Bab 2

Mystery Series 0

Walau langit di pantai Lumut kian ditutup tirai awan gelap. Sisa cahaya matahari yang hampir tenggelam tetap memantulkan warna keemasan yang cantik di permukaan air.

​Suri Jasmeen cuba menenangkan hati. Riuh-rendah suara pengunjung pantai langsung tidak diendahkannya. Angin petang yang bertiup lembut menampar rambut ikalnya. Setiap kali ombak kecil membasahi kaki. Suri terpaksa dia mengangkat sedikit kain pario yang dipakai mengelak daripada lencun dan dilekati pasir basah.

​“Malam ni... Suri nak tidur rumah mak su lagi ke?” ​Soalan itu meluncur tiba-tiba daripada bibir Mak Su Zila.

Langsung tidak terlintas di fikiran Suri tadi. Suri menurunkan sedikit cermin mata hitamnya dan tika yang sama, merenung kosong ke arah laut terbentang sambil berfikir panjang.

​Mak Su Zila turut memandang laut. Dari sudut matanya, jelas wanita itu keberatan membiarkan Suri pulang dan tidur bersendirian di rumah Nyah Rubiah iaitu emaknya yang masih di kampung sebelah melawat orang sakit.

​Lebih-lebih lagi selepas mendengar cerita aneh daripada Didi, anak sulungnya, pagi tadi. Cerita yang membuatkan bulu romanya meremang. Rupanya, ada 'sesuatu' di sana sedang menanti kepulangan anak saudaranya itu.

​Tidak. Memang dia tidak boleh biarkan Suri tinggal seorang diri!

​“Macam mana, kakak?” soal Mak Su Zila lembut. Dia memang gemar memanggil Suri dengan panggilan manja ‘kakak’.

​Tiada jawapan. Mak Su Zila mendongak terus merenung dengan dalam, wajah anak abang ketiganya itu.

​Dari jauh, Didi mula mengatur langkah mendekati mereka. Hari semakin senja. Sebentar lagi azan Maghrib akan berkumandang. Dalam suasana remang-remang begini, memang tidak elok terlalu lama berada di tepi pantai.

​Bukan Suri sengaja mahu membisu. Fikirannya sedang berperang. Mahu ditanya pada Mak Su Zila, takut dicop penakut pula. Namun, bayangan yang dilihatnya tadi benar-benar menghantui fikiran.

'​Opah kan masih di kampung sebelah... habis tu, siapa yang aku nampak berdiri dekat kereta tadi?' bisik hatinya cemas.

​Dia yakin, matanya tidak silap. Dia benar-benar melihat susuk tubuh opah berdiri kaku di tepi kereta sambil melambai tangan ke arahnya.

​“Kakak... mak su tanya ni. Macam mana?” Mak Su Zila mendesak lagi.

​Pandangan Suri jatuh pada kereta mereka yang terparkir di bawah pokok merimbun di seberang jalan. Didi yang tiba di sisi merenung emaknya sambil mengangkat kening, tanda bertanya.

​“Kakak tak kisah pun mak su kalau nak tidur rumah opah...” balas Suri akhirnya. Sempat matanya menangkap pergerakan halus Didi mencuit lengan Mak Su Zila.

​“Cuma...”

​“Cuma apa, kakak? Ceritalah habis-habis dekat mak su...” pinta Mak Su Zila yang merasakan Suri seakan sengaja bermain tarik tali dengannya.

​“Mak su tidur sekali lah...” Akhirnya terungkap juga isi hati Suri. ​Mak Su Zila menoleh ke arah Didi. Didi mengangguk perlahan. Tanpa buang masa, Mak Su Zila mengajak mereka berdua segera pulang. Jalan kampung menuju ke rumah itu dahlah sunyi dan langsung tiada lampu jalan.

​Suri mengangguk serta menurut langkah dua beranak itu ke kereta. Namun, ekor matanya masih melirik ke dalam ruang kereta dari belakang tubuh Mak Su Zila. ​Lega. Tiada sesiapa di dalam.

​Pintu kereta dibuka seketika untuk membuang bahang panas. Sebaik sahaja mereka melangkah masuk, hidung masing-masing langsung disengat bau busuk yang pelik. Namun, sebulat suara mereka memilih untuk membisu.

​Mak Su Zila melirik cermin pandang belakang. Suri kelihatan gelisah. Matanya pula seperti mencari sesuatu. Mak Su Zila menarik nafas, menumpukan pandangan ke hadapan. Enjin dihidupkan, diteruskan dengan bacaan doa perlahan di bibir. Didi di sebelah hanya diam tetapi matanya liar menyorot kawasan semak-samar di luar tingkap.

​“Suri...” Satu bisikan halus menyapa dari tempat duduk belakang. Suri mengeraskan tubuh. Dia cuba buat-buat tidak dengar.

​“Suri... kakak...” ​Suara serak itu memanggil lagi.

Perlahan-lahan, Suri menanggalkan cermin mata hitamnya lalu menoleh ke sisi kanan. ​Biji mata Suri hampir terkeluar. Kerongkongnya terasa seakan-akan dikunci. Dia mahu menjerit tetapi tiada suara yang keluar saat melihat satu makhluk hodoh sedang bertenggek berat di atas bahunya!

​Serta-merta, memori ngeri itu kembali menerjah minda...

​“Kakak... opah nak minta tolong dari kakak... uhuk! Uhuk!” ujar ​Opah dengan terbatuk-batuk kecil, suaranya parau. Tangannya yang berkedut seribu, terketar-ketar.

​Suri spontan mengusap dan mengurut lembut belakang opahnya yang sudah bongkok itu.

​“Apa dia, opah?” tanya Suri prihatin.
​Opah merenung tajam ke dalam anak mata Suri sambil menggenggam jemari model sambilan itu.

​Dalam detik itu, angin sejuk menyusup dari belakang. Bulu roma Suri tegak berdiri. Genggaman opah dirasakan terlalu erat hingga mencengkam tulang. Dia sakit tetapi dibiarkan kerana tidak mahu hati tua itu terguris. ​Hakikatnya, setiap kali berdua-duaan di dalam bilik itu, perasaan seram sejuk tidak pernah surut.

​“Opah... opah tahu umur opah tak lama dah...”

​“Ish, apa opah cakap macam tu?” Suri lekas membantah. ​Jemari opah yang sejuk itu digenggamnya erat, seolah-olah mahu menyalurkan kehangatan.

​Sekali lagi, bayu dingin menyapu tengkuk Suri. Dia berpaling lalu mata tertumpu ke arah luar tingkap bilik yang sudah pekat diselimuti tirai senjakala. ​Telinga opah bergerak-gerak aneh. Suri mengerling jam di tangan.

​“Kakak...” panggil opah.

​“Suri...” sambut satu lagi suara tetapi bernada bisikan halus di cuping telinganya.

​“Kakak...” opah memanggil lagi. ​Suri menoleh semula ke depan. Darahnya seakan-akan berhenti mengalir saat melihat perubahan pada wajah opah. Renungan mata itu bukan lagi pandangan seorang nenek tetapi kilauan tajam yang sedikit menyeramkan dia.

​Opah menyeringai. Tiba-tiba, telapak tangan opah meraup kasar wajah Suri.

​“Kakak jangan takut dengan opah... opah sayang kakak... ‘kawan’ opah pun sayang kakak...” bisik opah seraya melirik kosong ke ruang sebelah.

​Opah menarik semula tangannya. Suri mencelikkan mata yang sempat terpejam.

​“Allah!” Suri terjerit kecil.

​Tepat di sebelah opah, berdiri kaku satu susuk hitam berbulu lebat dengan mata merah menyala!

Suri mahu bangun dan lari namun cengkaman tangan opah pada pergelangan tangannya bertukar menjadi seketat besi.

​“Aduh, sakitlah opah...” Suri merintih kesakitan sambil menahan air mata.

​“Kakak... kawan opah ni baik... dia suka kat kakak. Nanti opah dah tak ada, biarlah dia jaga kakak... macam mana dia jaga opah...”

​“ALLAHUAKBAR!” ​Jeritan nyaring Mak Su Zila memecahkan keheningan malam.

​Suri tersentak dari lamunan ngeri itu. Matanya terbeliak luas. Didi di kerusi pemandu sudah pucat lesi. Mak Su Zila menekan brek mengejut sehingga tayar kereta bergesel kuat di atas tar.

Hampir sahaja merempuh satu lembaga putih menyerupai bungkusan kain kafan yang berdiri tegak di tengah-tengah laluan jalan!

​“Emak! Kakak, mak!” jerit Didi histeria. Mak Su Zila lekas memusingkan badannya ke belakang, panik.

​“Kakak! Kamu kenapa ni?!”

​“Kak Suri!”

​Dari ruang belakang kereta yang gelap gelita itu, suara bisikan garau tadi kembali bergema tepat di cuping telinga Suri.

"Suri... terima aku, Suri...”

​“SURI JASMEEN!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience