BARU sahaja tiba di rumah selepas waktu sekolah, Siti Mariam dikejutkan dengan cerita yang kurang enak daripada Hasmawati. Selepas meletak beg, Siti Mariam
keluar semula untuk berjalan di tepi pantai.
Terpukau melihat panorama senja, Siti Mariam leka di situ. Merah, jingga dan kelabu mengapung di kaki langit, seumpama lentera senja menebarkan warna. Terbias cahayanya di permukaan air laut, menjadikan kocakannya berkilau memukau seperti permata. Begitu mempersona.
Duduk di sebatang pohon tumbang, Siti Mariam mencapai ranting lalu mengais-ngais pasir pantai. Terbayang satu wajah di pelupuk mata, lalu dia menulis namanya berserta gelaran yang di beri.
Welson The Giraffe. Siti Mariam melukis gambar Fido Dido, agak tinggi dengan rambut jambul ke atas. Asyik dengan lakaran itu, Siti Mariam senyum melayan kepayang!
“Ehem... Buat apa tu?”
Siti Mariam terperanjat menoleh ke belakang. Di situ, Halim tersenyum berdiri tidak jauh dari Siti Mariam. Spoil! umpatnya dalam hati. Ada perasaan meluat yang tersembunyi.
Menurut Hasmawati, Halim sengaja menceritakan kepada rakan-rakannya mengatakan lepas SPM nanti, mereka akan bertunang. Baginya, itu adalah perkara mengada-ada dan menipu!
“Tak adalah, abang. Yam cuma tengok matahari terbenam,” jawab Siti Mariam kaku masih memegang ranting kayu. Membungkam, berperang dengan perasaan sendiri.
Walau ada kanak-kanak bermain di sekitar itu, dia tetap tak sedap hati. Tentang pandangan orang, melihat mereka berdua di situ. Siti Mariam bengang!
“Yam balik dulu, Abang Halim.” Dia berdiri mencapai basikal.
“Masih awal lagi, Yam.” Dengan suara bergetar Halim berkata dengan sorotan mata seakan-akan kecewa. Timbul perasaan bersalah melihat Halim dalam keadaan begitu, belas melihat Siti Mariam berdiri sekejap.
“Tak baik kita berdua berada di sini, abang. Apa orang kampung fikir. Kalau ayah Yam tahu, teruk Yam nanti,” katanya manis mengendurkan keadaan, sambil menolak basikal ke depan.
“Yam ada terima surat abang tak?”
“Ada... Wati yang beri.” Dia berhenti lalu menoleh ke arah Halim.
“Apa jawapan Yam?
Siti Mariam tambah meluat, Halim seperti mendesak. “Abang Halim, Yam masih sekolah. Yam tak cantik pun! Abang Halim sudah bekerja, carilah kawan pejabat yang lagi cantik dari Yam.” Siti Mariam menjawab sejujurnya.
“Tapi, Yam yang paling cantik di mata abang.” “Abang Halim... hati Yam belum terbuka untuk bercinta sekarang ini. Yam nak tumpukan pada pelajaran. Lagi satu, siapa yang bertunang hujung tahun ini dengan abang? Kalau pun Abang Halim ada niat, Yam tak akan setuju.” Siti Mariam menggelengkan kepala. “Yam minta maaf, abang.” Siti Mariam berlalu mengayuh basikal meninggalkan Halim besendirian.
Sampai di rumah, Siti Mariam mencapai tuala dari ampaian dan terus menuju ke bilik mandi. Tak putus doa dalam hati, semoga kejadian tadi tidak sampai ke pengetahuan ayah dan abangnya. Dalam hatinya amat terasa jengkel dan kesal dengan Halim!
“Yam!” Agak kuat suara ayah Siti Mariam dari arah dapur.
“Ya, ayah...” Berdetup jantung Siti Mariam, agak pantas bingkas menuju dapur.
“Borang asrama dah hantar?” Ayahnya bertanya datar. “Su… sudah ayah, tadi pagi.” Agak gugup Siti Mariam menjawab.
Risaukan sesuatu Siti Mariam memegang daun pintu. Terbayang dia pernah melayang dapat pelempang ayahnya, ketika masih berada di sekolah rendah dulu dengan kesalahan yang dia sendiri tidak tahu. Teringat birat di paha dan belakang, habuan rotan ayahnya ketika dia mengikut kawan-kawan mandi air laut. Kejadian itu menghantui sehingga kini, membuatkan Siti Mariam takut kelihatan bersalah di mata ayahnya!
“Eloklah kalau dapat tinggal asrama, lagi senang ulang-alik ke sekolah. Masa dan kos dapat dijimatkan, boleh menumpukan sepenuhnya pada pelajaran,” ujar ayahnya terus kepada poin.
“Ya, ayah,” jawabnya mula berasa lega. MALAM kian kelam dan hening. Siti Mariam masih terkebil-kebil. Entah mengapa, dia mula merasa kesunyian. Ingin mencuba merasa ada pasangan seperti kawan-kawannya yang lain.
Tapi tak mungkin Abang Halim, spontan Siti Mariam mencebik bibir.
Welson! Menjeling pun tidak, ada senyum pahit ketika membayangkan wajah itu!
Menerawang jauh khayal mencari putera idaman. Entah detik jam berapa Siti Mariam terlelap semalam, memikirkan siapakah Prince Charming yang bertakhta di hatinya nanti!
Cuti pertengahan semester bermula. Hari ini Siti Mariam mengikut neneknya ke sawah.
“Laju langkah tu, perlahanlah sikit Mak Utih!” Mak Semah mengusik, ketika melihat Siti Mariam bersama neneknya lalu depan rumahnya. Mak Semah memang ramah orangnya.
“Tak ke sawah hari ini, Semah?”
“Sekejap lagi, anak dara tu jaga baik-baik ya... Halim ni dah angau dah ni.”
Siti Mariam memandang sekilas ke arah Mak Semah, kelihatan Halim di situ berselindung di balik langsir.
Pandailah main sembunyi-sembunyi, ala-ala lakonan Hindi! Dia berkata dalam hati.
“Kami tumpang lalu dulu ya...” Mak Utih minta diri. Sesampai di dangau, Siti Mariam mengemas barang yang dibawa tadi. Tengah menyiapkan makan tengah hari, terdengar suara dari arah pangkin.
“Apa hal susah-susah bawa semua ni?”
“Tak susahlah nek, kebetulan ada jual kuih dekat jalan tadi.”
Siti Mariam mengenali suara itu, suara Halim. Halim datang, Siti Mariam kurang senang!
“Marilah... kita minum kopi dulu,” ajak Mak Utih kepada Halim.
“Yammm, ni ha! Halim ada bawa kuih. Marilah turun minum sama-sama, bawa cawan sekali.” Aduhailah nenek! rungut Siti Mariam perlahan. Siti Mariam mengambil cawan dan turun menuju pangkin lalu meletakkan cawan di situ. Dia sempat melirik sekilas, Halim tersenyum menatap penuh minat.
“Yam tak ikut minum sekali ke?”.
“Tak, nek... Yam naik ke atas dulu ya… nek, Abang Halim.” Dia minta diri naik ke atas semula.
Kehadiran Halim banyak meringankan kerja-kerja Mak Utih. Selalunya, Mak Utih akan mengupah orang, untuk membaiki permatang sawah. Kali ini, Mak Utih dapat berjimat tidak mengeluarkan kos!
“Terima kasih ya Halim. Halim banyak mudahkan kerja nenek hari ini,” kata Mak Utih ketika sama-sama berjalan balik menuju rumah.
“Tak banyak mana pun yang Halim dapat buat, nek,” jawab Halim terbatuk.
“Barang-barang tu biar abang yang angkat, Yam.” Halim menghulurkan tangan meminta bakul yang sedang dijinjing oleh Siti Mariam.
“Terima kasih.”
Halim menyambut bakul dari tangan Siti Mariam sambil mengenyit mata. Siti Mariam terlopong kehairanan campur geram. Depan neneknya Halim boleh buat macam itu. Berani sungguh!
Sepanjang perjalanan pulang, Halim dan Mak Utih tidak putus-putus ceritanya. Siti Mariam melangkah di belakang tanpa menghirau apa butiran cerita mereka.
Sudah menjadi tradisi di kampung Siti Mariam, setiap malam bulan mengembang yang jatuh pada malam jumaat akan di sambut dengan kenduri doa selamat dan kesyukuran. Penduduk kampung akan mengadakan jamuan di pekarangan surau.
“Yam, buah hati Yam datang,” bisik Wati menoleh ke pintu pagar surau. Spontan Siti Mariam turut menoleh. Tersungging seulas senyum di bibir Halim, lalu naik ke surau bersama-sama jemaah lelaki lain.
“Lawalah buah hati Yam, dari pasenteren mana dia mengaji dulu?”
Pinggangnya disiku, memang penyakat nombor wahid!
“Ini hadiah buah hati kau.” Siti Mariam mencubit geram paha Wati, agak malang Wati terlewat mengelak.
“Aduhhh.” Wati mengeluh sambil tertawa.
Dalam diam dia mengakui Halim nampak menarik dengan berpakaian sebegitu, berbaju Melayu, berkain pelekat dan berkopiah putih. Jauh di sudut khayal, dia membayangkan Welson memakai kopiah!
Isy... Agaknya aku dah sasau. Sejak bila kopiah ada di rumah mereka. Dia menghentikan lamunannya, tersenyum mengetap bibir. Mujurlah Wati tak perasan!
Share this novel
Maaf ye, lambat reply trlepas pandang bhg ini ada ruangan komen (saya baru). dpt tahu, tekan unlock then pilih method byr guna prepaid atau postpaid kita, itu yg saya prnah buat. sebenarnya, dlm tu ada bnyk pilihan cara utk beli coin jg, minta maaf ye.. kita bole explore ruangan itu. Terima kasih bnyk2 sudi singgah baca novel saya. :)
mcmana nak dpt coin tu ye