BAB 1

Romance Completed 88915

JERIH menahan mual yang dirasa, akhirnya Siti Mariam termuntah jua. Tumisan bawang masakannya sendiri menjadi musuhnya kini. Usia kandungannya telah memasuki bulan ke empat, namun alah pada bau-bau masakan masih belum hilang. Sambil menekup hidung, kerja memasak diteruskan juga.

Di dalam bilik pula, Hilmi sedang membersihkan kipas yang mula berhabuk. Sudah menjadi rutin bagi Hilmi membantu isterinya menyiapkan kerja-keja rumah. Menyapu, membasuh, mahu pun mengurus bunga-bunga yang ada di halaman. Hari ini fokusnya hanya di bilik. Selesai membersihkan kipas, dia membuka langsir. Tidak ingin mengganggu isterinya di dapur, dia berusaha sendiri mencari langsir ganti dalam almari. Hampir keseluruh ruang almari diterokainya, namun langsir yang dicari belum ditemui.

Hilmi duduk di birai katil sambil memandang almari yang diselongkarnya tadi. Matanya tertumpu pada anak kunci yang tergantung pada laci almari paling atas. Mungkin isterinya terlupa untuk menguncinya semula.

Mungkin langsir tu ada dalam ni, berkata sendiri.

Berdiri.

Hilmi menarik laci besar itu dengan berhati-hati. Agak berat, mungkin terlalu banyak barang-barang yang ada di dalamnya. Dia tahu, isterinya tidak suka membuang barang-barang lamanya. Buku-buku tingkatan 5 pun masih disimpan dalam kotak bersama pen yang telah kehabisan dakwat. Isterinya kata, itu adalah barang-barang kesayangannya. Tidak hairanlah, kalau laci ini berat. Entah apa lagi yang ada di dalamnya? Hilmi tersenyum sendiri, memikirkan perangai pelik isterinya itu.

“Segala cawan, pinggan dan botol-botol pun ada!” Hilmi tersengih.

Hilmi mengambil botol kaca, di situ tertulis nama Hasmawati. Melihat pinggan plastik yang telah terbakar tepinya, tertulis nama Anisa. Bingkai gambar yang dibuat dari kotak, tertulis nama yang banyak. Dia tidak kuasa membaca satu per satu, agaknya itu adalah hadiah daripada kawan-kawan. Hilmi terpandang sebuah kotak cantik berwarna merah jambu.

Tertulis 'Welson The Giraffe, ILY'

Apa pula ni? Tertanya dalam hati membawa kotak itu menuju ke katil.

Hilmi tercengang. Berubah wajahnya apa bila kotak itu terbuka, terdapat sekeping gambar lelaki dan beberapa keping surat ada di situ. Gementar tangannya memegang gambar tersebut.
Di belakang gambar tertulis, Aku akan menyayangimu sampai bila-bila dan tarikh di situ tercatat sama dengan hari pernikahan mereka. Itu adalah tulisan tangan isterinya! Ditatapnya lama, lelaki bermata sepet itu kelihatan tinggi dan sasa.

Dadanya berombak. Dibukanya satu per satu surat-surat yang telah lusuh itu. Kesan lipatan surat telah disoletep menandakan ia terlalu kerap dibaca. Dengan hati yang terhiris, Hilmi membaca. Melalui tulisannya, lelaki ini nampak baik, semangat, periang dan lucu namun bukan puitis. Tapi baginya, tidak patut isterinya menyimpan
semua itu lagi!

Sementara di dapur Siti Mariam telah menyiapkan makan tengah hari. Selesai menghidang makanan, dia ke bilik untuk mendapatkan Hilmi.

“Abang… jom makan,” katanya lembut sambil menyelak langsir pintu.

Tercegat kehairanan, Siti Mariam melihat suaminya menangis di birai katil.

“Kenapa abang?”

Siti Mariam merapat lalu mengusap belakang suaminya penuh belas. Lalu matanya tertancap pada helaian-helaian kertas yang ada di tangan. Surat-surat lama Welson!

“Surat-surat dan gambar ini kenapa masih simpan? Hah!”

Merah menyala penuh amarah mata Hilmi memandang isterinya. Tergamam namun tetap membungkam di birai katil, Siti Mariam menunduk. Belum pernah suaminya meninggikan suara begitu.

“Kita dah kahwin sayang. Lupakanlah...” Hiba, ada getar di hujung suaranya!

Tiba-tiba Hilmi bangkit lalu mengepal semua helaian surat-surat itu menjadi bulat. Pantas tangan Siti Mariam mencapai beberapa helai yang jatuh di lantai, namun suaminya merampas semula. Kertas terlepas, Siti Mariam terundur ke dinding. Cemburu dan amarah telah menguasai akal suaminya ketika ini!

“Abang! Janganlah!” Siti Mariam merayu, cuba merampas semula gambar dan surat-surat itu sambil mengekori suaminya menuju dapur.

Hilmi mengambil sekotak mancis kayu, lalu membakar kesemua surat itu di dalam singki. Dia berpusing tepat di hadapan isterinya lalu mengoyak gambar itu sehingga menjadi kepingan kecil. Dilepas ke bawah gugur seperti daun!

Tidak berdaya, Siti Mariam hanya mampu memandang dan menangis.

“Abang…” suaranya tersekat di kerongkong, terasa luruh segenap perasaan!

Enam tahun surat-surat dan gambar itu ada padanya. Ketika masa terluang dia akan membacanya, menghayati seakan-akan Welson bercerita di depan. Tiada rayuan yang melalaikan, hanya gurau yang berselit pengajaran. Remuk hatinya seperti remuknya surat-surat itu. Dan di singki itu, semua jadi debu. Jiwanya terasa nanar, perlahan matanya berpinar! Siti Mariam rasa pening lalu berpaut pada meja namun terjatuh juga. Akhirnya dia terduduk tidak sedarkan diri.

Hilmi yang mendengar bunyi jatuh lalu berpaling ke belakang. Penuh rasa bimbang tubuh isterinya diangkat dan dibaringkannya di atas katil. Di sapunya dengan air dari ubun-ubun ke hingga ke dagu. Isterinya membuka mata memandang kehairanan.

“Tadi, sayang pitam.”

Hilmi bersuara menatap wajah isterinya dengan penuh perasaan belas sambil membelai ubun-ubunnya dengan hujung jari.

“Maafkan abang.”

Siti Mariam diam. Dia tahu kesalahan itu banyak terpikul di bahunya.

Seandainya Abang Hilmi tidak menemui ayah... Akalnya berbisik pula

Allah beri apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu. Dia menutup wajahnya dengan kedua-dua belah tapak tangan, kini tiada lagi gambar dan surat-surat itu! Dia teresak semula.

Hilmi menarik dan menyandarkan kepala isterinya ke bahu…
Lama terdiam isterinya memecah kesunyian “Abang dah makan?”

“Belum, makanan atas meja tadi abang letak bawah tudung saji.”

Perlahan Hilmi bangun, menuntun tangan isterinya ke meja makan. Membuka tudung saji, mereka makan senyap tidak seperti selalu. Jam di dinding telah menunjukan pukul 3.00 petang.

“Ini dah jadi makan petang, bukan makan tengah hari lagi.” Hilmi bergurau memecah kesunyian.

Dalam keadaan yang masih lemah, Siti Mariam hanya tersenyum memandang suaminya.

Malam itu, Siti Mariam awal masuk tidur. Tidak seperti selalu menemani suaminya menonton televisyen. Terkulat-kulat matanya memandang kipas berputar. Akhirnya, terlelap.

“Sayang... bangun! Sayang meracau…”

Dia terjaga apabila terasa bahunya digoncang.

“Ya Allah… Badan sayang panas, sayang demam ni!” Dada Siti Mariam turun naik, mengah. Suaminya datang, memegang cawan dan Panadol di tangan.

“Sayang minum ubat ni ya.”

Dengan terketar-ketar, Siti Mariam mengambil cawan dan Panadol dari tangan suaminya. Namun disebabkan bimbang keselamatan janin, Panadol ditolak ke tepi. Dengan sekali teguk, air dalam cawan habis tidak bersisa. Perih tekaknya terasa kering. Kepalanya berdenyut, dia baring semula. Suaminya meletakkan tuala basah di dahinya. Sehingga dia tertidur. HILMI mengejutkan isterinya dengan mencium dahi. Ini adalah kebiasaannya dari hari pertama dia bergelar suami. “Macam mana rasa pagi ni?” Hilmi tersenyum tatkala melihat isterinya menggosok-gosok mata.

“Kepala tak sakit lagi, cuma tekak yang perit.” Dengan suara parau, Siti Mariam menjawab sambil mengurut leher.

Siti Mariam menyentuh dahi, ada plaster koyok terlekat. Dia tidak sedar masa bila suaminya menampal di situ. Dia bingkas bangun menuju ke bilik air apabila suamiya kelihatan telah membentangkan sejadah.

Usai sembahyang, air matanya mengalir lagi. “Abang… Yam minta maaf.” Dicium tangan suaminya

lama dari kebiasaan. Teresak di situ dia masih keliru apa yang dia tangiskan. Rasa bersalah atau rasa kehilangan pada tanda kenangan yang disimpannya selama ini.

“Tak apa sayang… abang dah maafkan, abang juga minta maaf berkasar pada sayang semalam.”

“Sudahlah… kalau sedih jangan banyak air mata, begitu juga kalau gembira jangan banyak ketawa. Hidup kita bukan untuk berlama-lama, penghujung kita di akhirat sana. Negeri abadi kita.” Suaminya selalu ulang ayat ini, apabila dia tertangkap selalu menangis di awal-awal perkahwinan mereka dulu.

“Hari ini kita ke klinik ya.”

“Tak perlulah abang… Yam dah mula rasa sihat, mungkin cuma perlu banyak minum air dan Yam boleh minum madu juga.” Siti Mariam menjawab.

“Sayang pasti? Suaminya meminta kepastian.

“Ya, abang.” Siti Mariam mengangguk.

Pasangan suami isteri itu duduk menyandar di tepi katil memandang dinding.

“Semalam… Sayang meracau sebut nama lelaki mata sepet tu lagi.” Suaminya bersuara tersekat. Parau!

Siti Mariam diam, tunduk memicit jari-jari kaki. Dia faham ada nada cemburu di hujung suara suaminya. Dia mengerling sekilas, wajah suaminya tenang tidak seperti
semalam.

“Sampai bila abang bersaing dengan bayangnya? Abang tahu, soal hati tak boleh dipaksa. Mungkin silap abang juga, menggunakan ayah mencapai tujuan memiliki sayang dulu. Tapi… sayang tahu kan, jodoh itu ketentuan Tuhan. Segala apa yang ditakdirkan, itu adalah yang terbaik bagi kita. Kalau kita mempertikaikan ketentuan Tuhan, bermakna kita telah mempertikaikan ke Esaan-Nya. Tauhid kita boleh goyah!” Siti Mariam diam, tunduk menguis-uis tikar sembahyang yang masih belum dilipat.

“Abang tahu, sayang arif bab hukum dalam munakahat. Sayang banyak belajar tentang ini semua dulu. Memuliakan suami itu keutamaan isteri selagi suami tidak melanggar hak isteri dan selagi berada dalam syariat yang tepat, betul kan? Jadi abang harap, sayang jangan buat perkara yang boleh mencetuskan perbalahan antara kita.” Tersenyum, namun bersuara tegas sambil memegang pundak isterinya Hilmi bersuara.

Siti Mariam terkedu. Suaminya tidak pernah tahu, dia pernah bertandang dalam istikarahnya!

“Sayang pernah jawab surat abang dulu, sayang ada tulis, maaf hati ini telah dimiliki sesorang. Sayang ceritalah, macam mana orangnya si sepet ni.”

“Kalau Yam cerita, abang tak cemburu?” Siti Mariam melihat ada kesungguhan di mata suaminya.

“Ya… sayang ceritalah. Abang juga mahu tahu, kenapa dia begitu istimewa pada sayang, dia yang telah memiliki hati sayang.” Suaminya tertawa, mengimbas cerita dua tahun lepas.

Siti Mariam berfikir sejenak sebelum mula bercerita. “Welson tu... orangnya tinggi lampai. Kalau lalu pintu, kepalanya akan tunduk sedikit.” Siti Mariam

senyum mengerling suaminya.

“Dia ahli sukan, main ragbi dan bola tampar. Kadang- kadang waktu petang Yam akan tengok dia main bola tampar dari beranda asrama. Sekali dia spike, berdesup bola merejam gelanggang lawan, abang.” Seperti teruja Siti Mariam menyambung.

Melihat isterinya seakan-akan riang bercerita, Hilmi mengangguk senyum.

“Welson tu baik abang. Empat tahun kami bercinta tak pernah ada daring-daring, walau hujung kuku Yam dia tak pernah sentuh. Dia amat menghormati perempuan. Walau berlainan agama, bab agama kami tak pernah jentik. Tapi… Yam pernah masuk gereja dan membaca injil juga buku-buku rohani. Dalam surat-suratnya mesti ada kata semangat dan dia kelakar. Dia beri kesan yang baik dalam hidup Yam.” Siti Mariam diam.

Cuma aku tewas meneka tingkah Welson. Aku tak faham situasi, lalu merasa aku diabaikan! Mendengar kata orang, menjadikan aku keliru. Dan aku… bicara hanya di hati Siti Mariam. Matanya berkaca, semampu mungkin menahan air mata.

“Kenapa diam? Sambunglah lagi. Tengah excited tu, abang lihat mata sayang bercahaya penuh ceria ketika bercerita tadi.” Sinar mata yang kelihatan ikhlas, suaminya tertawa memperlihatkan baris giginya yang putih.

“Lagi satu… abang nak tahu, masuk gereja, baca injil dan buku-buku rohani itu untuk apa?” Kali ini suaminya memandang tajam menatap.

Menyesal rasanya cerita panjang, Siti Mariam berdiri.

“Sudahlah abang,” pintanya.

“Okey sayang, rehatlah dulu… baby pun nak rehat.” Hilmi bangun tersenyum menyapu-nyapu perut isterinya yang masih rata. Siti Mariam mendiamkan diri, terasa senyuman suaminya seperti mengejek!

Siti Mariam melipat kain telekung dan tikar sembayang lalu memasukkannya ke dalam almari.
Membuka laci, rawan hatinya apabila gambar dan surat-surat itu tiada lagi. Membuka laci yang paling bawah, laju tangannya mencapai satu bungkusan. Mawar pemberian Welson yang dikeringkannya tatkala ia mula layu dulu, masih di situ. Siti Mariam membawa bungkusan itu ke dada, masih ada tinta rindu yang bertanda. Sebak!

“Sayang, jom sarapan. Abang buat cekodok.” Hilmi masuk, langsung menuju cermin menyikat rambutnya.

“Kejap, abang…”

Terperanjat, Siti Mariam memasukkan bungkusan mawar kering itu ke dalam lipatan kain telekung.

Hilmi membancuh susu, lalu meletakkanya di depan isterinya.

“Sedap abang buat cekodok.” Siti Mariam memuji tersenyum memandang suaminya.

“Tengok oranglah...” Hilmi mengangkat kening sambil tertawa.

“Hari ini abang masak, sayang rehat.” Tulus tatapan mata Hilmi.

Selesai sarapan, Siti Mariam ke beranda. Tidak betah diam, Siti Mariam menyapu dan membersihkan kawasan halaman. Sekali sekala terdengar suara gurauan dan ketawa dari perhentian bas depan. Kelihatan murid-murid sekolah memakai uniform menengah ada di situ. Siti Mariam tersenyum… mengimbas zaman ketika sebaya mereka dulu.

“KENAPA Yam pindah sekolah?” Mata Timah berkaca. Hanya dia yang tahu tentang perpindahan Siti

Mariam ke sekolah lain. Sepanjang tempoh kelas hari itu, Siti Mariam hanya mendiamkan diri. Melewati pagar hari terakhir, tanpa dipinta ada air jernih yang mengalir. Siti Mariam menangis!

Selamat membaca semua :)

Share this novel

Masrinah Masrah
2023-03-04 07:25:32 

Teruskan usaha anda


NovelPlus Premium

The best ads free experience