Series
2074
“Kau ni...” Dada Datin Ava rasa seakan-akan mahu meletup menahan amarah. Saat Sofia berpaling untuk melangkah pergi, Datin Ava menyentap bahu gadis itu dengan kasar sehingga dia jatuh tersungkur ke lantai.
“Kau tak reti nak cermin diri ke, hah? Kami dah jaga kau selama ni pun dah kira cukup baik! Berani kau nak menjawab cakap aku? Kami yang selamatkan kau daripada mati merempat di jalanan dengan mak gila kau tu! Kalau aku pukul kau sekalipun, ada kau kisah?”
Tiba-tiba, mata Datin Ava terpaku pada kesan merah yang jelas kelihatan di leher Sofia. Tanda itu sungguh menyakitkan pandangannya.
Seolah-olah baru menemui sebutir rahsia besar, Datin Ava mula menjerit histeria, “Wah, bagus, Sofia! Aku dah agak kau memang ada niat buruk terhadap keluarga ni. Kau memang sama macam mak kau, tahu nak menggoda lelaki saja! Kalau nak menggatal sekalipun, pergi tempat lain. Jangan malukan rumah ni! Nash itu waris tunggal keluarga dia. Kau rasa perempuan murahan macam kau ni layak ke untuk dia? Dia pandang kau sebelah mata pun tak hinginlah!”
Tamparan Datin Ava tadi sedikit pun tidak mendatangkan rasa gerun atau sedih kepada Sofia. Namun, kata-kata cacian itu sudah cukup untuk menghiris tangkai hatinya.
Meskipun begitu, Sofia mula tertawa. Dia mendengus sinis sambil membetulkan pakaian untuk menutup bahunya. Sambil menepuk-nepuk habuk pada bajunya dengan tenang, dia bersuara, “Kalau Aunty rasa saya tak layak untuk dia sampai dia pun tak sudi nak pandang saya, kenapa Aunty gelabah sangat?”
Datin Ava terdengar bunyi bising dari luar. Nash sedang berbual mesra dengan Evelyn. Bunyi tawa mereka membuatkan Datin Ava semakin gelisah. Kerana takut rahsia atau pergaduhan itu dihidu orang luar, Datin Ava merendahkan suaranya dan mendekati Sofia dengan nada mengugut.
“Jangan nak main kotor, ya,” katanya. Selepas berfikir sejenak, dia menyambung lagi. “Orang dari keluarga Dato' Henry akan datang sekejap lagi dengan anak kedua diroang, Alfie. Jangan kata aku tak pedulikan kau pula. Aku akan perkenalkan kau dengan dia nanti. Keluarga Dato' Henry tu ada nama dan latar belakang yang hebat di negara ni. Kalau kau kahwin dengan diorang, hidup kau akan senang-lenang sampai bila-bila.”
Pandangan Sofia berubah. Tentu sahaja dia tahu siapa anak kedua keluarga Dato' Henry itu.
“Aunty nak saya kahwin dengan budak cacat tu? Kononnya prihatin?” Sofia menjerit membantah.
“Kenapa? Kau tak nak?”
“Kalau Aunty nak sangat, Aunty pergilah kahwin dengan dia sendiri! Saya bukan patung yang Aunty boleh kawal sesuka hati!” Sofia pantas merentap tombol pintu.
Melihatkan keadaan itu, Datin Ava menariknya kembali dengan seluruh tenaga yang ada.
Sofia sudah hilang sabar. Dia berpaling dan menolak tubuh Datin Ava ke tepi.
Terduduk di atas lantai, Datin Ava menjerit marah, “Sofia! Kalau kau berani jejak kaki keluar dari sini, aku pastikan bapa kau robohkan kubur mak kau!”
Sofia tidak memedulikan ugutan itu lalu berlari keluar dengan perasaan terdesak.
*****
Sementara itu…
Ariel segera dipanggil pulang ke kediaman utama keluarga Dato' Albert.
Semestinya, kejadian malam tadi telah dilaporkan dengan pantas kepada datuknya, Dato' Albert sendiri, peneraju utama empayar perniagaan mereka sekaligus ketua keluarga tersebut.
Ariel tetap teguh dengan pendiriannya. Dia memandang Dato' Albert yang berada di hadapannya lalu berkata, “Tok, Mama tak faham situasi sebenar. Ariel dengan perempuan tu tak tidur sama atas dasar suka sama suka. Itu semua tak sengaja.”
“Ariel, kenapa kamu nak berdegil sangat? Fikir baik-baik. Susah sangat ke kalau kamu kahwin dengan dia? Kamu pun dah sentuh dia. Takkan tak ada rasa cinta sikit pun 'perasaan' tu?”
“Tak ada langsung!” balas Ariel tegas.
“Ariel, Atuk sangat kecewa dengan kamu.” Dato' Albert yang kelihatan tenang namun berwibawa itu memandang Ariel dengan renungan yang dingin.
Ariel menjeling Puan Amelia yang berdiri di belakang datuknya. Namun, Puan Amelia hanya menunjukkan riak wajah yang seolah-olah dia berada di pihak yang benar.
“Keluarga kita akan bertanggungjawab atas apa yang telah kita lakukan. Lagipun, dia bukan sekadar kunci untuk kamu jalani kehidupan suami isteri yang normal, tapi dia juga kunci untuk mengubati penyakit kamu tu. Kamu patut lebih rasional. Apa-apa pun, kamu dah tiduri budak tu. Takkan nak ambil kesempatan lepas tu buang macam tu saja,” kata Dato' Albert.
Ariel memandang datuknya yang sudah berusia itu dan berkata, “Tapi Ariel tak kenal pun siapa dia. Macam mana Ariel nak setuju kahwin dengan orang asing?”
“Kalau kamu tak kahwin dengan budak tu, Atuk akan pastikan kekasih kamu tu... siapa namanya? Diana, kan? Atuk akan hancurkan kerjaya dia sampai dia rasa lebih baik mati daripada hidup?” Mata Dato' Albert sangat mirip dengan mata Ariel.
Apabila dia memberi amaran, pandangannya tenang namun memancarkan kekejaman yang tersembunyi.
Ariel membalas, “Atuk tahu Ariel takkan biarkan atuk buat macam tu.”
Dato' Albert berkata, “Tahu, kamu kuat dan Atuk tak boleh kawal kamu lagi. Kamu tiga beradik memang semuanya keras kepala. Seorang jadi pengarah urusan syarikat, seorang lagi jadi selebriti popular, dan kamu... kamu nampak matang, tapi sebenarnya pemberontak. Tapi walaupun Atuk tak boleh buat apa-apa pada kamu, Atuk pasti ada cara untuk seksa kekasih kamu tu. Cubalah kalau berani.”
Rasa meluat terpancar di mata Ariel, namun pandangannya kemudian berubah menjadi tajam dan dingin.
*****
Sofia baru sahaja berlari beberapa langkah sebelum dia melihat beberapa buah kereta mewah membelok masuk ke pekarangan rumah.
Orang-orang keluarga Dato' Liam…
Sofia mahu melarikan diri, tetapi jelas sekali keluarga Dato' Liam memandang serius perkara ini. Hampir kesemua pengawal dikerahkan dan tidak lama kemudian, Sofia sudah dikepung rapat.
“Budak ni, aku buat semua ni untuk kebaikan kau juga. Tapi kau berani nak lari, ya? Pergi tangkap dan bawa dia masuk balik!”
Sofia merenung Datin Ava, menahan geram di hati untuk tidak melayangkan tamparan ke muka wanita itu. Namun, dia akhirnya tewas kerana dia sendirian menentang jumlah mereka yang ramai.
Dengan tangan terikat di belakang, Sofia dibawa masuk semula ke dalam kediaman Dato' Liam.
Seorang jurusolek datang untuk mendandan wajah Sofia sementara Datin Ava memerhatikannya dari tepi. Dia mengherdik angkuh, “Kau ingat orang macam kau ni boleh terlepas daripada aku? Kejap lagi, kau kena bersiap cantik-cantik untuk jumpa Alfie.”
Sofia mengetap gigi dan cuba bergelut, namun segalanya sia-sia.
Apabila Datin Ava melihat Sofia yang sudah siap didandan, dia berbisik di dalam hati, ‘Budak ni memang cantik bila dah bersolek. Wajah lembut dia ni cukup untuk buat mana-mana lelaki angau.’
Dia bertekad, Sofia mesti dikahwinkan dengan keluarga Dato' Henry secepat mungkin. Jika tidak, Sofia akan sentiasa berada di sekeliling Nash. Kalau Nash benar-benar jatuh cinta pada Sofia, kedudukan Evelyn akan terancam.
Tiba-tiba, seseorang di luar mengumumkan ketibaan rombongan Alfie.
Atas arahan Datin Ava, ikatan tangan Sofia segera dilepaskan dan dia ditolak ke hadapan. Melalui celah pintu, dia dapat mendengar suara-suara riuh daripada keluarga Dato' Henry.
“Kita semua tahu yang anak ketiga diorang ni anak luar nikah. Dia memang tak setaraf dengan Alfie kami, tapi dalam gambar memang nampak cantik. Lepas kahwin nanti, asalkan dia boleh bantu sambung zuriat keluarga Dato' Henry, dia akan dapat banyak kelebihan.”
‘Melahirkan anak?’ Sofia mencebik sinis. Adakah dia hanya dianggap sebagai alat untuk membiak?
Sofia melihat seorang lelaki berdiri di sana dengan susuk tubuh kecil sekadar setinggi 1.6 meter. Lelaki itu sedang tersengih-sengih sambil kepalanya terhangguk-hangguk ke sana ke mari. Seperti kanak-kanak yang tidak terurus, dia sedang leka menghisap jari-jemarinya.
Datin Ava tersenyum lalu berbisik rapat ke telinga Sofia, “Tengok tu Sofia. Itulah bakal suami kau. Hari bahagia kau bakal tiba tak lama lagi.”
Sudah tentu Sofia dapat menghidu nada bongkak dan penghinaan dalam kata-kata Datin Ava.
Tiba-tiba, Alfie diserang tantrum. Sambil meraung kuat, dia meluru gila dan mengamuk ke arah orang di sebelahnya.
Suasana di dalam rumah terus menjadi kecoh dan huru-hara. Orang-orang keluarga Dato' Henry dan keluarga Dato' Liam semuanya sibuk mengerumuni lelaki itu.
Datin Ava tergamam. Melihat cara Alfie meronta-ronta begitu menjijikkan sehingga dia berasa mual. Dalam hatinya, dia rasa bersyukur. Nasib baik Sofia yang kena kahwin dengan dia, bukan Ella. Kalau tidak, memang dia boleh mati kerana makan hati.
Dia kemudian berpaling dan menyedari tiada sesiapa di sisinya…
“Sofia? Mana Sofia pergi?! Kejar dia! Tangkap dia dan belasah dia cukup-cukup!” Mata Datin Ava berubah menjadi liar dengan wajah yang berkerut seribu.
Sofia sendiri tidak tahu bagaimana dia berjaya melepaskan diri dalam kekecohan itu. Dia hanya tahu bahawa apabila dia akhirnya sendirian, dadanya terasa seakan-akan mahu pecah kerana terlalu banyak berlari.
Namun tepat pada saat itu, dia terlihat sebuah kereta mewah yang sedang parkir santai di bahu jalan.
Langkah Sofia terhenti. Di sebalik cermin kereta yang perlahan-lahan diturunkan, seraut wajah Ariel yang dingin dan penuh penghinaan muncul di depan matanya.
Lelaki itu bersuara dingin, "Masuk cepat. Ada benda aku nak bincang dengan kau."
Sofia mengangkat wajahnya dengan ragu-ragu. "Macam mana kau boleh tahu aku kat sini? Kau intip aku ke?"
Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam perut kereta, Sofia mencuri pandang wajah lelaki yang tampak sempurna itu. Dia terpaku seketika melihat ketampanannya. Sayang seribu kali sayang, rupa paras yang elok itu langsung tidak sepadan dengan personalitinya yang cukup menjengkelkan.
Namun, lelaki itu sedikit pun tidak menoleh ke arahnya. Dia sekadar memandang ke luar tingkap dengan gaya angkuh. "Berapa banyak duit yang aku perlu bayar supaya kau setuju kahwin dengan aku?"
"Apa?" Sofia terpinga-pinga. Dia salah dengar ke?
Share this novel