BAB 2: KAHWIN PAKSA

Mature Content Series 1084

“Ya Tuhan,” kata Marie, dan dia terus keluar dari belakang kaunter lalu menarik Sabrina ke stor belakang tanpa bertanya.

“Kau nampak macam baru lepas jumpa hantu. Atau lebih teruk, jumpa bapak dia.”

“Kau tahu?”

Marie menjeling.

“Lauren yang beritahu. Dia nampak kau terduduk kat luar hospital, terus telefon aku. Perempuan tu memang CCTV berjalan, tapi kadang-kadang berguna.” Dia menyilang tangan, dan matanya tajam seperti pisau.

“Sekarang cerita. Apa jadi?”

Dan Sabrina cerita. Bukan semua. Dia tidak sebut tentang anting-anting di dalam kotak baldu. Dia tidak sebut tentang polaroid Greg. Dia cuma cerita tentang panggilan Tuan Abraham, tentang Greg yang tolak tawaran ke Sabah, tentang makan malam pukul lapan malam yang terasa seperti hukuman mati.

Semakin Sabrina bercakap, muka Marie semakin merah. Bukan merah malu. Merah marah.

“Bangsat tua tu,” maki Marie sebaik sahaja Sabrina habis berkata.

“Dia ingat dia siapa? Raja? Dia ingat dia boleh ugut anak orang macam tu?”

Sabrina memegang lengan Marie.

“Shh, perlahan. Aku tak nak kau terlibat.”

“Terlibat?” Marie menepis tangan Sabrina dengan kasar.

“Aku dah terlibat sejak lima tahun lepas, Rina. Sejak kau balik dari kemalangan tu dengan mata kosong dan tak cerita apa-apa kat sesiapa.” Dia menarik nafas, cuba bertenang, tetapi gagal.

“Kau tak boleh pergi makan malam tu. Itu perangkap. Semua orang tahu keluarga Knight tak jemput orang luar makan kat rumah dia kecuali…”

Dia tidak menghabiskan ayatnya, tetapi Sabrina faham. 'Kecuali kau bakal jadi sebahagian daripada keluarga itu. Atau kecuali kau bakal jadi mangsa.'

Pintu stor tiba-tiba dikuak dari luar, dan Lauren Murphy menjenguk masuk.

“Mak cik dengar suara Marie menjerit, jadi mak cik masuk,”

“Ada drama lagi ke?”

Marie menjeling ke arah Lauren.

“Ini bukan drama pukul tujuh, Lauren. Ini hidup orang.”

Lauren tidak tersinggung. Dia masuk sepenuhnya dan menutup pintu di belakangnya dengan perlahan.

“Tuan Abraham telefon kamu, kan?”

Sabrina terkedu.

“Macam mana mak cik...”

“Mak cik ada kawan yang kerja sebagai pembantu rumah di rumah agam Knight,” kata Lauren sambil mengangkat bahu seperti itu perkara biasa.

“Dia kata petang tadi Tuan Abraham mengamuk sebab Zalganor tolak semua calon isteri yang dia susun. Dia kata Zalganor cuma nak ‘jururawat tu’. Lepas tu dia suruh orang cari nombor kamu.”

Darah Sabrina berasa seperti bertukar menjadi ais. Jadi bukan kebetulan. Bukan sebab Greg. Ini memang tentang dia sejak awal.

Marie menoleh ke arah Lauren dengan mata yang terbeliak.

“Mak cik ada spy dalam rumah dia dan mak cik baru sekarang nak cerita?”

Lauren mengangkat kening.

“Mak cik membawang, Marie. Bukan membunuh diri. Kalau Zalganor tahu mak cik bocor rahsia dia, mak cik esok hilang kerja, hilang rumah, hilang nyawa. Tapi kamu lain, Rina. Kamu dah dalam mulut buaya. Kamu patut tahu apa yang kamu lawan.”

Sabrina duduk di atas kotak stok kerana kakinya tiba-tiba rasa lemah.

“Dia nak apa dari aku?” bisiknya sendirian.

Marie duduk mencangkung di depan Sabrina sehingga mata mereka selari.

“Dia nak kau mengaku. Dia nak kau tunduk. Dia nak kau jadi bukti yang dia boleh dapat apa saja dia mahu.” Dia menggenggam tangan Sabrina dengan kuat.

“Tapi kau tak payah bagi dia menang, Rina. Kita lawan.”

Lauren berdehem.

“Lawan macam mana? Dia boleh beli bangunan ni esok dan halau kita semua. Anak mak cik kerja di syarikat dia, Marie. Kalau mak cik salah cakap, anak mak cik hilang kerja.”

Itulah masalahnya. Zalganor tidak perlu mengotorkan tangan. Dia cuma perlu menggerakkan jari, dan hidup orang lain akan berterabur.

Sebelum sesiapa sempat berkata apa-apa lagi, telefon di kaunter depan berbunyi kuat. Marie bangun dengan kasar dan pergi menjawab, manakala Lauren duduk di sebelah Sabrina dan menepuk lututnya dengan kekok.

Marie kembali ke stor dengan muka yang pucat. Dia memandang Sabrina, kemudian memandang Lauren, dan telefon di tangannya terasa seperti bom.

“Bos aku,” katanya perlahan. “Pemilik kedai ni.”

Sabrina tidak faham.

“Kenapa?”

“Dia kata… dia dapat panggilan.” Marie menelan air liur.

“Dari pejabat Zayden Guard. Mereka nak beli lot kedai ni. Dengan harga tiga kali ganda. Tapi ada syarat.”

Lauren sudah meneka.

“Syaratnya?”

Marie menutup mata sekejap, dan apabila dia buka semula, ada air di situ. Bukan kerana sedih. Kerana marah.

“Syaratnya, mereka pecat aku. Hari ini. Sekarang.”

Bunyi itu seperti tamparan. Sabrina berdiri dengan cepat sehingga kotak stok di belakangnya terbalik.

“Apa? Tak boleh. Itu tak adil. Kau tak buat salah apa-apa.”

Marie ketawa, tetapi bunyinya kosong.

“Adil? Sejak bila hidup ni adil, Rina?” Dia mengambil apronnya dan menanggalkan dengan kasar lalu mencampakkannya ke lantai.

“Dia nak tunjuk yang dia boleh. Dia nak tunjuk yang sesiapa yang berdiri dengan kau akan kena.”

Lauren bangun juga, dan buat pertama kalinya, muka wanita itu hilang sifat membawangnya. Yang tinggal cuma kemarahan yang tua dan letih.

“Anak aku,” bisiknya.

“Kalau dia boleh pecat Marie dengan petik jari, apa dia boleh buat kat anak mak cik yang kerja di syarikat dia?”

Sabrina rasa dunia berputar. Ini salah dia. Marie hilang kerja kerana dia. Greg dalam bahaya kerana dia. Lauren takut kerana dia. Semua orang yang cuba mendekatinya akan dibakar oleh Zalganor untuk membersihkan jalan.

Dia mencapai telefonnya. Dia mahu telefon Zalganor. Mahu maki. Mahu merayu. Mahu buat apa sahaja supaya Marie tidak kehilangan mata pencarian.

Tetapi sebelum dia sempat mendail, pintu stor dikuak dengan kuat, dan kali ini bukan Lauren atau pelanggan.

Zalganor Knight berdiri di situ.

Bukan Sarah. Bukan pemandu. Bukan orang suruhan.

Dia sendiri.

Dengan kot hitam yang sama, dengan mata yang gelap dan tenang, dengan bau kulit mahal dan kopi hitam yang terus memenuhi stor kecil itu sehingga Sabrina rasa sesak nafas.

Marie adalah yang pertama bersuara. Dia melangkah ke depan, dan Sabrina dapat melihat urat di lehernya menegang.

“Kau,” katanya, dan dia menunjuk ke arah Zalganor dengan jari yang menggeletar.

“Kau jantan tak guna. Kau pecat aku sebab aku kawan dia?”

Zalganor tidak memandang Marie. Matanya terus pada Sabrina, dan dia melangkah masuk ke dalam stor seperti dia pemilik bangunan itu. Dua lelaki berpakaian serba hitam mengikut di belakang, tetapi mereka berhenti di pintu.

“Marie Johansson,” kata Zalganor perlahan, dan walaupun dia bercakap dengan Marie, matanya tidak lepas dari Sabrina.

“Mulut puaka St Kilda. Kau hasut Sabrina lawan aku. Kau panggil aku psycho. Kau bahayakan dia.”

“Kau yang bahayakan dia!” jerit Marie, dan dia cuba menolak dada Zalganor, tetapi salah seorang lelaki di pintu terus menahannya dengan mudah.

“Lepaskan aku, bangsat!”

Sabrina meluru ke depan.

“Jangan sentuh dia!”

Zalganor mengangkat tangannya sedikit, dan lelaki itu melepaskan Marie. Marie tercungap-cungap, tetapi dia tidak undur. Lauren sudah pucat dan berundur ke sudut, tangannya menutup mulut.

Zalganor akhirnya memandang Marie, dan senyumannya nipis.

“Kau dipecat kerana kau bodoh, Cik Johansson. Bukan kerana kau kawan dia. Kerana kau fikir kau boleh menang melawan aku.”

Dia berpaling semula kepada Sabrina, dan dalam dua langkah, dia sudah berada di depan perempuan itu. Terlalu dekat. Sabrina dapat melihat bulu matanya, dapat melihat garisan penat di bawah matanya, dapat menghidu bau ubat tahan sakit dari nafasnya.

“Kau nampak?” bisik Zalganor, dan suaranya hanya untuk Sabrina.

“Ini yang jadi bila kau degil. Marie hilang kerja. Lepas ni Daniel, anak Lauren. Lepas tu Greg. Aku boleh buat senarai, Sabrina. Panjang. Semua orang yang pernah senyum kat kau.”

Sabrina menggenggam tangannya sehingga kuku mencengkam tapak tangan.

“Awak sakit.”

“Aku sakit sebab kau,” balas Zalganor, dan dia mengangkat tangan.

Sabrina fikir dia akan ditampar, tetapi jari-jari Zalganor hanya menyentuh rahangnya. Sentuhan itu perlahan, ibu jarinya mengusap kulit di bawah bibir Sabrina dengan cara yang posesif, cara orang sentuh benda yang dia anggap milik dia.

“Lima tahun aku tahan. Lima tahun aku bagi kau ruang. Kau balas dengan biarkan lelaki lain tidur di sofa kau. Kau balas dengan nak lari.”

Sabrina mahu menepis tangan itu, tetapi tubuhnya kaku.

“Awak nak apa?” suara Sabrina keluar seperti bisikan.

Zalganor menunduk sedikit, dan bibirnya hampir menyentuh pipi kanan Sabrina. Dia tidak cium. Dia cuma bernafas di situ, dan nafasnya panas.

“Aku nak kau kahwin dengan aku,”

“Hari ini. Sekarang. Sebelum matahari terbenam.”

Marie yang dengar itu menjerit.

“Kau gila ke?!”

Sabrina tidak berkelip.

“Kenapa?”

“Supaya aku tak perlu bunuh orang lagi. Supaya Greg boleh terus jadi doktor. Supaya Marie boleh buka tiga cawangan baru esok. Supaya Daniel anak Lauren naik pangkat, bukan hilang kerja. Semua orang selamat, Sabrina. Dengan satu tandatangan kau.”

Dia melepaskan rahang Sabrina, tetapi dia tidak berundur. Sebaliknya, dia menunduk dan menekan bibirnya ke pipi Sabrina dengan perlahan. Ciuman itu tidak basah. Tidak ghairah. Tetapi ia lama, ia tertahan, ia terasa seperti lelaki itu melepaskan lima tahun rindu yang dia simpan. Bibirnya panas, dan Sabrina terasa lututnya lemah kerana dia tidak jangka sentuhan itu akan membuatkan dadanya sesak.

“Aku dah tunggu lima tahun, tiga bulan, empat hari untuk buat tu,” bisiknya.

Sabrina mengundur setapak, dan tangannya naik ke pipinya sendiri, ke tempat bibir Zalganor tadi. Dia benci yang dia sentuh di situ. Dia benci yang kulitnya masih terasa panas.

“Kalau aku tak nak?”

Zalganor memasukkan tangan ke dalam kotnya dan mengeluarkan telefon. Dia tekan sesuatu, kemudian pusingkan skrin kepada Sabrina.

Video. Daniel, anak Lauren, sedang berjalan ke keretanya di tempat letak kereta. Kemudian, sebuah kereta hitam meluncur laju ke arahnya. Video terhenti sebelum pelanggaran.

Lauren menjerit kecil di sudut dan hampir pengsan. Marie memegangnya.

“Dia tak mati,” kata Zalganor perlahan.

“Belum.”

“Pukul 11.00 pagi ni, kalau nama kau tak ada di sebelah nama aku dalam sijil kahwin, video tu akan ada sambungan.”

Sabrina rasa darahnya meninggalkan muka. Ini bukan ugutan kosong. Ini kenyataan.

“Zalganor,” bisiknya, dan nama itu terasa seperti kaca di lidahnya.

“Tolong.”

Zalganor mengangkat tangannya semula, dan kali ini dia menyentuh telinga kanan Sabrina yang kosong. Jari itu ringan, tetapi Sabrina rasa seperti dia disentuh dengan api.

“Kau kahwin dengan aku, kau pakai mutiara tu malam ni, dan aku janji, tiada siapa akan sakit lagi.” Dia tunduk lagi, dan bibirnya singgah di pipi Sabrina sekali lagi, lebih singkat, tetapi lebih milik.

“Kau jadi isteri aku, Rina. Dan aku akan jadi apa saja untuk pastikan kau tetap bernafas.”

Marie meronta di pegangan lelaki itu.

“Jangan, Rina! Jangan dengar cakap dia! Dia...”

“Cukup,” kata Zalganor, dan dia tidak menoleh.

“Bawa Cik Johansson keluar. Bagi dia cek pampasan. Tiga cawangan, seperti yang saya janji.”

“Pampasan tak boleh beli maruah!” jerit Marie semasa dia diseret keluar.

“Rina, kau dengar aku! Jangan...”

Pintu stor ditutup, dan suara Marie hilang. Tinggal Sabrina, Lauren yang menangis senyap di sudut, dan Zalganor yang masih berdiri terlalu dekat.

“Di mana?” suaranya kosong.

Zalganor senyum, dan senyum itu menakutkan kerana ia lega.

“Kereta di luar. Pejabat pendaftaran lima minit dari sini. Kita sempat sebelum tutup.”

Dia menghulurkan tangan kepada Sabrina. Tangan yang sama yang baru menekan pipi Sabrina, yang baru ugut bunuh anak orang.

Sabrina tidak ambil tangan itu. Dia berjalan melewati Zalganor, keluar dari stor, dan dia dapat rasa mata lelaki itu di belakangnya sepanjang jalan.

Di luar, kereta hitam sudah menunggu. Pintu terbuka.

Sebelum masuk, Sabrina menoleh kepada Lauren yang mengikut di belakang dengan takut-takut.

“Beritahu Daniel,” katanya perlahan. “Beritahu dia… dia akan dapat kerja balik esok.”

Lauren mengangguk laju, air matanya jatuh.

“Terima kasih, Rina. Terima kasih.”

Sabrina masuk ke dalam kereta. Zalganor masuk selepas dia, dan pintu ditutup dengan bunyi yang muktamad.

Semasa kereta bergerak, Zalganor tidak bercakap. Dia hanya memandang ke luar tingkap, tetapi tangannya bergerak dan mencari tangan Sabrina di tempat duduk. Sabrina cuba tarik, tetapi Zalganor menggenggam dengan kuat, tidak menyakitkan, tetapi tidak memberi ruang untuk lepas.

“Jangan,” kata Sabrina perlahan.

“Aku takkan lepaskan kau lagi. Sekarang kau milik aku, Sabrina. Secara sah, dalam sejam lagi. Jadi biasakan dengan tangan aku.”

Sabrina memandang ke depan, dan dia rasa air matanya mahu jatuh. Tetapi dia tahan. Kerana dia sudah berjanji pada dirinya. Dia akan kahwin dengan lelaki ini. Dia akan pakai nama dia. Dia akan tidur di rumah dia. Tetapi dia tidak akan pernah serahkan hatinya.

Kereta berhenti di depan pejabat pendaftaran.

Zalganor keluar dahulu, kemudian dia berpaling dan menghulurkan tangan sekali lagi kepada Sabrina. Kali ini, Sabrina ambil. Bukan kerana dia mahu. Kerana dia perlu.

Semasa mereka berjalan masuk, Zalganor tunduk dan mengucup pipinya sekali lagi, di tempat yang sama, seperti dia menanda wilayahnya.

“Mulai hari ini,” bisiknya, “kau Sabrina Knight.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience