Bab 2

Romance Series 2074

“Mama, perempuan tu gunakan taktik kotor! Ariel sembuh ni langsung tak ada kena-mengena dengan dia lah!” tegas Ariel, matanya merenung tajam.

Puan Amelia membalas renungan itu tepat ke dalam anak mata anaknya. “Ariel ingat Mama tak pernah cuba cara tu sebelum ni? Tak pernah berkesan pun! Setiap kali Ariel diserang alahan, kita terpaksa panggil pakar berulang kali. Tapi kali ni, Ariel boleh sentuh dia. Malah, orang-orang Ariel sendiri cakap Ariel nampak ‘puas’ sangat dengan dia, sampai berkali-kali sepanjang malam.”

Ariel menggenggam penumbuk di atas meja kaca. “Mungkin ubat kali ni lain sikit. Apa-apa pun, Ariel takkan kahwin dengan perempuan gila yang tak ada maruah tu. Mama lupakan sajalah niat Mama.”

*****

Sofia berjalan di sepanjang kaki lima sambil memerhatikan keadaan dirinya yang serabai. Dia menyumpah seranah di dalam hati.

’Penjual ubat tak guna!’

Sejak awal lagi dia sudah rasa ada yang tak kena semasa membeli ubat itu. Dia cuma minta ubat tidur, bukannya ubat perangsang! Sekarang, tengoklah apa yang lelaki itu dah buat pada dia. Sofia masih terasa pedih di seluruh badan setiap kali teringat kejadian semalam.

Kesakitan yang mencucuk di bahagian bawah tubuhnya membuatkan memori ngeri itu berputar kembali. Lelaki kejam itu 'mengerjakannya' berkali-kali sehingga dia terkulai layu dan langsung tidak ingat apa-apa selepas itu.

Satu-satunya perkara yang dia ingat sebelum malam jahanam itu berlaku…

“Sofia, tengoklah diri kau tu. Ada hati nak jadi selebriti? Lebih baik kau dengar cakap mak tiri kau. Dia akan carikan keluarga yang baik untuk kau kahwin. Anak luar nikah tetap anak luar nikah. Kau akan selamanya duduk di kelas bawah.”

“Sofia, Mama buat semua ni untuk kebaikan kau. Kakak sulung kau, Evelyn, sekarang dah jadi top celebrity. Kakak kedua kau pun top producer. Tapi kau ni, dah bertahun-tahun dalam industri pun masih lagi suam-suam kuku. Tak ada masa depan!”

“Sofia, pihak pengurusan dah bagi watak tu kepada orang lain. Kami rasa imej kamu tak sesuai.”

Sofia tersenyum pahit. Jika mereka tidak mendesaknya sehingga ke jalan buntu, dia tidak akan tergamak merancang taktik kotor itu. Dia cuma mahu bertahan hidup dalam industri, tapi sekarang... semuanya hancur.

Sofia bergegas ke pejabat syarikat pengurusannya. Walau apa pun yang terjadi, dia tidak boleh lupa yang dia ada sesi uji bakat hari ini.

Melihat kelibat Sofia, wajah Puan Olivia terus berubah kelat. Dia menjeling Sofia dengan tajam. “Oh, datang juga akhirnya. Ingatkan kau dah tak peduli pasal audition ni!”

“Maaf, Puan Olivia. Saya lambat sikit.” Sofia cuba menarik jaketnya untuk menutup kesan-kesan pada pakaian.

Namun dengan sekali pandang, Puan Olivia sudah perasan kesan merah pada leher Sofia. Dia mendekat lalu menyentak kolar baju Sofia untuk memeriksa dengan lebih teliti. “Kita nak jumpa pengarah sekejap lagi. Aku tak kisah pasal kehidupan peribadi kau, tapi kalau kau masih nakkan watak ni, baik kau pergi bersihkan diri sekarang. Jangan sampai nampak murahan macam pelacur!”

Sofia menunduk memandang dirinya sendiri. Baru dia sedar kesan-kesan yang ditinggalkan lelaki itu tersangat jelas dan memalukan.

‘Lelaki tak guna. Dia memang binatang!’

Sofia berkali-kali tunduk memohon maaf. Sambil membetulkan pakaiannya, dia berlari ke bilik air. Di dalam hati, dia menyumpah Ariel habis-habisan. Lelaki itu telah menghancurkan satu-satunya peluang untuk dia bangkit!

Tiba-tiba, telefonnya berdering. Sofia menjawab dengan nada geram.

“Helo?”

“Sofia, kau pergi mana malam tadi?!” Suara Dato' Liam kedengaran sangat lantang dan menyinggahkan amarah di hujung talian.

Dato' Liam jarang menelefonnya kecuali jika ada urusan penting. Selama bertahun-tahun, lelaki itu hanyalah bapa pada nama sahaja, namun Sofia tidak boleh mengabaikannya begitu sahaja. Bagaimanapun, dia masih terpaksa menumpang di rumah agam keluarga Dato' Liam.

Teringat kejadian malam tadi, Sofia diserang rasa bersalah. “S-saya ada urusan malam tadi.”

“Aku tak peduli kau sibuk apa pun! Kakak kau, Evelyn, nak bincang pasal pertunangan dia dengan keluarga Dato’ Martin hari ni! Berani kau tak balik rumah semalaman?!” herdik Dato' Liam.

Ya, Evelyn nak bertunang, tapi apa kaitannya dengan dia? Sofia mendengar leteran bapanya dengan tenang tanpa rasa sedih sedikit pun. Dia sudah lali dimaki hamun sejak bertahun-tahun lalu.

“Aku tak kira. Kau kena balik sekarang juga! Kalau aku dapat tahu kau tak balik, aku pindahkan kubur mak kau, biar kau tak boleh nak melawat dia lagi!”

Dato' Liam terus memutuskan talian.

Di Kediaman Keluarga Dato' Liam

Datin Ava memerhatikan suaminya meletakkan gagang telefon. Dia bertanya dengan nada tidak sabar, “Dia balik tak?”

“Dia mesti balik,” jawab Dato' Liam ringkas.

Datin Ava mengusap dada suaminya untuk meredakan kemarahan lelaki itu. “Abang, abang mesti paksa dia supaya dia setuju dengan pinangan ni. Saya terkejut sangat bila keluarga Dato' Henry tiba-tiba hantar rombongan merisik. Ella tu budak baik, cantik, takkanlah saya nak biarkan dia kahwin dengan anak cacat Dato' Henry tu? Saya dengar budak tu terlantar, makan minum dengan berak kencing pun kena ada orang uruskan. Mereka cuma nak Ella jadi hamba saja! Sofia tu pula cuma anak luar nikah. Siapa lagi yang patut berkorban kalau bukan dia?”

“Jangan risau,” kata Dato' Liam. “Saya pun tak sampai hati nak biarkan Ella menderita. Tapi Sofia tu pun anak saya juga...”

“Oh, jadi abang nak Ella yang pergi cuci najis orang? Kalau macam tu, abang memang tak ada hati perut! Dulu masa abang bawa balik anak luar nikah ni, saya yang berlapang dada izinkan dia tinggal sini dan besarkan dia. Sekarang dia dah besar, takkanlah tak boleh nak balas budi sikit? Dengan taraf dia yang macam tu, dapat kahwin masuk keluarga Dato' Henry yang kaya-raya tu pun dah kira satu penghormatan besar buat dia!”

“Yalah, yalah.” Melihat Datin Ava sudah mula mengungkit kisah lama, Dato' Liam segera memotong. “Saya akan paksa dia. Dia akan kahwin juga nanti.”

Dato' Liam memang sempat teragak-agak, namun setelah difikirkan semula, memang tiada pilihan lain selain Sofia. Mereka tidak boleh menyinggung perasaan keluarga Dato' Henry. Walaupun anak mereka cacat, mereka golongan jutawan yang berpengaruh. Mengahwinkan Sofia ke sana boleh dianggap satu jalan penyelesaian yang adil bagi perniagaannya.

Tiba-tiba, pembantu rumah memanggil dari luar. “Dato', Datin... Cik Sofia dah balik.”

Pembantu rumah itu berbisik perlahan kepada Sofia sebaik sahaja gadis itu melangkah masuk, “Dato' dan Datin tengah tunggu di dalam. Cik Evelyn tengah bincang pasal pertunangan hari ni, jadi... Encik Nash pun ada sekali.”

Sofia tergamam. “Nash ada dekat dalam?”

“Ya, dia baru sahaja masuk tadi.”

Dengan perasaan yang tiba-tiba berdebar, Sofia melangkah masuk ke dalam rumah. Namun, langkahnya mati secara tiba-tiba di ruang legar. Kelihatan Nash dan Evelyn sedang berdiri rapat di sebalik tirai besar. Mereka kelihatan begitu intim, seolah-olah bibir mereka hampir bertautan.

Sofia terpaku di situ, tidak mampu bergerak. Saat dia cuba untuk berpusing dan melarikan diri, satu tamparan hinggap di pipinya sehingga dia hampir tersungkur! Ketika pipinya terasa pijar, Datin Ava merentap lengannya dan mengheretnya masuk ke dalam sebuah bilik kosong.

Setelah mengunci pintu, Datin Ava mencerlung tajam ke arah Sofia. Dia menuding jari dengan penuh benci. “Perempuan tak tahu malu! Kau ingat aku tak nampak apa kau cuba buat tadi? Itu bakal abang ipar kau! Tak malu ke nak goda bakal suami orang, hah?!”
Sofia berdiri kaku. Sambil memegang pipinya yang mula kemerahan, Sofia melepaskan senyuman sinis memandang ibu tirinya. “Aunty, kalau saya betul-betul nak goda dia... saya takkan tercegat tengok dari jauh macam tadi.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience