BAB 2

Romance Series 134944

RUANG dapur rumah banglo itu sunyi. Jam menunjukkan hampir pukul 8.00 pagi. Pada ketika ini, Zalika sedang berdiri di hadapan kaunter dapur sambil memegang cawan kopi yang masih berasap.

Cahaya pagi yang masuk melalui tingkap kecil di tepi singki menyinari ruang dapur sederhana luas itu. Bau kopi bercampur dengan aroma roti bakar memenuhi ruang.

Di atas meja makan kecil, beberapa keping roti bakar yang sudah disapu jem tersusun kemas di atas pinggan putih. Di sebelahnya, secawan kopi panas dan semangkuk kecil mentega. Sarapan yang ringkas, tetapi itulah satu-satunya perkara yang mampu dilakukan oleh Zalika pada pagi itu.

Suara batuk kecil dari arah ruang tamu membuatkan bahu Zalika spontan menegang. Beberapa saat kemudian, Ammar muncul di muka pintu dapur.

Lelaki itu sudah siap berpakaian kerja. Kemeja putih yang digosok kemas membaluti tubuh tegapnya, dipadankan dengan seluar slack hitam. Rambutnya yang disikat rapi membuatkan dia kelihatan kemas dan segak seperti selalu.

Ammar berjalan terus ke singki tanpa memandang ke kiri dan kanan. Tanpa berkata apa-apa, dia mencapai gelas kaca dan menuangkan air kosong dari penapis air.

Zalika hanya memerhati. Tangannya yang memegang cawan kaku di udara separas dada. Seolah-olah kemunculan lelaki itu membuatkan masa terhenti.

"Saya dah siapkan sarapan. Saya nampak ada roti je kat dapur ni, jadi saya buatkan roti bakar," kata Zalika perlahan sambil memandang ke arah meja makan.

Ammar tidak menjawab. Lelaki itu mengangkat gelas ke bibirnya dan meneguk air sehingga habis.
Setelah itu, dia meletakkan gelas yang sudah kosong ke tepi singki.

Untuk sesaat, matanya sempat melirik ke arah meja makan, pada roti bakar yang disediakan oleh Zalika. Namun, riak wajahnya tidak berubah. Tiada reaksi.
Seolah-olah sarapan itu hanya perhiasan.

Tanpa sepatah kata, dia terus berpaling keluar dari dapur. Langkahnya tenang, setenang riak wajahnya. Seolah-olah tiada sesiapa pun berada di dalam ruang itu.

Ruang dapur kembali sunyi. Zalika masih berdiri kaku di tempatnya. Matanya jatuh pada cawan kopi yang masih berasap di atas meja, kemudian pada roti bakar yang masih belum terusik.

Perlahan-lahan, tubuhnya mengendur. Rasa kosong menjalar dalam dada. Dia tidak tahu mengapa, tetapi layanan dingin itu terasa menyakitkan. Sama seperti kata-kata hinaan Ammar semalam.

Sekurang-kurangnya semalam, lelaki itu masih bercakap dengannya. Hari ini, dia seperti tidak wujud langsung.

Zalika menghela nafas panjang sebelum dia melangkah menuju ke meja makan dan duduk. Agak lama dia merenung roti bakar di dalam pinggan sebelum dia mencapainya.

"Tak apa, Ika... Ini baru hari pertama," bisiknya perlahan, cuba memujuk diri.

Tetapi, beberapa persoalan muncul di benak fikirannya. Kalau hari pertama sudah begini, bagaimana pula dengan hari-hari selepas ini? Selama mana dia mampu bertahan?

LANGKAH Zalika serta-merta berubah perlahan sebaik sahaja dia melangkah masuk ke ruang pejabat. Suasana yang biasanya riuh dengan bunyi papan kekunci dan perbualan santai pagi itu terasa aneh. Ada yang janggal.

Beberapa pasang mata memandang ke arahnya.
Ada yang sekadar menjeling sepintas, lalu cepat-cepat memandang skrin komputer. Ada juga yang berpura-pura sibuk menyusun dokumen di atas meja, tetapi meliriknya dengan ekor mata.

Bisikan-bisikan halus kedengaran di telinga. Perlahan, tetapi cukup untuk membuatkan Zalika sedar bahawa dirinya sedang menjadi topik perbualan.

"Nampak alim je kan..."

"Seriuslah dia kahwin dengan anak pemilik syarikat tu..."

"Aku dengar kena tangkap khalwat kat hotel..."

Zalika mengetap bibir. Dia tidak berhenti berjalan. Langkahnya diteruskan seperti biasa seolah-olah dia tidak mendengar apa-apa langsung. Padahal, setiap perkataan yang menerpa gegendang telinganya terasa seperti jarum halus yang mencucuk ke jantung.

Dia menarik nafas panjang sebaik sahaja dia menguak pintu bilik pejabat kecilnya. Keadaan meja kerjanya sama seperti yang dia tinggalkan beberapa hari lepas.

Perlahan dia mengatur langkah menuju ke kerusi. Susunan fail dan beberapa katalog produk makanan beku yang berada di tengah meja dia tolak ke tepi.

Tiba-tiba, pandangannya terhenti pada sebuah fail biru. Zalika kaku seketika. Fail itu. Fail yang dia bawa semasa pertemuannya dengan Ammar di restoran hotel tempoh hari.

Spontan dia mengangkat fail tersebut sebelum dia duduk dan membuka fail. Setiap halaman diselak bersama dengan kerutan di dahi. Lagaknya seolah-olah cuba mengingat atau memikirkan sesuatu.

Peristiwa yang mengucar-kacirkan hidupnya tiba-tiba menyerbu fikiran. Seakan fail itu menyimpan jawapan kepada apa yang berlaku tempoh hari.

Dia masih ingat suasana restoran hotel itu ketika sesi pertemuannya dengan Ammar untuk membincangkan tentang kerja, tentang produk syarikat yang dijadualkan sama seperti beberapa kali perjumpaan sebelum ini.

Mereka duduk bertentangan di meja bulat berhampiran tingkap kaca yang menghadap jalan utama dengan bunyi instrumental yang melatari ruang.

Perbincangan mereka berjalan seperti biasa. Profesional dan tenang. Segalanya berjalan lancar sehingga Zalika tiba-tiba rasa kepalanya memberat. Pandangannya berpinar. Rasa seperti ada yang menekan dari dalam.

"Awak kenapa?" soal Ammar melihat Zalika memicit-micit pelipisnya.

"Saya rasa pening. Mungkin tak cukup rehat kut," balas Zalika sambil mengukir senyuman paksa.

"Kalau macam tu, perbincangan kita sampai di sini je lah dulu. Kita sambung lain hari." Ammar berdiri, tetapi tubuhnya terhuyung sedikit. Cepat-cepat dia berpaut pada meja.

Zalika membuka mulut hendak bertanya, tetapi tiada suara yang keluar.

“Saya pun rasa pening...”

Itu ayat terakhir yang dia ingat dengan jelas terpacul daripada mulut Ammar. Selepas itu, ingatannya menjadi kabur seperti filem yang tiba-tiba dipotong separuh.

"Apa sebenarnya yang berlaku masa tu?" desis Zalika sambil menutup fail, lalu diletakkan semula ke atas meja.

Dia cuba mengingat, cuba memaksa dirinya mencari serpihan memori yang hilang itu, tetapi kosong. Yang dia ingat, perkara seterusnya yang berlaku ialah pintu bilik hotel yang dihentak kuat dari luar, suara orang menjerit, suara pintu digegar kuat dan pandangan tajam Ammar yang penuh kemarahan pada waktu itu.

Zalika mendengus. Tubuhnya disandar kasar pada kerusi sebelum dia menutup erat matanya. Jantungnya berdegup sedikit laju. Dia masih tidak faham, bagaimana mereka boleh berakhir di bilik hotel? Siapa yang membawa mereka ke sana?

Tok. Tok. Tok.

Bunyi ketukan pintu menyentaknya daripada lamunan. Laju Zalika membuka mata dan cepat-cepat membetulkan posisi duduknya.

Pintu dikuak perlahan dari luar. Seorang wanita gempal berpakaian formal melangkah masuk menghampiri meja membawa beberapa buah fail.

"Cik Ika, ni fail tugasan yang Tuan Edrian suruh saya bagi kat Cik."

Zalika mengangguk perlahan, lalu dia mencapai salah sebuah fail yang baru diletakkan ke atas meja kerjanya.

Suasana sepi buat seketika sebelum Zalika mengangkat wajah memandang wanita yang masih berdiri di hadapannya dan sedang memandangnya dengan riak wajah seperti hendak berkata sesuatu.

"Awak ada apa-apa nak cakap lagi ke?"

Wanita itu kelihatan sedikit tersentak. "Ermmm... Bos panggil ke bilik dia."

"Sekarang ke?"

"Ya, sekarang.

Zalika mengetap bibir buat beberapa saat sebelum dia mengangguk perlahan.

Wanita gempal itu terus beredar tanpa berkata apa-apa lagi.

"Kenapa dia nak jumpa aku? Selalunya dia nak jumpa waktu-waktu bekerja sama ada nak ajak jumpa klien atau ada kesilapan kerja." Zalika memandang semula fail biru di atas mejanya.

Pandangannya terpaku pada fail itu buat beberapa saat sebelum dia berdiri dan melangkah menuju ke pintu dengan pelbagai persoalan yang bermain di fikirannya.

Bukan tentang mengapa dia dipanggil oleh majikannya, tetapi tentang apa sebenarnya yang berlaku tempoh hari di hotel.

Semakin dia cuba mengingat, semakin kuat perasaannya mengatakan bahawa jelas ada sesuatu yang tidak kena. Nalurinya berbisik bahawa kejadian itu bukan sekadar kebetulan, tetapi ada seseorang yang telah mengatur semuanya.

ZALIKA berdiri tepat di depan pintu bilik yang tertera nama dan jawatan pada kepingan logam kecil berwarna emas. Dia menarik nafas panjang beberapa kali sebelum mengetuk.

“Masuk.”

Suara sayup-sayup dari dalam kedengaran tenang, tetapi tegas. Zalika menarik nafas panjang buat kesekian kali sebelum dia membuka pintu dan melangkah masuk.

Pandangannya langsung tertancap pada figura tegap seorang lelaki berusia pertengahan 30-an yang sedang duduk di kerusi besar di ruang pejabat yang luas dan tersusun rapi itu.

Namun, langkah terhenti beberapa saat sebaik sahaja dia menyedari majikannya tidak berseorangan. Dua orang wanita berjawatan pengurus jabatan sama sepertinya sedang duduk bersandar santai di hadapan lelaki itu.

Maria berada di sebelah kanan, manakala Farah di kiri. Kedua-dua wanita itu memandangnya sekilas sebelum kembali menumpukan perhatian pada dokumen di tangan masing-masing.

Perut Zalika tiba-tiba mengeras. Jantungnya berdegup laju. Dia dapat rasakan ini bukan sekadar panggilan biasa.

“Duduk,” kata Edrian ringkas.

Zalika menarik kerusi kosong yang disediakan lalu dia duduk. Tangannya diletakkan ke atas riba dan cuba kelihatan setenang mungkin.

Edrian menyandarkan belakangnya pada kerusi. Wajah lelaki itu kelihatan serius. Kemeja biru gelap yang dipakainya digulung sedikit di bahagian lengan. Matanya terpaku pada wajah Zalika untuk beberapa saat. Tiada senyuman. Tiada kata-kata. Hanya renungan yang sukar ditafsir.

“Awak tahu kenapa saya panggil awak ke sini?” soal Edrian dengan suara datar.

Zalika menelan liur. "Nak bincang pasal tugasan ke?"

Edrian menghela nafas pendek, lalu dia mencapai sebatang pen di atas meja, kemudian diputarkan di celahan jarinya. “Semalam saya dapat panggilan daripada salah sebuah pihak syarikat klien kita.”

Suasana sunyi seketika.

“Klien tu tanya tentang isu yang melibatkan awak dan Encik Ammar,” sambung Edrian disusuli dehaman kecil.

Topik itu membuatkan Zalika spontan mencengkam lututnya di bawah meja.

“Klien yang bertanya tu... CEO Syarikat Ekspo Berhad sendiri. Awak pun tahu yang syarikat tu antara klien terbesar kita untuk eksport produk sejuk beku ke luar negara selain syarikat Encik Ammar, kan?” sambung Edrian lagi. “Jadi bila isu luar melibatkan wakil syarikat, perkara tu boleh jadi hal peribadi yang boleh gugat kredibiliti syarikat."

Farah melirik semua wajah yang ada di situ dengan riak tenang. Manakala, Maria pula kelihatan sangat berminat dengan topik yang dibuka.

“Tuan…” Zalika membuka suara perlahan. “Saya faham... isu yang berlaku baru-baru ini mungkin bagi kesan kepada syarikat. Saya minta maaf sangat-sangat, tapi apa yang berlaku malam itu..."

"Maaflah kalau saya cakap terus terang," potong Maria. Dia melempar sekilas lirikan sinis kepada Zalika sebelum dia menyambung. “Dari dulu lagi kita semua di sini bekerja keras untuk capai target. Jumpa klien, buat presentation dan kejar kontrak.”

Sekali lagi dia melirik Zalika, namun kali ini bersama dengan senyuman nipis penuh makna tersirat. "Tapi, tak sangka pula ada orang yang sanggup guna pendekatan lain. Ya lah, nak dapat perhatian klien besarlah kut, kan?"

Farah menoleh sekilas ke arah Maria dengan pandangan tidak selesa, tetapi wanita berambut kerinting itu terus bercakap.

“Saya sendiri pun selalu jumpa klien kat luar. Dinner, meeting, semua tu dah memang tugas. Tapi, setakat ini saya masih boleh jaga integriti dan maruah saya.” Kata-kata terakhir itu sengaja disebut dengan sedikit kuat.

“Tak perlu kut buat benda murahan semata-mata nak capai target kerja.”

Udara di dalam ruangan itu terasa semakin tegang. Zalika mengepal kuat penumbuknya di bawah meja, tetapi dia berusaha untuk kekal tenang dan tidak membalas.

"Kalau ikutkan..."

“Maria.”

Satu perkataan yang terpacul daripada mulut Edrian membuatkan wanita itu tidak jadi menyambung bicara.

“Saya panggil korang ke sini bukan untuk sesi sindir-menyindir.”

Maria menjeling tanda protes, lalu dia menyandarkan semula belakangnya sambil berpeluk tubuh.

"Awak dan Farah boleh keluar sekarang."

"Baik, Tuan."

Laju Farah berdiri dengan muka lega, seolah-olah baru terlepas daripada beban berat. Maria turut berdiri dan terus melangkah menuju ke pintu. Sempat lagi dia menjeling tajam dan mencebik kepada Zalika ketika dia melepasi wanita itu.

“Ika..." kata Edrian setelah hanya tinggal mereka berdua di ruangan itu.

Zalika menghela nafas berat. Kali ini, suasana jauh berbeza berbanding tadi. Dari cara panggilan sahaja dia sudah tahu ini bukan sesi formal. Riak wajahnya menunjukkan seolah-olah dia tahu ke mana hala tuju topik lelaki itu.

"You tipu I."

"Ed, I..."

"Kenapa you tak terus terang je kat I yang you ada hubungan dengan si Ammar tu?" potong Edrian sebelum sempat Zalika meneruskan ayat. "Kenapa you bagi I harapan palsu?"

"Boleh bagi I peluang untuk explain tak?" pinta Zalika dengan muka serius.

"No need," balas Edrian seraya berdiri membelakangi Zalika menghadap tingkap kaca besar yang menghala ke arah pemandangan lalu lintas. "I tak perlukan penjelasan. You dah kahwin dah pun."

"Jadi, kenapa you panggil I?"

Senyap. Seminit berlalu tanpa sebarang respons daripada Edrian.

"Okeylah, kalau macam tu..."

Zalika tiba-tiba bangun dari kerusinya. Tag nama yang bergantung di lehernya ditanggalkan, lalu diletakkan ke atas meja.

“I letak jawatan.”

Tanpa menunggu Edrian berpaling, Zalika terus melangkah keluar. Dadanya terasa sesak membawa sekeping hati yang dia sendiri tidak pasti sedang rasa apa. Pelbagai emosi dan perasaan bercampur baur.

Share this novel

NAT
2026-03-17 12:46:27 

siapa yg buat dajjal pada si Zalika ni...geram pulak kita....


NovelPlus Premium

The best ads free experience