PERLAHAN langkahnya dibawa ke mesin basuh. Baju dan seluar yang dipakai suaminya semalam berada di tangannya. Entah kenapa nalurinya tidak sekata dengan pemikirannya. Bersangka baik? Entahlah. Dia takut jika kelihatan bodoh kalau dia bersangka baik dengan apa yang jadi semalam.
Baju dan seluar itu dimasukkan ke dalam mesin basuh bersama baju-baju kotor yang lain dengan harapan bersihnya pakaian itu, bersih jugalah fikirannya daripada berfikir bukan-bukan. Kena ingat kepercayaan adalah tunggak utama dalam hubungan.
Cermin muka yang ada di kawasan itu memantulkan wajah ayu dan bersih Humaira. Lehernya digosok perlahan, warna, bentuk dan tempatnya hampir sama dengan yang berada di leher Irwan. Keluhan dilepaskan.
“Dia bernafsu je dengan aku…” Perlahan Humaira meluah rasa.
Teringat akan peristiwa semalam betapa mudahnya dia jatuh dalam pangkuan Irwan ketika sedang curiga dan marah.
“Aku ni memang senang betul cair dengan sentuhan, haishhh!!!” keluhnya kuat.
“Maira? You okey?” tegur Irwan yang datang secara tiba-tiba.
Humaira membisu. Dan, mengangguk perlahan dia mengorak langkah melepasi Irwan.
Irwan menangkap lengan Humaira perlahan. Dia tahu ada sesuatu mengganggu fikiran isterinya ini. “Maira. Jangan ignore I, please…”
Humaira pandang Irwan dengan lama sebelum bersuara. “You tu ha, okey ke tidak? I nak report, you beria tak nak.” Maira mencuka.
“I okey jelah. See?” Irwan berdiri dan mula berpusing-pusing, mempamer sosok tubuhnya. “I sihat je. Sihat walafiat. You tak perlu risau lebih-lebih.”
“Hmmm, yalah.”
“Maira.” Lengan isterinya dirangkul. “I tahu you sayang I sangat-sangat. I tahu, yang you risaukan I bukan?”
Humaira masih membisu. Matanya teralih kepada leher Irwan. Hatinya jadi sakit dan tidak tenteram. “I sayangkan you tau Irwan. Kalau ada apa yang berlaku antara kita one day, I takkan maafkan you.”
Irwan terdiam. Apa maksud Maira? Kurangkah rasa cinta yang dia cambah selama ini?
“YOU. I nak inform something ni.” Irwan dan Humaira tatkala itu sudah bersiap-siap untuk tidur. Irwan masih sibuk menyalin pakaiannya.
“Ada apa?” Humaira mengangkat kening. Dia sudah melupakan peristiwa 3 hari lepas. Dia ingin hidup bahagia dengan Irwan. Tetapi, dia mahu tunjuk perasaan lagi. Dia mahu dipujuk. Lagi dan lagi.
“Esok. I outstation dua hari.” Irwan tenang menelek mukanya di hadapan cermin meja solek.
Bulat mata Humaira mendengar perkhabaran itu. “Aaa? Tiba-tiba je? Kan dah minggu lepas. Takkan minggu ni kena outstation lagi?”
“Maira. You tahukan kerja I macam mana. Kena keluar sana sini. Takkan you tak faham lagi?”
“Bukan tak faham tapi…” balas Humaira, namun dipotong oleh Irwan.
“Maira. I tak balik dua malam je. Tak lama pun.” Irwan berdiri di hujung katil sambil bercekak pinggang menunjukkan postur badannya yang agak seksi. Ya, Irwan memiliki bentuk badan seperti atlet.
“I tahu tu…” Bibirnya dijuih. “Hmmm… Nampak sangat you lupa,” ujarnya perlahan menambah rajuk di hati. Lagi dan lagi.
Irwan menghembus nafas. Wajahnya berkerut. “Lupa apa?”
“Tak ada apalah.” Humaira berlabuh ke tilam. Selimut ditarik menutupi separuh tubuh.
“Where’s my midnight kiss?”
Tiada jawapan oleh Humaira. Dia merapatkan kelopak mata. Tenggelam dalam perasaan yang sentiasa dipendam.
“Sayang?”
Humaira buka mata dan wajah Firdaus di hadapannya. Ah… sudah. Dia masih teringat akan peristiwa lama. Peristiwa yang merobek jiwanya.
“Dah kering dah air dalam tu. Nak lagi ke?” tanya Firdaus lembut.
Sunyi.
Lama tatapan mereka beradu.
“Sayang… sayang nak bagitahu jangan robohkan kepercayaan, jangan pernah menipu.” Humaira belum lagi keluar daripada mimpi ngerinya.
Firdaus melutut di hadapan Humaira. “Komunikasi adalah kunci dalam setiap hubungan, sayang. Luahkan okey.”
HARI beransur malam. Fikiran Humaira masih pada kisah lama, kisah yang sudah lama dia tinggalkan. Sial betul hidupnya bila bertemu semula dengan Irwan. Firdaus yang sudah berbaring di sebelah dipandang kasih. Lelaki yang tidak tahu apa-apa tentang traumanya, tentang kisah lalunya.
Matanya dipejam rapat. Lantas, otak tidak sehala dengan apa yang dia arahkan. Imbas kembali pada malam yang menyakitkan menjadi peneman malam Humaira.
Imbas kembali…
IRWAN sudah meninggalkan rumah sejak petang tadi. Syif malam katanya. Memandangkan dia ada meeting, Irwan mungkin tidak pulang ke rumah malam itu. Humaira sedikit hampa, terutama sekali hakikat bahawa Irwan tidak sedikit pun mengingati hari ulang tahun perkahwinan mereka pada malam itu.
Patut ke aku buat surprise dekat office dia? Humaira memegang dagu. Sejenak, dia mengerling ke atas kek berwarna putih di atas meja.
Lagipun, aku rasa bersalah sangat sebab percayakan dia. Aku mahu tebus kesilapan aku malam ni. Humaira menepuk penumbuk.
Malam ni, aku akan sediakan kejutan untuk Irwan!
Pintu lif automatik itu terbuka pada tingkat lima. Sunyi betul tingkat ni. Memang ruang pejabat orang atasan agaknya? Humaira bermonolog.
Matanya meneliti satu per satu nama yang tertera pada pintu.
Auditor Tuan Irwan Heusoff
“Ah, jumpa pun.” Sebelah matanya mengintip pada kaca. “Macam tak ada orang.” Pintu tebal itu ditolak.
Kek berbentuk hati itu diletak di atas sebuah meja kopi bersaiz kecil. Jambangan bunga mawar turut disusun bersebelahan. Hm, okay kut. Baik aku menyorok dulu sementara. Nanti dia dah sampai, aku sergah.
Bunyi tapak kasut seperti mendekat. Dalam kekalutan, Humaira mengecilkan tubuh dan menyorok di bawah meja. Tangannya menekup mulut menyembunyi tawa yang hampir terkeluar.
“Saya sayangkan awak. Dah lama tak bayar nafkah kat saya, sayang… asyik perempuan tu je dapat,” rengek satu suara yang seperti Humaira kenal. Jantung Humaira bagaikan mahu tercabut. Dia mengintai di balik langsir.
Jackson.
Irwan.
Berpeluk?
Loya tekak Humaira ketika ini. Bertambah loya bila leher Irwan dicumbui oleh Jackson. Humaira menekup mulutnya. Dia perlu berfikiran waras. Benarlah selama ini anggapannya.
Suaminya songsang.
Kenapa dia diuji sebegini?
“Malasnya nak balik rumah. Serabut.” Irwan berkata dengan suara yang mengasyikkan
Huh? Serabut? Humaira bagai terusik. Perlahan dia mengeluarkan telefon pintarnya dan merekod apa yang jadi. Ini semua bukti untuk masa depannya.
Irwan berjalan malas ke sofa yang disusun menghadap jendela besar. Dia melabuhkan punggung dan terus menguap tanpa henti.
Humaira kehairanan. Dia tak nampak ke kek tu? Punyalah besar gedabak.
Mata Humaira menjadi sakit melihat aksi tidak senonoh Irwan dan Jackson. Dia perlu hentikan semua ini. Dia perlu jadi kuat dan berani. Dia tidak layak dilayan sebegini.
Humaira sudah berdiri kurang satu meter jaraknya, itu pun dia tak perasan.
“Irwan?” Humaira berjalan ke sisi. Di saat itu, matanya terbelalak besar. Jantung Humaira bagai terhenti. “Aaa… Apa ni?”
“Apa semua ni Irwan? Apa semua ni? Kau, Jackson… Apa…” Humaira bagai kehilangan kata-kata. Hatinya berderai terhempas oleh kenyataan. Dua orang ini, memuas nafsu masing-masing? Tapi, dua-dua pun lelaki. Mana mungkin…
Jackson sudah menderu keluar meninggalkan pasangan itu bersendirian. Ah, rumah tangga korang. Pandai-pandailah settle. Irwan bagaikan mati kerana darahnya seakan-akan tidak mengalir.
“Irwan!!! Apa semua ni Irwan??? You songsang ke??? Selama ni kita bersama…” Berderai empang tangisan Humaira diraduk kecewa. Hatinya hancur punah.
“I isteri you yang sah, yang halal disentuh. Ada pahala lagi. Tapi, kenapa Jackson? Kenapa lelaki tu, yang kongsi sejenis dengan you, dengan anggota tubuh yang sama dengan you. Apa yang you cari pada dia, sedangkan I ada di sisi you? You jawab sekarang???”
Irwan buntu. Mulutnya terkunci. Dia tiada jawapan yang tepat. Dalam detik itu juga, Irwan terpandang sejambak bunga dan sebuah kek yang disusun di atas meja. Hatinya disayat pilu. Benar, hari itu adalah ulangtahun perkahwinan mereka. Oh, besar sungguh dosa aku kepada Humaira.
“Diam ya? Fine.” Humaira berpeluk tubuh. Air matanya mengalir deras membasahi pipi.
“Irwan.” Pandangan Humaira membidik tepat pada anak mata Irwan.
“Ceraikan I.”
“SAYANG? Sayang?” Firdaus risau melihat Humaira yang menangis tidak henti dan tersedu-sedu ketika tidur. Bahu Humaira digoncang kuat, pipi Humaira ditepuk-tepuk. Humaira terjaga dan terus meraung lagi kuat.
Firdaus memeluk Humaira dengan erat, namun Humaira menolak bagaikan gila.
“Istighfar sayang. Istighfar.”
Buk!
Humaira terjatuh dari katil. Terus tangisan Humaira berhenti. Matanya terkunci pada mata Firdaus. Terus tangisannya lebih kepada meminta kasihan. Meminta perlindungan daripada trauma yang dia alami.
Laju Firdaus menerpa ke arah Humaira. Dan mencium segenap wajah Humaira. Doa penenang jiwa dibisikkan ke telinga isterinya. Sambil mendodoi perlahan tubuh isterinya agar lebih tenang. Kepala Humaira diusap.
“Teruk sayang mengigau. Apa yang mimpi teruk sangat ni?” pujuk Firdaus perlahan.
Tersengguk-sengguk bahu Humaira. Dieratkan lagi pelukannya.
“Kenapa sayang?”
Humaira diam lama. Degupan jantungnya semakin tenang. Firdaus benar-benar membuatkannya menjadi lebih tenang dan lebih bahagia. Air mata mengalir perlahan, perluke dia bercerita tentang sejarah perkahwinan dia yang lama? Sejarah yang menyakitkan dan memalukannya?
“Ingat, rahsia antara pasangan akan buatkan pasangan tu jauh dari kita. Communicate, Humaira. Kita sama-sama lalui,” kata Firdaus yang sering mengulang ucap tentang komunikasi dalam hubungan.
Perlahan nafas ditarik. Humaira melekapkan tapak tangannya pada wajah Firdaus.
Share this novel
Btw jackson tu laki ke pp? X kan gay kot????..kalau pp buat la nama pp????