Kepada engkau yang sering di ingatan,
Hai sekali lagi daripada aku.
Macam biasa...kebelakangan ini, aku selalu teringat dekat kau. Aku pun tidak tahu-menahu sama ada ini sebuah perkara yang baik ataupun sebuah perkara yang buruk. Selalu juga aku termenung sambil menongkat dagu dan tertanya-tanya juga macam mana aku boleh sampai ke situasi ini.
Kita pun dah lama tak bersua. Rupa engkau, suara engkau dan badan kau pasti sudah berubah. Namun, aku masih lagi menggenggam cebisan-cebisan memori yang semakin pudar dari hari ke hari.
Aku tertanya-tanya dan aku berpusing-pusing ke hulu ke hilir untuk mencari jawapan. Dan secara jujurnya, sampai sekarang pun aku tidak dapat menjumpai sebarang alasan yang konkrit.
Mungkin...aku rindu nak bercakap dengan kau? Mungkin...ada banyak benda yang ingin aku luahkan kepada engkau namun keadaan tidak membenarkan aku untuk merealisasikannya? Atau mungkin aku ada masalah?
Tapi ini memang sebuah masalah.
Hmm...
Jadi, setelah berfikir buat beberapa ketika, aku rasa yang aku patut tulis dan luahkan semua isi hati aku dalam lembaran-lembaran surat. Sebab aku tahu aku mungkin takkan dapat bercakap dengan engkau lagi. Atau, kalau aku dapat bercakap dengan engkau pun...macam mana kalau kau...tidak berkenan?
Dilema...
Sebuah dilema yang membuatkan aku terapung di awang-awangan.
Bercerita perihal dilema, aku pun tak tahu siapa atau apa yang membuatkan aku teringat akan kau. Memori kau yang ada di dalam otak aku, diri kau itu sendiri ataupun keberadaan engkau di depan mata aku sendiri...
Aku tak pasti.
Tapi, ada satu benda yang memang pasti; kau telah, sedang dan bakal muncul dalam kotak fikiran aku.
Tak perlu pun aku menyeru engkau kerana engkau akan hadir dengan sendiri dalam ruang minda tanpa sebarang jemputan. Buat macam rumah sendiri, orang kata.
Jauhnya angan-angan membawa aku melencong.
Dahlah, nanti aku tulis lagi.
Yang benar,
Aku yang tengah hayut.
Share this novel