Bab 1

Romance Completed 69827

“KAPTEN Natasha Humaira! Perisai ready?”

“Ready, Kapten Aisar Firdaus!” Laungnya bersemangat.

“Baiklah! Dalam kiraan tiga, kita buat sama-sama!”

“Baik kapten!”

“Tiga…” Countdown bermula. Pasangan itu bertambah gugup.

“Dua…”

“Satu!”

Splash! Keli yang dilumuri kunyit meluncur laju ke dalam kuali. Serentak, satu dapur dipenuhi asap.

Pop! Pop! Pop!

“Aaahhh!!! Berundur! Kita diserang!” Firdaus dan Humaira pantas berlari ke belakang kabinet dapur. Minyak panas mengganas!

“Kapten Natasha Humaira! Aktifkan perisai.”

“Baik Kapten Aisar Firdaus.” Penutup periuk leper dipegang seperti perisai Captain America.

Demi hidangan keli goreng, Firdaus dan Humaira rela dibedil serangan minyak panas. Selepas beberapa minit, dapur sunyi seketika. Pasangan itu perlahan-lahan keluar daripada persembunyian.

“Fuh… Dah senyap dah tu. Dah boleh angkat kut?”

“Tak boleh abang. Kena terbalikkan dulu. Barulah ikan tu masak sekata.”

“Okay. Sayang terbalikkan ikan tu. Abang tunggu belakang.”

“Haa… Tak naklah. Abanglah yang buat.”

“Alaa… Abang dah masukkan ikan dalam kuali tu tadi. Giliran sayanglah pulak.” Firdaus memeluk tubuh tidak puas hati. “Nah, ambil sudip ni. Pergi terbalikkan.” Dia menolak tubuh Humaira ke hadapan. “Jangan risau. Abang teman sayang dari belakang.”

“Ala…” Humaira mencebik bibir.

“Go sayang! Terbalikkan ikan tu. Abang yakin sayang boleh.” Firdaus setia menyokong isterinya.

Hujung sudip yang dipegang Humairah bergegar dahsyat dek gementar. Dengan jarak sehampir ini, apa-apa sahaja boleh berlaku.

“Fuh, nasib baik.” Humaira lega ketika ikan keli pertama berjaya diterbalikkan. Tinggal lagi seekor sahaja.

“Okay good. Kali ni, kita buat sama-sama.” Tangan Firdaus menyertai tangan Humaira memegang sudip. Biarlah dugaan itu dihadapi bersama-sama. “Relaks je sayang. Jangan takut, abang ada.” Humaira sempat melirik senyum mendengar kata-kata suaminya.

Boom! Minyak tiba-tiba meletus.

“Aaahhh!!!

“UHUUU… Sakit…”

“Alololo kesiannya dia… Sini sayang tampal plaster ya.” Humaira mengeluarkan kit kecemasan mini. “Kapten konon. Meh tangan tu.”

“Sampai hati sayang cakap macam tu. Sakit tau jari abang. Rasa macam nak tercabut.” Firdaus menjuih bibir. Tangannya dihulur tidak ikhlas.

“Ei dia ni. Drama betul. Baru luka sikit.” Tangan Firdaus ditarik lembut dan dipangku ke ribanya. Sekeping plaster dengan cetakan watak hero Ironman dikeluarkan daripada kotak.

“Tak nak gambar tu. Nak Spiderman.”

“Eee abang ni. Sakit-sakit pun nak memilih.”

“Mestilah, hidup ni pilihan. Kita kena pilih yang betul-betul. Macam abang pilih Maira dalam hidup abang. Seumur hidup tu lama tau. Memilih teman hidup yang akan sama-sama dengan abang sentiasa,” kata Firdaus sambil tersenyum yang mencairkan hati semua orang.

Humaira terkedu dan mengangguk perlahan. Tergoda dengan senyuman suaminya. Suami sendiri tidak mengapa ya.

“Alah, lagipun… Sayang tahukan yang abang suka Spiderman. Takkan itu pun tak ingat.”

“Haaa, yalah-yalah. Sekejap.” Humaira membelek-belek kotak plaster seperti yang diminta suaminya. “Haa, ni dia Spiderman. Jangan nak tukar gambar lain pulak. Kalau tak, sayang cubit.”

“Hehehe. Thank you sayang.”

“Hmmm… Sama-sama…” Baru sahaja plaster itu dibuka, Firdaus menahan tangan Humaira.

“Kenapa abang?” Humaira mengangkat kening. Firdaus tersenyum senget.

“Tiuplah dulu.” Bibirnya dimuncungkan. Humaira menggigit bibir, geram dengan gelagat suaminya. “Baca doa sikit.”

Firdaus meleret senyum senget. Meskipun Humaira kuat membebel, dia tetap sabar melayan permintaannya. Firdaus menguntum senyum memerhati roman wajah isterinya. Rona kemerahan yang menyeri raut pipi Humaira cukup manis. Berkali-kali pandang pun, Firdaus tak akan pernah jemu.

“Dah. Bolehlah tu. Jom, makan. Sayang dah lapar dah ni.” Kit kecemasan mini itu disimpan semula ke dalam laci.

“Hehehe. Terima kasih. Kalau macam ni, makin bertambah sayang dekat isteri abang ni.” Ucap Firdaus sambil jarinya mencuit pipi Humaira.

“Ei dia ni. Jomlah. Sayang dah tak tahan dah dengan bau keli goreng tu. Menggeletar nafsu makan.”

“Amboi. Nafsu dekat abang tak sampai menggeletar pun?” Sempat jua Firdaus mengusik. Pipi Humaira tatkala itu bertambah merah.

“Ish abang ni. Yang itu nantilah. Dahlah tu. Sayang lapar ni. Sendukkan nasi cepat.”

BZZZ… Bzzz…

“Aduh… Siapa pulak call waktu macam ni?” Terbantut niat Humaira hendak menyuap nasi ke dalam mulut tatkala telefonnya berdering. “Sekejap ya abang.” Firdaus hanya mengangguk.

“Hello. Oh, Kak Mas,” Humaira berbual di telefon sambil berjalan ke ruang tamu. “Okay, Maira hantar lepas Zohor ni ya.” Panggilan ditamatkan. Humaira berlalu semula dan menyertai suaminya di ruang makan.

“Ada apa sayang?”

“Customer call suruh hantar barang dekat rumah dia petang ni.”

“Sayang. Alang-alang nak keluar tu, isikan minyak kereta abang sekali ya.”

“Ha, yalah. Nanti sayang isikan.” Ujar Humaira lalu menyuap nasi ke dalam mulut. Laparnya bukan kepalang lagi.

“SATU, dua, tiga. Okay cukup tiga kotak.” Pemeriksaan terakhir perlu dibuat sebelum dia keluar menghantar pesanan pelanggannya.

Humaira siap mengambil tempat duduk di dalam kereta. “Hmmm, okay. Semua dah cukup.” Ujarnya sambil memasang tali keledar. Kenderaan milik Firdaus yang dipandu Humaira bergerak perlahan meninggalkan pekarangan rumah mereka.

Rumah Kak Mas dekat Taman Sri, area rumah lama aku ni. Alahai… Getus hati kecilnya. Dia berasa sedikit kurang senang. Namun, inilah tugas hakikinya sebagai dropship.

Laluan perumahan yang diteduh pokok rendang mula bertukar rupa. Hanya ada bangunan pencakar langit yang memayung kurang ikhlas. Mujur jalan raya di kala itu agak lengang. Sempat juga Humaira melayan perasaan.

Ketika lampu isyarat berwarna merah, Humaira sempat mengerling ke bahu jalan yang menempatkan deretan pokok pain sederhana tinggi, dihiasi bola plastik merah berkilauan. Cantik, namun agak mengganggu fikiran.

Hari ni berapa haribulan ya? Skrin telefon dinyalakan. Oh, 23 Disember. Hari Natal dah dekat. Kata hati kecilnya.

KENDERAANNYA memintas pintu gerbang berwarna putih. Nombor rumah yang berdiri di laluan itu ditilik satu persatu.

Rumah Kak Mas nombor 18. Jadi, rumah dia mesti di lorong hujung dekat dengan tasik. Ah, memang sederet dengan rumah lama aku. Humaira mengeluh kecil.

Aduh… Janganlah dua mamat sewel tu ada lagi dekat sana. Humaira semakin berdebar.

Janganlah aku bertembung dengan dia pulak nanti. Hatinya terasa begitu berat.

“11, 12…” Kenderaan bergerak ke hadapan seiring nombor rumah yang dilintasinya.

13… Uh, nombor malang. Getus hatinya.

Sepasang mata Humaira berhenti sejenak pada sebuah rumah dua tingkat berwarna putih gading, bernombor alamat 13 di lorong itu. Deretan pokok Krismas hiasan pelbagai saiz itu cukup menghantui.

Ish, aku termenung apa lagi ni? Rumah Kak Mas depan itu je. Baik aku cepat. Humaira menekan pedal minyak.

Malas aku nak turun. Baik aku call Kak Mas dari dalam kereta je. Tunggu dia keluar rumah, baru aku turun. Dada Humaira diserang debar tidak keruan. Sungguh, Humaira benci keadaan itu. Mahu sahaja dia lekas-lekas pergi, namun ada amanah yang perlu dilaksanakan. Kak Mas sudah menanti jus kolagen tempahannya selama dua minggu.

“Salam, Kak Mas. Maira ada depan pagar rumah ni.”

“Maira. Hm, Kak Mas keluar pergi pasar petang ni. Boleh tak kalau jumpa dekat pasar sekejap? Tak apa, Kak Mas tunggu dekat bus stop tepi pasar tu ya.” Suara wanita di hujung panggilan itu membuat Humaira bertambah resah. Argh! Tadi call suruh hantar barang hari ni, tapi boleh pulak dia keluar pergi pasar. Aduh, dah satu kerja aku kena turun cari dia pulak… Humaira terasa seperti mahu menangis. Terbantut niatnya ingin lekas-lekas meninggalkan tempat itu.

Kak Mas ni pun satu. Hisy! Dengan hati yang tidak rela, stereng diputar. Peluh dingin mula membentuk di ubun.

“HA mari-mari. Ikan siakap fresh punya baru angkat.” Seorang lelaki umur separuh abad melaung di gerainya sambil menyapu lalat yang berterbangan.

Humaira tatkala itu berjalan di tengah-tengah laluan pasar bersama beg plastik membawa pesanan Kak Mas. Matanya meliar mencari kelibat wanita itu. Mana pulak Kak Mas ni… Kata nak tunggu dekat bus stop. Tapi, batang hidung pun tak nampak. Wajah Humaira bertambah monyok. Dah lah panas, lepas tu, kena berjalan pulak. Baik aku sangkut dekat pagar rumah dia je tadi.

Ya Allah. Minta-mintalah aku tak bertembung dengan…

“Maira! Sini-sini.” Kak Mas melambai daripada gerai sayuran. Leganya hati Maira di kala itu, hati dia dan Tuhan sahaja yang tahu.

“Ini Kak Mas, barangnya. Semua sekali, RM60 ya.” Humaira menyantuni Kak Mas dan menghulur bungkusan plastik berwarna putih kepadanya.

“Maira, busy ke hari ni? Kalau tak busy, jomlah singgah rumah Kak Mas sekejap. Kita minum teh, borak-borak.”

“Eh, tak apa Kak Mas. Maira ada tempat lain nak kena pergi ni.” Humaira membalas dengan senyuman simpul.

“Oh, ya ke. Tak apalah kalau macam tu. Terima kasihlah ya. Maaflah sebab menyusahkan.”

“Eh, tak ada apalah. Tak susah apa pun kak. Ni, Maira minta diri dulu ya. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam. Hati-hati memandu tu.”

HUMAIRA sempat membalas lambaian Kak Mas sebelum bergegas menuju ke keretanya semula. Ah, aku kena cepat-cepat tinggalkan tempat ni. Kakinya ditongkah semakin deras. Namun, dalam kekalutan itu, bahunya berlaga dengan tubuh lampai seseorang.

Buk!

“Ah! M… Maaf…” Ujar Humaira sambil tertunduk. Dia sememangnya tidak mahu bertentang mata dengan sesiapa pun.

“Saya tak sengaja.” Baru selangkah hendak berlalu, lengan Humaira ditahan sosok tersebut.

“Maira…”

Huh? Nanti dulu. Suara tu, jangan-jangan…

Seiring jantungnya yang berdetak semakin kuat, Humaira perlahan-lahan mengangkat muka.

“Maira? Is this really you?” Suara lelaki itu kedengaran teruja. Mata Humaira akhirnya bertembung dengan mata lelaki itu.

“Ir… Irwan?” Kalam Humaira terbata. Tak mungkin. Kenapa di sini? Kenapa sekarang?

“Maira. I dah lama rindukan you, Maira. Kenapa Maira? Kenapa? Kenapa you tinggalkan I macam tu je?” Irwan mula melantun soalan bertalu. Cengkamannya dikeraskan.

“Lepas, Irwan! Lepaskan aku.” Humaira menepis. “Kita dah tak ada apa-apa dah.”

“Tapi Maira, I masih sayang…” Belum sempat Irwan menghabiskan ayatnya, Humaira lebih dahulu menderu pergi.

“Maira, wait!” Irwan tidak menunggu lama untuk mengejar, namun dia dihalang seseorang.

“Aiya macha. Itu sawi, you bayar dulu la… Baru you kejar itu perempuan. RM3 seikat, macha.”

“Haisy!” Irwan meraba koceknya dan mengeluarkan beberapa keping wang kertas. “Nah. Keep the change.” Ujarnya sebelum lesap bersama seikat sawi itu tadi.

“Keep the change apa la macha? Bayar pun ngam-ngam. Apa punya orang.”

“MAIRA! Tunggu!”

Pengunjung pasar petang itu menyaksikan sebuah aksi kejar-mengejar setaraf filem KL Gangster di tengah-tengah laluan orang ramai.

Urgh!!! Kenapa dia kejar aku? Apa lagi dia nak dari aku? Langkah Humaira semakin laju. Kereta Firdaus yang diparkir di tepi tempat menunggu bas semakin hampir.

Ingat Maira, masuk kereta, terus lock! Lelaki tu bahaya. Getus hatinya.

KLIK.

Pintu kereta dikunci sejurus Humaira masuk ke dalam. Fuh, nasib baik sempat. Humaira menghembus nafas. Sejenak, dia bersandar melepaskan lelah yang terbuku di raganya.

TOK! Tok! Tok!

Tingkap kereta diketuk bertalu-talu.

“Maira. Buka pintu Maira. I nak cakap dengan you, please…” Irwan bukan sahaja mengetuk tingkap, malah dia turut cuba menarik pembuka pintu kereta dengan kasar. Mujur pintu sudah berkunci. Humaira menekup telinga. Rimas.

“Okay Maira. You tak nak keluar, tak apa. At least, turunkanlah tingkap. I nak tengok muka you.” Irwan terus merayu. Meskipun suaranya terbias, Humaira masih mampu menangkap bait bicaranya.

Tingkap diturunkan kurang jarak satu sentimeter sahaja.

“Maira please… Tingkap you gelap sangat. I tak nampak muka you.”

“Berambus Irwan! Kalau tak, aku report polis.” Humaira cuba mengugut lelaki itu.

“Maira, jangan macam ni sayang. Tolonglah…” Jari Irwan cuba menyelit di ruang tingkap yang terbuka. Dasar lelaki psiko!

“Pergilah Irwan. Tolonglah pergi. Aku tak nak tengok muka kau lagi.”

“Maira, jangan tinggalkan I, please…”

Enjin kereta dihidupkan. Humaira sudah tidak peduli. Lantaklah, kalau tak nak berganjak juga, baik aku langgar je mamat ni. Senang.

“MAIRA! Tunggu!”

“Aaahhh!!! Apa gila ke dia ni?” Mata Humaira terbeliak luas. Lelaki sedang itu merangkak ke atas hood keretanya.

Aiseymen. Melampau Irwan ni. Aku tak boleh biar dia buat macam ni. Memalukan.

“Argh!!! Lelaki gila!!!” Hon ditekan berulang kali seraya menarik perhatian orang ramai. Tingkap keretanya turunkan sedikit.

“Tolong!!! Ada lelaki gila kacau saya!!!” Humaira berteriak ke arah orang ramai yang mula memandang.

“I takkan turun selagi you tak nak keluar.” Irwan melekap tubuhnya pada cermin. Dia ingat dia cicak ke?

“Argh… Lelaki ni kan…” Humaira menghidupkan wiper.

“Aduh! Sakitlah.” Irwan berundur kerana ‘ditampar’ oleh wiper tesebut. Tidak cukup dengan itu, dia turut disembur air.

“Maira… Jangan buat I macam ni. I bukannya nak cuci kereta you pun.”

Orang ramai mula berkumpul dan berbisik-bisik sesama sendiri. Melihat keadaan itu, Humaira kian dilanda resah. Mahu tidak mahu, terpaksa jua Humaira turun dari kereta dan berhadapan dengan lelaki itu.

“Irwan, please…”

“TOLONG!” Irwan tiba-tiba bertempik. “Perempuan ni curi sawi saya!” Serentak, mata-mata yang memerhati itu tadi semuanya di hala tepat ke arah Humaira.

“Hah!!! Aku mencuri???”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience