BAB 4

Mystery Series 0

“APA yang kau nampak, Di?” soal Mak Su Zila sebaik sahaja Suri Jasmeen bolos masuk ke dalam rumah.

​Lengan Didi ditarik pantas, membawanya jauh sedikit dari rumah opah. Kini, kedua-dua mereka berdiri di pondok kecil tempat Pak Su Lan meletakkan buah-buahan untuk jualan.

Didi tahu, memang ada mata yang sedang mengintip di dalam gelap lalu dia berbisik perlahan. Mak Su Zila mengucap panjang ‘benda’ yang dihalau Didi tadi berkemungkinan besar adalah entiti yang sama jatuh menimpa bumbung kereta mereka sebentar tadi.

​Didi enggan membuka cerita di hadapan Suri Jasmeen dan Mak Su Zila amat memahami rasional itu. Itulah sebabnya, dia meminta Suri Jasmeen masuk terlebih dahulu. Lagipun Nial sudah pulang dari kilang, bermakna rumah itu sudah bernyawa.

​Didi meminta ibunya segera masuk ke dalam. Mak Su Zila menurut namun tatkala tangannya mahu merapatkan daun pintu, dia memanjangkan leher menjengah tingkap rumah Nyah Rubiah. Hanya lampu bahagian dapur yang bernyala. Kelihatan bayangan seorang wanita berdiri kaku, merenung tajam ke arahnya.

​Mak Su Zila menajamkan pandangan. Dia menelan air liur selain kelam-kabut menarik daun pintu lalu menyelaknya rapat. Dadanya berdegup kencang. Kejadian tadi, belum surut kini gangguan lain pula yang menjelma.

​Sungguh, semenjak dia dipaksa ‘menjaga’ amanah itu oleh ibunya, pelbagai jenis gangguan tidak pernah putus menghantui hidupnya. Ada kalanya, suaminya turut menerima tempias. Itu belum lagi dia memberikan kata putus untuk menerima...

​“Baik, baik... tapi, jangan salahkan emak kalau ‘anak’ mak yang satu ni ganggu kau anak-beranak. Dia sukakan kau. Tak apalah, emak tak kuasa nak bergaduh dengan kau Mila oi... emak sudah ada pengganti lain...”

​Mak Su Zila meraup muka berkali-kali. Pesanan Nyah Rubiah itu masih menghantui fikirannya seperti bayang-bayang yang tidak berkesudahan.

​“Mak, ate ngape dok tercegat je kat pintu tu maknye?” ​Nial atau Danial menegur secara tiba-tiba selepas keluar dari dapur. Dia melihat ibunya berdiri tegak sebiji seperti patung butik pengantin.

​“Hah, tak ada apa-apa. Moh, moh...” sahut Mak Su Zila dengan nada kelam-kabut.

​Nial memerhati gerak-geri ibunya yang bergegas melangkah ke kamar dengan rasa sangsi. Lelaki lewat tiga puluhan itu mengangkat bahu lalu berjalan ke arah biliknya. Tanpa Nial sedari, susuk seram yang dilihat Mak Su Zila tadi masih berdiri memerhati di sebalik cermin tingkap rumah Nyah Rubiah yang kosong itu. Nasiblah Nial tidak dikurniakan keistimewaan seperti abangnya, walau dia juga seorang pesilat.

.

.

.

​Suri Jasmeen membuka mata. Bingkas dia bangun. Gelisah merajai diri, membuatkan matanya langsung tidak mahu lelap. Tangannya terkibas-kibas menepis bahang panas yang tiba-tiba meruap, sedangkan kipas meja dan kipas siling berputar ligat.

​Telefon pintar dicapai. Tertera beberapa mesej daripada Zafrul Hoon, kekasih hatinya. Aplikasi itu dibuka. Pemuda mualaf berdarah Korea itu aktif menghantar mesej kerana sedang berada di luar negara namun dijadualkan pulang ke Malaysia tidak lama lagi.

​Suri Jasmeen ralit membalas mesej tanpa sedikit pun menghiraukan suasana sekeliling. Tanpa disedari, satu entiti hitam sedang merangkak turun dari dinding dan ia sedang menghala ke arah katil.

​"Bau apa pula ni?" bisiknya dalam ralit tak semena-mena.

​Matanya beralih dari skrin telefon ke arah atap dan alang rumah. Kosong. Tiada apa-apa yang kelihatan pada pandangan matanya.

​Suri Jasmeen kembali menatap skrin telefon. Di saat itu, lembaga tersebut sudah pun berada di lantai bawah hujung katil. Suri Jasmeen tidak menyedari pada sepasang tangan kurus kering tinggal tulang dengan kuku panjang kehitaman sedang menjalar merapati kakinya.

​Makhluk itu meluncur laju ke bawah katil sebaik sahaja pandangan Suri Jasmeen meleret ke arah itu. Entah mengapa, hatinya mendadak tidak selesa, ditambah pula dengan bau busuk yang mula menusuk rongga hidung.

​"Su... ri... Su... ri..."

​Suri Jasmeen laju mendongak. Pegangan pada telefon pintar bergetar hebat. Anak mata berwarna coklat cair itu meliar ke setiap sudut gelap, pintu sehinggalah berpusat ke arah tingkap dan kerawang atas.

​Dia merasai tiupan angin halus. Suri Jasmeen cuba mempositifkan fikiran, meyakinkan diri bahawa itu hanyalah sapaan bayu malam dan bukan bisikan makhluk lain.

​"Su... ri... Su... ri..." ​Sekali lagi, suara halus itu menyapa gegendang telinganya.

​"Siapa pula ni?" Suri Jasmeen menyoal seraya menelan air liur yang kesat. Dahinya sudah mula dibasahi peluh dingin. ​Perlahan-lahan, Suri Jasmeen memalingkan wajah ke kanan, menghadap almari pakaian apabila ekor matanya menangkap kelibat sepasang kaki yang sedang berayun di atas perabot itu.

​Mulutnya terkumat-kamit membaca ayat suci. Air mata Suri Jasmeen hampir tumpah; tatkala wajahnya menghadap almari, anak matanya perlahan-lahan mendongak ke atas.

​"Suri!" ​Satu sergahan kuat dilepaskan.

Lembaga yang tadinya bertenggek di atas almari kini sudah berada betul-betul di hadapan Suri Jasmeen yang sedang memekup muka ketakutan.

​"Allah! Mak Su!!!"

​"Kakak!!!" jerit Mak Su Zila dan Didi terpekik tatkala menerjah masuk menolak pintu bilik.

​"Allahuakbar!"

​Didi segera mengalunkan azan. Di pandangan mata batin Didi, berdiri susuk seorang wanita tua bertudung kain batik lusuh dan bertongkat, sedang garang membalas renungannya.

​"Kakak, mak su ada ni. Bawak mengucap!" pujuk wanita lewat tiga puluhan itu sambil mendakap erat tubuh anak saudaranya yang tersedu-sedan ketakutan.

​Sementara itu, jauh di alam lena Nyah Rubiah...

​“Kau harus terima aku demi keselamatan kau juga, puteri,” bisik satu suara.

​Jenuh wanita jelita itu mengalih posisi baring namun rasa berbahang tetap tidak surut.

​“Kau siapa, hah?” Nyah Puteri bersuara dengan mata terpejam rapat. Walhal itu sekadar mimpi, dia dapat merasakan dirinya berada di alam nyata.

​“Aku keturunan kamu juga, Nyah Puteri,” balas wanita berbusana indah ala puteri dalam dongeng kanak-kanak. Sungguh, bau harum tubuh wanita itu sama persis dengan bau wangian Nyah Puteri.

​“Baiklah, jika kau mampu jaga keselamatan aku serta seluruh keturunan, aku ikat janji ini,” sahut Nyah Puteri tanpa ragu.

​Selain menerima cucuk sanggul daripada entiti misteri yang tidak pernah jejakkan kaki ke bumi itu, Nyah Puteri turut mengamalkan pelbagai ilmu lama. Dia juga dipertanggungjawabkan untuk ‘membela’ harta peninggalan arwah ibunya yang berasal dari Tanah Sumatera.

​Namun sampai detik itu, dia masih belum mengenali satu lagi entiti belaannya. Adakah ia harimau putih siluman yang pernah menyelamatkannya tempoh hari?

​“Ya Allah, cantiknya,” puji Nyah Puteri tatkala tangannya menyentuh cucuk sanggul berwarna gangsa berhulukan ukiran awan larat, bertatahkan ayat Jawa kuno di tengah-tengahnya.

​“Jangan diulangi bacaan ayat itu,” arah puteri misteri itu dengan nada tiba-tiba tegang. ​Nyah Puteri mendongak dengan bibir terlopong, dihimpun seribu tanda tanya.

​“Nanti kau akan tahu sebabnya. Jaga benda ni elok-elok. Satu lagi, jauhkan ia dari Al-Quran. Sebaiknya sentiasa disematkan di atas sanggulmu,” pesannya sambil melambaikan tangan.

Spontan cucuk sanggul itu terlepas dari genggaman Nyah Puteri lalu melayang melekat di atas sanggul rambutnya.

"Setiap malam Rebo Wekasan, perasap ia sama seperti amalan kau yang lain,” pesan entiti itu sebelum hilang ghaib begitu sahaja. Tinggal kesan bau harum yang masih berlegar di udara.

​“Hah!”

Barulah sosok ​Nyah Puteri terkeluar dari lenanya. Dia bingkas bangun menyusun posisi duduk. Tangannya meraba bahagian belakang kepala yang bersanggul longgar. Perlahan-lahan, jari-jemarinya melorotkan satu benda tajam dari celah sanggul tersebut.

​Dia menggenggamnya erat. Jantungnya berdegup kencang. Perlahan-lahan tapak tangan dibuka dan terpaparlah cucuk sanggul yang sebiji sama seperti dalam mimpinya tadi.

​“Hah!” ​Dia menjerit terkejut lalu mencampakkan cucuk sanggul itu ke atas tilam.

Dia berasa pelik; bagaimana mimpi semata-mata mampu menjelmakan objek fizikal di alam nyata?

​“Nak Puteri, ingat pesan nenek. Apa sahaja barang yang kita perolehi, tidak kisah dari mana asalnya, jagalah ia dengan baik...”

​Tanpa diundang, pesanan arwah neneknya terlayar di kotak fikiran. Nyah Rubiah menghela nafas panjang lalu mengutip semula cucuk sanggul itu dari atas tilam. Dia melangkah ke meja solek, memandang cermin sambil menyimpul rambutnya kembali sebelum memaku cucuk sanggul tersebut di puncak sanggulnya.

​Dalam kelipan mata, pesona Nyah Rubiah berubah berganda-ganda; wanita itu yang asalnya memang jelita kini bertambah jelita. Senyuman meleret terukir di bibirnya menghadap cermin. ​Kelopak matanya terbuka luas. Laju Nyah Rubiah bangun lalu memerhati sekeliling biliknya.

​"Mak..." Dia menyeru Nyah Puteri si ibunya.

"Apa makna semuanya ni, mak?" soal Nyah Rubiah lagi lantas memejamkan matanya semula. Telinga menguit-nguit tatkala ada suara berbisik.

"Jangan miker riso. Selagi ia ada dengan miker. Kamu dalam jagaan sang puteri. Tetapi, bila tiba masanya miker haruslah cari tuan baru..."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience