca yang panas terik.

Zehan duduk pula di birai katil.

“Kerasnya tilam ni,” komen Zehan. Tilam itu ditepuk-tepuk. Memang keras. Jauh beza kalau nak dibandingkan dengan tilam empuk kepunyaannya.

Keluhan berat terlepas daripada bibirnya. Macam manalah dia nak biasakan diri untuk tinggal di sini sehingga dia bersalin nanti? Bukannya sekejap. Berbulan-bulan.

Tas tangannya diambil. Telefon bimbitnya dikeluarkan. Galeri dibuka. Terpapar gambar dia dan Yazid. Tak sampai sesaat air matanya gugur.

“B, kalaulah awak masih ada, Zehan tak perlu hidup macam ni. Zehan perlukan awak B...” Mata dipejam sesaat. Sakit di dadanya ibarat kilat yang menyambar hati. Tak pernah terbayang hubungannya dengan Yazid akan berakhir dengan cara begini.

Walaupun mereka telah mengesahkan semua penumpang di dalam pesawat itu terkorban, Zehan percaya Yazid masih ada. Dia yakin suatu hari nanti mereka akan dipertemukan kembali. Selagi dia tak jumpa jasad suaminya itu, dia akan terus menganggap Yazid masih hidup.

“Ibu akan terus kuat untuk awak sayang. Awak satu-satunya harta yang paling berharga yang ibu ada.” Tangannya mengusap perlahan perutnya.

“KENAPA dia nak kena tinggal dekat sini pula?” soal Dani. Riak wajahnya jelas menunjukkan dia tidak senang dengan kehadiran Zehan di rumah ini.

“Zehan mengandung. Tan Sri tak nak ada sesiapa yang tahu. Jadi Zehan akan tinggal dengan kita sampailah dia bersalin nanti,” jelas Mak Wan.

Dani yang sedang duduk di atas sofa itu membetulkan duduknya. Dahinya berkerut.

“Dia mengandung anak luar nikah?” Kepala digeleng perlahan. Apa nak jadi agaknya dengan budak remaja zaman sekarang. Senang-senang sahaja serahkan tubuh pada lelaki yang belum halal.

“Haisy, bukanlah!” nafi Mak Wan keras. Spontan lehernya bergerak ke kiri dan kanan. Risau kalau Zehan dengar. Kecil hati dia nanti.

“Habis tu?”

“Zehan dah bernikah dengan suami dia dekat Thailand. Tak ada siapa yang tahu dia dah kahwin. Suami dia pula baru jer meninggal dunia.”

Dani diam. Cuba menghadam penjelasan Mak Wan.

“Kenapa dia nikah dekat Thailand?” soal Dani lagi. Lagaknya seperti anggota polis yang sedang menyiasat.

Mak Wan hanya jungkit bahu. Dia sendiri tidak tahu apa alasan sebenar Zehan bernikah di Thailand. Yang pasti gadis itu pasti ada alasannya yang tersendiri.

“Mak percaya ke yang dia tu betul-betul dah nikah? Dani tengok dia tu muda lagi.”

“Takkanlah Zehan tu nak menipu pula,” bidas Mak Wan.

“Entah-entah dia tipu kita. Mungkin betul yang dia tu memang mengandung anak luar nikah. Kalau tak, kenapa keluarga dia beria-ia nak sorokkan dia dekat sini?”

Laju tangan Mak Wan menampar paha Dani.

“Hei, tak baiklah buat fitnah. Zehan tu budaknya baik. Mak percaya yang dia takkan malukan keluarga dia. Dani jangan pandai-pandai nak menuduh.”

“Dani bukan nak tuduh. Yalah zaman sekarang ni bukannya boleh percaya sangat.”

“Zehan bukan macam tu.” Mak Wan masih mempertahankan Zehan. Zehan bukan sejenis budak yang liar. Dia dibawah kawalan Tan Sri Bahar. Tak mungkin dia berani menconteng arang di wajah keluarganya.

“Selama Zehan dekat sini, layan dia baik-baik. Lagipun kesian dengan dia. Muda-muda lagi dia perlu hadap semua ni.” Mak Wan tahu tak mudah untuk Zehan lalui semua ini. Terlalu berat beban yang perlu dia pikul. Apatah lagi mengandung tanpa suami disisi.

Dani diam. Zehan memang patut lalui semua ini. Kifarah kepadanya atas kesilapannya yang membuat keputusan membelakangkan keluarga. Kalau dari awal lagi Zehan jujur tentang hubungannya pasti semua ini tidak akan berlaku.

ZEHAN melempar pandang ke arah sawah padi yang terbentang luas di hadapan rumah Mak Wan. Sesekali angin menampar lembut pipinya. Menenangkan jiwanya yang kalut tika ini. Saja dia duduk di pangkin hadapan rumah petang-petang begini.

Bunyi enjin motorsikal membuatkan Zehan menoleh. Dia nampak Dani sedang menghidupkan enjin motorsikalnya. Cepat-cepat Zehan bangun daripada pangkin. Langkah diatur ke arah lelaki itu.

“Awak!” panggilnya. Tujuannya mahu minta maaf dengan Dani. Rasa bersalah pula kerana memukul lelaki itu dengan payung siang tadi.

Dani angkat wajah memandang Zehan yang sudah berdiri tegak di hadapannya. Keningnya terjungkit memandang gadis itu.

“Awak, saya nak minta maaf pasal tadi.”

Bibir Dani melorek senyum sinis.

“Kau ingat ni hari raya ke nak minta maaf ha?”

Zehan berdecit perlahan. Apa masalah mamat ni? Sebal hatinya. Nampak macam Dani sengaja nak melancarkan perang dingin dengannya.

“Cukup baik saya nak minta maaf dekat awak tau. Nanti kalau saya tak minta maaf, awak cakap saya ni tak ada adab pulak,” bidas Zehan geram.

“Haa tengok...tengok...minta maaf tak ikhlas.” Dani mencebikkan bibirnya.

“Awak ni kenapa? Sengaja nak cari gaduh dengan saya ke?”

“Eh budak kecik, kau ingat aku ni ada masa ke nak bergaduh dengan kau?”

What?! Budak kecik? Ni dah lebih!

“Dah tepilah. Jangan halang laluan aku.” Dani menyarungkan helmet di kepalanya. Malas dia nak melayan Zehan.

“Saya ni tetamu awak tau. Layanlah baik-baik!” Zehan mula naik angin. Kenapalah perangai anak saudara Mak Wan ni menyakitkan hati sangat!

Dani ketawa besar. Kepala digeleng-gelengkan.

“Hei, tetamu tu yang datang sehari dua jer lah. Dah kalau duduk sini berbulan-bulan, bukan tetamu namanya tu.”

Besar kecik besar kecik jer Zehan pandang Dani. Mulut Dani memang tak ada insurans! Sengajalah tu nak perli dia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience