AROMA tumisan sambal ikan bilis, berpadu dengan haruman nasi lemak pandan memenuhi ruang dapur, membelai pundak rasa sesiapa sahaja yang terciumnya. Sungguh mengecurkan liur. Sekelip mata, hilang segala kantuk yang bersarang di mata Firdaus ketika melangkah ke dapur.
Humaira terlalu khusyuk menumis sambal. Kehadiran suaminya di dapur pun dia tidak perasan.
“Selamat pagi sayang.” Firdaus merangkul pinggang Humaira dari belakang. Pipi Humaira dihadiahkan satu kucupan oleh Firdaus.
“Eh, abang ni. Terkejut sayang. Selamat pagi.”
“Amboi, sedapnya bau.”
“Tengoklah siapa yang masak.” Humaira menyimpul senyum.
“Sayang nak tahu tak? Nasi lemak air tangan sayanglah yang paling sedap abang pernah makan. Abang tak pernah rasa nasi lemak sesedap ni dekat tempat lain tau.” Firdaus menyuara isi hatinya ikhlas. Dia cukup mengagumi masakan air tangan oleh Humaira.
Humaira tergelak kecil mendengar kata-kata Firdaus, segan dengan pujian melambung encik suami.
“Ketawa apa ha? Betullah abang cakap. Abang tak tipu tau.” Polos sungguh wajah Firdaus.
“Yalah abang.” Tangannya mencapai kotak santan. Ukuran separuh senduk santan dituang untuk menaikkan rasa lemak ke dalam sambal.
“Apa kata, abang tolong siapkan meja sementara sayang nak hidang nasi? Boleh?” Humaira meminta tolong sambil memandang tunak wajah suaminya. Suaminya yang sentiasa membantunya, perkahwinan kali ini sangat-sangat membuka matanya tentang sebuah kehidupan berumah tangga.
“Kenapa?” tanya Firdaus lembut.
Humaira menggeleng. “Terima kasih.”
“Benda belum buat lagi sayang.” Firdaus menggosok kepala Humaira tanda kasih.
Gerak-geri Firdaus dipandang penuh sayu, hatinya sangat bersyukur dengan kurniaan jodoh kali kedua ini. Walaupun dia sendiri masih trauma dengan perkahwinan sebelum ini, namun perkara lepas banyak mengajarnya dan Firdaus juga banyak memberi ruang untuk dirinya sembuh daripada kekecewaan lampau.
Jika beginilah untuk mengecapi bahagia perlu melalui kedukaan, mungkin dia sanggup.
“Banyak pahala Humaira hari ni…” Tawa Firdaus tanpa memandang Humair.
Tuhan, aku jatuh cinta lagi.
“ABANG pergi kerja dulu ya.”
“Baik abang, hati-hati.” Humaira mengucup tangan suaminya.
Firdaus menarik tubuh Humaira ke dalam pelukan dan melabuhkan kucupan lembut ke ubun isterinya, dan menggosok lembut kepala isterinya. Perasaan Humaira terus menggebu. Cintanyaaa…
Humaira memerhati kenderaan Firdaus meninggalkan pekarangan rumah. Semakin menjauh sebelum hilang dari ufuk pandangan. Semakin menjauh, semakin rindu.
Eh, aku termenung apa lagi ni? Firdaus pergi kerja je pun, bukannya lama. Nanti malam, dia baliklah, Humaira menyedapkan hati.
“ASSALAMUALAIKUM.”
“Waalaikumussalam, masuklah.” Humaira membuka pintu. Pagi itu, Fiza bertandang ke rumah Humaira untuk mengambil barang pesanan. Fiza, janda anak dua yang menjadi dropship seangkatan Humaira, merangkap rakan baik dan teman meluah serta mengumpat.
“Ha, dah siap ke belum barangnya?” soal Fiza.
“Sekejap. Kau tolong aku sekejap.”
Botol-botol jamu dan sabun bar pencuci muka tersusun di atas meja.
“Buat apa ni?”
“Photoshoot sekejap tadi.”
“Oh, siap ada photoshoot ya? Nak aku tolong tak?”
“Eh, tak apa. Dah settle pun tadi,” balas Humaira bersahaja.
“Wah, laju?”
“Ni, tengok ni. Okey tak gambar ni?”
“Cantiklah. Pandai kau tangkap angle ni. Mana belajar?”
Humaira tersenyum. “Firdaus yang tolong ambil gambar ni tadi sebelum dia pergi kerja. Dia pandai tangkap gambar. Aku edit je.”
“Untunglah, ada suami multi-talented.” Mereka ketawa kecil. Benar kata Fiza, Humaira tersangatlah senang hati bersuamikan lelaki serba boleh seperti Firdaus.
“Kau Maira, bersyukurlah ada suami penyayang macam Firdaus. Jaga dia elok-elok. Kalau tak, jadi macam aku ni, menjanda awal.”
“Eh Fiza ni, jangan cakap macam tu.” Pantang sungguh Humaira dengan perkataan janda itu. Bukan membenci tetapi dia takut dengan kehilangan lelaki sebaik suaminya ini. Suamiku Perfect Hundred Percent.
“Tak adalah. Aku sebagai kawan baik yang ada pengalaman, aku nasihatkan kau je. Orang macam Firdaus tu ramai nak tau. Kalau kau tak hati-hati, mahu disondolnya laki kau tu.”
Humaira terdiam. Dia gugup.
“Hoi! Kenapa diam?” Fiza menyiku Humaira yang termenung. “Kau okay tak?”
“Oh okay. Tak ada apa.” Humaira tersentak seketika.
“Upload lah. Kau tunggu apa lagi?”
“Oh ya.”
Tombol butang muatnaik ditekan pada komputer ribanya.
“Ini semua untuk promosi ke ni?”
“Mestilah.” Humaira mengangguk.
“Kau tak nak hire videographer ke?”
“Malaslah, mahal.” Selamba Humaira membalas. Bukannya dia tidak mampu, tetapi dia lebih gemar membuatnya sendiri. Humaira malas mahu mencari orang luar semata-mata untuk beberapa keping gambar. Firdaus sahaja pun sudah cukup membantu. Ilmu editing pun dipelajari sendiri daripada Youtube dan internet.
“Tengok page kau. Ramai tak follower?”
“Bolehlah, ramai jugak.”
“Aku punya bukan main susah lagi nak naik follower.” Fiza menyelit dan turut mengintai ke paparan komputer milik Humaira. “Ada tips untuk Fac page yang baik tak? Manalah tahu, aku boleh cuba.”
“Aku ada beberapa tips untuk buat laman Fac kau menarik. Tips pertama, kau mesti aktif post. Page yang aktif lebih mudah dicari pengguna. Satu klik, terus keluar. Kedua, kenal audien sasaran. Dengan cara ni, kau tahu untuk apa content post yang sesuai untuk mereka. Content post yang dekat dengan audien cenderung untuk di repost dan share. Ketiga, variasikan post. Mungkin, selain daripada gambar produk, kau boleh kongsi tips atau life hack. Jadi, pengguna akan tertarik untuk spend masa lebih lama pada page kau.”
Lama Fiza termenung menghadam kata-kata Humaira. Sejenak, dia terangguk-angguk. “Yalah, tak terfikir pulak aku. Nasib baik aku tanya.” Humaira mengangkat ibu jari tanda setuju.
“Ni, aku nak tunjuk contoh post yang aku selalu buat.” Jarinya menggerakkan tetikus. Sedang mereka asyik bercerita tips berniaga, mata Humaira terpaku pada satu post yang terpapar di Fac.
“Ini dari page Cerita Rumah Tangga ke?” Fiza menyoal.
“Uh…”
“Scroll ke atas sekejap. Aku nak baca,” tambah Fiza lagi.
“Okey,” balas Humaira perlahan. Anak matanya memgimbas satu per satu perkataan yang bercantum membentuk ayat.
Hantaran pengguna Najihah_Naser43,
[Walaupun cerita ni dah lama tapi bagi kesan kat saya. Sampai sekarang saya belum pulih lagi. Saya berkahwin dengan lelaki yang saya kenal di satu majlis, H gelaran yang saya bagi. Kami dikenalkan atas cadangan kawan-kawan rapat kami. Kerana percaya dengan kawan-kawan masa tu saya pun buka hati untuk H. H juga seorang lelaki yang baik dan budiman.
Pendekkan cerita, masa malam lepas nikah H ada bagitahu saya yang dia agak gementar bersama orang perempuan dan perlukan masa. Saya jadi malu masa tu dan bersetuju untuk beri masa kepada kami. Lama-lama masa yang diambil menjadi 6 bulan kami tidak pernah bersentuhan. Saya pernah ajukan soalan ini berulang kali, namun H kerap beri alasan penat.
Ada satu hari di mana Allah tunjukkan kepada saya kebenaran. Saya tertidur dan perasan H tiada di sisi saya. Dan saya bangun mencari dia. Alangkah terkejutnya saya ketika turun ke bilik bawah dia sedang bervideo call sambil membuat perkara tidak senonoh. Saya terus menyerang dia dan merampas phonenya dan melihat ada lelaki lain dalam video call itu.
Dari situ baru saya tahu suami saya bernafsu songsang. Patutlah saya tidak disentuh. Selepas kejadian itu saya minta untuk dilepaskan saja dan sampai sekarang aibnya saya jaga. Pesanan saya, kalau dah bernafsu songsang tu janganlah permainkan nilai sebuah perkahwinan. Jangan rosakkan hati orang lain untuk menghalalkan perbuatan terkutuk itu. Sampai sekarang saya masih tidak dapat memaafkan H. Sekian.]
“Eiu, jijiknya lelaki macam tu. Ingatkan, dekat negara orang putih je ada. Rupanya, dekat Malaysia pun ada. Seram, kan?” Fiza menjengket bahu, seriau dengan apa yang dibacanya. Humaira pula berdiam seribu bahasa. Jantungnya berdebar kuat. Meskipun pahit, ada benarnya kata-kata Fiza.
“Nasib baik tak bersama lagi. Kalau datangnya penyakit macam mana? Tak haru biru jadinya. Allahuakbar. Nauzubillah… Eh, dah nak zohor ni. Aku balik dulu tau. Thanks kongsi tips. Nanti apa-apa, aku update dekat kau.”
Humaira hanya mengangguk kepala. Lidahnya kelu. Terasa seluruh tubuhnya mulai menggigil perlahan. Waktu itu, terbayang-bayang di benaknya wajah Jackson seperti mengejek mentertawakannya. Sedangkan aku sendiri kalah dengan sentuhan Irwan dan lelaki sekeras Irwan pun mampu ditundukkan. Risau pula dengan Firdaus yang lemah lembut orangnya tu?
“Tak! Tak boleh! Firdaus tu aku punya! Aku sorang! Seorang!” jerit Humaira dengan suara yang ditahan-tahan.
HARI beransur malam. Usai solat Isyak, Humaira mengambil tempat duduk rapat dengan Firdaus di atas katil.
“So, how’s your day?” Humaira menyoal. Tangan Firdaus diambil dan disulam dengan lengannya. Perfect!
Jemari mereka saling diusap menimbulkan rasa sayang dan diperlukan.
“Hari ni, office abang ada jemput ustaz ni. Muda juga tapi ilmu dia masyaAllah. Merendah diri lagi tu. Banyak ilmu abang dapat dengan dia, sebelum ni pun ada kawan-kawan cakap ustaz muda ni bagus orangnya.” Firdaus memulakan bicara.
Humaira menoleh ke sisi memandang wajah Firdaus. “Ya? Ustaz tu cakap apa?”
Firdaus menyelesakan kedudukannya. Dan berdeham semula memulakan cerita. “Kita semua tahu kan kisah kaum Nabi Lut pasal apa? Pasal kaum Sodom yang dengan kelakuan haramnya itu.”
Humaira mengerut muka. “Err…” Serba salah Humaira untuk menyampuk kerana dia sangat terkesan dengan kelakuan kaum-kaum sejenis itu.
“Lupa ya? Tak apa, sini abang cerita.” Firdaus merapatkan tubuh Humaira ke tubuhnya.
“Nabi Luth diutus ke atas sebuah kaum di Kota Sodom. Kemungkaran yang dilakukan kaum Sodom ini lebih hina daripada binatang, bahkan tidak pernah dilakukan oleh kaum-kaum lain sebelumnya.”
“Kelakuan seks songsang, luar tabi’i.”
Humaira terkedu. Jantung semakin laju, namun Firdaus tidak menyedari hal itu. Pelukannya semakin kuat.
“Dikisahkan pada satu hari, tiga malaikat menyerupai pemuda tampan masuk ke kota Sodom dan pergi ke rumah nabi Luth. Kehadiran ketiga-tiga pemuda tampan itu diketahui penduduk Sodom, lantas mereka ke rumah Nabi Luth untuk memenuhi kemahuan songsang mereka. Dengan izin Allah, pandangan mereka dikaburkan ke atas malaikat tersebut.”
“Macam mana kaum Sodom ni dibinasakan?” Perasaan ingin tahunya semakin kuat.
“Malaikat itu berpesan pada Baginda untuk membawa keluarganya keluar daripada kota Sodom waktu malam dan jangan menoleh ke belakang sekali pun. Pagi berikutnya, kota kaum Sodom digoncangkan. Akhirnya, seisi negeri yang didiami mereka diterbalikkan.”
“Ngerinya.”
“Sayang tahu apa yang lebih sedih?” Firdaus memandang raut isterinya yang kelihatan gusar.
“Apa dia abang?”
“Malam perjalanan, isteri Nabi Luth tetap menoleh ke belakang dan tidak mengikuti penghijrahan Nabi Luth. Maka, dia juga termasuk dalam golongan yang dibinasakan.”
Hari Humaira bagai disentak. Sedangkan isteri kepada seorang nabi, diuji dan akhirnya dibinasa. Dirinya pula?
“Isteri kepada seorang nabi pun, kalau memihak kepada kemungkaran, tetap dihancurkan bersama-sama kemungkaran tu.” Ujar Humaira berbaur sesal.
“Betul sayang. Jangan cakap isteri saja. Sesiapa pun, kalau hatinya membenarkan kemungkaran, dia tak akan terlepas daripada azab selagi mana dia belum bertaubat. Okeylah, dah lewat ni. Abang pun dah mengantuk ni, sebelum tidur sayang nak apaapa tak? Abang boleh ambilkan.” Firdaus membetulkan kedudukan dan berbaring. Humaira masih kaku.
“Sayang? Ada apa-apa yang mengganggu fikiran sayang ke?”
Humaira menggeleng kepala. Ditenungnya dalam kolam mata Firdaus. Hatinya bundar.
“Sayang.” Firdaus mengelus mesra pipi Humaira. “Kalau ada apa-apa, bagitahu dengan abang. Okey? Jangan sorok-sorok. Tak elok.”
“Abang tak perlu risau. Sayang cuma terkesan dengan cerita tadi.” Humaira menggaris senyuman tawar.
“Lepaskan sayang. Dan, maafkan.”
Humaira mengangguk perlahan.
“BELAKANG lagi. Lagi sikit.” Seorang lelaki warga Indonesia memberi arahan kepada pemandu lori perabot. Bunyi bising daripada lori tersebut menarik perhatian Humaira yang sedang menyidai pakaian di pekarangan rumahnya.
“Ada jiran baru pindah ke depan rumah aku?” Humaira menjenguk ke pagar.
“Sikit lagi, sikit lagi…” Lelaki itu mengangkat tangan. “Op, op… Okay, stop.” Lori itu pun berhenti.
Siapa ya yang pindah depan rumah aku ni? Rumah tu pun dah lama kosong. Humaira menyenget kepala mengintai ke seberang. Kelihatan satu sosok wanita tinggi lampai yang berambut paras bahu.
Eh, sekejap. Wajah itu, macam aku kenal?
Dia mengecilkan mata.
Hatinya berdebar.
Sakit.
Gemuruh.
Risau.
Allah, adakah benar kita akan diuji dengan apa yang paling kita sayang?
Sosok yang tersenyum sambil mengangkat barang masuk ke dalam rumah itu membuatkan Humaira tidak keruan dan pastinya jiwanya akan roboh kerana sering bertengkar dengan perasaan sendiri.
Share this novel
aku suka sekali ceritanga