ORANG ramai mula berkumpul dan berbisik-bisik sesama sendiri. Melihat keadaan itu, Humaira kian dilanda resah. Mahu tidak mahu, terpaksa jua Humaira turun dari kereta dan berhadapan dengan lelaki itu.
“Irwan, please…”
“Tolong!” Irwan tiba-tiba bertempik. “Perempuan ni curi sawi saya!” Serentak, mata-mata yang memerhati itu tadi semuanya di hala tepat ke arah Humaira.
“Hah!!! Aku mencuri???”
Bisik-bisik kurang enak mula kedengaran.
Alamak… Bukan ini yang aku nak… Jantung Irwan seakan-akan terhenti tatkala menatap anak mata Humaira yang berapi-api.
“Kau cakap jangan ikut sedap kau ya?” Humaira bercekak pinggang. “Lelaki gila! Dah, turun dari kereta aku sekarang.” Hujung baju Irwan dicengkam dan ditarik sepenuh tenaga. Namun, lelaki itu masih tidak sedikit pun berganjak. Berat macam unta.
“Turun aku kata!”
“Tak nak. You dengar dulu apa I nak cakap.” Irwan gelongsor sedikit dan berdiri di hadapan Humaira. Irwan dan Humaira melihat orang sekeliling yang mula beransur pergi dan membiarkan drama pukul 7.00 mereka.
“Dulu aku dah banyak dengar sangat cakap kau,” Humaira terus mengelak daripada disentuh Irwan yang cuba menahannya masuk ke dalam kereta. “Kau nak apa lagi?”
“Sejak bila berkasar ni? Maira kat sini sebab teringatkan I kan? I kenal you Maira… You… manja orangnya, clingy… tak boleh hidup tanpa lelaki di sisi.”
Pak!
“Ergh!”
Perut Irwan dihentak oleh Humaira. Dia berterima kasih dengan suaminya, Firdaus kerana mengajarnya erti backhand ini. “Blah lah!”
Humaira terus masuk ke dalam kereta dan telinganya dapat menangkap ayat yang dikeluarkan oleh Irwan yang membuatkannya dia merasa geli.
“I masih ingat bau you sayang.”
“Sial!”
“SAYANG…” Firdaus menyambut ceria di muka pintu. Wajahnya tidak lekang senyuman setiap kali menyambut kepulangan Humaira ke rumah. Usai turun dari kenderaan, Humaira langsung menderu ke arah batang tubuh Firdaus di hadapannya. Dia membenam wajah ke dada lelaki itu.
“Sayang, kenapa ni? Okey ke ni?” Lama juga Humaira berdiam diri. Humaira hakikatnya masih diterpa rasa bersalah, mengenangkan insiden dengan Irwan di pasar tadi. Lebih lagi dengan kata-kata yang Irwan lemparkan dia geli dan jijik. Dia langsung tak boleh nak lihat wajah Irwan sehingga ke hari ini. Trauma yang dia alami bukannya biasa-biasa.
“Kalau ada apa-apa, bagitahulah dengan abang.” Firdaus mulai kerisauan. Ikal rambut isterinya dibelai lembut.
“Kenapa?” Humaira mengangkat muka sambil membulatkan matanya. “Peluk pun tak boleh?” soalnya lagi.
“Ke abang malu Maira peluk abang? Kalau macam tu, tak apalah.” Humaira melepaskan pelukan. Wajahnya menjadi monyok.
“Malu? Kenapa nak malu?” Firdaus menahannya daripada masuk ke dalam rumah.
Humaira mendengus. “Ke ada hati yang nak kena jaga?” Humaira mengerling sekelilingnya. Firdaus turut sama melihat sekelilingnya. Tiada apa-apa yang menarik melainkan isterinya di hadapan ini.
Perlahan tangan Humaira digapai dan terus saja dia menarik isterinya masuk ke dalam rumah. Pagar rumah ditutup dan pintu kayu dikunci. Humaira hanya menurut saja apa yang dilakukan oleh Firdaus. Dia menjeling perlahan suaminya, Firdaus. Sangat tenang orangnya, sangat baik orangnya.
“Duduk dulu…” arah Firdaus.
Humaira menurut.
“Apa yang jadi tadi masa Maira pergi hantar barang? Tak nak cerita ke? Bukan ke Maira sendiri cakap dalam perkahwinan komunikasi tu penting, berahsia tu jangan, menipu lagilah jangan.” Tangan Humaira diusap perlahan.
Hati Humaira jadi cair seperti ais yang beku mencair di tengah panas. Air matanya juga murah mengalir sebenarnya dia mahukan perhatian daripada suaminya ini sebab tadi sebelum dia masuk ke dalam rumah dia lihat ada jiran-jiran yang memerhati.
Firdaus kelemahannya adalah memujuk. Bukankah semua lelaki normal ada masalah ini?
“Kopi atau air coklat?”
“Abang nak bancuhkan? Boleh juga. Abang buat je mana-mana.”
Firdaus memilih untuk membuat kopi putih lalu dia menuangkan ke dalam cawan kaca dan diletakkan pada meja sisi berdekatan tempat Humaira duduk. “Nah. Minumlah sementara masih panas. Abang nak pergi mandi sekejap.”
“Okey. Terima kasih abang.”
Humaira menopang dagu dan merenung ke luar jendela. Aroma kopi putih itu menari-nari di rongga hidung. Lantas, fikirannya menerawang. Otaknya memainkan semula pita rakaman memorinya. Deretan rumah berwarna putih, barisan pokok pain, kilauan bola plastik merah yang berjuntai-juntai, semua itu berpadu membentuk memori silam.
PAGI 23 Disember, beberapa tahun lalu.
Hari Sabtu. Humaira melorek tanda palang pada ruang petak di kalendar.
“Hari ni mesti buang sampah,” gumamnya sendiri.
Hari Sabtu bersamaan hari membuang sampah. Nota itu tercatat kemas pada kalendar di kaunter dapur. Humaira sentiasa memastikan hari-harinya tersusun mengikut pelan harian yang sudah dirangkanya awal-awal lagi. Kalau satu hari terlepas, pasti satu minggu itu kucar-kacir.
“Beratnya…” Sesaat plastik tebal berwarna hitam itu diangkat, habis berterabur isi dalamnya yang terdiri daripada kotak-kotak tisu berbentuk silinder. “Aduh, terburai lagi.” Humaira mengesat dahi yang berpeluh. Dia terbongkok-bongkok mengutip satu per satu kotak yang berguling di lantai dapur.
“Banyaknya kotak tisu. Abang buat apa beli tisu banyak-banyak ni ya?”
“Better you double kan plastik tu. Takut koyak pulak nanti.” Muncul Irwan menyertainya di dapur bersama gelas yang sudah kosong. Ya, memang benar. Irwan adalah bekas suami Humaira.
Keluhan penat yang dilepaskan langsung tidak dapat ditangkap oleh Irwan. Humaira terkenang tong sampah besar berjarak hanya beberapa meter di pekarangan belakang rumah mereka. Sampah yang sudah diikat perlu diangkut melalui pintu dapur.
“I tunggu you dekat meja makan ya. Lepas dah angkut sampah tu keluar, you basuh tangan dulu. Nanti kita sarapan,” kata Irwan tanpa serba salah.
“Hmm, ada suami pun, tak sudi nak pinjamkan tangan. Dah nampak kita bawa sampah berat-berat macam ni, tak ada pun offer nak tolong. At least, bukakanlah pintu dapur tu.” Humaira mencebik. “Tahu mengarah itu ini je. Dia ingat kita ni maid dia kut?” Bebelan demi bebelan singgah ke telinga Irwan.
“Haisy, yalah.” Tak tahan dengan bebelan Humaira, dia akur dan menolak pintu seperti yang dipinta.
Pintu dapur dibuka luas.
Humaira perlahan-lahan menyeret beg plastik sampah di laluan berbatu belakang rumahnya. “Fuh, berat.” Sekali sekala, dia mengeluh. Baru separuh jalan, Humaira sudah berhenti tercungap-cungap.
Pandangannya dibuang ke rumah di seberang jalan, betul-betul bertentangan dengan halaman belakang rumahnya.
Amboi, meriah sungguh. Ada pertandingan deko rumah ke? bisik hati kecil Humaira.
Deretan pokok pain pelbagai saiz disusun di tepi tembok tinggi itu turut dihiasi bola-bola plastik berwarna merah dan emas, dililit bersama tali kertas urai yang berkilat. Ah, si Jackson tu memang. Kalau bab menghias, dialah nombor satu. Mengalahkan hiasan dalam shopping mall pun ya. Jackson si lelaki hetroseksual. Selalu berpenampilan kemas dan sado.
“Satu, dua… tiga!” Plastik sampah diayun sekuat hati dan mendarat tepat ke dalam tong besar.
“Okey, lagi satu plastik.” Humaira berjalan berpatah balik ke pintu dapur. “Aduh, ni lagi berat…” Terbongkok-bongkok gadis itu menarik keluar satu lagi plastik sampah yang lebih besar. Dia cuba menjenguk kalau ternampak Irwan. Dia mahu Irwan saja yang membuangnya. Tapi bayang pun tak nampak. Ini kalau terseret ni, boleh koyak ni. Macam mana nak angkut ya? Dia berfikir sejenak. Tak apalah, perlahan-lahan.
“Huh?” Di saat Humaira berpaling ke belakang, sebatang pokok pain sederhana tinggi berada berdekatan tong besar rumahnya. Aik, bukan tadi ada dekat seberang jalan ke? Ke aku yang tak perasan ni, nampak sangat beratnya sampah ini buat aku gila.
Sambil terbongkok, Humaira mula menarik plastik sampah perlahan-lahan. “Okay, slow and steady je Maira,” ujarnya seraya memberi semangat kepada diri sendiri. “Balik karang nak mintak Irwan urut.”
Sesaat, dia terlanggar sesuatu.
“Eh?” Humaira menoleh.
“Aaaah!” Humaira berundur setapak. Jantungnya berdegup laju.
“Pokok ni… Tadi ada dekat sana. Macam mana… Boleh ada dekat belakang aku tiba-tiba?” Dia menelan air liur. Plastik sampah di tangannya dilepaskan.
“Ada roda ke bawah pasu pokok ni?” Humaira menyenget kepala. Atas bawah atas bawah dia perhati, namun tiada apa-apa yang kelihatan mencurigakan. “Hmmm, pelik. Perasaan aku je kut. Apa-apa jelah.”
Plastik sampah itu tadi ditarik menuju ke tong besar. “Haa, ni macam mana aku nak angkat ni? Berat betul ni.”
Buk!
“Ah! Apa tu?” Humaira melompat kecil. Dia menoleh ke belakang. “Hah? Kenapa makin dekat dengan pintu? Jangan-jangan…” Gadis itu berlari anak ke arah pokok tersebut.
“Pokok ni boleh bergerak ke?” Dia cuba meraba-raba pokok tersebut.
“Psst… Maira. Jangan raba aku.” Pokok itu tiba-tiba bersuara.
“Aaahhh! Hantu!” Laju tangan Humaira menempeleng pokok tersebut sehingga jatuh ke tanah dan berguling-guling.
“Aduh, sakitlah!!!” Pokok itu bersuara lagi.
“Aaaahhhh!!!” Humaira langsung membuka langkah seribu.
“Irwan!!! Tolong!!!”
“Kenapa ni Maira?” Irwan mendapatkan isterinya. Erat pelukan Humaira, selama dia tinggal di sini tidak pernah ada kejadian pelik yang berlaku di rumah ini. Apatah lagi waktu pagi sebegini. Dengan pokok pulak tu.
“Maira kena kacau…”
“Kena kacau? Dengan siapa?” Berkerut wajah Irwan.
“Dengan pokok hantu…” ujar Humaira sambil menangis.
“Hah? Pokok hantu? Apa benda tu?”
“Ada dekat belakang…” Tangisannya semakin hebat. “Tolonglah… Lepas ni Maira dah tak nak buang sampah. Irwan yang kena pergi, kalau Maira kena rasuk macam mana?” Humaira memandang wajah Irwan untuk minta dikasihi dan dilindungi. Irwan mengangguk perlahan.
“Okey, okey. You tunggu sini. I pergi tengok sekejap.” Irwan berjalan ke dapur sambil diekori Humaira.
“Ooo… Kau rupanya yang nak kacau bini aku ya?” Irwan bercekak pinggang sebelum menghampiri pokok tersebut. “Kau nak jadi pokok sangatkan? Sini, aku tanam kau dalam tanah.”
“Eh, eh, eh. Sekejap!” Jackson berdiri dengan tubuh dilumuri cat hijau bersama daun di kepala dan pasu di sebelah kaki. Dia ingat dia pokemon ke?
Mata Irwan terbuntang memandang Jackson. Apa ke bodohnya dia berkelakuan seperti ini dan mengganggu Humaira. Apa motif jantan ni?
“Sabar, Irwan. Dengar dulu. Bagi saya explain.” Gagap Jackson bila melihat Irwan yang kacak berdiri di hadapannya. Berdebar jantung Jackson, Irwan tidak pernah sekali pun gagal untuk buat dia tidak tentu arah.
“Explain apa lagi? Kau memang nak skodeng bini aku kan?” Irwan semakin menghampiri dengan reaksi seperti menyuruh Jackson pergi dari situ. Irwan memandang Humaira yang berlindung di balik pintu dapur sambil mengintai mereka berdua.
Jackson yang bagai sudah ditangkap berlari pulang ke rumah meninggalkan segala jenis pokonya di situ.
“Kau!!!” Irwan membuka langkah dan turut berlari. Humaira pula tidak mampu berbuat apa-apa selain menyaksikan aksi kejar-mengejar antara suaminya dengan lelaki pokok tersebut.
“Irwan, dahlah tu!” Humaira melaung. Namun Irwan tidak endah. Dia terus mengejar Jackson sehingga ke dalam rumah. Akhirnya, kedua-dua lelaki itu lesap. Humaira memandang saki-baki pokok itu dan mengeluh. Sekarang siapa nak kemas?
“ALAMAK… Mana laki aku ni?” Humaira mundar-mandir di ruang tamu. Sudah hampir setengah jam pun, Irwan tetap tak pulang-pulang. “Aduh… Patut ke aku ke sana?” Dia menggosok-gosok tapak tangan yang terasa sejuk.
“Maira…” Irwan di muka pintu muncul tercungap-cungap.
“Ah! Irwan!” Humaira menyambut tubuh suaminya yang longlai. “Kenapa ni Irwan? You okey ke?”
“Tolong. I cedera…” Irwan spontan berbaring di sofa. Dengan rambut yang serabai dan pakaian yang serabut, Irwan kelihatan seperti baru pulang berperang.
“Teruk lelaki tu kerjakan I…”
Terbeliak matanya melihat kesan lebam kemerahan di tengkuk Irwan. “You… Kena gigit ke?”
“Tengok ni, badan I pun dia cakar.” Irwan memusing tubuh dan menarik pakaiannya sehingga ke paras dada.
Huh? Cakar? Biar betul? Lain macam je pergaduhan suami aku ni? Leher Irwan dibelek betul-betul. Ini bukan kesan kena… kenapa warna gigitan tu lain dan kenapa kena gigit di situ? Wajah Humaira bertukar lain. Takkanlah…
“You pergi mana sebenarnya?”
Irwan pandang mata Humaira yang tunak memandangnya.
“Kejar dialah…”
“Sampai macam ni?” Humaira mulakan soal siasat.
Laju Irwan mengangguk.
“Ni dah sampai cedera. Kita report police. Maira nak kita buat report. Tunjuk segala bukti you kena apa semua ni…”
Jantung Irwan berdebar dan dengan pantas otaknya kena berfikir selaju cahaya. Terus saja mulut Humaira diciumnya. Manakan tidak bukti harus dihapuskan.
Share this novel