3: Sedikit Tapi Berkat

Drama Series 36825

12 TENGAH hari, Naufal dilihat sedang berlari pulang dari sekolah. Khadeeja baru nak keluar rumah menjemputnya, Naufal dahpun sampai dulu. Khadeeja percepatkan langkah menuruni anak tangga kayu sambil memimpin tangan Nayla.

"Abang, kenapa pandai-pandai balik sendiri hah? Ibu baru nak pergi jemput ni. Bahaya tahu tak?" Memanglah sekolah tak jauh mana, jalan kaki saja, tapi boleh tahan jauh juga. Tetap perlu pengawasan orang dewasa.

Naufal tersengih memperlahankan larian. Datang segera dan mencapai tangan ibunya. "Abang dah besarlah, ibu. Lagipun sekolah dekat je. Ramai je kawan-kawan abang balik sendiri," bantahnya.

"Jangan nak mengada. Ibu kata tak boleh balik sendiri tu janganlah dibuat. Hari ini selamat, lain kali belum tentu. Faham tak?" perlu juga marah sesekala supaya Naufal faham akan bahaya di luar sana.

Naufal tak lagi menjawap bila tahu sudah membuat silap. Pasrah bila ibunya sudah memimpin tangannya naik ke rumah.

Kedua anaknya dipimpin kiri kanan, tak dibiar terlepas sehinggalah mereka selamat masuk. "Apa pasal beriya sangat nak balik sendiri ni, abang? Ceria semacam je ibu tengok?" Khadeeja curiga.

Naufal tersengih lagi setelah menanggalkan beg sekolah. "Tak lama lagi kan kita dah nak pindah ke bandar. Betul kan ibu?"

Merengut Khadeeja melirik anaknya. "Siapa cakap macam tu?" Pandai-pandai saja budak ini. Khadeeja tak suka mendengarnya.

"Ayah yang cakap masa hantar abang sekolah pagi tadi. Abang pun dah cakap dengan cikgu, dengan kawan-kawan. Tak lama lagi kita sekeluarga akan pindah ke bandar. Terkejut kawan-kawan abang, ibu."

Khadeeja mulai kesal. "Tak ada siapa yang akan berpindah. Ibu tak setuju dengan cadangan ayah tu. Tempat kita di sini, Naufal. Susah ke, senang ke, kita tetap di sini."

"Ala, ibu ni tak bestlah. Di bandar macam-macam ada, ibu. Abang pun teringin nak tengok bandar Kuala Lumpur. Nak harapkan ibu dan ayah bawa jalan-jalan ke sana entah bila. Kalau kita pindah sana terus kan bagus. Hari-hari abang boleh tengok bangunan yang tinggi-tinggi tu."

"Di bandar juga bahayanya lagi besar, abang. Dengan perangai awak lasak macam ni. Abang nak ke ibu menjerit hari-hari?"

"Ish, ibu ni. Semua tak boleh. Itu tak boleh, ini tak boleh." Naufal berleter sambil menonong masuk ke dalam. Kesal bila ibunya tak menyetujui cadangan untuk pindah ke bandar.

"Ibu. Bandar tu apa?"

Nayla di sebelah kiri ditoleh oleh Khadeeja. Seperti biasa, si kecil itu hanya memperlihatkan tampang polosnya bila dia tak faham dengan apa yang diperbualkan. Terpaksa dibiarkan saja. Hati tengah menggelegak tidak sabar menunggu suaminya pulang. Pandai-pandai je cakap nak pindah pada anak.

***

"SALAH ke kalau kita nak ubah nasib, Deeja?" Sesi interogasi berlangsung.

Perbualan malam itu sedikit tegang bila Khadeeja sedang menyoal siasat suaminya tentang apa yang dikatakan pada Naufal. Khadeeja juga membantah keras cadangan suaminya untuk berpindah. Mirza pula sudah bersungguh mahu membawa mereka pindah secepatnya.

"Usaha dekat sini pun boleh kan, abang. Macam-macam kita boleh buat. Tanam sayur ke, berkebun ke. Deeja pun boleh je keluar bekerja, tapi abang pula tak bagi."

"Kalau awak pun bekerja, siapa nak jaga anak? Nak hantar orang jaga? Kita nak buat makan pun cukup-cukup."

"Iya tapi kenapa kita nak kena pindah ke bandar? Abang tahu tak anak-anak abang tu lasak-lasak? Deeja fikir bahaya untuk mereka bila kita duduk di bandar tu."

"Tapi di bandar tulah peluang pekerjaan yang bagus untuk abang. Sia-sia je abang ada diploma tapi tak diguna untuk menyara hidup. Nak pindah bandar sorang-sorang memang taklah. Abang tak akan tinggalkan Deeja dan anak-anak dekat sini."

Khadeeja lalu bangun dari kerusi kayu yang diduduki. "Apapun alasan abang, Deeja memang tak setuju kita berpindah. Ini kampung Deeja, tempat lahir Deeja. Pusara kedua orang tua Deeja juga di sini. Deeja tak akan tinggalkan tempat ini."

Mirza lepaskan keluhan dalam membiarkan isterinya melangkah meninggalkan dirinya. Orang perempuan ni memang agak susah dibawa berbincang. Lagi-lagi mahu meninggalkan tempat yang mempunyai banyak kenangan ini. Nampaknya Mirza perlukan sedikit usaha keras untuk memujuk isterinya.

***

10 bungkusan plastik berisi buah jambu air telah habis diborong pelanggan yang lalu lalang. Tersimpul senyum di wajah Khadeeja dan anak-anak penuh rasa syukur. Tak sangka jualan hari ini habis orang beli. Biasanya bawa lima bungkus pun susah-susah nak habis. Hari ini semuanya licin terjual. Alhamdulillah!

RM2 setiap bungkus membolehkan mereka membawa pulang sebanyak RM20 hari ini. Jumlah itu sudah terlalu cukup buat membeli keperluan makan esok pagi, bahkan sampai ke tengah hari. Tenang dah hati pasal makan esok.

Kedua anaknya dipimpin pulang petang itu dengan wajah ceria. Macam-macam dirancang hendak dibeli dengan RM20 itu. Sebelum sampai rumah, Khadeeja perlu ke kedai runcit terlebih dahulu untuk membeli bahan keperluan memasak. Bolehlah beli lebih sikit kali ini. Sikit-sikit janji cukup. Itulah namanya berkat.

"Habis orang tu borong tadi kan, ibu." Naufal bersuara. Mengenang detik-detik meniaga tadi, seronok sangat.

"Tulah, abang. Ibu pun tak sangka ramai orang hari ini. Esok kita niaga lagi nak?"

"Nak nak. Kita bawa lebih sikit. Boleh dapat duit lebih."

"Haa, betul tu, abang. Nanti bolehlah kita kumpul duit tu buat beli kasut baru abang."

"Yay! Ibu, ibu. Duit hari ni, dapat tak kalau beli ayam?"

"Dapat! Tapi kita beli separuh ekor jelah. Selebihnya ibu perlu buat beli bahan-bahan memasak juga. Bolehlah buat ayam masak merah nanti."

"Yay, makan ayam."

"Adik pun suka ayam."

Khadeeja ketawa kecil melihat anak-anaknya ceria. Dapat duit lebih begini bolehlah bagi anak-anak makan sedap sikit.

Selanjutnya Khadeeja terus ke kedai runcit berhampiran untuk membeli bahan memasak. Nasib baiklah kedai runcit di sini membenarkan pelanggan membeli barang dengan kuantiti sedikit. Bolehlah jimat-jimat berbelanja.

Separuh ayam sederhana cukup hanya dibayar dengan RM7 sahaja. Boleh sangat setakat buat mereka makan sekeluarga. Tepung gandum, minyak masak peket, dua buah bawang besar, lada kering dan segenggam ikan bilis, total kos bahan-bahan itu hanyalah RM9. Lempeng sambal bilis menjadi perancangan memasak esok pagi.

RM20 tadi sudah digunakan sebanyak RM16. Ada lagi baki RM4 di tangan. Khadeeja bercadang mahu simpan lebihan duit belanja itu buat dikumpul membeli kasut Naufal. Kalau setiap hari dapat mengumpul empat ke lima ringgit macam ni pun sudah cukup bagus.

"Dah, cukup. Jom balik," ajak Khadeeja.

"Ibu..." Nayla menarik tangannya. Khadeeja terpaksa menoleh.

"Nak ni, nak ni!" Nayla menunjuk ke dalam peti aiskrim. Khadeeja terdiam sesaat.

"Sedapnya kan, adik. Abang dah lama teringin nak aiskrim tu." Naufal menyampuk. Turut terliur melihat aiskrim bersalut coklat tebal tersebut.

Sesaat Khadeeja intai harga yang tertera. Terjegil terus. Duit di tangan pun belum tentu cukup buat membayar. Tapi, mana tahu ianya harga display sahaja. Khadeeja cuba nasib dengan bertanya pada penjaga kaunter. "Bang, aiskrim Magnum ni berapa ya?" tanya Khadeeja.

"Ada harga dekat situ kak!" Abang jaga kaunter terus melayan pelanggan lain.

Khadeeja belek lagi duit di tangan, ada RM4 sahaja. Aiskrim itu berharga RM5.9, maknanya dia perlukan RM1.9 lagi untuk sebatang aiskrim coklat. Bolehlah bagi budak-budak kongsi sebatang tu. Tapi duit pula tak cukup. "Bang, saya ada RM4 je ni. Lagi RM1.9 saya bayar esok boleh tak?" Khadeeja cuba membuat tawar menawar.

"Maaf kak. Kedai ni tak buat sistem hutang. Tokey tak bagi. Saya pun bekerja je ni kak. Lainlah kalau kedai ni saya punya sendiri kan," sahut si penjaga kedai. Sibuk melayan pelanggan lain.

Merunduk wajah Khadeeja, kecewa hatinya. Terpaksa anak-anaknya dipimpin keluar secepat mungkin. "Jomlah balik. Duit tak cukup ni."

"Ala, ibu. Adik nak, adik nak." Nayla tetap tak mahu pergi. Siap menangis bila ibunya tak jadi beli.

Inilah yang malas nak bawa budak ke kedai. Bukan faham bahasa walaupun kita dah cakap tak ada duit. Tetap juga mengamuk nak benda tu. Naufal dah besar sikit, faham dah cakap orang tua. Si adik ni kecil lagi, bukan reti bahasa orang nak cakap apa pun.

Terpaksa Khadeeja angkat badan Nayla yang meronta nakkan aiskrim. Bergelut sudah biasa, Khadeeja perlukan sedikit tenaga buat mengawal Nayla yang tantrum. Barang belanjaan terpaksa suruh Naufal pegang dulu. Nasib baik tak berat mana.

"Khadeeja!"

Di saat Khadeeja sibuk dengan Nayla yang masih mengamuk, seseorang menegur namanya dari belakang. Khadeeja pantas menoleh. "Eh, abang Aziz."

Seorang lelaki datang menemui mereka. Tersenyum nipis, Naufal dan Nayla dipandang silih berganti. Dua peket aiskrim Magnum yang mereka mahukan pantas dihulur seorang satu. "Nah, ambil ni."

"Yay, aiskrim." Nayla langsung menyambar airkrim berkenaan.

Manakala Naufal mendongak ke wajah ibunya dulu. Setelah ibunya mengangguk barulah dia terima. "Terima kasih, Pakcik Aziz."

"Sama-sama. Makan elok-elok ya," kata Aziz.

Nayla diturunkan dari kendongan. Khadeeja dengan rasa bersalah perlu mengucap terima kasih kepada lelaki berkenaan. "Susah-susah je abang Aziz ni. Terima kasih banyak, bang. Tapi, lain kali tak perlulah begini. Segan saya asyik terima pemberian saja." kata Khadeeja.

Aziz tersenyum senang melihat anak-anak Khadeeja riang makan aiskrim yang dibelinya. "Ala, apalah sangat setakat aiskrim untuk budak-budak ni, Deeja. Lagipun dia orang ni dah biasa dengan abang," Aziz berujar.

"Tapi dah selalu sangat abang Aziz belanja budak-budak ni. Segan saya lama-lama."

Aziz orang kampung sebelah, memang dah biasa dengan anak-anak Khadeeja. Lagi-lagi kalau terserempak di kedai, tak pernah Aziz tak membelanja budak-budak ni sesuatu.

"Tak ada apalah. Abang belanja budak-budak ni je. Lainlah kalau abang belanja Deeja, apa karang suami Deeja cakap kan."

Khadeeja merunduk sembunyi senyum. Tetap segan walaupun sudah biasa. Masalahnya Aziz ini selalu sangat belanja, risau takut orang rumah dia fikir bukan-bukan nanti.

"Saya minta diri dulu ya, abang Aziz. Terima kasih banyak. Semoga abang Aziz sekeluarga dimurahkan rezki." Sebaiknya Khadeeja cepat-cepat beredar. Mata orang kampung ni lain macam sikit. Risau timbul fitnah saja nanti.

Alhamdulillah, murah rezki hari ini. Niaga habis, pergi kedai pula ada orang belanja aiskrim. Sikit pun tak apa, asalkan kita bersyukur. Pasti keberkatan terselit di antaranya. InsyaAllah.

Share this novel

syahdu olva
2023-01-30 17:17:49 

ais krim magnum di kampung ibarat anak minta air Starbucks kat bandar ni... nangis si ibu dalam hati tetapi belikan...


NovelPlus Premium

The best ads free experience