Bab 1

Mystery Series 0

Bas Parit yang dinaiki Suri akhirnya berhenti di Hentian Cempaka Sari Pekan Parit. Suri terus bangkit dari kerusinya lalu mengangkat beg sandang dari rak atas sebelum disarungkan ke kedua-dua belah bahunya. Dengan langkah tergesa-gesa dia menuju ke pintu keluar.

​Suri pulang ke kampung kali ini kerana esok dia bakal menjadi model perasmian sebuah butik pengantin milik rakan Mak Su Zila di Pekan Kuala Kangsar. Telefon pintar yang baru digunakan untuk menghantar mesej WhatsApp kepada Mak Su Zila dimasukkan semula ke dalam poket kemejanya.

​Mak Su Zila menyuruhnya makan dahulu di medan selera Cempaka Sari. Suri Jasmeen akur kerana perutnya memang sudah menyanyi keroncong selepas dua jam setengah menempuh perjalanan melalui jalan lama. Lorong yang dihimpit hutan tebal di kiri dan kanan.

​“Suri...” ​Satu suara berbisik rapat di telinganya.

Bersamaan itu, satu bau aneh gabungan bau bunga kantan yang sudah reput dan sisa kemenyan tua. Secara tiba-tiba, melintas dan menyengatkan rongga hidungnya. Bulu roma di tengkuk Suri meremang serta-merta.

​“Ya...” sahut Suri spontan tanpa berpaling kerana dia menyangka itu suara opah ​namun langkahnya terhenti secara tiba-tiba dan dadanya berdebar mendadak. Pemandu bas yang berada di kerusi pemandu memandangnya melalui cermin sisi dengan renungan pelik.

​Semua penumpang lain sudah pun turun. Dia yang paling terakhir. Sebenarnya selain mahu cepat bertemu Mak Su dia juga sudah tidak tahan mahu ke tandas.

​“Dik? Kenapa tak turun lagi tu?” tegur pemandu bas terpaksa meninggikan suara apabila melihat gadis itu tiba-tiba terpaku di tengah laluan.

​Suri tersedar dari lamunan. Dia berpaling semula ke hadapan lalu bertembung mata dengan pandangan tajam pemandu bas tersebut. Laju dia melangkah keluar.

​“Kamu kenapa dik? Hati-hatilah kalau tak biasa dekat sini...” pesan pemandu itu sebelum mematikan enjin dan keluar dari bas.

​Suri Jasmeen terkelu. Kata-kata pemandu itu menambah misteri yang sedang berlegar dalam fikiran. Dari atas tangga bas, Suri sempat berpaling semula melihat kerusi paling belakang yang sudah kosong.

'​Tapi aku yakin itu memang suara opah. Kenapa aku boleh terdengar-dengar pulak ni?'

​“Aku rindu opah gamaknya...” gumam Suri sendiri sambil memerhati kawasan hentian sehingga matanya tertangkap deretan kedai makan yang ramai pengunjung.

​Tiba-tiba, pandangannya terhenti pada satu susuk tubuh yang sangat dia kenali. Individu itu sedang duduk bermenung di atas bangku batu di tepi deretan kedai. Laju Suri melangkah kerana rindunya pada opah yang sudah lama tidak ditemui membuatkan dia mahu menyapa segera.

​“Op...” ​Langkah dan suara Suri terbejat. Lidahnya serta-merta kelu.
​Tekaannya meleset sama sekali. Padahal tadi dari jauh jelas pada matanya susuk tubuh opah sedang duduk di situ. Namun apabila dia semakin mendekat susuk opah itu 'bertukar' menjadi sebuah pasu bunga besar.

​“Tak mungkin aku berhalusinasi? Atau fatamorgana? Tak, mustahil. Lagipun, aku bukannya berada dekat padang pasir. Kenapa dengan aku ni?” bebel Suri sendirian tanpa menyedari ada mata yang sedang memerhatikannya dari jauh.

​Seorang pemuda bertubuh sederhana dan berkulit agak gelap bangun lalu menapak ke arah Suri Jasmeen. Matanya turut tertumpu pada bangku batu tersebut sementara mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu.

​“Kak...” panggilnya dari belakang.
​Suri langsung berpaling. Pemuda berkulit gelap itu masih merenung tajam ke arah bangku batu putih di hadapan mereka.

​“Didi? Sorang saje? Mana mak su?” tanya Suri tercari-cari satu lagi figura.

​“Mak su suruh Didi fetch akak,” jawab pemuda bernama Didi itu.

"Akak dah makan ke? Kalau belum kita makan dahulu kat Cempaka Sari."

​“Kenapa Mak Su tak datang? Haritu dia cakap...”

"Ouh, Kemas ada meeting..." Didi menjawab sambil tersenyum.

"Ouh...patutlah. Kalau begitu, moh ler kita. Akak memang tak makan lagi ni. Tadi masa kat Medan Kidd singgah beli vadei jer..." Suri membalas sambil memegang perutnya yang sudah berkeroncong.

"Jom. Kita makan mee kari," ajak pemuda berkulit manggis itu lagi. Suri Jasmeen atau lebih mesra dengan panggilan Suri berpapasan dengan sepupunya itu untuk ke Medan Selera Cempaka Sari.

.

.

.

​Rumah Mak Su Zila terletak bertepatan di sebelah rumah opah. Dahulunya tapak rumah Mak Su Zila hanyalah sebuah dangau kecil di tengah kebun koko yang ditanam oleh adik kepada ayah Suri.

​Namun selepas bapa saudaranya itu meninggal dunia, sebahagian tanaman itu telah ditebang oleh bapa saudara sulung mereka. Walaupun banyak bantahan daripada ahli keluarga lain bapa saudara sulung yang seorang itu memang terkenal dengan sikap kuku besi. Jika katanya A maka A jua jawapannya tanpa istilah B atau C.

​“Mak su apa khabar? Macam mana persiapan esok?” soal Suri Jasmeen sebaik sahaja dia dan Didi tiba di halaman.

Keluar-keluar saja dari dalam kereta milik Didi. Suri berjalan laju dan terus bersalaman dengan adik bapa paling bongsu itu. Mak Su Zila kahwin muda sebab itulah dia dan Didi tak nampak macam anak - emak tapi macam kakak-adik.

​“Suri...” ​Tiba-tiba, ada satu suara halus memanggil.

​“Ya opah...” sahut Suri pantas sambil memusingkan badan.

​Didi dan Mak Su Zila saling berpandangan. Wajah masing-masing berubah tegang. Baru sahaja Suri mahu melangkah ke rumah opah di sebelah, lengannya dipegang Mak Su Zila manakala Didi pula terus mendongak dan memandang ke arah bumbung rumah opah.

​Langit kian memerah menandakan tirai senja bakal bertamu. Didi meminta izin untuk ke belakang rumah sebentar dan Mak Su Zila mengangguk perlahan. Matanya melirik ke arah tingkap rumah opah di sebelah.​Ada satu bayangan hitam sedang berdiri kaku di sebalik tingkap itu.

​“Kenapa ni mak su? Opah panggil Suri kan? Mak Su... Mak Su...” gesa Suri sambil menarik-narik lengan baju mak ciknya.

​Suri turut memandang ke arah tingkap rumah opah yang kosong. Namun helaan angin senja yang menyapu kulitnya membuatkan bulu romanya meremang hebat.

​“Dah moh kita masuk. Dah senja ni. Opah mana ada dekat rumah. Dia ke baruh jumpa Pak Ngah Kulop kamu,” terang Mak Su Zila cuba menenangkan keadaan.

​“Yeke? Tapi tadi Suri dengar...”

​“Angin lalu je tu. Moh masuk. Tak elok berdiri dekat luar waktu-waktu macam ni. Pergi mandi lepas tu siap solat,” potong Mak Su Zila cepat-cepat.

​Jawapan Mak Su Zila langsung tidak memuaskan hati Suri. Namun dia menurut jua melangkah masuk ke dalam rumah. Sebelum pintu ditutup Suri sempat menjenguk semula ke arah rumah opah yang kekal gelap dan kosong. ​Suri menggelengkan kepala.

'Halusinasi lagi.'

​Sebaik sahaja pintu kayu itu dirapatkan. 'Sesuatu' yang tidak berwujud sedang tegak berdiri di hadapan pintu rumah Mak Su Zila. Matanya merah membara merenung tajam ke permukaan pintu sebelum susuk tubuhnya tembus melangkah masuk ke dalam...

​“Suri kamu nak tidur bilik mana? Dura sekarang ni tinggal dekat asrama. Atau kamu nak tidur bilik mak su sahaja?” soal Mak Su Zila.

​Suri berkerut kening memikirkan bilik Dura yang sedikit sempit dan cermin tingkapnya berhadapan terus dengan tingkap rumah opah. Entah kenapa, rasa seriau dan meremang yang dialaminya sejak di dalam bas tadi masih belum hilang.

​“Suri... mak su tanya ni. Kamu nak tidur mana?”

​“Ke... kamu memang nak tidur rumah opah?” soal Mak Su Zila lagi.
​Soalan terakhir Mak Su Zila membuatkan dada Suri makin berdebar kencang.

Dengan pantas dia menjawab bahawa dia akan tidur di bilik Dura sahaja dahulu. Mak Su Zila mengangguk lalu bergerak ke biliknya untuk menunaikan solat Maghrib.

​Sementara itu,

Didi baru kembali dari arah laluan ke sungai di belakang rumah. Peluh jantan merenik di dahi dan bajunya basah lencun seolah-olah baru selesai bersilat dengan musuh yang tidak kelihatan.

Tapak tangannya terasa hangat membahang, menahan sisa tenaga batin yang bergejolak di perkarangan rumah itu. ​Namun Didi tidak terus masuk ke dalam rumah sebaliknya melangkah ke pintu hadapan rumah opah.

​Mulutnya kumat-kamit membaca jampi pagar lalu menghembuskan nafasnya ke arah pintu. Seketika kemudian, segulung asap putih tebal keluar dari celah lantai kayu dan bergerak laju ke arah Didi. ​Didi berdiri tegak memandang tepat ke arah pusaran asap yang hanya dapat dilihat oleh matanya sahaja.

​“Dia juga keturunan kita...” bisik Didi perlahan memberi amaran kepada makhluk ghaib tersebut.

​“Tolong jangan apa-apakan dia. Aku tahu dia yang kau mahukan untuk menjadi tuan kau yang baru... tapi sabar dahulu kerana waktunya belum tiba.”

​Suri merebahkan badan di atas katil Dura sambil merenung siling. Dari celah tingkap biliknya yang bertutup rapat, dia seakan mendengar bunyi ada benda sedang merangkak di atas bumbung zink.

Akibat kepenatan, kelopak matanya terlabuh jua...

Versi revamp novel pusaka yg lama tu

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience