PROLOG

Romance Series 134944

BAM! BAM! BAM!

Bunyi ketukan pintu bertubi-tubi membuatkan Zalika tersentak daripada lena. Nafasnya tercungap seperti baru tersedar daripada mimpi buruk. Dadanya terasa sesak, bingung dengan keberadaannya di tempat asing itu.

Dia memandang pintu. Bunyi ketukan itu jelas bukan ketukan orang yang datang menghantar pesanan, tetapi ia bunyi orang yang datang dengan keputusan dan pintu itu satu-satunya penghalang antara sesuatu yang menunggu masa untuk meletup.

"Buka pintu! Buka cepat!" Suara pekikan garau dari luar itu kedengaran sangat keras dan sarat dengan kemarahan.

Sekali lagi Zalika tersentak. Dia menoleh ke samping dengan muka panik.

Ammar?

Lelaki itu juga baru tersedar. Rambutnya kusut, wajahnya tegang dalam kekeliruan yang sama. Mata mereka bertaut untuk beberapa saat, tiada sesiapa mampu bercakap. Mereka berada di atas katil yang sama.

Kenapa aku di sini?
Kenapa dia ada di sini?

Mata Zalika membulat, seolah-olah baru tersedar tentang sesuatu yang membuat darahnya membeku. Spontan tubuhnya tertegak, jantungnya seperti hendak luruh.

Laju dia meraba tubuh dan kepalanya sendiri. Pakaiannya masih bersarung kemas di tubuh. Tudungnya juga masih terletak elok di kepala. Tiada apa yang tercabut. Ammar juga lengkap berpakaian. Namun, itu langsung tidak melegakan.

“Macam mana aku boleh ada kat sini?” Suara Zalika bergetar. “Saya ingat kita tadi di..."

BAMMM!

Pintu diketuk dan digegar buat kesekian kali. Lebih kuat berbanding tadi.

"Buka pintu sekarang!"

Pandangan Zalika terhala semula pada pintu. Seluruh tubuhnya menggigil. Perutnya mengeras. Dari luar, kedengaran jelas bunyi tapak kaki dan suara lebih daripada seorang individu. Kemudian, dia memandang semula lelaki di sampingnya.

"Macam mana kita..."

Ammar mendengus. Cara pandangannya membuatkan kata-kata Zalika tergantung.

"Kalau aku dapat tahu ini rancangan kau... kau tunggu dan lihat je apa aku akan buat kat kau," kata Ammar dengan nada dingin dan tajam sebelum dia turun dari katil.

Lantas, dia mengayun langkah menuju ke pintu dan pada ketika itu juga Zalika bingkas turun dari katil, lalu dia berdiri tegak memandang pintu dengan debaran kuat di dada.

Cahaya putih terang yang menyilaukan dari koridor menyentak retina mata sebaik sahaja pintu dibuka. Beberapa orang lelaki terus meluru masuk, memaksa tubuh kekar Ammar terundur tanpa sempat menahan.

“Ha! Tengok tu!”

"Duduk berdua dalam bilik hotel belum ada ikatan sah!"

"Apa alasan yang korang nak bagi?"

Bertubi-tubi suara asing menerpa gegendang telinga. Beberapa buah telefon diangkat tinggi-tinggi. Kilat kamera berkelip tanpa henti.

Zalika terpaku. Matanya membulat. Ammar pada ketika ini berdiri membelakanginya, dikerumuni oleh orang-orang tidak dikenali yang muncul entah dari mana.

“Bukan… bukan macam yang korang sangka. Kami cuma...”

“Cukup! Tak payah nak explain," potong Ammar, tidak memberi peluang langsung untuk Zalika memberi penjelasan.

Zalika memandang separuh wajah yang menoleh di hadapannya itu dengan harapan tipis yang bersisa. Matanya berair, cuba menahan tangis. Rasa tidak percaya. Kenapa dia tak cuba langsung nak bagi penjelasan? Hatinya membentak.

Ammar melangkah sedikit ke hadapan menjauhi Zalika. Raut wajahnya kelihatan terlalu tenang, tetapi terlihat jelas kemarahan di matanya.

"Tuan-tuan, sila bertenang. Apa yang kamu nampak sekarang ni... kalau saya bagi penjelasan apa pun memang kamu tak akan terima." Ammar menarik nafas panjang sebelum dia menyambung, tetapi dipotong oleh satu suara lantang.

"Dah terang-terang duduk berdua dalam bilik hotel belum ada ikatan sah, apa lagi yang korang buat kalau bukan bermaksiat?"

"Macam yang saya cakap tadi... kalau saya bagi penjelasan apa pun, memang korang tak nak dengar," ujar Ammar sambil menatap mata lelaki berkopiah yang tidak dikenalinya itu.

"Jadi, kau nak buat alasan yang korang tak buat apa-apa berdua dalam bilik?" sampuk satu suara bernada sinis. "Takkan main congkak."

Ammar memandang pemilik suara tadi. "Saya takkan buat alasan dan saya tak nak panjangkan cerita, sebab..."

Wajahnya dipaling buat beberapa saat memandang Zalika sebelum beralih semula kepada sekumpulan lelaki yang mengerumuni mereka.

"Sebab saya akan bertanggungjawab. Saya akan kahwin dengan dia."

Zalika tersentak. Matanya membulat. Kata-kata yang terpacul daripada mulut lelaki itu jatuh seperti hukuman mati yang tidak boleh dirayu.

"Tak... tak!" Zalika menarik-narik hujung baju Ammar sambil menggeleng laju. "Ammar, tolonglah. Jelaskan kat dia orang. Awak sendiri tahu yang kita tak..."

"Kau tak payah nak berlakonlah!" pintas Ammar dengan muka tegang. "Ini sebenarnya yang kau nak, kan? Jadi, aku bagi!"

Zalika terdiam. Nafasnya terhenti seketika. Apa maksud dia? Dia fikir aku yang perangkap dia ke? Namun, pertanyaan itu hanya berlegar-legar dalam fikiran. Lidahnya kelu.

Buat seketika, dunia di sekelilingnya seperti terpadam. Suara-suara di dalam bilik itu menjadi samar. Yang tinggal cuma dia dan Ammar yang sedang berdiri di hadapannya dengan cerlungan tajam menikam.

Lelaki yang tadi sama-sama keliru. Lelaki yang tadi sama-sama tidak ingat apa-apa dan sekarang, lelaki itu memilih untuk percaya dialah dalang di sebalik apa yang berlaku.

Pandangan mereka bertaut beberapa detik. Detik yang cukup untuk Ammar nekad dengan keputusannya.

“Ammar…” suara Zalika bergetar hebat, bukan kerana takut, tetapi kerana hatinya benar-benar retak. “Awak tahu saya takkan buat benda macam ni, kan? Tolonglah... tolong jelaskan kat dia orang."

"Cukup, Zalika! Kau tak payah nak tambah drama. Keadaan dah cukup memalukan macam yang kau rancang."

Zalika terbungkam. Tuduhan itu menusuk tepat ke dadanya. Lelaki yang sepatutnya memahami situasi yang berlaku sekarang itu jelas sengaja menutup ruang untuk dia membela diri.

Reaksi yang terpamer pada wajah lelaki berjambang nipis itu bukan keraguan dan bukan juga simpati, tetapi kemarahan yang keras dan ego yang tercabar. Setiap kata-katanya terasa seperti pisau.

Ini bukan sekadar salah faham. Ini pilihan. Ya, Ammar memilih untuk tidak percaya dan hakikatnya, pilihan itu lebih menyakitkan daripada tuduhan orang ramai.

“Apa yang berlaku sekarang ni, saya akan bertanggungjawab. Saya lelaki. Saya takkan lari. Tapi..."

Dengan raut wajah yang tampak letih, Ammar memandang lelaki berkopiah di hadapannya dengan pandangan serius, lalu beralih kepada setiap wajah asing yang ada di ruangan itu.

"Kalau ada walau satu gambar yang tersebar kat luar, saya akan cari seorang demi seorang yang ada di sini dan heret ke mahkamah," tegasnya dengan nada dingin. "Ingat... saya akan cari sampai ke lubang cacing."

Semua orang saling berpandangan dengan muka yang serta-merta berubah risau sebelum masing-masing mengangguk tanda akur. Lantas, tanpa sebarang bicara lagi, Ammar mengayun langkah keluar dari bilik itu tanpa menoleh langsung.

Zalika mengetap bibir memandang belakang tubuh Ammar yang semakin menjauh. Air matanya yang sejak tadi ditahan akhirnya tumpah juga. Dia rasa seolah-olah hidupnya bukan sekadar runtuh, tetapi digoncang kuat.

Ammar, kau sedar yang hidup kau bukan satu-satunya yang musnah malam ni, kan? Kenapa kau buat aku macam ni? Kenapa kau tak berusaha jelaskan kat dia orang?

Air matanya mengalir semakin deras. Malam ini, dia belajar tentang satu perkara baru. Tidak semua hukuman bermula dengan kesalahan, tetapi ada yang bermula dengan sangkaan.

Share this novel

Guest User
2026-06-22 16:50:13 

Cerita masyarakat

Nie Hartinie
2026-06-12 20:55:03 

wow... tak sabar mau baca habis. terbaik azzalea

Norsida Shariff
2026-06-09 21:18:37 

best


NovelPlus Premium

The best ads free experience