4: Cemburu

Drama Series 36825

KAIN selimut dikibas-kibas lalu dicium sendiri. Wanginya! Seronok bila kain baju dijemur terus kering dalam sehari. Tak adalah nak kena sidai lagi malam-malam membuatkan baunya naik kepam. Bila kering elok macam ni nak lipat pun senang hati.

Meja kayu di ruang tamu dijadikan tempat melipat baju. Baju yang telah dilipat diasing mengikut pemiliknya. Adik punya lain, abang punya lain, ayah punya campur sekali dengan ibu. Khadeeja kelihatan seronok melakukan pekerjaan itu walaupun ramai para ibu di luar sana cukup rimas dengan pekerjaan yang satu ini.

"Awak!" Mizra muncul dari dalam.

Khadeeja menoleh sekilas lalu tersenyum menyambutnya. Kain baju tetap dilipat, dia menggeser kedudukan membolehkan suaminya duduk sekali. "Budak-budak dah tidur, abang?" tanyanya.

"Dah! Awak tak nak tidur ke?" Mirza meletakkan punggung perlahan-lahan di sisi Khadeeja.

"Sekejap lagi. Sikit lagi ni."

Jeda kembali. Tak lama, hanya suara desahan Mirza terdengar berat. Khadeeja tetap khusuk dengan kerjanya. Sikitpun tiada curiga dengan suara keluhan suaminya yang agak perlahan.

"Awak, budak-budak kata tadi ada makan aiskrim Magnum. Banyak duit awak beli aiskrim? Mahal tu."

Khadeeja hanya menguntum bibir tanpa memandang Mirza. "Ada rezki lebih hari ni, abang. Tadi jual buah jambu tu, habis. Dapatlah duit sikit." Kain baju masih dilipat tanpa berhenti.

Mirza mula melirik isterinya. "Iya ke? Ke, ada orang belanja?"

Untuk soalan kali ini, Khadeeja mendadak menjadi cuak. Pucat wajahnya melirik Mirza. "Ma, mana ada!" Ya Allah, berdosakah kalau aku tak memberitahu hal yang sebenar? Harap-harap ianya tak berdosa.

"Abang tahu. Naufal bagitahu tadi. Katanya abang Aziz yang belanja. Betul kan?"

Kain baju tak lagi diteruskan melipat. Khadeeja sudahpun cuak bila ketahuan sedang cuba selindungkan sesuatu. Dia diam tak menjawap.

"Rajin eh, dia belanja? Memang selalu ke jumpa?"

Aduh, apa nak cakap ni? Inilah yang buatkan malas nak bagitahu. Bukan sebab nak sorok, tapi malas nak jawap soalan seperti itu. "Err, tak adalah. Tadi kebetulan jumpa je. Masa tu Nayla mengamuk minta aiskrim, Deeja tak cukup duit. Alih-alih abang Aziz tu datang belanja diorang aiskrim. Deeja nak tolak pun serba salah."

"Tapi kenapa tadi awak cakap awak beli sendiri? Lain kali cakaplah orang belanja."

"Maaf, abang." Khadeeja menekur ke pangkuan tak berani mengangkat muka. Sedar sudah tersilap, memang patut pun suaminya menegur.

Terdengar kemudian Mirza mengeluh semula. Namun lebih jelas kedengaran seperti meluahkan perasaan kecewa. "Kalaulah awak tak kahwin dengan saya, mesti awak dah hidup senang dengan abang Aziz tu kan."

"Abang. Apa abang cakap ni?" Kata-kata Mirza membuat Khadeeja tersentap, sampaikan terungkit kisah yang lepas. Sudah pasti Mirza terasa hati disebabkan dia gagal berkata jujur.

"Saya tahu, Deeja. Saya tak mampu membahagiakan awak. Hidup dengan saya awak pun turut bermati-matian menyara diri. Saya malu sebenarnya." Lelaki itu membuang pandangan jauh ke dinding kayu merenung hampa. Hati sungguh kecewa dengan nasib yang tak berapa senang macam orang lain. Sampaikan aiskrim untuk anak pun nak kena orang lain yang belanja.

Tambahan pula Mirza tahu, Aziz dahulunya adalah kawan lama Khadeeja sewaktu mereka sama-sama muda. Hampir hendak bersatu tetapi keluarga Aziz menentang perhubungan mereka gara-gara terlibat conflict dengan orang tua Khadeeja. Padahal ketika itu mereka sama-sama saling suka.

Aziz akhirnya berkahwin dengan Munirah, pilihan keluarga setahun lebih awal sebelum Mirza berjumpa Khadeeja. Tetapi hingga kini Aziz dan Munirah belum dikurniai walau satupun cahaya mata.

Mirza tahu Aziz ini memang baik orangnya. Pernah berjumpa dan bertegur sapa. Ringan tangan dan rajin membantu. Bab membelanja budak-budak langsung tak kedekut. Mungkin hal itu disebabkan mereka belum punyai anak sendiri. Bersangka baik saja.

Lama kelamaan, Mirza mulai kurang senang apabila Aziz terlalu kerap menghulur tangan pada mereka. Sebagai bapa, tak sepatutnya Mirza biarkan anak-anaknya asyik menerima pemberian dari orang saja. Apatah lagi orang itu ada kaitan dengan masa lalu ibu mereka. Sebagai suami, rasa cemburu pasti ada.

"Abang..." Khadeeja tahu suaminya sedang terasa hati. Kerja melipat baju tak lagi diteruskan. Lengan Mirza disambar lalu dirangkulnya. "Deeja minta maaf kalau buatkan abang terasa hati. Demi Allah Deeja tak maksud nak buat abang macam tu! Asal abang tahu, Deeja tak pernah rasa susah bersama abang. Apa yang Deeja boleh usakan untuk membantu abang, Deeja akan lakukan. Deeja ikhlas melakukannya, abang."

Hembusan nafas kian melentur seiring tutur kata isteri yang menyejukkan hati. Mirza pejamkan mata sesaat sebelum menoleh pada Khadeeja yang sedang merangkul lengannya. Lengan ditarik keluar dari rangkulan itu kemudian balas merangkul badan isterinya. "Deeja tak kesah ke hidup macam ni dengan abang?" bisiknya.

Khadeeja mengangguk laju. "Demi Allah, Deeja bersumpah. Deeja langsung tak kesah, abang. Kehidupan kita sudah cukup sempurna bagi Deeja. Asalkan abang sentiasa di sisi Deeja, tak ada apa lagi yang Deeja mahu."

Mirza lalu mengemam senyum sambil meliarkan anak matanya. "Kalau macam tu, jom pindah KL?"

Automatik mood sentimental bertukar secara drastik. Pandai betul suaminya ini mengambil kesempatan. "Ish, ingatkan dah lupa dengan perancangan tu. Rupanya dia sebut jugak." Terus buang muka. Monyok!

"Deeja sayang..." Isteri sudah merajuk, tak mahu pandang dirinya lagi. Minta dipujuk lah tu. Tahu dah orang perempuan ni taktik dia. Mirza perlu cari ayat power agar hati isterinya lentur semula. "Kalau kita terus dekat sini, sampai bila-bila pun abang tak akan dapat bayar hutang. Nak buat apa-apa usaha pun susah, tahu tak."

"Hutang apa yang abang beratkan sangat tu?"

"PTPTN! Ingat abang belajar dulu dapat duit dari mana kalau bukan pinjaman PTPTN? Orang lain dah habis bayar dah pun, abang satu sen habuk pun tak terbayar lagi."

Khadeeja diam.

"Sebab itulah abang beriya ajak Deeja pindah ke KL ni. Mana tahu abang boleh usaha sikit-sikit. Dekat sini, apapun abang tak boleh buat. Kalau dah habis bayar hutang-hutang semua tu, tenang dah kepala abang. Nak buka bisnes pun boleh."

"Hurm, entahlah. Bagi Deeja fikir dulu. Nak pindah-pindah ni bukan badan je kita bawa pindah, abang. Tapi jiwa sekali, mental dan fizikal jugak. Deeja kena cari kekuatan tu semua baru Deeja boleh fikir nak pindah ke tak." monyok kembali. Ni siapa sebenarnya yang merajuk mula-mula ni?

"Okey-okey, tak apa. Abang tak akan push Deeja dalam masa terdekat. Ambil masa Deeja untuk fikirkan dulu."

Mirza ditoleh dengan muka merengut. "Tolong Deeja bawa masuk kain baju ni. Dahlah abang tak tolong melipat."

Haih, ada kerjaan rupanya. Nak pujuk punya pasal, kenalah lakukan. "Emm, yelah!"

***

BANYAK Khadeeja kait buah jambu hari ini. Seronok meniaga semalam, nak cuba lagi hari ini bawa lebih sikit. Mana tahu ada rezki lagi, kan.

Buah-buah dipilih yang elok dan dibuang dedaunnya. Diisi ke dalam beg plastik lalu diikat kemas. Pukul tiga petang nanti dah boleh bawa ke tempat niaga di tepi jalan besar tu. Anak-anak pun seronok membantu mengutip buah.

"Banyak hari ni kita bawa, ibu. Boleh habis ke tak ya?" Naufal berceloteh.

"InsyaAllah, abang. Kita doa supaya jualan hari ini habis macam semalam. Bolehlah kita menyimpan lebih."

"Boleh makan ayam lagi?" Nayla menyampuk.

"Boleh, sayang." Dicubit pipi kecilnya yang comel. Geram!

Khadeeja sambung kembali membungkus buah yang masih tinggal.

"Assalamualaikom!"

Terkejut Khadeeja. Sedang asyik membungkus buah, laungan seorang wanita membuat kerjanya terbantut seketika. Pantas Khadeeja menjengah ke arah datangnya suara menempik salam tersebut.

"Waalaikum salam!" Khadeeja bangun. Seorang wanita dilihat sedang menuju ke tempatnya, membawa tampang sinis persis nak makan orang. Khadeeja tak tahu apa tujuan wanita itu. Dia perlu sidikit bersedia. "Puan Munirah. Ada hajat apa ya? Jemput duduk puan." acah-acah mempelawa.

Munirah isteri Aziz, sudah bercekak pinggang sebaik tiba di hadapan Khadeeja. "Tak payah, terima kasih! Saya cuma nak jumpa awak sekejap je," kata wanita itu. Langsung tak mesra.

"Oh, nak jumpa saya? Ada apa ya?"

Munirah mendengus. "Awak ni memang masih ada hati ke dengan suami saya?"

"Hah? Apa puan cakap ni?" Main serkap jarang, inilah yang Khadeeja dok risaukan.

"Tak payah awak berdolak-dalik!" Munirah pantas memotong kata-kata Khadeeja.

Ada orang melapor kepadanya sering melihat Aziz membelanja anak-anak Khadeeja setiap kali terserempak di kedai runcit. Munirah sudah sedia maklum bahwa Khadeeja ini pernah berkawan dengan Aziz dulu. Khadeeja kan cantik, lemah lembut, ada anak lagi. Hal itu membuat Munirah semakin tercabar dan merasa tidak selamat bila dapat tahu suaminya masih kerap berjumpa wanita itu. Sedangkan dirinya, walaupun sudah berumahtangga 12 tahun lamanya, tetapi sehingga kini masih gagal memberikan zuriat buat Aziz.

Yang semakin membuat Munirah merasa tercabar bila badannya sendiri semakin mengembang walaupun tak pernah beranak. Sedangkan Khadeeja tetap slim, tak berubah macam dulu meskipun sudah beranak dua. Pasti Aziz masih menyimpan hati terhadap ex kekasihnya ini.

"Puan tak boleh tuduh saya melulu macam ni. Saya dah bersuami, puan. Terserempak dengan suami puan hanyalah berupa kebetulan." Khadeeja perlu membela diri.

"Sebab awak dah bersuami tulah yang buatkan saya lagi tak faham. Layan jelah suami sendiri, pergi layan suami orang buat apa?"

Khadeeja perlu menjelaskan duduk perkara sebenar supaya kesalahfahamam wanita di hadapannya ini dapat dijernihkan. "Puan. Demi Allah saya tak ada hati nak layan sesiapa, apatah lagi suami puan. Secara kebetulan berpapasan di kedai runcit, suami puan menghulur sesuatu pada anak-anak saya sebagai sedekah. Kami hanya terima sebab tak mahu hampakan sedekah orang."

Munirah tetap tak mahu mendengar. Baginya alasan Khadeeja itu langsung tak masuk akal. "Pandai awak kan nak tarik simpati orang. Buat-buat tunjuk susah, lepas tu biar orang datang hulur tangan, bagi sedekah. Seronok lah macam tu! Lagi-lagi yang bagi sedekah orang lelaki, makin galaklah awak tarik perhatian dia."

"Astagfirullah, tak baiknya prasangka puan. Saya tahu saya orang susah, puan. Tapi saya tak akan meminta-minta. Saya rela cari duit dengan berniaga daripada menerima sumbangan atau derma. Tapi jika ada orang menghulur sedekah pada kami, masakan kami nak tolak?" Khadeeja jenis mudah tersentuh hatinya. Berdebat seperti itu saja sudah membuat air matanya menitik. Dia sedar dirinya susah, jauh dari tahap selesa. Kata-kata orang sangat mudah membuat hatinya terasa.

Bukan baru pertama kali Munirah meluahkan rasa tak puas hati padanya. Pernah satu kali berjumpa di sekolah sewaktu Khadeeja menjemput Naufal. Munirah datang menemuinya dan bertanya akan hubungan di masa lalu dengan Aziz. Khadeeja enggan membuka kisah lama kerna perkara itu sudan terkubur di dalam lipatan memori. Masing-masing pun sudah berumahtangga, apa lagi nak diungkit?

Sejak saat itu Khadeeja mulai berjaga-jaga bila terjumpa Aziz di mana-mana. Dia akan cepat-cepat mengelak kerna tak mahu menimbulkan syak wasangka bagi mana-mana pihak.

Hari ini, inilah yang Khadeeja risaukan. Tak pasal-pasal isteri Aziz datang menemuinya dan menuduh yang bukan-bukan. "Saya rasa puan lebih baik pulang saja. Saya sekeluarga memang orang susah, tapi saya bukan peminta sedekah apatah lagi nak raih simpati siapa-siapa. Sangat tak patut puan menuduh begitu.

"Tak kesahlah awak nak minta sedekah ke apa ke. Sekarang kesahnya, awak ni kerap sangat berjumpa suami saya. Macam mana orang tak syak? Itu pun nasib baik orang yang bagitahu saya, tau. Kalau saya sendiri yang tersempak awak berjumpa suami saya, siaplah. Saya viralkan awak satu kampung ni." Mukanya langsung ditarik 360 darjah. Terus mengatur langkah pantas meninggalkan Khadeeja. Puas hatinya, sekurang-kurangnya dia telah memberi amaran. Harap-harap yang bersangkutan tak lagi mengulangi hal tersebut.

"Astagfirullahaladzim. Astagfirullahaladzim. Astagfirullahaladzim." Khadeeja menjatuhkan punggungnya kembali ke atas pangkin. Dada diurut bila sesak seakan menjerut pernafasannya, membuat matanya semakin rakus menumpahkan cecair dari dalam.

"Ibu. Ibu tak apa-apa ke?" Si sulung menghampiri ke sisi, faham bahwa ibunya kini sedang terluka.

Khadeeja tidak dapat menjawap dengan kata-kata. Kedua anaknya dirangkul kini kanan, sementara membiarkan luka di hatinya terus bercalar.

Beginilah jadi orang susah. Setiap perbuatan serba serbi tak kena di mata orang. Tak jarang hati menjerit pada takdir, kenapa dirinya yang perlu menanggung semua ini? Tak boleh ke orang-orang ini biarkan dirinya hidup dengan tenang?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience