BAB 3

Mystery Series 0

Enjin kereta akhirnya dimatikan. Suasana malam yang sunyi digantikan dengan keheningan yang menekan dada.

​“Kamu kenapa Suri? Jenuh Mak Su dengan Didi memanggil tadi tapi kamu buat dek saja. Apa yang kamu nampak, kakak?” tegur Mak Su Zila dengan nada resah.

​Didi yang berada di sebelah masih memutar pandangannya ke luar tingkap. Matanya meliar. Dia tahu dan memang jelas nampak ada sesuatu yang bukan sahaja mengekor malah sedang berkeliaran di sekeliling kereta mereka. Pelbagai bayangan halus sedang lalu-lalang dan merangkak di atas bumbung.

​BUMMM!

​“Allahuakbar!” ​Terjerit mereka bertiga apabila bumbung kereta bergegar hebat akibat dihempap beban berat dari atas.

Suri Jasmeen yang baru tersedar dari khayalan terus menyambar lengan Mak Su Zila. Genggamannya erat dan menggigil menahan takut.

​“Mak Su... kakak takut nak tidur rumah opah...” luah Suri Jasmeen dengan nada yang hampir tenggelam dalam esakan kecil.

​Mak Su Zila berpaling memandang anak sulungnya. Didi sekadar mengangguk faham sebelum membuka pintu kereta tanpa ragu-ragu.

​“Didi nak ke mana tu, Mak Su?” soal Suri Jasmeen cemas apabila melihat sepupunya melangkah keluar menubos kepekatan malam.

​“Kakak, kamu tak jawab lagi soalan Mak Su,” pangkas Mak Su Zila mendatar seraya kembali menatap wajah anak saudaranya itu.

“Kalau ada apa-apa yang berlaku, jangan dipendam. Cerita pada Mak Su.”

​Di luar tingkap yang gelap, kelihatan kelibat Didi sedang berdiri tegak berhadapan dengan seseorang. Namun dari dalam kereta, tubuh rakan bual Didi langsung tidak kelihatan kerana dilitupi tabir kegelapan malam yang pekat.

​“Bukan kakak tak nak beritahu, Mak Su...” jawab Suri Jasmeen perlahan.

Jari-jemarinya bertaut dan melipat-lipat sesama sendiri, satu kebiasaan spontan setiap kali jiwanya digelincirkan rasa resah yang amat sangat.

​“Dah tu kenapa? Ada sesuatu yang menghalang kakak ke?” tebak Mak Su Zila lagi.

Sebagai seorang wanita bernama ibu, dia masak benar dengan kebolehan Didi yang mampu melihat alam halus. Jika Suri Jasmeen mengunci mulut sekalipun, dia sudah dapat mengagak ada bayangan ilmu hitam yang sedang mengekor.

​Baru sahaja Mak Su Zila mahu menoleh semula ke depan untuk memanggil Didi. Lengannya diraih Suri Jasmeen. Mak Su Zila kembali berpaling ke tempat duduk belakang.
​Suri Jasmeen mendekatkan wajahnya lalu mula berbisik, membocorkan rahsia besar yang selama ini tersimpan kemas.

​Sementara itu di luar, Didi sebenarnya sedang berhadapan dengan lima orang anak muda berpakaian silat serba hitam yang muncul secara tiba-tiba dari arah semak belukar. Usai berbincang dan bertukar isyarat keselamatan, Didi bersalaman dengan mereka sebelum menapak kembali ke arah kereta.

​“Ya Allah...” ucap Didi perlahan tatkala matanya terarah ke atas bumbung kereta. Ada lembaga hitam berambut panjang sedang bertenggek di situ, merenung tajam ke arah cermin.

​Dari dalam kereta, Mak Su Zila dan Suri Jasmeen hanya mampu memandang Didi yang terpaku di luar. Namun, sebaik sahaja mendengar pengakuan berbisik Suri Jasmeen mengenai niat sebenar Nyah Rubiah, dada Mak Su Zila terus berombak kencang. ​Telahannya selama ini ternyata benar. Sampai mati pun dia tidak akan izinkan ibunya menurunkan ilmu hitam itu kepada cucunya.

.

.


.

​

​Nyah Rubiah mengangguk perlahan. Bibirnya mengukir senyuman sinis. Rasa tidak sabar semakin membakar dadanya untuk pulang esok pagi.

​“Aku tahu apa aku nak buat. Mereka berdua takkan boleh halang aku. Dia cucu aku jugak, cucu sulung aku walaupun apaknya anak ketiga...” gumam Nyah Rubiah perlahan sambil matanya melirik tajam ke sudut bilik yang gelap gelita.

“Aku tahu kau suka pada dia kan? Sabar...”

​Di sebalik dinding kayu tempat dia berdiri mengintip tadi, Mak Tini membetulkan letak bajunya yang terherot akibat terkejut. Dia menarik nafas panjang sebelum mengangkat kembali dulang berisi dua cawan kopi hangat. Hatinya diserang rasa kurang selesa yang merayap hingga ke tulang hitam.

​Apabila Mak Tini melangkah masuk ke ruang tamu. Nyah Rubiah dengan pantas mengubah mimik muka. Dia menyambut kehadiran rakan lamanya itu dengan senyuman mesra yang dibuat-buat.

​Dulang berukiran motif awan larat diletakkan perlahan di atas meja rotan. Mak Tini menghulurkan secawan kopi pekat kepada Nyah Rubiah dengan tangan yang sedikit terketar-ketar.

​“Terima kasih,” ucap Nyah Rubiah. Semasa menyambut cawan itu, ekor matanya sempat mengerling ke kawasan belakang tubuh Mak Tini untuk melihat lembaga yang sedang berdiri rapat, melekap di belakang wanita yang muda sebulan daripadanya itu.

​Mak Tini yang menyedari kerlingan aneh itu terus duduk. Cawan kopi di tangannya dibawa ke bibir, dihirupnya sedikit sekadar membasahkan tekak yang kesat sebelum diletakkan semula ke atas pelapik.

​“Esok aku balik...” cetus Nyah Rubiah tiba-tiba memecah sunyi.

​“Lah, ate ngape pulok? Bukan ke miker kabo ke teman nak tinggal lagi beberapa hari kat sini? Ngape awai bebenor?” Mak Tini berpura-pura terkejut. Namun di sudut hati yang paling dalam, dia menghembus nafas lega yang amat sangat.

Semakin lama Nyah Rubiah menumpang di rumahnya, semakin tersiksa jiwanya diusik gangguan perempuan berambut panjang yang sering menutup muka.

​“Aku ada hal...” balas Nyah Rubiah ringkas sambil meletakkan semula cawannya.

​Setiap kali Nyah Rubiah makan atau minum, pasti akan ada sisa yang ditinggalkan. Matanya pula tidak lepas daripada mengerling ke sebelah meja. Air kopi sisa dalam cawannya kelihatan susut dan meresap dengan sendiri secara perlahan-lahan. Ada lidah ghaib yang sedang menyesap air itu rakus.

​Mak Tini sekadar mengangguk laju. Jika wanita tua itu sudah berkeras mahu pulang, tidak guna dia menahan lama-lama. Biarkan sahaja dia pergi bawa diri.

​“Sebelum miker ansur esok, elok ler teman pergi ambik buah doghoyan kat kebun belakang tu ha. Karang bila dah makin malam payah pulak,” terang Mak Tini bingkas bangun.

​“Herm...”

​Mak Tini terhenti melangkah. Mata terbeliaknya melingas ke sekeliling. Ada suara garau lain yang menyahut dari sudut ruang tamu itu. Apabila dia memandang Nyah Rubiah, wanita tua itu sekadar tenang mengunyah cekodok pisang tanpa rasa bersalah. Kelam-kabut Mak Tini mempercepatkan langkahnya keluar dari situ.

​Sebaik sahaja bayang Mak Tini hilang. Nyah Rubiah meludahkan semula cekodok di dalam mulutnya lalu dicampak keluar menerusi tingkap.

​“Jangan ingat aku tak tahu...” bisik Nyah Rubiah kemudian tersenyum senget kepada kelibat halus yang kembali mendarat di sisinya. Suara ghaib yang menyahut kata-kata Mak Tini tadi memang 'peliharaannya'.

​Dia tahu Mak Tini sentiasa mengintip setiap gerak-gerinya. Dia juga tahu Mak Tini berhubung rapat dengan Peah, perempuan dari Kampung Pulau Tiga yang masih menyimpan dendam dan kasih pada arwah suaminya, Anjang Ahmad.

​Mulut Nyah Rubiah mula berkumat-kamit membaca jampi serapah sementara matanya meliar mengintai segenap ruang rumah. Alang-alang berada di rumah milik mata-mata musuhnya, inilah masa yang paling sesuai untuk dia meninggalkan tanda.

​Di luar rumah, Mak Tini kelam-kabut menyumbat telefon Nokia 3310 miliknya ke dalam dada baju kebaya. Dia menyambung semula langkah mencari buah durian gugur di balik semak kebun belakang. Dapat yang kecil pun cukuplah, buat syarat menunjuk rajin pada orang kampung.

​Hakikatnya itu cuma alasan. Dia sudah pun menyampaikan berita kepulangan Nyah Rubiah kepada Peah melalui mesej sebentar tadi. Namun, ingatan terhadap peristiwa mistik beberapa minit lalu di dalam rumah membuatkan bulu romanya kembali menegak.

​Sedang dia menyuluh-yuluh pangkal pokok dengan lampu suluh dahi. Tiba-tiba, telinganya menangkap bunyi dedaun kering bergeseran dan ranting kayu bergoncang kuat di atas kepala.
​Lampu suluh segera dihalakan tepat ke rimbunan pokok yang berbunyi.

​“Sape tu?! Miker jangan nak memain malam-malam gini! Sekali teman hempuk kepale miker dengan doghoyan teman ni baru miker tahu!” gertak Mak Tini keras. Air liurnya ditelan terasa kesat.

​Tiada jawapan ataupun bayang manusia yang keluar. Cuma angin malam yang berhembus dingin membawa bisikan halus yang mengelus telinganya. Mak Tini seram sejuk. Rasa nak terkencing pun ada.

​“Kalau gini gayenye, esok pagi-pagi le teman cari. Nyamuk pun dah makin banyak ngokak teman...” bebel Mak Tini sendirian sambil menggosok-gosok kedua-dua lengannya yang tebal dengan bulu roma berdiri.

​KREK... PRANG!

​“Allahuakbar! Apa benda ni?!” pekik Mak Tini nyaring tatkala menyuluh satu kelibat hitam berwajah hodoh yang menjuntai turun dari dahan tepat di hadapan mukanya.

​Tanpa memikirkan durian atau selipar yang tercabut, Mak Tini membuka langkah seribu menuju ke arah rumah tanpa berani menoleh ke belakang lagi.

​Dari celah tingkap yang terbuka, Nyah Rubiah tersenyum geli hati menyaksikan ketakutan wanita itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience