Series
1084
Kotak baldu hitam itu masih terletak di atas meja makan Sabrina. Kecil, tapi kehadirannya rasa macam gajah duduk tengah ruang tamu. Menekan. Menghukum.
Marie dah balik dua jam, tapi mulut puaka dia tinggalkan seratus soalan.
“Kau nak buat apa dengan anting tu, Sab? Kau nak pakai balik? Kau sedar tak jantan tu psikopat?”
Sabrina tak menjawab. Angguk dan tersenyum nipis je, sebab kalau dia buka mulut, yang keluar cuma tangisan lima tahun yang dia kubur dalam-dalam.
Kali terakhir dia pakai anting-anting itu bukan pada malam kemalangan. Tapi enam bulan sebelum tu. Malam Andy Miller melamar dia di Yarra River.
Andy. Nama tu cukup buat dada Sabrina sesak. Bekas tunang. Lelaki yang dia sangka tempat bersandar, tapi rupanya lelaki yang tolak dia masuk sangkar Zalganor yang paling mendalam.
---
Flashback tu datang tak dijemput. Dua tahun lepas.
Sabrina habis shift pagi, bergegas ke pejabat Andy di Collins Street. Andy janji makan tengah hari. Dia nak bincang tarikh kahwin yang Andy tangguh lima kali dengan alasan ‘pasaran hartanah tak menentu’.
Setiausaha Andy, lipstik merah menyala, sambut dengan senyum terlalu manis.
“Encik Miller ada mesyuarat penting, Cik Sabrina. Dia pesan jangan diganggu.”
Sabrina percaya. Percaya lebih mudah dari menyoal.
Dua puluh minit. Pintu pejabat terbuka. Ketawa perempuan keluar dulu sebelum tubuhnya. Sarah Vance. PA Zalganor Knight.
Sabrina kenal. Sarah pernah urus bil hospital Zalganor lepas kemalangan. Dulu sut kelabu, sanggul kemas. Hari ni blaus terbuka dua butang, pipi merah seperti baru berlari.
Andy ada sekali dan tangannya ada di pinggang Sarah. Bila nampak Sabrina, tangan tu terlepas seperti ter kena renjatan.
“Sabrina?”
Sarah membetulkan rambut.
“Kami cuma bincang projek. Zayden Guard nak beli lot Docklands. Sarah wakil dia.” jawab Andy dengan cepat.
Sabrina bangun. Dia jururawat ER. Dia kenal beza nafas cemas mesyuarat dengan nafas cemas lepas buat salah. Dada Andy turun naik laju. Ada kesan lipstik samar kat kolar.
“Lot Docklands. Sampai kena kunci pintu pejabat ke?”
Muka Andy pucat. Sarah pura-pura cek telefon. Sabrina tak menangis. Dia terus keluar dari situ dan tidak memperdulikan lelaki itu.
Petang itu dia duduk tepi Yarra River sampai matahari terbenam. Tak balas mesej Greg. Tak angkat panggilan Andy tiga puluh tujuh kali. Dia pandang cincin tunang, rasa seperti memakai belenggu.
Malam tu, sejambak lily putih depan pintu. Tak ada kad. Tapi Sabrina tahu. Zalganor sentiasa tahu bila dia paling lemah.
---
Sabrina tersedar bila telefon bergetar. Nama tu buat perut mual.
Andy Miller.
Biar bergetar sampai berhenti. Tapi Andy telefon lagi. Dan lagi. Kali ketiga Sabrina angkat sebab penat dengar bunyi tu.
“Sabrina, please, angkatlah,” Andy cemas. “I tahu you marah, tapi ni penting. I kena jumpa you.”
“You kat mana?”
“Crown,” Andy perlahan. “Casino. I… I ada masalah, Rina.”
“Masalah you bukan urusan I lagi, Andy.”
“Please, dia nak jumpa you. Kalau you tak datang, dia kata dia akan pergi cari you.”
Sabrina terus mematikan talian. Sepuluh minit lepas tu mesej masuk dengan nombor asing.
Gambar Andy duduk bilik peribadi kasino, muka lebam, darah kering hujung bibir.
'Datang sekarang, atau tunang lama kau ni aku hantar balik dalam kotak. - S'
Sabrina merasa geram.
---
Crown Casino pukul sebelas malam meriah lampu mesin tak tidur. Sabrina benci tempat ni. Lelaki serba hitam tunggu depan lif peribadi membawanya naik ke tingkat VVIP.
Pintu bilik terbuka. Atas meja poker, sejambak lily sama macam kat apartment. Belakang meja, Zalganor Knight. Duduk dengan kot, mata pandang Sabrina sebaik dia masuk, ibarat dah tunggu adegan ini lama.
Sudut bilik, Andy duduk sofa kepala tunduk. Muka lebam seperti di dalam gambar.
“Awak lambat,” Sarah, suara lembut berduri. “Saya dah bosan tunggu.”
Sabrina tak pandang Sarah. Matanya terus pada Zalganor.
“Lepaskan dia. Ini antara saya dengan awak. Jangan heret orang lain.”
“Dia berhutang dengan aku. Dua ratus ribu. Dia guna nama kau masa dia pinjam.”
Sabrina berpusing kepada Andy. Lelaki itu tak berani angkat muka.
“Saya tak ada kaitan dengan hutang dia.”
“Di dunia aku, semua orang berkaitan dengan kau kalau aku mahu.”
Sarah ketawa kecil.
“Masalahnya, Encik Knight ni sentimental. Dia kata hutang Andy boleh lupus kalau awak setuju jadi tetamu dia untuk makan malam esok. Kat rumah.”
“Kalau saya tak setuju?”
Sarah mengeluarkan telefon.
“Saya ada video menarik. Andy menangis macam budak, merayu jangan patahkan jari dia. Awak nak tengok? Atau saya hantar kat Greg? Mana tahu dia nak jadi hero.”
Sabrina menarik nafas panjang. Tak ada pilihan. Bukan sebab sayang Andy. Tapi sebab tak sanggup hidup dengan darah lelaki itu di tangannya, walaupun lelaki itu menghancurkan hatinya.
“Pukul berapa?”
Senyuman Sarah melebar. Zalganor tak tersenyum.
“Lapan malam. Pemandu aku akan ambil kau. Pakai mutiara tu. Sebelah yang aku pulangkan.”
Zalganor berkata dengan penuh ugutan dan senyuman. Kemudian dia keluar.
“Dia tak pernah buat ni untuk sesiapa, awak tahu. Makan malam di rumah tu, untuk keluarga je.” ucap Sarah pula dengan sengihan, lalu keluar dari situ.
Sabrina tak menjawab.
“Maaf, Rina. I takde pilihan. Dia… dia tahu semua benda pasal I.”
“Jangan hubungi I lagi,” kata Sabrina tegang, lalu keluar dari situ dengan perasaan bercampur baur.
Dalam lif, Sabrina keluarkan kotak baldu hitam dari beg dan merenung anting itu lama. Tertanya, pakai sebelah mutiara ni maksud dia mengaku kalah, atau bersedia untuk perang?
---
“Awak nampak macam zombie, Rina,” kata Greg, tolak cawan kopi panas ke arah Sabrina.
“Berapa jam awak tidur?”
“Tak cukup untuk dikira.”
Greg tak mendesak. Itu buat Sabrina rasa selamat, dan bersalah.
“Awak okay? Marie mesej saya malam tadi. Kata awak ada lawatan dari si psycho tu.”
Sabrina hampir tersedak.
“Dia tak patut cerita kat awak.”
“Dia risau. Saya pun risau, Rina. Lelaki tu bukan main-main. Dia beli separuh hospital kita, dia boleh pecat orang dengan satu panggilan.”
“Saya boleh jaga diri.”
“Saya tahu awak boleh. Awak orang paling kuat saya kenal. Tapi kuat pun ada had, Rina.” Greg berhenti sejenak.
“Saya dapat tawaran kerja semalam.”
Jantung Sabrina tersentak. Kalau dia tolak, dia terbang juga, tetapi di dalam keranda.
“Baguslah. Awak dah lama nak kerja luar bandar, kan?”
Greg mengangguk, tak gembira.
“Masalahnya, tawaran tu datang tiba-tiba. Terlalu sempurna. Gaji tiga kali ganda, rumah disediakan, kontrak dua tahun. HR kata ada ‘penaja sulit’ yang bayar semua.”
Penaja sulit. Sabrina sejuk walaupun kopi panas. Tak perlu genius tahu siapa. Zalganor kosongkan papan catur dia. Mula-mula Andy, sekarang Greg. Semua tempat Sabrina bersandar akan dihalau keluar Melbourne, cara halus atau kasar.
“Awak nak terima?” Sabrina mahu Greg selamat, walaupun tinggal dia sorang dengan Zalganor.
“Saya akan tolak kalau awak suruh saya tolak. Kalau awak cakap saya perlukan awak kat sini, saya takkan pergi, Rina.” Greg akhirnya memandang tepat matanya.
Dada Sabrina sesak. Greg tak pernah luah, tapi Sabrina bukan bodoh. Tahu cara Greg pandang dia, cara Greg selalu muncul bila perlu, cara Greg ingat kopi lebih gula. Greg baik sampai sakit, dan sakit itu sekarang menjadi senjata Zalganor.
Sebelum jawab, telefon bergetar. Nombor tak kenal, namun dia terpaksa juga jawab.
“Cik Sabrina Dela Cruz?”
“Ya.”
“Saya Sarah Vance, dari pejabat Encik Knight. Saya cuma mahu ingatkan tentang makan malam awak malam ini pukul lapan. Pemandu akan ambil awak pukul 7:30. Dan Encik Knight berpesan, sila pakai pakaian yang sesuai. Dia tidak suka warna merah.”
Talian dimatikan tanpa menunggu.
“Makan malam?” Greg terasa cemburu yang sukad di tafsirkan.
“Urusan kerja,” Sabrina cuba menipu tetapi Greg tidak bodoh.
“Urusan kerja dengan Zalganor Knight pada pukul lapan malam di rumah dia? Awak ingat saya baru lahir semalam, Rina?”
Sabrina hanya mampu diam. “Greg, sudah. Jangan...”
“Jangan apa? Jangan risau pasal awak? Jangan tanya bila kawan baik saya sendiri nampak macam banduan tunggu hukuman?” Greg menarik nafas panjang cuba menahan perasaannya.
“Rina, saya nampak cara dia pandang awak. Masa kemalangan tu, masa dia sedar kat hospital, benda pertama dia tanya bukan pasal kaki dia patah. Dia tanya mana perempuan yang tarik dia keluar. Dia tanya awak.”
Sabrina terdiam. Tak tahu situasi itu. Ingat dia pengsan lepas ambulans sampai.
“Dia bukan sayang awak, Rina,” sambung Greg, hampir merayu.
“Dia obses. Ada beza. Dan obses macam tu takkan berakhir dengan baik.”
“Saya boleh uruskan dia.” Sabrina tidak mahu Greg pula menjadi mangsa lelaki itu.
Greg terasa kecewa.
“Kalau awak perlukan saya, awak tahu kat mana nak cari saya. Tapi saya takkan biarkan dia buang saya ke Sabah macam sampah, Rina. Saya bukan Andy.”
Greg bangun daripada duduknya dengan perasaan sedih. Dia meletakkan duit atas meja, jalan keluar tanpa menoleh. Sabrina memandang belakang Greg yang mula hilang di celah orang ramai, terasa seperti baru kehilangan dunia normalnya.
Petang di hospital, Sabrina tak fokus. Hampir salah dos ubat sampaikan Kak Nisa menegur.
“Kamu okay tak, dik? Muka kamu pucat macam mayat.”
Sabrina terpaksa senyum.
“Tak tidur lena.”
Kak Nisa tak puas hati, tapi tak paksa.
“Kalau ada apa-apa, kamu cerita. Kita ni keluarga kat sini.”
Keluarga. Dia dah tak ada keluarga. Ibu dah lama pergi. Bapa tak pernah ada. Sekarang kawan-kawan dihalau satu-satu.
Masa berehat di pantri, telefon bergetar memaparkan nama, Marie.
'Woi, aku dengar dari Lauren yang kau kena dinner dengan si psycho tu malam ni. Kau gila ke? Jangan pergi, Rina. Lelaki tu makan orang.'
Sabrina tak balas. Tak tahu nak balas apa.
Lepas tu mesej masuk. Nombor asing yang sama, yang dia tidak simpan tapi dia kenal.
'Pukul 7:30 tepat. Jangan lambat. Dia benci orang lambat. - S'
Sarah. Setia sampai tulang. Atau takut. Sabrina tak peduli.
Jam 6:00 petang, habis shift awal sebab Kak Nisa paksa balik.
“Kamu pergi rehat. Nanti kamu pengsan, siapa nak jaga pesakit?”
Sabrina jalan keluar hospital dengan kaki yang berat.
Teringat kata Greg. ‘Aku bukan Andy.’
Dan kata Zalganor. ‘Pilih.’
Tiba-tiba telefon bunyi. Nama tertera buat langkah Sabrina terhenti di tengah laluan pejalan kaki.
Dr. Greg Callahan.
“Greg?”
Suara hujung talian bukan Greg. Lelaki lebih tua, lebih tegas, sangat tak asing.
“Cik Dela Cruz, saya Tuan Abraham Knight. Saya rasa kita perlu bercakap tentang anak saya.”
Dunia Sabrina seperti berpusing.
Tuan Abraham Knight. Bapa Zalganor. Lebih ditakuti dari anaknya dalam dunia bisnes. Khabarnya tak pernah bercakap dengan perempuan tak bertaraf dengannya.
“Kenapa… kenapa dengan Greg?” tu je Sabrina mampu tanya, sebab dia tahu ni pasal Greg.
Tuan Abraham ketawa kecil, bunyi langsung tak menyenangkan.
“Dr. Callahan baru sahaja menolak tawaran kerja yang sangat lumayan. Sayang sekali. Budak yang baik, tetapi bodoh.”
Jantung Sabrina berdegup dengan kencang tanpa dikawal.
“Jangan libatkan dia. Ini antara saya dengan Zalganor.” Suara Sabrina bergetar.
“Betul. Sebab itu saya telefon. Untuk beritahu awak, jangan rosakkan anak saya lebih daripada yang awak dah buat. Dia sudah cukup gila kerana awak. Jangan buat dia bunuh orang pula.”
Talian dimatikan.
Bukan sahaja Zalganor awasi dia. Seluruh keluarga Knight memerhati. Dan sekarang, Greg di tengah peperangan yang dia tak minta.
Pandang langit makin gelap, pertama kali tertanya, pakai anting tu malam ni akan selamatkan Greg, atau sahkan dia dah jadi milik Zalganor sepenuhnya?
Jam tangan 6:47 petang. Ada 43 minit sebelum pemandu Zalganor sampai.
Dan Sabrina masih tak tahu dia patut lari, atau masuk sangkar tu dengan rela.
Share this novel