BAB 4

Romance Completed 208025

ZEHAN tak dapat melelapkan matanya. Puas dia pusing kekiri dan kanan. Masih matanya tidak mahu lelap. Terkebil-kebil matanya merenung siling rumah.

Dia termenung memikirkan apa yang akan berlaku selepas ini. Tidak tahu bagaimana nasibnya selepas ini. Mampukah dia membesarkan anaknya seorang diri?

Belajar pun tak habis. Agak-agak dia nak kerja apa nanti? Mana dia nak cari duit untuk membesarkan anaknya? Mahukah Tan Sri Bahar membantunya atau bapanya itu hanya biarkan dia yang tanggung semuanya.

Zehan mengubah posisi daripada berbaring kepada duduk. Dia menongkat dagu sambil termenung. Dia benar-benar rindukan Yazid saat ini. Setiap kali mengingati lelaki itu dadanya terasa sesak.

Tekaknya terasa kering. Zehan turun daripada katil. Dia keluar daripada bilik. Langkah kaki dibawa ke dapur. Gelas yang terletak di rak diambil. Baru dia ingin menuang air ke dalam gelas, telinganya menangkap bunyi tapak kaki.

Jantungnya berdegup kencang. Bulu romanya meremang. Bunyi apa tu?

Cepat-cepat diteguk air di dalam gelas lalu gelas itu dibawa ke sinki untuk dibasuh.

“Hei.”

Suara garau itu menyapa gegendang telinganya. Zehan terus menoleh. Dia tahu itu suara Dani. Jika bukan Dani, siapa lagi?

“Astagfirullah.” Dani urut dada. Terkejut dibuatnya melihat Zehan yang memakai bedak sejuk itu. Sudahlah rambut gadis itu panjang mengurai.

Zehan pegang pipinya. Dia baru teringat sebelum tidur tadi dia memakai bedak sejuk. Sudah jadi rutinnya sebelum tidur. Sebelum ini dia biasa memakai facial mask. Tapi dekat kampung ni mana nak cari? Sudahnya, dia tukarkan dengan bedak sejuk.

Melengkung bibir Zehan senyum. Geli hatinya melihat reaksi Dani. Penakut juga rupanya di Dani ni. Nampak macam hero sangat. Huh!

“Hei, yang kau pakai macam ni kenapa? Saja nak bagi orang sakit jantung ke?”

“Penakut juga awak ni.” Zehan ketawa.

Dani melempar jeling. Rasa macam nak tercabut jantungnya tadi saat melihat Zehan. Ah! Jatuh saham aku. Nasib baik tak menjerit. Kalau tak, lagi seronoklah Zehan ketawakan dia.

“Bukan penakut. Aku terkejut,” bidas Dani.

Zehan mencebik. Eleh, tak nak mengaku.

Tiba-tiba kedengaran bunyi sesuatu jatuh daripada bumbung rumah. Zehan tergamam.

“Awak! Bunyi apa tu?” Zehan cemas.

Dani mengulum senyum. Tadi seronok sangatkan ketawakan orang. Haa sekarang rasakan!

“Entah. Kak Pon kot.” Dani jungkit bahu.

Bulat mata Zehan.

“Kak Pon? Pon...tia...” Zehan tak sanggup nak habiskan ayatnya. Tak berani nak seru. Manalah tahu kalau tiba-tiba nanti Kak Pon muncul depan mata, tak cukup tanah dia nak lari.

“Dah lah aku nak tidur.” Dani tahu Zehan takut. Lagi galak dia mahu mengusik gadis itu.

“Awak! Tunggulah saya. Hantar saya balik bilik.”

Dani tahan ketawa.

“Penakut jugak kau ni.” Dia memulangkan paku buah keras.

“Tolonglah...” Zehan rasa macam nak menangis sekarang ni.

Melihat air muka Zehan yang sudah berubah membuatkan Dani tak sampai hati. Lagipun Zehan sedang mengandung. Tak berani dia nak mengusik lebih-lebih. Kalau apa-apa jadi pada gadis itu nanti, dia juga yang akan dipersalahkan.

“Yalah. Jom aku hantar kau balik bilik.”

Zehan cepat-cepat mengikut langkah Dani dari belakang.

“Pergilah tidur,” ujar Dani saat tiba di hadapan pintu bilik Zehan.

“Thanks,” ucap Zehan sepatah. Berat mulutnya nak ucap terima kasih tapi sebab Dani sudi temankan dia balik ke bilik terpaksalah dia ucap terima kasih.

“Lain kali kalau nak pergi dapur tengah malam, jangan pakai bedak sejuk tu lagi,” sempat Dani memesan sebelum dia berlalu ke biliknya.

Zehan cepat-cepat menutup pintu biliknya.

“MAK Wan masak apa tu?” soal Zehan saat kakinya memijak lantai dapur. Dia menguap perlahan. Matanya digosok-gosok.

“Zehan dah bangun?” Mak Wan tersenyum nipis.

Zehan sekadar mengangguk. Tak tahulah nak balas apa. Nampak macam Mak Wan nak perli dia pun ada. Mana tidaknya, matahari dah terpacak atas kepala baru dia bangun tidur. Orang lain dah makan tengahari, dia baru nak bersarapan.

“Dekat bawah tudung saji tu ada mi goreng. Mak Wan ada tinggalkan untuk Zehan. Makanlah.”

Zehan berjalan ke meja makan. Tudung saji dibuka. Tak tunggu lama, dia terus mencedok mi goreng itu ke dalam pinggan.

“Haa tuan puteri dah bangun tidur.”

Nak tercekik Zehan mendengar perlian Dani. Lelaki itu tiba-tiba muncul dari pintu belakang. Suka sangat muncul tiba-tiba.

“Dani,” tegur Mak Wan yang sedang menyiang ikan itu.

“Lena tidur semalam tuan puteri?” soal Dani. Dia tak pedulikan teguran Mak Wan. Kerusi di hadapan Zehan ditarik lalu dilabuhkan duduknya di situ.

Zehan tak menjawab. Hanya jelingan tajam dilempar pada lelaki itu. Sehari Dani tak sakitkan hatinya tak sah. Agaknya tak tenang hidup Dani kalau tak sakitkan hatinya.

“Tengahari ni Mak Wan masak kari ikan tongkol. Zehan makan? Kalau tak makan, Mak Wan boleh masakkan lauk yang lain untuk Zehan” soal Mak Wan.

Zehan serba salah nak jawab. Takut nanti susahkan wanita itu pula. Tapi dia memang tak makan ikan. Segala jenis ikan dia memang tak makan.

Baru Zehan nak buka mulut, Mak Wan sudah bersuara terlebih dahulu.

“Mak Wan lupa Zehan tak makan ikan.” Dia tepuk dahi.

Zehan hanya tersenyum. Nampaknya Mak Wan masih ingat. Taklah dia rasa bersalah sangat kerana menyusahkan wanita itu.

“Dani, pergi belikan ayam. Mak nak masakkan untuk Zehan,” arah Mak Wan.

“Mengada-ngadalah. Ingat ni restoran ke? Kalau nak makan ayam, pergi beli sendiri,” balas Dani.

Zehan ketap bibir. Panas hatinya mendengar jawapan Dani.

“Takpalah Mak Wan. Zehan makan jer apa yang ada.” Zehan tayang muka kesian.

“Dani, pergi beli ayam cepat,” gesa Mak Wan.

Nak tak nak Dani bangun juga. Sempat dia mengerling sekilas ke arah Zehan. Zehan menjelirkan lidahnya pada Dani.

“Beli yang besar-besar sikit tau! Kalau boleh beli ayam organik. Tak nak ayam yang cucuk!” Zehan saja nak bakar lagi hati Dani.

Dia ketawa melihat mulut Dani terkumat-kamit sambil menghidupkan enjin motorsikalnya. Entah jampi serapah apa yang Dani baca agaknya.

DANI memberhentikan motorsikalnya di hadapan sebuah kedai runcit. Langkah kaki dibawa masuk ke dalam kedai runcit itu.

Dia berjalan ke arah peti sejuk yang berisi pelbagai minuman di bahagian belakang kedai.

“Dani.”

Dani yang sedang memilih deretan air kotak di dalam peti sejuk itu menoleh.

Dia terdiam melihat wanita yang sedang berdiri di hadapannya ketika ini. Automatik jantungnya berdegup laju. Sama seperti kali pertama dia melihat wanita itu dulu. Degup jantungnya masih untuk wanita itu.

“Mak Wan sihat?” soal wanita itu apabila melihat Dani hanya diam.

Dani kembali menoleh memandang deretan air kotak yang tersusun di dalam peti sejuk itu. Tak ada hati nak pandang muka wanita itu lama-lama.

“Tak payahlah sibuk nak ambil tahu lagi.” Akhirnya Dani bersuara. Dari hujung matanya dia dapat lihat riak wajah wanita itu berubah. Pasti dia terasa hati dengan jawapan yang Dani berikan. Ah! Dani tak peduli. Apa yang wanita itu lakukan padanya lebih sakit dari ini.

“Dah lama Weeda tak jumpa Mak Wan.”

Dani capai dua kotak air berperisa laici. Tubuh dipusing kembali menghadap wanita itu.

“Lagi baik kalau tak perlu jumpa langsung lepas ni.” Dani terus berlalu menuju ke kaunter untuk membuat pembayaran.

Weeda turut mengikut langkah Dani. Dahi Dani berkerut saat melihat Weeda duduk di kaunter pembayaran. Air kotak yang Dani ambil tadi dimasukkan ke dalam plastik.

Dari gayanya nampak macam Weeda bekerja di sini. Sejak bila? Dani sendiri tak tahu. Dia tak ada masa nak ambil tahu tentang wanita itu. Jika dulu mungkin wanita itu keutamaannya tapi sekarang semuanya sudah berubah.

“Hari ni Weeda belanja.” Weeda tersenyum nipis. Plastik itu dihulurkan pada Dani.

Dani mengeluarkan sekeping not RM10 lalu diletakkan di atas meja kaunter. Riak wajah Weeda jelas menunjukkan dia kecewa. Nampaknya Dani masih marahkannya. Dia tak salahkan Dani. Semuanya berpunca daripada dirinya juga.

Sebaik mengambil plastik yang dihulur oleh Weeda, Dani cepat-cepat keluar meninggalkan kedai runcit itu. Namun langkahnya terhenti saat telinganya menangkap suara seorang lelaki.

“Aku nak rokok. Dua kotak.”

“Abang, duit rokok yang sebelum ni pun abang tak bayar lagi kan. Naik segan Weeda dengan Pak Samad,” balas Weeda. Penat melayan karenah suaminya itu. Tak habis-habis berhutang.

“Nanti aku bayarlah. Bagi jer lah rokok tu. Jangan melawan cakap suami. Kau nak jadi isteri derhaka ke?”

Dani memusing tubuhnya memandang ke arah pasangan suami isteri itu. Ketika itu juga Weeda memandangnya. Mata Weeda menjelaskan segalanya. Dani tahu.

“Hei! Kau pekak ke?” jerkah Jali kuat.

Weeda tergamam. Naik merah wajahnya kerana malu dengan Dani. Dani cepat-cepat angkat kaki beredar daripada situ. Dia tak mahu masuk campur. Lagipun dia sudah tiada apa-apa urusan dengan Weeda.

Share this novel

Cik Mafia
2021-07-29 02:13:10 

macam mane nk buka log utk baca bab seterusnya


NovelPlus Premium

The best ads free experience