1: Ayam

Drama Series 36110

NASI putih panas-panas lagi, masih berasap. Wangi baunya. Dengan berhati-hati dicedokkan ke dalam pinggan sambil dikirai supaya panasnya sedikit reda. Sekilas menoleh ke meja makan, senyum dikuntum sederhana di bibirnya melihat wajah-wajah lapar yang sudah tak sabar-sabar menunggu suapan tangannya.

Diteruskan dengan meletakkan telur dadar yang baru diangkat dari kuali, ditaruh berhati-hati di atas nasi. Kicap manis pula menyusul sebagai penambah perisa. Hidangan makan tengah hari telah dihidang sedia.

"Adik dulu, adik dulu." Si kecil Nayla mengangkat tangan, meminta si ibu mendahulukan dirinya berbanding si abang.

"Sabar sayang. Panas lagi ni. Melecur tangan ibu nanti," jawap lembut wanita itu, telah sedia menyuap anak-anaknya makan. "Abang nak makan sendiri ke nak ibu suapkan?" bertanya pada si sulung yang diam tak bergeming. Berbeza dengan adiknya yang sentiasa excited setiap kali dia datang membawa makanan.

"Telur lagi, ibu? Tak ada lauk lain ke?" rungut Naufal. Nampak kurang berselera dengan hidangan yang hampir tiap-tiap hari dinikmatinya.

Khadeeja mendesah perlahan seiring dengan air mukanya yang telah berubah tawar. "Abang, janganlah macam tu. Ini pun rezki tau, tak baik abang merungut." Dia perlu menasihati bila anaknya mula mempertikai rezeki yang dihidangkan.

"Bila kita nak dapat makan ayam eh? Abang dah rindu nak makan ayam. Ayah kata nak beli, tapi entah bila."

Khadeeja lepaskan keluhan. Tawar wajahnya memandang Naufal. "Kita tunggu ayah balik ya, mana tahu ayah ada beli ayam."

"Kalau macam tu abang nak makan bila ayah balik jelah. Ibu suap je adik tu, abang tak nak." Naufal mengangkat punggung lantas berlalu dari hadapan ibunya.

Khadeeja hanya mampu mengeluh melihat sikap Naufal yang mula tegas menunjukkan protes. Selera budak-budak ada harinya berubah. Kadang makan telur saja sudah okey. Kadang bila mood tengah tak baik, macam gini lah ni. Benda yang tak ada dimintanya.

Yang Naufal mahukan adalah ayam, tapi apakan daya hanya telur sahaja yang mampu dimasak. itu pun dah nak habis. Dengan keadaan ekonomi serba mencabar seperti sekarang ini, dapat makan telur saja pun sudah dikira mewah.

"Ibu, nak makan lagi. Aaaa..."

Hampir terlupa mahu menyuapkan makanan pada Nayla dek kerana keasyikan melamun. Si kecil ini masih tak pandai komplain. Asal ada makanan saja cukup buat dia happy. Kalaulah Naufal pun begini, taklah orang tua serba salah macam ni. Khadeeja pujuk hati sendiri cukup dengan melihat Nayla makan, sangat berselera walaupun berlauk telur sahaja.

"Assalamualaikum."

"Waalaikum salam. Abang, awal balik?" Khadeeja tak menyambut suaminya di pintu seperti biasa memandangkan dirinya sedang menyuap anak makan. Hanya ditunggu suaminya datang bergabung duduk sekali.

Nasib baik Mirza bukan jenis berkira dalam urusan seperti itu. Sesetengah lelaki cukup pantang bila isterinya tidak bangun berdiri tika suami baru pulang. Kena sambut macam raja, barulah senang hatinya. Tak, Mirza bukan macam tu. Lelaki ini cukup santai dan mudah beralah dengan keadaan. Faham bila isterinya sedang menyuap anak, dia pun masuk sendiri dan bergabung duduk sekali.

Khadeeja pula walaupun sedang sibuk dengan urusannya tetap tak lupa menyempatkan diri menyambut tangan suami untuk diberi ciuman setiap kali hendak pergi dan juga pulang. Adat seorang isteri yang ditekankan oleh arwah emaknya dulu sewaktu kedua orang tuanya masih ada. Hingga kini dia amalkan tanpa terlupa. "Abang lapar ke? Deeja ingat abang balik lambat sikit. Itu yang tak gorengkan lagi telur untuk abang," katanya.

"Tak apa, tak apa. Suap dulu anak tu. Abang kalau nak goreng sendiri pun boleh. Nak rehat sekejap, penat," kata Mirza. Santai namun terlihat payah dari roman suara.

"Banyak ke hasil menoreh hari ini, abang?"

Mirza tak langsung menjawap melainkan merunduk sejenak. Panjang nafasnya dihembus melepaskan penat. Tak lama, lelaki itu dilihat menggosok kepala dengan tangan kanan seperti sedang kerungsingan. "Getah tadi, hilang kena curi," adunya.

"Apa? Astagfirullah. Macam mana boleh kena curi, abang?"

"Tak tahulah, Deeja. Dah bukan rezki. Padahal banyak dah tadi abang dapat. Abang cadang nak belikan budak-budak ni KFC petang nanti. Tapi ini pulak yang jadi."

"Ya Allah."

Tak ada kerja yang tak berisiko. Waimma kerja kampung pun tak luput dari masalah. Kejadian tak diduga telah mematahkan semangat hari ini. Mirza pulang ke rumah dengan perasaan hampa bilamana kehilangan targetnya.

Buat keluarga yang berjuang setiap hari untuk menyambung hidup, kehilangan nilai sebegitu tentu amat ketara kesannya. Macam-macam perancangan diatur kemas sebaik dapat duit nanti, tetapi hanya perlu reda bila rezki telah terlepas dari genggaman.

"Dah agak dah, sama juga tak ada ayam hari ini. Dahlah, abang tak nak makan." Naufal muncul semula lalu menyampuk. Seterusnya dia masuk kembali ke bilik dengan menghempas pintu.

"Naufal!" jerit Khadeeja. Kadang naik menyinga juga dengan sikap anak sulungnya yang akan menginjak usia 10 tahun itu. Boleh pula curi-curi dengar orang tua bersembang, lepas tu menyampuk tunjuk perasaan. Ya Allah, sabar jelah hati ini.

Mirza pula tak memberi apa-apa tanggapan mengenai sikap anaknya yang mulai kuat berontak sejak kebelakangan ini. Lelaki itu pilih merunduk tidak bersuara.

"Abang, boleh tak jangan diam aje? Marah sikit si Naufal tu. Kalau Deeja je dia buat tak tahu, tau!"

"Biar jelah, Deeja!"

"Hah?" Terkejut Khadeeja mendengar respons dari mulut suaminya. "Nak biar dia tunjuk perangai macam tu? Pijak kepala nanti budak tu, abang. Abang kena tegas sikit dengan dia. Dengan abang dia takut."

"Masalahnya abang yang janji pada dia nak belikan ayam KFC lepas dapat duit hari ini. Tapi dah jadi macam ni, siapa dapat jangka?"

"Ish, abang pun satu. Lain kali tak payah berjanji-janji dengan budak. Kita ni bukan orang senang. Jangan abang nak turutkan sangat kehendak dia tu."

"Salah ke jika saya cuma nak dia happy, Deeja?"

"Memang tak salah abang, tapi kita kena tengok keadaan. Kalau benda tu dah jelas di luar kemampuan, kita kena ajar diorang untuk menerima."

Mirza tidak membantah lagi. Kedua belah lengan dilipat sesama sendiri buat menyembamkan mukanya di situ. Berapa saat lelaki itu membiarkan keadaan reda dengan kebisuannya. Dia sedang cuba sembunyikan air mata yang jatuh dari dilihat oleh Khadeeja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience