2: Cadangan

Drama Series 36110

PETANG-petang paling seronok membuat aktiviti di belakang rumah. Rumah kampung, di belakangnya pasti ada pokok-pokok buah yang boleh dibuat menyicah waktu petang. Itu sajalah aktiviti yang dilakukan, bertiga dengan kedua anaknya. Itu pun sudah cukup membuat si kecil girang bukan kepalang.

Buah jambu air dikait dari pokok sehingga berderai jatuh buahnya. Naufal dan adiknya berebut mengutip dengan riang. Buah jambu lalu dibawa ke pangkin untuk dinikmati kemudian.

"Adik, jaga-jaga. Banyak semut tu. Karang kena gigit, tahu nak nangis je awak tu kang." Khadeeja menyimpan semula galah di tepi rumah setelah dirasa cukup buah yang dikait untuk dimakan bersama. "Mari sini. Biar ibu cuci dulu."

Naufal dan Nayla bersabar menanti tika ibunya membawa buah-buah itu untuk dibersihkan. Tak lama, Khadeeja muncul kembali bersama buah yang telah bersih, dibawa ke pangkin untuk anak-anaknya nikmati.

"Sedap. Manis!" Nayla tak mahu buahnya dipotong atau dihiris. Mahu terus digigit langsung begitu.

Khadeeja biarkan saja, asalkan anak-anaknya suka.

"Ibu. Abang nak berhenti sekolah jelah." Naufal tiba-tiba bersuara.

Tertahan tangan Khadeeja tika hendak menyuap potongan buah ke mulutnya. "Apa abang cakap?"

"Berhenti, ataupun pindah sekolah je ibu. Kawan-kawan dekat sekolah abang semua jahat. Asyik-asyik mengejek kasut abang sebab dah berlubang."

Ditelan semula niat mahu marah pada anaknya. Memang dah lama Naufal mengadu bahwa kasut sekolahnya sudah berlubang. Tetapi akibat kekangan dana yang tak mencukupi, terpaksa dipujuknya budak itu supaya pakai dulu kasut yang ada. Sekarang, nampaknya lubang itu sudah semakin lebar. Naufal pun menjadi bahan ejekan rakan-rakan di sekolah.

"Abang. Kalau nak pindah sekolah sekalipun, tetap perlukan biaya. Beli baju sukan baru, pengangkutan. Sekolah kat situ dah elok dah, dekat dari rumah. Jalan kaki je dah sampai."

"Tapi kawan-kawan sekelas abang suka mengejek, ibu. Abang tak sukalah. Tak nak sekolah jelah macam ni."

"Adik nak, adik nak!" Nayla menyampuk.

Khadeeja menoleh si kecil yang tak faham apa-apa lalu menggosok kepalanya. Dia beralih semula pada si sulung yang sudah tidak berselera mahu menikmati buah jambu di tangannya. "Abang tak boleh macam ni. Sekolah tu kan penting. Abang pun dah darjah empat dah. Sayang tau!"

"Tapi ibu tak ada di tempat abang waktu abang di sekolah, jadi ibu tak tahu macam mana diorang kutuk abang. Abang tak tahanlah, ibu."

Hilang punca mahu menjawap, Khadeeja mengeluh berat. Pujuk pun tidak berkesan malah dia sendiri yang turut merasa bimbang. Bukan tidak tahu macam mana perasaan anaknya bila berdepan dengan situasi itu. Dirinya yang dewasa pun pasti terasa. Inikan pula Naufal yang masih kecil.

Tapi apa yang boleh dia buat selain menasihati anaknya supaya bersabar? Walaupun, dia sendiri kadang-kadang sampai nak hilang sabar.

***

PILLOW talk, kata orang putih. Orang kita pula panggil perbincangan menjelang tidur. Waktu inilah masa paling sesuai untuk mengutarakan sesuatu terhadap pasangan.

Setelah dipastikan anak-anak telahpun tidur, barulah Khadeeja menggunakan kesempatan itu untuk berbincang dengan suami. Perkara paling mustahak adalah perihal yang tadi. Kasut sekolah Naufal sudah perlu diganti baru. Khadeeja memberitahu pada Mirza bahwa Naufal tidak mahu lagi bersekolah selagi kasut belum ditukar baru.

Panjang keluhan Mirza. Mana nak cari duit lebih buat beli kasut? Penghasilan kerja kampung ini bukannya tetap. Kalau dapat pun cukup buat makan saja. Kalau tak dapat, terpaksalah Khadeeja dan anak-anak dibiarkan mengait buah jambu lalu dijual petang-petang di tepi jalan. Dapat lima hingga sepuluh ringgit sudah cukup buat menampung keperluan makan esok pagi. Nak simpan duit lebih buat beli benda lain? Sangat mustahil.

Itupun nasib baik rumah bukan menyewa. Rumah kampung peninggalan kedua orang tua Khadeeja masih layak diguna. Nasib mereka tertolong di situ. Kalau rumah pun nak kena menyewa, rasanya sudah lama mereka tumbang bersama-sama.

Mirza masih tak memberi apa-apa jawapan. Pandangan menerawang jauh ke atas siling sedang menghadam aduan isterinya. Usaha apa saja yang dia boleh lakukan di kampung ini untuk mendapat penghasilan lebih? Ambil upah menoreh, hasilnya cukup-cukup makan sahaja. Jadi pembantu kedai runcit gaji dan waktu pula tidak setanding. Tujuh pagi hingga 10 malam, hanya diberi upah RM30 sahaja. Tapi kalau ada lebihan lauk dan sayur mentah, tauke kedai bagi sahaja untuk dia bawa pulang. Bolehlah Khadeeja masak di rumah beri pada anak-anak.

Tapi pekerjaan itu pun sama, tetap tak membantu mereka menyimpan lebih sikit. Semuanya cukup-cukup untuk makan sahaja.

Padahal, bukanlah Mirza ini seorang yang naif tak berpelajaran. Untuk pengetahuan, dia ini merupakan seorang diploma dalam bidang graphic design dari universiti terkemuka di ibukota. Tetapi kerna sudah terpaut hati pada Khadeeja, dia sanggup berpindah dari Johor ke Perak mengejar cinta hatinya. Adapun bakat ilmu dan pengetahuan dibiarkan terbenam begitu saja.

Di situlah mereka membina hidup di sebuah kampung yang terletak di pedalaman. Agak jauh dari akses bandar, menjadikan hidup mereka sedikit terasing dari dunia luar. Menjadi orang kampung dan bekerja apa adanya, memang susah untuk sampai ke taraf selesa.

Hampir 11 tahun mereka hidup bersama, dari semenjak kedua orang tua Khadeeja masih ada, sehinggalah keduanya pergi secara bergiliran. Hidup mereka semakin sukar semenjak ibu dan bapa Khadeeja meninggal dunia. Kebun getah yang diwariskan buat mereka kelola pun habis dijual oleh adik beradik Khadeeja. Sekarang, nak menoreh getah pun kena ambil upah di kebun orang.

Lama kelamaan Mirza mula berfikir, sampai bila dia nak membiarkan hidupnya terus dikongkong oleh kedaifan seperti ini? Rezki tak akan datang kalau hanya ditunggu sahaja. Dia perlu berusaha mengubah hidup demi keluarga terbela nasibnya.

"Awak. Nak tak kalau kita pindah bandar?" usul Mirza.

Khadeeja terus bingkas dari posisi baring. "Hah? Nak tinggalkan kampung ini? Abang main-main je kan?" Jelas ketidaksetujuan dari raut wajah wanita itu.

Mirza pun turut bangkit, duduk berhadapan dengan Khadeeja. "Iya, Deeja. Ini je rasanya yang boleh kita lakukan untuk mengubah nasib. Di kampung ni tak ada apa sangat abang boleh buat. Nak hijrah ke bandar seorang diri abang pula tak sanggup tinggalkan anak dan isteri. Jadi, apa kata kita sekeluarga je pindah ke bandar?"

"Ish, macamlah kita confirm boleh senang di bandar tu. Kalau lagi susah macam mana?"

"Abang yakin kita boleh, Deeja. Lagipun di bandar tu barang keperluan senang je kita dapat. Kawan abang ada yang pindah ke KL, dia kata setakat baju-baju, kasut anak, orang bagi sedekah je masih elok-elok. Jadi, tertolonglah sikit kos hidup kita dekat situ."

"Tapi tempat tinggal macam mana? Kita nak duduk mana?"

"Buat sementara tu kita carilah bilik sewa murah-murah, tumpang dengan orang. Nanti kalau dah ada modal, barulah kita sewa rumah pula."

"Ish, nak menyewa pulak. Dah elok-elok dekat sini duduk percuma, tinggal di bandar nak sewa bilik. Tak naklah abang."

Aduh, macam mana nak pujuk Deeja ni? Mirza tak boleh menyerah. Dia yakin inilah peluang yang Tuhan tunjukkan padanya untuk mengubah hidup. Sekarang ni dia perlu memujuk Khadeeja supaya setuju dengan cadangannya.

"Aduh, Deeja. Itu kita boleh fikir nanti. Yang jelas, dekat bandar sana peluang abang untuk mendapat kerja bagus jauh lebih terbuka, tau. Barang makan pun mudah didapat. Sekadar nak makan KFC hari-hari pun boleh. Kita pindah eh?"

Khadeeja mengubah pandangan tak mahu merespon cadangan suaminya. Yang jelas dia memang tak setuju. Baginya, biar susah di kampung jangan susah di bandar. Di kampung nak makan sayur pun sekurang-kurangnya masih boleh kutip di pekarangan sendiri. Kalau di bandar, semua nak kena beli. Nak buang air pun kena bayar, inikan pula nak makan. Harap-harap Mirza fikirkan balik cadangan nak pindah ke bandar tu. Khadeeja secara peribadi jelas tidak menyetujui.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience