Completed
25489
HUJUNG minggu itu, rumah banglo milik Encik Azman dan Puan Farah kembali meriah. Ada tetamu istimewa yang dijemput hadir ke kediaman mereka.
Sudah bertahun-tahun kedua-dua keluarga itu tidak berkumpul sebegini. Kesibukan kerja dengan urusan masing-masing membuatkan hubungan mereka menjadi agak renggang. Lalu hari inilah saat untuk menyatukan kembali kedua keluarga yang sudah lama tidak saling berhubungan itu.
“Alya, cepatlah turun sayang. Mereka dah sampai.”
Suara Puan Farah bergema dari tingkat bawah memanggil anak gadisnya.
“Ya, ibu. Kejap.”
Alya membetulkan tudung bawal berona warna krim yang tersarung di kepalanya di hadapan cermin. Wajahnya masih kelihatan cantik seperti dahulu.
Cuma… sedikit pucat. Matanya nampak cengkung. Namun, dia bijak menyembunyikan semua itu dengan sedikit solekan. Tidak mahu sesiapa mengesyaki apa-apa.
Alya menarik nafas perlahan sebelum turun ke tingkat bawah. Namun, sebaik sahaja kakinya menjejak ke anak tangga terakhir… langkahnya tiba-tiba terhenti.
Di hadapan pintu utama ketika itu, kelihatan seorang lelaki tampan bertubuh tinggi sedang melangkah masuk bersama kedua ibu bapanya. Kemeja hitam yang dipakai lelaki itu membuatkan susuk tubuhnya kelihatan kemas dan segak.
Ariff Adham.
Di arah bertentangan, lelaki itu juga terpaku. Matanya memandang ke wajah Alya selama beberapa saat. Pandangan mereka saling bertaut.
“…Alya?”
Alya lantas menghadiahkan senyuman manis seorang teman lama yang sudah bertahun tidak bertemu.
“Ariff. Lama tak jumpa.”
Ariff mengangguk perlahan. Tanpa sebarang reaksi wajah.
“Ya, lama…”
“Apa khabar?” Alya menyoal sekadar berbasa-basi.
“Baik.”
Hanya itu jawapan Ariff tanpa ucapan lanjut atau pertanyaan balas.
Sekejapan, ingatan Ariff terimbas kembali pada wajah seorang kanak-kanak perempuan yang selalu mengekorinya sewaktu kecil dahulu.
Alya Adriana.
Kini… budak perempuan yang selalu ketawa ceria di sampingnya itu sudah menjadi seorang wanita yang begitu anggun, cantik dan ayu. Dalam diam dia memuji gadis di hadapannya.
Namun, saat itu juga kenangan dalam memori masa lalu Ariff dihambat pergi. Dia segera teringat satu nama lain yang sentiasa terpahat di ruang hatinya.
Syazana.
Ariff menggeleng perlahan. Entah mengapa dia berasa bersalah apabila bertentang mata dengan Alya. Sedangkan mereka tidak pernah mempunyai apa-apa hubungan pun selain sahabat lama di zaman kanak-kanak dahulu. Tak mungkin dia akan jatuh cinta pada gadis ini.
RUANG makan di kediaman itu agak riuh dengan suara perbualan. Pelbagai cerita dan topik dikongsi bersama. Sesekali terdengar juga gelak tawa ketika ada hal melucukan yang diceritakan.
“Jemput makan ya semua. Tambah lagi lauk tu,” ucap Puan Farah dengan ramah kepada tetamunya.
Datin Zulaika tersenyum gembira. “Banyak betul Far masak untuk kami hari ni.”
“Sesekali, Zue. Dah lama kita sekeluarga tak berjumpa.”
“Seronok dapat berkumpul semula macam ni. Macam waktu dulu,” ujar Encik Azman pula.
“Itulah. Teringat dulu-dulu hampir setiap minggu kami datang ke sini. Tapi, selepas dah berpindah jauh tak sempat lagi nak singgah ke sini.” Datuk Malik mencelah.
“Tak apa. Lepas ni kalau berkelapangan datanglah lagi ke rumah kami ni ya,” ujar Puan Farah dengan mesra ke arah sahabat lama mereka.
Dalam suasana ceria di meja makan itu, sebaliknya rasa janggal dan canggung menyelubungi dua insan yang duduk saling bertentangan.
Ariff hanya menjawab apabila ditanya. Alya pula lebih banyak mendiamkan diri. Masing-masing tidak ikut campur dalam perbualan kedua ibu bapa mereka.
Encik Azman akhirnya memecahkan kesunyian mereka berdua. Dia membangkitkan satu topik kisah lama.
“Masih ingat tak dulu kamu berdua suka bergaduh sebab berebut nak naik basikal?”
Datuk Malik lantas ketawa besar.
“Basikal ada satu. Tapi, dua-dua berebut nak naik basikal tu.”
“Basikal tu Alya punya. Warna pink. Tapi, si Ariff ni sibuklah nak naik juga.” Datin Zulaika ikut menambah.
“Masa tu Ariff siap menangis sebab Alya tak nak berkawan sehari dengan dia.”
Riak muka Ariff terus berubah. Dia tak ingat pula tentang hal itu. Lalu dia mengukir senyuman paksa.
“Erm itu cerita lama.”
Alya pula hanya tersenyum kecil. Dia sendiri ingat-ingat lupa dengan peristiwa yang disebutkan itu.
“Rasanya saya pun dah lupa.”
“Tapi, janji kamu berdua masa kecil dulu tak pernah lupa kan?” Datin Zulaika menyoal.
Suasana tiba-tiba menjadi sunyi. Ariff memandang mamanya dalam kerutan di dahi.
“Janji apa?”
Datin Zulaika dan Puan Farah saling berpandangan sambil tersenyum. Begitu juga Datuk Malik dan Encik Azman.
“Waktu kecil dulu Ariff pernah janji nak kahwin dengan Alya bila besar nanti,” ujar Datin Zulaika.
Lalu seisi meja itu ketawa. Wajah Ariff berubah tona. Manakala raut Alya turut bertukar rona.
“Ya ke?
Ariff menyoal. Ingatan itu nyata telah lama terkubur dari mindanya. Namun, perlahan-lahan kini ia seakan muncul semula.
‘Bila besar nanti saya nak kahwin dengan awak…’
Suara budak lelaki kecil itu seakan-akan bergema kembali di telinganya. Duh! Malunya. Tak padan dengan kecil dah pandai berjanji nak kahwin. Hish!
“Iya. Ariff siap bersumpah lagi. Nak kahwin dengan Alya. Nak jaga Alya bila besar nanti. Kelakar sangat masa tu. Tapi, comel…”
Semua yang berada di meja makan ketawa.
Kecuali Ariff dan Alya. Mereka saling berpandangan bersama riak muka yang sukar ditafsirkan.
Janji lama. Siapa saja yang masih ingat pada janji yang pernah dituturkan oleh seorang budak enam tahun itu?
USAI makan malam selesai, seisi keluarga itu mengambil tempat di ruang tamu menikmati hidangan pencuci mulut yang disediakan istimewa oleh Puan Farah sendiri untuk meraikan tetamunya.
Beberapa topik perbualan yang belum habis dibicarakan sewaktu di meja makan tadi bersambung di sini pula. Sekian lama tidak bertemu tentu sahaja ada banyak perkara ingin diceritakan bersama.
Di tengah perbualan yang berlangsung, Datuk Malik tiba-tiba mengubah topik. Ada sesuatu yang dia ingin nyatakan setelah berbincang sendiri dengan sahabat baiknya Encik Azman sebentar tadi.
“Ariff, Alya. Ada sesuatu yang kami ingin beritahu kepada kamu berdua. Dan kami rasakan inilah hari di mana semua itu harus dinyatakan.”
Ariff mula berasa tidak sedap hati dengan nada bicara papanya. Kedengaran lain macam sahaja.
“Tentang apa, papa?”
Datuk Malik memandang Encik Azman. Kemudian beralih ke isterinya Datin Zulaika dan juga Puan Farah. Masing-masing mengangguk dalam senyuman. Seakan memahami sesuatu yang sudah disepakati bersama.
“Kami dah berbincang sebelum ni. Dan kami rasakan sudah tiba masanya janji lama itu ditunaikan.”
Ariff dan Alya sama-sama mengerutkan dahi tidak mengerti.
“Maksud papa?”
Datuk Malik memandang tepat ke arah anak lelakinya sebelum menjawab.
“Kami dah sepakat untuk langsungkan perkahwinan kamu berdua pertengahan tahun ni.”
Jeda.
Suasana menjadi sunyi. Untuk seketika tiada sesiapa bersuara.
“Apa…?”
Ariff terus menegakkan batang tubuhnya. Tanda terkejut dengan kata-kata papanya.
“Papa bergurau kan?”
Alya turut sama terkejut. Cawan teh di tangannya hampir terlepas. Mulutnya dibuka ingin memberi reaksi serupa. Tetapi, lidahnya kelu untuk berkata.
“Apa pula bergurau. Papa serius. Uncle Azman pun serius nak bermenantukan Ariff. Kami dah berbincang tadi dan bersetuju nak langsungkan perkahwinan kamu berdua tak lama lagi.”
Dum! Kenyataan itu bagai siling runtuh yang menghempap di atas kepala.
“Tapi, pa. Ariff dah ada…”
Ariff hampir menyebut nama Syazana. Gadis pujaan hati yang dicintainya selama ini. Gadis yang ingin dijadikan isteri. Dia mahu menyatakan perkara itu.
Namun, kata-kata Ariff terhenti. Dia memandang sekeliling setelah menyedari seisi keluarga sedang memandang ke arahnya. Nama Syazana tidak jadi disebut.
Datin Zulaika tersenyum lembut ke arah anak lelaki tunggalnya.
“Kami tahu kamu berdua dah dewasa. Tak perlulah bercinta lama-lama. Kamu pun dah hampir tiga puluh tahun. Kami yakin kamu berdua serasi sangat bersama.”
Ariff mengepal jemarinya. Menahan perasaan yang sedang berperang di dalam jiwa.
“Tapi, mama… Ariff tak boleh.” Ariff cuba membantah.
“Kenapa?”
“Ariff…”
Dan kemudian dia kehilangan kata-kata. Tak tahu nak jelaskan bagaimana. Tentang bahawa dia sebenarnya sudah memiliki wanita lain yang amat dicintai.
Alya di kerusi bertentangan perlahan-lahan bersuara. Dia sependapat dengan Ariff dan merasakan rencana yang diaturkan itu tidak sepatutnya berlaku.
“Saya juga rasa… saya belum bersedia.”
Nada suaranya lembut. Tidak meninggi atau membantah. Sekadar satu penolakan yang penuh hormat.
Semua mata memandang ke arah Alya. Namun, Puan Farah segera menggenggam tangan anaknya.
“Alya sayang…”
Wanita itu memandang dengan redup mata yang penuh harapan.
“Alya tak bersetuju dengan pilihan ibu dan abah?”
Hati Alya terasa bagai disiat. Selama dua puluh sembilan tahun, inilah pertama kali dia melihat kedua ibu bapanya begitu berharap kepadanya.
Sedangkan Alya tahu dia mungkin tidak akan sempat menjaga mereka berdua sehingga tua. Kerana waktu yang bersisa dalam hidupnya hanya tinggal tidak lama.
Air mata Alya hampir gugur. Namun dia segera mengukir senyuman sambil memaut erat tangan ibunya.
“Kalau itu yang ibu dan abah mahukan, baiklah Alya ikut aje…”
Ariff memandang ke arah Alya dengan tidak percaya.
“Alya?”
Masakan gadis ini semudah itu bersetuju? Padahal mereka berdua bukan ada sebarang hubungan istimewa pun. Ini bukan cerita ‘kahwin paksa’ sebab dijodohkan keluarga seperti dalam drama TV tu.
Ariff benar-benar berharap sekurang-kurangnya Alya akan tegas membantah rancangan orang tua mereka.
Sebaliknya Alya hanya menundukkan pandangan. Dia tahu Ariff tidak bersetuju. Dia juga tidak bersetuju tetapi terpaksa. Demi kebaikan semua pihak. Dan demi kebahagiaan kedua ibu bapanya.
“Ariff kenapa? Alya dah setuju tu. Sepatutnya kamu gembiralah sebab janji waktu kecil dulu akan terlaksana tak lama lagi.” Datin Zulaika berkata sambil berseloroh kepada anaknya.
Lalu diikuti suara tawa yang lain. Masing-masing masih dengan cerita lama yang sentiasa terpahat di ingatan itu.
Tetapi, tidak bagi Ariff. Hatinya libang-libu. Di fikirannya hanya ada Syazana. Dia dah berjanji untuk menikahi kekasihnya itu tidak lama lagi. Malangnya, perkara lain pula yang terlebih dahulu muncul menghalang.
“So, Ariff setuju kan kahwin dengan Alya pertengahan tahun ni? Ini janji yang Ariff dah buat 23 tahun dulu.” Datuk Malik bersuara mematikan lamunan anaknya.
Ariff tersentak. Dia memandang ke wajah ceria papa dan mamanya yang begitu gembira. Tidak sampai hati mahu menghampakan harapan dan impian mereka. Lalu akhirnya dia menghela nafas panjang. Disusuli dengan anggukan perlahan.
“…baiklah, Ariff setuju.”
Jawapan itu keluar dari bibirnya dengan rasa yang begitu berat.
Dan sejenak kemudian empat sahabat baik yang berada di ruang tamu itu tersenyum lega. Mereka saling mengucapkan tahniah. Kemudian, membincangkan tentang tarikh untuk merisik serta hari pertunangan. Juga tarikh untuk majlis perkahwinan nanti.
Di tepi Ariff dan Alya hanya duduk diam membisu. Masing-masing sedang bergelut dengan rasa yang bergolak di jiwa sendiri.
Share this novel
sedih part ni. mcm dpt rssa apa yg alya rasa