BAB 1

Romance Completed 208025

TELEFON bimbit milik Zehan berdering kuat menandakan ada panggilan masuk. Dia yang sedang berbaring di atas katil terus bangun. Telefon bimbitnya yang diletakkan di atas almari solek dicapai.

Lihat saja nama yang tertera di skrin telefonnya membuatkan Zehan mencebikkan bibirnya. Lambat-lambat dia jawab juga panggilan telefon itu.

“Zehan, kenapa lambat sangat jawab call ha?” Suara garau itu menampar gegendang telinganya.

Zehan mengeluh perlahan. Lambat jawab panggilan telefon pun jadi isu ke?

“Ada apa papa call Zehan?” Giliran Zehan pula menyoal. Dia melabuhkan punggungnya di birai katil.

“Malam ni balik rumah. Kita ada dinner dengan keluarga uncle Rosdi.”

“Tengoklah macam mana. Assignment Zehan banyak yang tak siap lagi.” Zehan sengaja mencari alasan.

Sebenarnya dia malas mahu pulang ke rumah keluarganya. Lagi-lagi apabila papanya itu sengaja ingin mempertemukannya dengan keluarga Dato Rosdi. Bukannya dia tak tahu rancangan keluarganya yang mahu menyatukan dia dan Ammar.

Ammar ialah anak tunggal Dato Rosdi. Daripada awal lagi Zehan memang tak berkenan langsung dengan perangai lelaki itu. Entah apa yang keluarganya lihat pada lelaki itu sehingga beria-ria mahu menjodohkannya dengan Ammar.

Sejak daripada kecil lagi hidup Zehan diatur oleh Tan Sri Bahar. Dia tidak dibenarkan membuat pilihan. Semuanya diatur oleh papanya. Hitam kata Tan Sri Bahar, maka hitamlah. Jangan berani-berani Zehan membantah.

“Assignment tu boleh siapkan nanti. Papa tak kira. Papa nak Zehan balik juga malam ni,” tegas Tan Sri Bahar.

Tak sempat lelaki berusia lingkungan 50-an itu ingin berbicara lebih lanjut, Zehan sudah menamatkan panggilan. Telefon bimbitnya dicampak di atas tilam. Nafas dihela berat.

Dia sudah penat hidup begini. Dia langsung tidak diberikan peluang memilih jalan kehidupannya sendiri. Kadang-kadang dia begitu cemburu melihat rakan-rakannya yang lain. Mereka bebas membuat keputusan tanpa ada paksaan daripada ahli keluarga mereka.

Zehan tunduk memandang jari sendiri. Cincin permata yang tersarung di jari manisnya itu diusap perlahan. Bibirnya menguntum senyum.

Cincin itu adalah cincin pernikahannya. Ya Zehan bernikah tanpa pengetahuan keluarganya. Dia tekad membuat keputusan untuk bernikah dengan Yazid di Thailand.

Zehan yakin keluarganya tidak akan merestui hubungannya dengan Yazid. Tambahan pula dia masih bergelar seorang pelajar dan usianya masih muda. Oleh kerana itu dia membuat keputusan untuk bernikah senyap-senyap. Cuma kawan baiknya, Lara sahaja yang tahu tentang pernikahannya.

Dia dan Yazid berkenalan selepas Zehan tidak sengaja melanggar kereta lelaki itu. Tak sangka sejak pertemuan itu hubungan mereka mula rapat. 

Pada awalnya Yazid tidak mahu mereka bernikah di Thailand. Dia mahu berjumpa dengan keluarga Zehan sendiri tetapi Zehan yang tidak mengizinkannya. Berminggu-minggu dia merajuk dengan Yazid. Kerana akut kehilangan Zehan, akhirnya Yazid bersetuju untuk bernikah dengan Zehan secara rahsia.

Kini sudah lima bulan mereka hidup sebagai pasangan suami isteri. Keluarga Zehan menyangka dia tinggal di rumah sewa bersama dengan Lara. Tapi sebaliknya dia tinggal di apartment yang Yazid sediakan untuknya.

Yazid selalu outstation. Apabila Yazid tiada di rumah, Zehan akan pulang ke rumah sewanya bersama dengan Lara.

Perlahan-lahan Zehan menarik keluar cincin permata itu daripada jari manisnya. Takut nanti ahli keluarganya perasan pula cincin itu. Tak pasal-pasal nanti rahsianya terbongkar.

Buat masa ni dia masih belum bersedia untuk memberitahu ahli keluarganya. Biarlah waktu yang menentukan segalanya nanti.

BARU saja Zehan buka langkah ingin masuk ke dalam bilik, namanya dipanggil oleh Tan Sri Bahar.

“Duduk sekejap. Papa nak cakap sikit dengan Zehan.”

Zehan pasrah. Dia ambil tempat di sofa berhadapan dengan Tan Sri Bahar. Disebelah papanya itu ada mamanya, Puan Sri Rosa.

“Ada apa?” soal Zehan acuh tak acuh. Ni tak lain tak bukan mesti Tan Sri Bahar mahu berbincang tentang Ammar. Ah! Bosan.

“Kesian Ammar tadi. Nak tak nak jer Zehan layan dia. Dia kan tetamu kita. Kenapa layan macam tu?”

Zehan tayang riak wajah tak bersalah.

“Zehan penatlah papa. Lagipun papa nak Zehan layan dia macam mana lagi? Dia kan tetamu papa. Bukannya tetamu Zehan.”

“Zehan.” Riak wajah Tan Sri Bahar berubah tegang.

Zehan mengerling sekilas ke arah Puan Sri Rosa. Berharap mamanya itu dapat membantunya ketika ini. Sungguh dia benar-benar letih. Tak kuasa dia nak berborak soal Ammar lagi.

“Abang dah lah tu. Zehan kan cakap dia letih. Lagipun banyak tugasan yang Zehan nak kena siapkan.” Giliran Puan Sri Rosa bersuara.

“Papa tak suka Zehan layan Ammar macam orang asing. Jangan layan dia macam tu lagi.” Amaran diberi.

Zehan hanya diam. Tak kuasa dia nak bertekak lagi. Akhirnya dia juga yang tetap dipersalahkan nanti. Dia sendiri tidak mengerti sampai bila hidupnya perlu diatur oleh Tan Sri Bahar. Langsung tak diberi pilihan memilih jalan kehidupannya sendiri.

ZEHAN terjerit kecil apabila terasa ada sesuatu yang melingkar di pinggangnya. Dia yang baru nak terlena tadi terus buka mata.

“B!” Luas biji matanya memandang wajah Yazid. Zehan terus mengubah posisi daripada berbaring kepada duduk.

Yazid tersenyum lebar. Sengaja dia ingin membuat kejutan pada isterinya itu. Katanya mahu pulang esok tetapi malam ini juga dia pulang. Tak tahan rindu!

“I miss you dear.” Bahu Zehan ditarik perlahan. Pipi isterinya itu dicium kejap.

“Cakap nak balik esok. Tipu.” Zehan mencebikkan bibirnya.

Yazid ketawa kecil. Kedua belah tangan Zehan diraih lalu digenggam erat.

“B habis kerja awal jadi B terus balik. Zehan tak rindu B ke?”

“Isy, mestilah rindu. Suka tinggalkan orang lama-lama tau.” Zehan sudah sedia maklum skop kerja suaminya yang selalu outstation. Kadang-kadang dia bosan juga. Terpaksa berpisah dengan Yazid. Dalam sebulan dua tiga kali Yazid meninggalkannya.

“How’s your day?” soal Yazid. Jemarinya menyelak rambut Zehan ke belakang telinga.

“Well my life is totally boring without you.”

Yazid tersenyum nipis. Ditarik Zehan rapat ke dadanya.

“I'm sorry dear. B cuba untuk cari kerja lain lepas ni. Kesian isteri B ni, asyik kena tinggal jer.”

“Betul ke?” soal Zehan teruja.

Yazid balas dengan anggukan.

“Yeay. I love you!” Pipi Yazid dikucup.

“Tapi...sampai bila kita nak kena rahsiakan hubungan kita?” soal Yazid tiba-tiba. Tiada masalah dengannya kerana dia anak yatim piatu. Dia sudah tiada keluarga lagi. Cuma dia risaukan penerimaan keluarga isterinya itu.

Riak wajah Zehan terus berubah. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu sampai bila dia mahu merahsiakan semua ini daripada pengetahuan keluarganya. Dia sudah terbiasa hidup begini. Bersama Yazid, dia tidak pernah rasa kehidupannya dikongkong seperti mana dia bersama ahli keluarganya.

“Zehan tak tahu...” Zehan menggeleng perlahan.

“B dah ready kalau Zehan nak B jumpa keluarga Zehan dalam masa yang terdekat ni.”

“Jangan! Jangan dulu,” bantah Zehan keras.

Dahi Yazid berkerut sedikit. Matanya dikecilkan memandang si isteri.

“Next oustation B pergi mana pula?” Zehan mengubah topik perbualan mereka.

“UK.”

“Hmm bestnya. Kalau Zehan tengah cuti semester sekarang ni, dah lama Zehan ikut B.”

Yazid tersenyum kecil. Ikutkan hati dia juga mahu membawa Zehan bersama dengannya. Tetapi isterinya itu ada komitmen sebagai seorang pelajar. Bukan suka-suka boleh ponteng kuliah. Kalau Tan Sri Bahar tahu, pasti teruk dia mengamuk.

“Bila Zehan cuti semester nanti, kita pergi honeymoon okay? Zehan cakap jer nak pergi mana.”

Bersinar-sinar mata Zehan memandang Yazid.

“Thank you B.”

“Dah lewat ni. Zehan tidurlah dulu. B nak pergi bersihkan diri. Esok kita sambung berborak lagi.”

“B nak makan?” soal Zehan. Dia taklah pandai masak sangat. Tapi setakat nak goreng telur tu, dia tahulah. Lagipun Yazid tidak cerewet soal makan. Apa saja yang Zehan masak dia akan makan. Tak susah nak jaga perut Yazid.

“B dah makan sebelum balik tadi. Zehan tidurlah.” Bibirnya dilabuhkan di dahi Zehan.

“Good night love.”

Yazid terus turun daripada katil. Langkah kaki dibawa ke kamar mandi untuk membersihkan diri.

Terkebil-kebil mata Zehan merenung siling. Agak-agak apa agaknya reaksi Tan Sri Bahar kalau tahu dia membuat keputusan membelakangkan keluarga?

“GOOD morning love.”

Wajah kacak itu yang menjamu matanya terlebih dahulu saat kelopak matanya terbuka. Zehan tersenyum bahagia. Sungguh dia gembira apabila bersama dengan Yazid. Dia mahu terus selamanya begini. Sebaik dia buka mata, wajah Yazid yang dia nampak terlebih dahulu.

“Morning,” balas Zehan malas. Dia masih mengantuk.

“Dah pukul sepuluh ni. Jom breakfast,” ajak Yazid. Selepas subuh tadi mereka tidur kembali. Terus terlajak sampai pukul sepuluh pagi.

“5 minutes.” Zehan kembali pejam mata. Terasa berat sangat kelopak matanya tika ini.

“Bangunlah sayang.” Yazid mengucup merata wajah isterinya itu. Saja nak menganggu tidur Zehan.

“B!” Zehan menolak wajah Yazid jauh daripadanya.

Yazid hanya ketawa. Tiba-tiba telefon bimbit Zehan berbunyi menandakan ada panggilan. Yazid capai telefon bimbit isterinya itu untuk melihat nama pemanggil.

“Papa call.”

“Hmm biarlah,” jawab Zehan malas. Entah apa lagi agaknya yang Tan Sri Bahar mahukan.

“Jawablah. Mana tahu kalau ada hal penting.”

Zehan mengeluh perlahan. Lambat-lambat dia bangun dari pembaringannya. Dia sambut huluran Yazid. Telefon itu bertukar tangan. Zehan terus selak selimut lalu turun daripada katil. Dia berjalan ke luar balkoni bilik.

Yazid pula hanya memandang gerak tubuh isterinya itu daripada belakang. Wajah Zehan nampak serius. Entah apa agaknya yang mereka bincangkan.

Sesekali Yazid nampak wajah isterinya itu berkerut-kerut. Macam ada masalah besar pun ya. Saat Zehan memusing tubuh memandangnga, Yazid hanya tersenyum nipis.

Selesai menjawab panggilan, Zehan melangkah kembali masuk ke dalam bilik. Dia duduk di birai katil. Bersebelahan dengan Yazid. Kepalanya disandarkan pada bahu suaminya itu.

“Kenapa ni?” soal Yazid. Tengok riak wajah Zehan dia sudah dapat meneka ada yang tidak kena.

“Biasalah papa. Tak habis-habis nak paksa Zehan jumpa dengan Ammar. Rimas!” rungut Zehan.

Yazid tahu soal Ammar. Zehan memang tidak pernah berahsia dengannya. Semuanya dia ceritakan pada Yazid.

“Sebab tu B nak kita beritahu hal yang sebenar pada papa.”

Zehan menggeleng. Dia tetap dengan keputusannya. Dia masih belum bersedia.

“Flight B malam ni pukul berapa?” soal Zehan. Macam biasa, Zehan memang suka mengubah topik.

“10.45 malam. Zehan tak perlu hantar B dekat airport. Dah lewat. Bahaya kalau drive seorang balik nanti. B naik grab jer.”

Zehan mengangguk. Akur.

“I'm gonna miss you B.” Lengan Yazid dipeluk erat. Sekali lagi dia terpaksa berpisah dengan suaminya itu.

“I miss you more dear. B janji ini kali terakhir B tinggalkan Zehan.”

Dahi Zehan berkerut sedikit. Entah kenapa dia rasa sesuatu saat mendengar ayat terakhir suaminya itu.

TIDUR Zehan terganggu apabila mendengar bunyi loceng rumahnya. Tangannya meraba-raba di atas meja kecil tepi katil. Mencari telefon bimbitnya.

“Dah pukul 3 pagi. Siapa pula yang datang?” soalnya sendiri. Lambat-lambat dia turun juga daripada katil.

Takut sebenarnya mahu membuka pintu waktu-waktu begini. Yelah manalah tahu kalau-kalau ada perompak. Tambahan pula dia tinggal sendirian di rumah ketika ini.

Zehan memberanikan diri juga membuka pintu. Dia tergamam seketika saat melihat Yazid yang berdiri tegak di hadapan pintu rumah.

“B? Bukan B dah naik flight ke? Flight delay ke?” soalnya bertubi-tubi.

Yazid hanya diam. Tiba-tiba lelaki itu memeluk tubuhnya. Erat.

“B, kenapa ni?” Zehan semakin pelik melihat sikap suaminya itu.

“B cintakan Zehan sampai hujung nyawa B.” Akhirnya Yazid bersuara juga.

“B, kenapa tiba-tiba ni? Are you okay?” soal Zehan lagi. Perlahan dia menolak tubuh Yazid. Pelukan mereka terlerai.

“Maafkan B.” Tangan Yazid menyentuh perlahan pipi Zehan. Matanya berkaca.

“B janganlah buat Zehan takut. Kenapa ni?”

Yazid tersenyum nipis sebelum perlahan-lahan dia menghilang daripada pandangan mata Zehan.

“B!” Zehan tak tentu arah apabila tiba-tiba saja suaminya hilang. Bagai dibawa angin lalu.

Dia tercari-cari kemana Yazid menghilang. Berpusing-pusing tubuhnya mencari suaminya itu.

“B!”

Zehan tersentak. Dahinya berpeluh-peluh. Dadanya berombak laju. Nafasnya cuba diatur kembali.

Mimpi rupanya.

Wajahnya diraup perlahan. Entah kenapa dia mula rasa tak sedap hati. Lampu tidur di tepi katilnya dinyalakan. Telefon bimbitnya dicapai.

Terbuntang matanya. Tangannya mengigil saat membaca berita itu.

Pesawat MH142 terhempas jam 1.23 pagi tadi.

Yazid! Yazid ada di dalam pesawat itu...

Happy reading! So macam mana BAB 1? Boleh follow orked untuk dapatkan notification tiap kali orked update. Thank you!

Share this novel

Saphire
2022-03-17 12:13:44 

Hi, jemput baca novel sy yg berjudul cinta yang tak didendangkan, Jgn lupa support dan komen ya. Terima kasih

rimatanti
2021-08-18 18:43:53 

tolong bg tau mcm mana nk buka lock tu.. nk topap mcm mana tk boleh buat pun please bg tau

Fida Fida
2021-06-04 14:33:45 

kak apa bisa disimpan di file aku pengen ngoleksi soalnya bagus


NovelPlus Premium

The best ads free experience