Prolog

Drama Completed 25489

HUJAN renyai-renyai turun membasahi halaman rumah banglo yang terletak di pinggir ibu kota itu.

Di bawah sebatang pohon rendang, seorang kanak-kanak lelaki sedang berdiri sambil memegang payung kecil berwarna biru. Bajunya sudah basah di bahagian lengan kerana terlalu lama menunggu.

“Ariff!”

Suara kecil comel itu membuatkan wajahnya terus bertukar ceria.

Di hadapannya seorang budak perempuan sedang berlari keluar dari rumah sambil memeluk seekor patung beruang yang hampir menyamai sebesar tubuhnya.

“Alya!”

Ariff segera mengangkat payung lebih tinggi supaya hujan tidak terkena gadis kecil itu.

“Kita main dekat pondok tu.”

Alya mengangguk laju.

“Jom!”

Mereka berlari bersama-sama sambil berpautan tangan menuju ke pondok kecil di halaman rumah itu.

Sedang duduk di anjung rumah, Datuk Malik dan Encik Azman hanya menggeleng sambil melihat gelagat anak-anak mereka.

Sudah dilarang dari bermain hujan. Tapi, keduanya tetap berdegil nak main bersama di pondok kecil mereka. Maklum sahaja keduanya sahabat baik yang sangat akrab.

“Dua-dua tu memang tak boleh dipisahkan,” ujar Datin Zulaika.

Puan Farah tersenyum. “Itulah, dah macam kembar. Alya tu asyik mengekor je ke mana Ariff pergi.”

“Ariff pun sama. Sehari tak berjumpa memang bising mulut tu bertanya bila nak pergi rumah Alya lagi.”

Datin Zulaika kemudian menyatakan sesuatu dalam gurauan.

“Kalau dah besar nanti kita jodohkan aje lah mereka berdua ye.”

Lalu masing-masing ketawa. Tak seorang pun menyangka kata-kata yang keluar secara bersahaja itu akhirnya akan menjadi satu janji di antara dua buah keluarga suatu hari nanti.

SEMENTARA itu di pondok kecil di halaman rumah, Alya sedang menangis. Anak patung kesayangannya terjatuh ke dalam lopak air.

“Teddy dah basah…” esaknya dalam tangisan.

Ariff dengan segera mengambil patung itu. Dia mengelap perlahan-lahan menggunakan bajunya sendiri walaupun semakin basah.

“Nah. Saya dah bersihkan Teddy awak,” kata Ariff sambil menghulur patung beruang itu kepada Alya.

Alya mengambil lalu memeluk kembali patung beruang kesayangannya.

“Terima kasih, Ariff.”

Ariff tersenyum. “Jangan nangis lagi ok.”

“Tapi, Teddy dah kotor…” Alya mencebir bibir comelnya.

“Nanti saya basuhkan Teddy untuk awak.” Ariff cuba memujuk.

“Betul?”

“Betul.” Ariff mengangguk.

Alya mengesat air mata. Kemudian dia menghulurkan jari kelingkingnya.

“Janji?”

Ariff tanpa ragu menyambut jari kecil itu.

“Janji.”

Beberapa saat mereka hanya saling memandang satu sama lain. Ariff tiba-tiba berkata sesuatu dengan penuh yakin.

“Bila kita besar nanti…”

Alya mengerutkan dahi tidak memahami.

“Kenapa?”

“Saya nak kahwin dengan awak.”

Alya tergelak kecil mendengar kata-kata Ariff.

“Betul?”

“Betul.”

“Kenapa awak nak kahwin dengan saya?”

“Sebab saya nak jaga awak.”

“Kalau saya sakit?”

“Saya akan jaga awak.”

“Kalau saya sedih?”

“Saya pujuk awak.”

“Kalau orang jahat kacau saya?”

“Saya akan lawan orang jahat tu!”

Alya ketawa semakin kuat.

“Kalau awak lupa janji tu macam mana?”

Ariff menggeleng dengan bersungguh-sungguh.

“Saya takkan lupa.”

Dia mengangkat tangan kecilnya.

“Sumpah.”

Alya tersenyum manis.

“Kalau macam tu…”

Dia terus menggenggam erat tangan Ariff.

“Saya akan tunggu awak. Sebab saya nak kahwin dengan awak juga. Saya nak awak jaga saya.”

Mereka berdua kemudian tertawa bersama lalu menyambung bermain di dalam pondok tempat dunia kecil mereka. Tanpa mereka tahu janji yang pernah dilafazkan itu mungkin akan tenggelam bersama waktu yang berlalu nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience