Series
134944
SUDAH dua puluh minit Ammar duduk menanti seseorang di dalam restoran yang sudah mulai dipenuhi orang yang singgah untuk bersarapan. Sesekali, dia mengerling jam di tangannya, lalu ke arah pintu.
Keriuhan suara-suara berbual serta bunyi sudu dan pinggan berlaga yang menjadi latar suasana sedikit pun tidak dia hiraukan. Dia sebenarnya jarang menunggu orang, kerana biasanya dia yang ditunggu. Tetapi, pagi ini berbeza.
"Kalau tak jadi datang, kenapa dia tak call? Chat pun tak," desis Ammar dengan muka resah sambil merenung skrin telefonnya yang gelap di atas meja.
Buat kesekian kali, dia memandang ke arah pintu restoran. Tiba-tiba, riak wajahnya berubah. Spontan dia menghela nafas lega selepas dia terpandang seorang wanita yang sedang melangkah masuk dengan langkah yakin.
Rambut ikal wanita yang panjang itu terurai kemas di bahu. Pakaiannya ringkas tetapi bergaya, cukup menarik perhatian beberapa pasang mata yang memandang.
Wanita itu berhenti sejenak. Dia melihat ke sekeliling sebelum pandangannya bertembung dengan Ammar yang duduk tidak jauh dari kedudukannya. Lantas, dengan muka tanpa riak, wanita itu mengatur langkah menuju ke arah Ammar.
"Ada apa you nak jumpa? I busy, tahu tak?" ujar wanita itu dengan nada dingin setelah dia menarik kerusi dan duduk.
Ammar merenung wajah wanita itu buat beberapa saat sebelum dia menghela nafas berat dan menyandarkan belakangnya pada kerusi.
"We need to talk, Bella."
Isabella meletakkan telefon dan beg tangannya ke atas meja, lalu dia menatap tajam sepasang mata di hadapannya dengan pandangan kosong, seolah-olah pertemuan itu tidak membawa apa-apa makna.
"About what?"
Ammar meraup wajahnya perlahan. Belum sempat dia membuka mulut untuk bersuara, pelayan datang membawa buku menu, namun diusir oleh Isabella.
“Dah tak ada apa yang perlu dibincangkan, Am. I dah dengar semuanya. Everyone's been talking about it,” kata Isabella setelah pelayan beredar.
Ammar mengetap rahang. Walaupun tiada gambarnya di hotel pada malam itu yang tersebar, tetapi berita tentang kejadian tersebut sudah tersebar dan menjadi topik hangat di media sosial.
"You kenal I, Bella. I takkan buat macam tu. Apa yang berlaku malam tu, bukan macam yang you fikir."
"Kenal atau tak, betul atau tak apa yang I fikir, the fact is... you dah kahwin," balas Bella, tenang tetapi serius.
“Keadaan yang paksa I buat macam tu.”
"Keadaan yang paksa?" Isabella tersenyum sinis sambil memandang cawan kopi Ammar sebelum pandangannya beralih pada wajah lelaki itu.
“You kenal family I macam mana, kan? Kahwin je cara paling cepat nak tutup mulut orang.” Ammar mencondongkan tubuhnya sedikit ke hadapan. "Trust me, Bella. Hati I cuma untuk you seorang je."
Isabella berpeluk tubuh sambil memandang tepat ke anak mata Ammar tanpa reaksi, tanpa suara.
"Perkahwinan tu tak ada makna apa-apa pun," sambung Ammar dengan nada yang lebih tegas. "Dia cuma isteri atas kertas. Nothing more. Purely on paper!"
Isabella masih tidak menunjukkan reaksi. Lagaknya seperti kata-kata yang terpacul daripada mulut Ammar tidak memberi kesan langsung terhadapnya.
"Bella, please understand. I tak ada perasaan langsung kat perempuan tu," jelas Ammar lagi, berusaha memastikan wanita yang dicintainya itu benar-benar faham.
"Of course I faham."
Spontan Ammar tersenyum, kemudian dia menggenggam tangan Isabella di atas meja, namun dengan pantas wanita itu menarik tangannya.
"Bella?"
Senyuman di bibir Ammar serta-merta hilang. Mata wanita di hadapannya itu ditatap seperti meminta penjelasan.
"I cakap I faham bukan bermaksud I akan stay dengan you," ujar Isabella dengan nada bersahaja. "The fact yang you dah kahwin tu takkan berubah, Am. I tak berminat nak tunggu lelaki yang dah ada isteri and... I juga tak berminat untuk bermadu."
Ammar melepaskan keluhan panjang. Bukannya dia tidak kenal dengan wanita yang tetap dengan pendirian itu, tetapi dia masih belum mahu berputus asa.
"Listen, Bella. I belum sentuh dia dan takkan sentuh dia langsung. Trust me."
Isabella terdiam beberapa saat sebelum dia tertawa kecil. "You're so pathetic, Am. You fikir benda tu penting?"
Keluhan panjang buat kesekian kali terpacul daripada mulut Ammar. Wajahnya diraup kasar sebelum dia menggenggam semula tangan wanita itu di atas meja.
"Bagi I masa, okay? Just until people stop talking and forget about this. Lepas tu... kita kahwin. You pun tahu yang I tak pernah berniat nak kahwin dengan perempuan selain you, kan?"
“Yet you did," balas Isabella dengan nada sinis sambil menarik kasar tangannya daripada genggaman Ammar.
"I still want you, Bella. Only you."
Isabella tidak menjawab. Dia hanya memandang wajah lelaki itu dengan ekspresi yang sukar dibaca. Kemudian, dia menggeleng.
"No, Am."
"After all the years we've shared... You nak buang I macam tu je?" soal Ammar dengan muka tidak puas hati.
"Tak jelas lagi ke?" Isabella menjongket kening. "Let's stop here." Telefon dan beg tangannya di atas meja dicapai, lalu dia bingkas berdiri. "Lepas ni, jangan cari I lagi."
"Bella..." Ammar turut berdiri dan cuba mencapai tangan Isabella, tetapi wanita itu dengan pantas mengelak.
"I'm leaving. Haidar tunggu I kat luar tu," kata Isabella sambil memandang ke arah pintu restoran.
Mata Ammar langsung membulat. "Haidar? That guy?"
"Yes. That guy," jawab Isabella dengan muka tidak bersalah. "Lepas ni... please, jangan cari I lagi."
Usai bercakap, wanita itu terus berpaling, tetapi dia tiba-tiba berpaling semula memandang Ammar.
"Lupa nak pesan."
Ammar mengerutkan dahi, menanti apa yang hendak diperkatakan oleh wanita itu.
“Take care of your wife.”
Belum sempat Ammar membuka mulut untuk membalas, Isabella sudah berpaling semula dan berjalan pergi dari situ tanpa menoleh lagi.
"Secepat ni you cari pengganti I? Kenapa mesti lelaki tu juga?"
Ammar mengepal kuat kedua-dua penumbuknya sambil mengetap rahang. Dia hanya mampu memerhati Isabella yang semakin menjauh. Tiba-tiba, satu wajah muncul dalam fikiran.
"Kalau bukan sebab kau, Bella takkan tinggalkan aku!" gumamnya dengan muka tegang. Penumbuknya dikepal semakin kuat.
"Aku akan pastikan kau terima hukuman kau, Zalika!"
ANGIN pagi di atas bumbung bangunan dua puluh tingkat itu bertiup agak kuat. Awan mendung yang melitupi matahari seolah-olah mengerti ada hati yang sedang terluka perlu dilindungi.
Dari situ, pemandangan bandar raya Kuala Lumpur terbentang luas di hadapan mata. Deretan bangunan tinggi dan jalan raya yang sibuk menunjukkan dunia yang terus bergerak tanpa mempedulikan apa yang sedang retak dalam hidup Zalika.
Zalika berdiri di tepi pagar besi dengan kedua-dua tangan memeluk tubuhnya yang mengenakan baju kurung moden dusty pink dipadankan dengan tudung bawal bercorak bunga.
Pandangannya lurus ke hadapan. Riak wajahnya kelihatan tenang, tetapi fikirannya tidak berhenti mengulang satu perkara yang sama. Tentang bagaimana hidupnya berubah hanya kerana satu peristiwa.
Hujung tudungnya meliuk-liuk dipukul angin, sesekali terangkat sedikit sebelum jatuh kembali ke bahunya. Muncung tudungnya pula kelihatan senget, namun dia tidak mengendahkannya langsung. Kekemasan bukan lagi keutamaannya pada ketika ini.
Tempat ini sudah lama menjadi pelariannya setiap kali tekanan kerja mula menghimpit. Dia akan naik ke sini dan berdiri di tempat yang sama untuk menenangkan fikiran.
Biasanya, selepas beberapa minit, dadanya akan terasa sedikit lega. Tetapi, kali ini tidak. Baru beberapa hari lepas rutin hidupnya masih berlangsung seperti biasa. Pergi ke pejabat, siapkan laporan, jumpa klien dan kadangkala dia bergaduh kecil dengan Edrian kerana perselisihan pendapat.
Setiap hujung minggu pula, dia akan meluangkan masa dengan rakan serumahnya serta kawan-kawan di luar. Rutin yang sama berulang setiap hari.
Namun, dalam sekelip mata hidupnya sudah tidak terasa seperti dulu lagi. Dia kini bergelar isteri seseorang. Isteri kepada lelaki yang tidak pernah terlintas langsung di fikiran untuk menjadi calon imamnya.
"Ya Allah... bagi aku kekuatan, Ya Allah," rintih Zalika sambil mendongak ke langit dengan mata terpejam erat.
Tanpa sedar, dia menyentuh cincin yang bersarung di jari manisnya. Perlahan dia membuka mata, merenung logam yang terasa dingin disentuh itu. Sampai ke saat ini, dia masih sukar untuk mempercayai akan hakikat itu.
Perkahwinan yang tidak pernah dirancang, dibuang oleh ayah kandung sendiri dan rasa seperti dihukum dengan pandangan sinis di tempat kerja. Segalanya membuatkan dia rasa hidupnya hancur.
Ketenangan hidupnya diragut oleh satu kejadian yang tidak sempat dia fahami bagaimana dia boleh terperangkap di dalamnya.
Mana aku nak lari ni? Zalika memejamkan matanya semula buat seketika sebelum dia menghembus nafas panjang. Dia cuma mahu semuanya kembali seperti dulu. Hanya itu. Namun, dia tahu masa tidak boleh diputar semula.
Rumah sewa dan rumah keluarganya bukan lagi tempat untuk dia pulang. Pejabat pula sudah dipenuhi dengan kutukan dan pandangan yang membuatkan dia rasa seperti seorang pesalah berat. Rasa seperti satu dunia sedang menuding jari kepadanya. Ke mana lagi dia boleh pergi kalau tempat yang sepatutnya melindungi sudah tidak menerimanya?
Zalika mengeratkan lagi pelukan di tubuhnya. Wajahnya yang lesu terasa semakin dingin diterpa angin kuat yang berterusan.
Dia penat. Penat menjawab soalan orang.
Penat menahan pandangan sinis yang seolah-olah sudah menjatuhkan hukuman kepadanya tanpa bertanya apa sebenarnya yang berlaku. Dia juga penat berpura-pura kuat sedangkan hakikatnya, dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak berdiri semula.
Sedang tenggelam dalam kecelaruan fikiran, tiba-tiba kedengaran bunyi keriutan pintu besi yang berada tidak jauh di belakang, menandakan ada seseorang naik ke bumbung itu. Namun, dia tidak menoleh.
Angin kuat yang terus bertiup, membawa bersama bunyi langkah yang semakin menghampiri. Walaupun tidak melihat, dia sudah dapat mengagak siapa gerangan yang datang itu.
Bunyi derapan langkah itu akhirnya berhenti tidak jauh di belakangnya.
“Main pergi macam tu je tadi, kan?”
Sindiran yang kedengaran tenang itu membuatkan bibir Zalika terketap sedikit. Namun, dia masih kekal berdiri teguh memandang ke hadapan, seolah-olah pemandangan bandar raya di hadapannya jauh lebih menarik daripada orang yang berdiri di belakangnya sekarang.
“Tentang you nak letak jawatan tu..."
Edrian berjalan beberapa langkah, lalu berhenti di samping wanita yang enggan memandangnya itu. Pandangannya turut dihalakan pada pemandangan yang terbentang di hadapan.
"I tak luluskan," lanjutnya dengan nada tenang.
Pada saat itu juga Zalika menoleh bersama kerutan di dahi. Entah bingung, entah terkejut. Namun yang pasti, cara pandangannya seperti meminta penjelasan. Kerana dia tahu, dia tidak terikat dengan kontrak di syarikat itu. Dia ada hak untuk undur diri pada bila-bila masa dia mahu.
"Dengar tak?" Edrian menoleh memandang Zalika dengan riak selamba. “I tak izinkan you letakkan jawatan.”
Zalika membalas pandangan lelaki itu dengan perasaan tidak percaya. Rahangnya kelihatan tegang buat beberapa saat sebelum dia membuka mulut untuk bersuara.
“Ed, I dah buat keputu..."
"Keputusan I muktamad!" Laju Edrian memotong percakapan dengan suara lebih tegas.
Zalika mendengus. Pandangannya dihalakan semula ke hadapan. "This is my decision and..."
"And I yang tentukan untuk terima atau tolak perletakan jawatan tu." Sekali lagi Edrian memotong percakapan. "You kerja di syarikat I. Plus... you cakap nak letak jawatan dengan I sendiri. So, it is actually my decision not yours."
Spontan Zalika menoleh sambil mengetap gigi. Lelaki di sebelahnya itu dipandang dengan pandangan tajam menikam. "Apa yang you nak sebenarnya ni? Kenapa semua orang nak hukum I?"
"Hukum?" Edrian memicingkan mata. "I bukan hukum. I peduli."
Zalika terdiam. Dia tidak tahu mahu rasa lega atau marah, tetapi dia tidak boleh nafikan yang dia terharu kerana lelaki itu masih pedulikannya. Sekurang-kurangnya, masih ada yang peduli.
Buat sejenak, Zalika menunduk sebelum dia memutuskan untuk berpaling dan melangkah pergi. Dia belum ada kekuatan untuk meluahkan segala rasa terpendam yang dia sendiri belum faham.
"I tak sangka orang yang selama ni I kenal sebagai orang berani yang berpendirian dan tak pernah lari dari masalah, tiba-tiba jadi pengecut."
Kata-kata Edrian membuatkan langkah Zalika serta-merta terhenti, tetapi dia tidak menoleh.
Sunyi.
Angin kuat yang menampar wajahnya seolah-olah ingin mengusir rasa bersalah dan penyesalannya terhadap lelaki itu supaya pergi jauh-jauh. Namun, rasa itu tidak mahu pergi.
Pada ketika ini, dia benar-benar tidak berdaya. Buat pertama kalinya dia rasa seperti orang sesat yang tiada jalan langsung untuk keluar.
"Cakap je apa yang you nak cakap tentang I." Zalika akhirnya bersuara. "Baik buruk... I telan je."
Tanpa menanti balasan, dia segera melangkah pergi dari situ meninggalkan Edrian terbungkam seribu bahasa.
Happy reading, ya! ?
Share this novel
sian Zalika????
nak free huhu