SITI MARIAM memilih meja berhadapan dengan meja guru, alasannya agar mudah bertanya sekiranya tidak memahami pelajaran yang disampaikan. Di tepi tingkap, sesekali dapat merasai dinginnya bayu timur menyapa di pipi kiri, kadang-kadang hampir membuatnya terlentok di tepi dinding. Nyaman dan mendamaikan!
Nun di kejauhan kelihatan bukit bukau yang membiru. Bunyi kenderaan jarang kedengaran, suasana jauh lebih aman dari sekolah lamanya. Pun begitu dia tetap rindu pada kawan-kawan lamanya. Masih terbayang mata Timah berkaca ketika terbaca dokumen perpindahannya. Hanya Timah seorang saja yang tahu perihal perpindahannya ke sekolah lain.
Dubbb!!!
Tiba-tiba daun pintu tertutup kuat, ditolak angin yang bertiup tiba-tiba. Dia terkejut, hampir terlepas pen dari jarinya. Terdengar seorang kawan melatah di belakang. Siti Mariam tersenyum menoleh, lalu kawan tadi tersipu malu.
Aktiviti kelas bersambung semula. Semua sibuk dengan hal masing-masing, bergurau senda, bercerita bersama rakan lain dan ada juga yang mentelaah buku pelajaran. Terdapat seorang dua yang menyapa. Dalam suasana baru, Siti Mariam masih lagi segan bergaul dengan mereka kebetulan dia memang seorang yang pendiam dan pemalu.
Tepat jam 7.30 pagi loceng masuk kelas mula membingit. Dia menunggu sesi pembelajaran dengan semangat. Kawan-kawan masih bersembang, namun dalam suasana yang seakan-akan merisik mungkin tidak ingin mengganggu kawan-kawan yang lain. Dia tersenyum berbisik dalam hati. Agak baik… mereka tetap menghormati suasana sekeliling.
Tiba-tiba suasana senyap. Serentak murid-murid kelas 5 Anggerik bangun memberi hormat.
“Assalamualaikum ustaz.”
“Waalaikumussalam duduk,” jawab Ustaz Nor.
Oleh kerana kedudukan mejanya berhadapan dengan meja guru, mudah baginya mencuri pandang tanda nama yang dipakai Ustaz Nor. Ustaz Nor berdiri di depan kelas, merenung wajahnya.
“Kamu ke murid baru yang masuk hari ini?” tanya Ustaz Nor.
“Ya, ustaz.” Dia menjawab sepatah.
“Boleh kamu perkenalkan diri di hadapan kelas?”
“Bo... boleh ustaz.”
Siti Mariam menjawab gugup lalu keluar berdiri di hadapan rakan-rakan lain. Semua mata tertumpu kepadanya. Namun ada seorang murid lelaki yang duduk di hujung kelas, mencoret sesuatu di meja tanpa mempedulikan kehadirannya di situ. Mata terpaku sekejap di situ. Cantik rambut, kingsway style! Siti Mariam mengulum sebuah senyuman.
“Nama saya Siti Mariam binti Ismail.” Dia mula bersuara.
“Saya berumur 17 tahun, hobi saya membaca buku dan cita-cita saya ingin menjadi seorang guru,” sambungnya.
“Sudah berpunya ke belum?” Tiba-tiba muncul pertanyaan nakal daripada seorang murid lelaki.
“Mael, Mael... Nak sangat datanglah merisik, ustaz boleh temankan.” Ustaz Nor mengusik.
“Saya berpindah ke sini kerana ibu bapa saya memang berasal dari sini. Saya harap kawan-kawan sudi terima saya seperti kawan-kawan lain, terima kasih.” Siti Mariam menyambung, lalu kembali duduk di bangkunya.
“Terima kasih... Siti Mariam, sedap nama tu.”
“Tahu nama tu nama siapa?”
“Tahu ustaz…” Suara ramai kedengaran menyahut.
“Siti Mariam… Siti Mariam itu siapa?” tanya ustaz Nor sambil anak matanya memandang Siti Mariam.
“Siti Mariam ialah ibu kepada Nabi Isa A.S, ustaz.” Soalan mudah sesiapapun boleh jawab getus Siti Mariam dalam hati.
“Ya betul. Layaklah kamu bernama Siti Mariam.” Ustaz Nor tersenyum.
“Siti Mariam... Cuba ceritakan serba sedikit perihal Siti Mariam.”
Aku lagi, ustaz ni mengenakan aku agaknya mentang-mentanglah murid baru. Seperti menyirap darah ke wajah, Siti Mariam terasa malu.
“Siti Mariam adalah wanita suci seperti mana yang diceritakan dalam al-Quran. Oleh kerana kesolehannya, Siti Mariam telah diberi ujian yang pelbagai untuk mengangkat martabat keimanannya. Salah satu ujian yang Siti Mariam terima ialah mengandung atas kekuasaan Allah tanpa diusik oleh mana-mana lelaki pun. Namun, anak yang dikandung oleh Siti Mariam adalah bakal Rasul yang menyampaikan risalah Allah tanpa gentar iaitu Nabi Isa A.S.” Siti Mariam menghabiskan perihal ringkas Siti Mariam ibunda Nabi Isa A.S, sambil memicit lengan sendiri.
“Penjelasan ringkas yang agak menarik dan mudah difahami, terima kasih... Siti Mariam.” Ustaz Nor mengangguk.
“Haaa, ambik kau Mael... kau perlu banyak membaca buku-buku agama sekiranya ingin merisik, Siti Mariam ni… bukan calang-calang.” Berderai ketawa kelas 5 Anggerik.
“Buka helaian 7 dan baca maksud ayat al-Quran yang terdapat di situ. Kemudian fahami maksud tafsir yang disampaikan,” sambung ustaz Nor.
Ustaz Nor mengambil kehadiran kelas. Semua murid sibuk menghadap buku, diselang-seli gerakan mengangkat tangan apabila nama dipanggil.
Sehingga loceng akhir berbunyi tamat kelas untuk hari ini, tiada lagi guru yang handle mata pelajaran lain. Suasana yang membangkitkan bengkek di dada Siti Mariam. Dia mengemas malas buku-buku yang berselerak di atas meja lalu memasukannya ke dalam beg.
Bosannya... mengeluh sendiri.
Sedari tadi pandangannya terarah ke bukit bukau di luar sana.
Seandainya boleh cair, pasti sudah mencair menjadi renungan bosanku!
Tenang di bangku, dia memerhatikan rakan-rakan yang lain seorang demi seorang meninggalkan kelas. Kelihatan seorang murid lelaki menundukkan kepalanya sedikit tatkala melepasi pintu kelas mereka.
“Ada zirafah rupanya.” Dia tersenyum berbisik sendiri.
Mengimbas semula dalam sesi suai kenal tadi, zirafah itulah yang tidak kisah tentang kehadirannya waktu dia berdiri memperkenalkan diri.
Siti Mariam menapak malas menuju pekarangan parkir kereta. Bas sewa mereka sedia menanti. Dia memilih tempat duduk paling tepi supaya dapat merasa angin luar. Sementara menunggu kawan-kawan yang lain, dia membuka nota ringkas yang dibuatnya tadi. Dengan tenang membaca dan menghafal ayat al-Quran dan memahami huraiannya. Matanya terasa letih lalu beralih melihat ke luar. Tiba-tiba matanya menangkap sosok zirafah itu dalam sebuah van, matanya lurus ke depan seperti dia dengan dunianya sendiri tanpa menghiraukan keadaan sekeliling!
Misterius... Sendiri Siti Mariam berbisik.
Di mata Siti Mariam, Zirafah itu terlalu berbeza dengan yang lain. Entah dari sudut mana? Tidak sedar bas sewa mula bergerak. Siti Mariam tersenyum kerana mula mengkaji tentang perbezaan seorang manusia!
Share this novel
terima kasih...
Wow terbaik..