Bab 3

Drama Completed 25489

TIGA hari berlalu sejak pertemuan dua keluarga itu. Segalanya berjalan seperti biasa. Seperti tiada apa-apa berlaku.

Sama ada di pihak Ariff atau Alya, semuanya sepi. Tiada satu pun panggilan. Tiada langsung pesanan mesej. Tiada siapa menghubungi sesiapa.

Seolah-olah kedua-duanya berharap perkara itu akan lenyap begitu sahaja.

Namun, petang hari itu ketika Alya sedang sibuk berada di pejabat untuk menyiapkan sebuah projek, telefon pintarnya berbunyi.

Tritttt…

Alya mencapai telefon di atas meja. Dia memandang sejenak ke skrin telefon. Nama yang tertera di situ membuatkan dia kaku seketika.

‘Ariff Adham’

Nombor itu kebetulan disimpan dalam telefonnya selepas dimaklumkan oleh ibunya tempoh hari. Kata ibu nanti senang nak berbincang tentang hal perkahwinan mereka berdua.

Jari Alya sedikit menggigil sebelum menekan butang hijau untuk menjawab panggilan tersebut.

“Helo.”

“Saya Ariff.”

“Saya tahu.”

“Awak free petang ni?”

Alya memandang sejenak ke skrin komputer ribanya. Ada beberapa ‘design’ permintaan klien perlu disiapkannya hari ini. Tapi, tak terkeluar pula ayat itu di bibirnya.

“Err ya. Saya free.”

“Kita jumpa. Kejap lagi saya send location.”

Hanya itu dikatakan Ariff sebelum dia menamatkan panggilan. Selepas itu satu pesanan mesej masuk ke telefon Alya menyatakan lokasi tempat pertemuan mereka berdua petang nanti.

SEBUAH kafe kecil yang lokasinya menghadap sebuah tasik buatan di pinggir bandaraya dikunjungi. Suasana di kafe itu tenang dan damai.

Alya tiba di sini lebih awal. Dia memilih meja di satu sudut. Tangannya memegang secawan teh yang sudah lama sejuk.

Beberapa minit kemudian, barulah kelibat Ariff muncul. Lelaki itu masih berkemeja putih yang sama sejak pagi tadi selepas tamat syif tugasannya di hospital.

Dia kemudian mengambil tempat di hadapan Alya tanpa sebarang riak. Wajahnya nampak beku dan dingin sahaja.

“Maaf lambat,” tutur Ariff.

“Tak apa.” Alya membalas dalam senyuman.

Pelayan kemudian datang mengambil pesanan. Namun, sama seperti Alya dia sekadar memesan secawan minuman panas.

Buat seketika suasana di meja itu sepi. Tiada sesiapa bersuara. Masing-masing seperti sedang mencari ayat yang sesuai untuk dituturkan.

Akhirnya, Ariff menarik nafas panjang. Dia memecah kesunyian dan memulakan bicara.

“Saya tak nak buang masa. Saya terus terang saja dengan awak…”

Alya mengangguk perlahan. Memberi ruang untuk Ariff meneruskan kata-katanya.

“Saya dah ada someone dalam hidup saya. Saya cintakan dia. Dan saya dah rancang nak kahwin dengan dia tak lama lagi.”

Sunyi. Buat permulaan Alya hanya memandang ke wajah Ariff tanpa sebarang reaksi.

Ariff kemudian menyambung ayatnya. “Saya sebenarnya tak pernah bayangkan akan berkahwin dengan awak. Janji waktu kecil dulu tu… nonsense!”

Dia seakan sedang melepaskan geram dan marah dalam satu masa. Marah pada diri sendiri kerana telah membuat janji ‘bodoh’ sewaktu kecil dahulu yang kemudian memakan diri setelah dewasa.

Namun, tanpa Ariff tahu setiap patah perkataan yang diucapkan itu cukup menikam jauh ke dalam hati Alya.

Saat itu Alya sedar bahawa budak lelaki yang pernah berjanji kepadanya sewaktu kecil dahulu memang sudah tidak wujud. Hanya dia yang mengharap sendirian selama ini.

“Saya… minta maaf.”

Ucapan Alya perlahan sambil menggenggam kedua jemarinya di bawah meja. Entah mengapa dia meminta maaf. Adakah dia yang bersalah dalam hal ini?

Ariff meneruskan bicara tanpa peduli apa yang Alya rasakan ketika ini.

“Saya dan Syazana dah lama bercinta. Kami dah merancang masa depan bersama. Saya tak nak lukakan hati dia.”

Ariff berhenti sejenak sambil memandang tepat ke mata Alya. Sebelum dinyatakan sesuatu dengan tegas.

“Dan saya juga tak nak beri harapan palsu pada awak. Saya tak mungkin akan mencintai awak, Alya. Tak akan pernah.”

Kenyataan itu benar menyakitkan. Terlafaz dari mulut lelaki di hadapannya. Namun, Alya tetap tersenyum kecil. Senyuman yang terlalu tenang walau cuma pura-pura.

“Terima kasih sebab jujur pada saya. Saya faham semua yang awak sebutkan tadi.”

Jawapan itu membuatkan Ariff sedikit terpinga. Dia menyangka Alya akan marah. Atau menangis.

Ariff menyambung. “Kalau macam tu, saya harap awak tolak pinangan keluarga kita. Saya rasa kalau awak bersuara, ibu bapa kita akan faham.”

Alya menundukkan wajah. Merenung ke cawan di hadapannya. Kalaulah semuanya semudah itu… sudah lama dia melakukannya.

“Kalau saya tolak… ibu dan abah saya akan kecewa. Mereka sangat gembira.”

Alya berhenti seketika. Dia menahan sebak yang mula memenuhi ruang dada.

“Saya… tak sanggup hancurkan harapan mereka.”

Ariff mengeluh perlahan. Gejolak rasa yang memenuhi ruang jiwanya sama seperti Alya.

“Saya juga tak sanggup kecewakan mama dan papa saya.”

Mereka saling berpandangan. Buat pertama kali mereka sedar mereka sedang berdiri di persimpangan yang sama. Cuma menuju ke arah yang berbeza. Keputusan yang harus diambil ini cukup berat.

SUASANA di kafe itu masih tenang. Perbincangan di antara dua individu itu belum tamat. Ariff menyandarkan belakang tubuhnya pada kerusi.

“So, sekarang ni macam mana?“

Alya memandang seketika ke arah tasik di hadapan kafe. Airnya jernih dan tenang. Namun, jauh di dasarnya terlalu banyak yang tersembunyi. Sama seperti dirinya saat ini. Dia menarik nafas perlahan.

“Saya ada cadangan...”

Ariff menatap ke wajah gadis di hadapannya.

“Cadangan?”

Alya mengangguk. “Kita teruskan perkahwinan tu.”

Ariff terus mengerutkan dahi. “What? Alya, awak tak faham apa yang saya jelaskan sejak tadi? Saya tak nak kahwin dengan awak.”

“Saya faham. Tapi, kita berdua sama-sama tersepit kan? Jadi, kita tunaikan impian ibu bapa kita. Cuma…”

Kata-kata Alya terhenti sebentar.

“Kita kahwin cuma sekejap. Sampai satu tempoh yang sepatutnya nanti kita berpisah…”

Kerutan di wajah Ariff bertambah. Namun, cadangan itu bagai memberi satu jalan untuk mereka berdua. Dia diam sejenak sambil mencongak sesuatu di dalam kepala. Sebelum mengangguk.

“Baik. Kita kahwin… cukup satu tahun kita berpisah.”

Satu tahun masa yang dirasakan bersesuaian. Masa yang tidak terlalu lama untuk kekasihnya, Syazana menunggu sehingga mereka berpisah.

Namun, sebaliknya Alya menggeleng. Dia ada perancangan lain yang lebih baik.

“Tak perlu setahun. Kita kahwin selama enam bulan sahaja.”

Kali ini kening Ariff terjongket sedikit.

“Kenapa enam bulan? Bukan setahun?”

“Enam bulan dah cukup.”

“Cukup untuk apa?”

Alya tersenyum. “Cukup untuk buat ibu bapa kita rasa bahagia.”

Jawapan itu kedengaran begitu ringkas. Namun hakikat sebenar hanya Alya yang tahu. Enam bulan itulah tempoh yang diberikan oleh doktor pakar neurologi yang merawatnya.

‘Cik Alya… berdasarkan keputusan MRI yang terbaru… tumor ini semakin membesar. Kami akan cuba memberikan rawatan terbaik, tetapi… kemungkinan besar tempoh yang tinggal hanya sekitar enam hingga lapan bulan…’

Suara doktor itu masih terngiang-ngiang di telinga Alya. Enam bulan. Dia sudah lama menerima hakikat itu. Dia cuma belum mampu menerima wajah kecewa dan sedih saat kedua ibu bapanya jika mengetahui perkara sebenar.

“Selepas enam bulan kita berpisah…” Alya menyambung dengan tenang.

Ariff memandang ke raut gadis di hadapannya agak lama. Dia cuba mencari maksud yang tersirat di sebalik wajah yang terlalu tenang itu.

Tiada tangisan. Tiada rayuan. Tiada harapan. Seolah-olah Alya langsung tidak kisah tentang perasaannya yang mungkin terluka.

“Ok, kalau itu permintaan awak saya tak kisah. Selepas enam bulan kita berpisah. Lebih cepat lebih bagus,” tutur Ariff bersahaja.

Bagi Alya tempoh enam bulan itu amat logik dan mencukupi. Ariff tak akan sempat jatuh cinta kepadanya. Dan nanti semuanya akan berakhir dengan baik tanpa sebarang kekesalan.

Share this novel

DHIA AMIRA.
2026-07-20 08:54:40 

sedihnya...

Rashidah Ibrahim
2026-07-20 08:18:31 

♥️♥️♥️


NovelPlus Premium

The best ads free experience