SEPERTI kelmarin Siti Mariam menjadi pemerhati dan seperti menjadi tukang kira berapa orang rakan yang mula memasuki kelas. Ada yang tersenyum dan menyapa dengan tersipu dia membalas sapaan mereka.
Kedudukan tepi sebaris pintu mudah baginya mencuri pandang cara zirafah itu melepasi pintu. Siti Mariam tertarik, merasa unik! Namun tiada senyuman atau sapaan apabila dia melintas, zuppp! Laju meluru menuju mejanya nun di belakang sana, membuatkan Siti Mariam terasa kerdil.
Loceng masuk berdering nyaring. Lebih setengah jam berlalu Siti Mariam mula resah meneka, berapa orang guru yang boleh masuk hari ini? Sehingga loceng terakhir berdering, hanya dua orang guru sahaja yang memasuki kelas. Dia sudah mengagak situasi tetap sama seperti kemarin. Tidak menjangka keadaan sebegini terjadi, ketika memutuskan untuk pindah sekolah dulu. Memandangkan sekolah ini baru dibuka, sudah tentu menghadapi masalah kekurangan guru. Dia melamun sendiri, ada rasa penyesalan terbenam di lubuk hati!
Agak malang, bermulalah episod tiada benda yang perlu diulangkaji apabila berada di rumah. Selama berada di sekolah lama Siti Mariam tergolong dalam kalangan murid yang rajin dan dikenali kerana selalu mendapat tempat terbaik dalam setiap exam. Dia juga aktif dalam aktiviti ko-kurikulum. Kini, dia tidak yakin apakah dia dapat mengulangi keadaan itu di sini. Setiap minggu berlalu dia jadi lalai, membuka buku hanya apabila berada di kelas. Itu pun sekiranya ada guru yang masuk, tanpa disedari Siti Mariam mula seronok dengan keadaan ini. Alah bisa tegal dek biasa!
“Mengelamun!!!”
Shima menepuk bahu Siti Mariam dari belakang. “Ooo… Shima, belum balik lagi?” Siti Mariam tersenyum, menyembunyikan rasa terperanjat sebentar tadi.
“Marilah, jalan sama-sama .” “Jom!”
Tiba di paras bawah, kelihatan zirafah itu sedang keluar dari bilik pengetua bersama dua orang rakan yang lain.
“Jarang murid-murid dapat masuk bilik pengetua kecuali ada hal,” kata Shima.
“Apa yang mereka buat?”
“Tak tahu.”
“Tapi mustahil Welson terlibat perkara yang tak baik ni.”
“Welson! Yang mana satu?”
“Yang paling tinggi di sekolah kita.”
Zirafah itu bernama Welson! Siti Mariam merekod nama itu ke dalam memorinya. Bertembung di tengah kawasan, Shima hanya diam tanpa soalan mungkin risau menyinggung perasaan. Siti Mariam sempat melirik.
Welson bermata sepet, comelnya! Siti Mariam senyum sendiri.
“Amboiii… mengelamun lagi! Nak join Yam mengelamun.” Shima mengekek tertawa langsung memperlihatkan dua lesung pipitnya. Shima kelihatan begitu manis.
Sudah menjadi rutin harian Siti Mariam setiap pagi menopang dagu terpaku melihat Welson di beranda menuju ke kelas. Caranya melepasi pintu kali ini, melentokkan sedikit kepala ke kiri. Kalau jalan tegak tentu jambul depannya menyapu tulang pintu atas dan boleh menyapu sawang. Siti Mariam tersenyum, boleh jadi penyapu sawang!
Tiba-tiba dia seperti rasa terkucil ketika Welson benar-benar berada di hadapan. Seperti biasa Welson cuma berlalu menuju mejanya.
Kalau aku julurkan kaki, agar Welson jatuh tersungkur. Kemudian, bolehlah aku tolong kutip buku-bukunya yang berterabur nanti. Seperti adegan filem! Tapi kalau aku buat perkara itu, tak berbaloi jika penampar yang aku dapat. Siti Mariam membayangkan satu perkara yang tak patut, lalu menggelengkan kepala. Dia tersengih sendiri.
Agaknya aku tidak menarik di mata sepetnya itu atau sememangnya dia memang sombong. Dia menoleh ke belakang, rasa ingin dekat tapi tak rasa kuat.
Risaukan sesuatu takut mengingkari janji pada diri, baginya sekolah bukanlah tempat untuk berkasih-kasihan. Dia menutup mata dan menarik nafas dalam-dalam untuk menenangkan perasaan.
“Hari ini semua guru terlibat dengan mesyuarat, jadi semua diminta membuat aktiviti sendiri dalam kelas dan jangan buat bising.” Roy, ketua kelas memberi makluman beserta arahan.
Kelas mula kecoh dan Siti Mariam buat bodoh merenung pen di tangan. Aktiviti memegang pen! Ingatannya melayang di sekolah lama. Masa ini selalunya dia sudah mencatit setiap penerangan yang cikgu beri supaya lebih ingat dan akan membaca semula masa di rumah. Apabila cikgu menyoal dialah murid yang paling laju mengangkat tangan, sebab dia telah bersedia dengan jawapan. Kini, dia amat merindui susana itu.
Riuh-rendah susana kelas seperti mengadakan kenduri. Siti Mariam menoleh ke belakang, memandang Shima. Pandangannya singgah sekejap pada empunya bangku belakang, entah apa yang ditulisnya. Welson! Baginya, nama itu begitu mesra menyapa ingatannya namun bukanlah semesra orangnya!
“Apahal tersengih macam kerang busuk ni?”
Siti Mariam tersenyum melihat Hasmawati masuk ke kelasnya tersengih-sengih mendapatkannya. Walaupun berlainan kelas, namun Siti Mariam senang dengan telatah kawan sekampungnya itu. Wataknya memang ceria dan kelakar.
“Ini ada surat dari Abang Halim, katanya dia nak sangat jadikan Yam sebagai calon menantu emaknya.”
Wati menghulurkan sampul warna merah jambu sambil tertawa mengenyitkan mata. Sampul warna merah jambu itu bertukar tangan.
“Bacalah, apa isinya?” Wati teruja sangat ingin tahu. “Amanah orang tidak perlu dikongsi, tak apa nanti Yam baca dulu ya.” Dengan berhati-hati Siti Mariam membuka sampul tersebut.
Wangi semerbak surat Halim. Berterabur serbuk bedak atas meja. Mata Siti Mariam membulat.
“Mak aih… Abang Halim lumur surat dengan bedak! Mat Romeo sangatlah Abang Halim ni!” Wati tergelak.
“Tak rugi... Yam dapat surat, free bedak.” Wati ketawa sambil menepuk-nepuk meja, gerakannya yang spontan. Laju tangan Siti Mariam menekup mulut Wati.
Siti Mariam perhati sekitar kelas. Mujur masih belum ramai yang datang. Dia mula membaca surat Halim.
“Amboi... penuh perasaan nampak! Apa Abang Halim kata, lepas SPM ajak kawin ke tu?” Laju pertanyaan Wati membuatkan Siti Mariam tergelak.
“Tak adalah Wati, cuma Abang Halim kata suka dengan Yam dan dia dah terjatuh hati dekat Yam,” jawab Siti Mariam tersengih menjawab pertanyaan Wati.
“Lepas tu Yam tak kutip ke hati Abang Halim yang jatuh tu?”
“Yam kutip dan jahit di hati Wati, nak tak?” Siti Mariam tergelak besar lalu menjawab pertanyaan Wati sambil menjangkau pipinya yang tembam itu.
“Janganlah... sayang bedak pipi.” Wati mengelak, namun terlambat. Siti Mariam tertawa menang.
“Ni ada bedak tabur dari Abang Halim, ambillah.” Tawa mereka berderai.
Sepanjang zaman persekolahan ini dia belum pernah punya buah hati, bukan memilih tapi perlu berhati-hati. Siapa yang tidak ingin disayangi dan menyayangi? Cuma terlalu banyak benda yang perlu dielak. Jangan serabutkan fikiran dengan hal-hal yang belum pasti. Tapi zirafah itu, seakan-akan menggoyahkan pendiriannya.
“Melamun duduk atas pelamin ke tu?” Wati menepuk meja.
“Isy, taklah...” Siti Mariam terperanjat mengurut dada.
“Kus semangat!” Wati tergelak sambil mengurut bahu Siti Mariam lalu meminta maaf.
“Kenapa koyak surat tu?”
“Ayah dan abang akan marah jika ternampak surat begini, Yam malas nak jawab. Abang pernah memarahi seorang kawannya apabila mendapat tahu pernah menulis surat kepada Yam. Ayah pula beri amaran.” Dengan nada kesal, Siti Mariam berkata perlahan.
“Habis surat Abang Halim ni, Yam tak nak balas ke?” “Tidak, Wati. Beritahu Abang Halim Yam tak nak diganggu dengan hal sebegini lagi. Yam belum bersedia. Lagipun, abang bedak tu bukan taste Yam.” Terhambur tawa besar mereka dalam kelas.
“Yam terimalah... boleh dapat bedak free.” “Hahaha.” Ketawa mereka bersambung.
Dengan teliti Siti Mariam mengisi borang permohonan masuk asrama yang diedar di kelas tadi. Sekiranya diterima, selepas cuti break semester ini bolehlah tinggal di asrama.
“Yam dah siap isi borang tu? Lepas cuti semester ini, kalau layak kita masuk asrama bersama. Tak penat lagi ulang-alik, jimat masa dan jimat kos. Harap-harap dapat satu dorm.”
“Dah, double check lagi.” Siti Mariam tersenyum. “Jom hantar.”
Mereka jalan beriringan menuju bilik Hal Ehwal Murid. Tidak banyak borang yang ada di situ. Ini menandakan peluang mereka agak cerah untuk diterima mengisi kekosongan asrama.
“Bismillah...” Siti Mariam meletak borang dalam bekas yang disediakan dengan harapan.
“Yam... kita ke kantin, Wati belanja,” ajak Wati. “Rezeki jangan ditolak, jom.” Siti Mariam menjawab girang. Sekurang-kurangnya tidaklah bosan terperap dalam kelas.
Tiba di tangga paras dua mereka berselisih dengan Welson. Tersirap darah keseluruh wajah Siti Mariam. Langkahnya terkunci seperti hilang keseimbangan. Rasa ingin tersungkur, Siti Mariam pantas berpaut di palang tangga. Begitu pun, Welson tidak terkesan tentang kehadiran mereka di situ! Dalam hati, Siti Mariam berasa kecewa. Malunya!
“Kenapa gugup ni, Yam? Pucat je...” Wati berhenti memegang lengan Siti Mariam.
“Rasanya Yam periodlah…” Siti Mariam berhelah menutup keadaan sebenar. Dadanya masih berdebar. Kedudukannya dengan Welson tadi terlalu hampir, sehingga sempat mengagak kepalanya cuma setakat lengan Welson saja. Tingginya!
“Kita ke kelas Wati dulu, kebetulan Wati ada bawa satu dalam beg sebagai persediaan.” Wati menarik tangan Siti Mariam menuju ke kelasnya.
Dengan terpaksa, Siti Mariam menurut saranan Wati. Di dalam tandas, dia tersenyum lebar ketika mengenakan pad tersebut.
Ha… siapa suruh gatal sangat menyimpan rasa, sudahnya terpaksa menggunakan pad sebelum masanya! Siti Mariam berkata dalam hati sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Geli hati, tertawa sendiri. Gara-gara Welson Siti Mariam hilang kawalan. Tersenyum sendirian, He is an amazing person!
Share this novel