BAB 1

Romance Series 134944

“SUSAH-PAYAH umi dan babah besarkan kau, ini yang kau balas? Dasar anak tak kenang budi! Kau dah malukan kami, tahu tak?!"

Suara tempikan suara garau itu disertai dengan bunyi barang-barang dihempas ke lantai. Habis berselerakan ruang tamu rumah batu sederhana besar itu seperti baru dipecah masuk pencuri.

Zalika tersentak, tetapi dia kekal menunduk membiarkan air matanya mengalir deras tidak diseka. Dia berdiri kaku di hadapan Encik Hadin yang kelihatan seperti hendak menelannya hidup-hidup. Muka lelaki itu merah padam. Nafasnya kuat seperti baru selesai berlari.

Manakala, Puan Roslia yang sejak tadi tidak berganjak dari tempat duduknya di sofa hanya mampu mendengar dan memerhati amukan suaminya dengan mata merah menahan tangis.

“Kau tahu tak apa yang orang kampung cakap? Kau tahu tak apa yang babah kena hadap sejak pagi tadi, hah!" Encik Hadin meraup kasar wajahnya dengan kemarahan yang tidak mampu dibendung lagi.

Zalika menelan air liur yang terasa pahit. Hendak menjawab, tetapi suaranya tersekat di kerongkong.

"Tak cukup ke didikan yang babah dan umi bagi selama ni? Mana pergi iman? Mana pergi agama? Ingat pergi ke bandar sebab kerja, tapi rupanya jadi perempuan sun..."

"Abang!" pintas Puan Roslia sambil berdiri seolah-olah tahu apa yang hendak diperkatakan oleh suaminya.

"Kenapa? Awak nak bela lagi anak awak yang memalukan ni?" tengking Encik Hadin dengan mata terjegil. "Nama keluarga kita dah busuk, tahu tak!"

"Babah..."

Suara halus bergetar itu membuatkan pasangan berusia separuh abad itu serentak menoleh dengan ekspresi yang berbeza. Marah dan sayu.

"Percayalah... Ika tak buat apa-apa yang melampaui batas, babah. Ika tak tahu macam mana..."

"Cukup! Kau tak payah nak bagi alasan tak logik," tempelak Encik Hadin. "Kena cekup berdua-duaan dengan lelaki kat bilik hotel, kau nak aku percaya yang kau tak buat apa-apa?"

Zalika ketap bibir. Kata-kata lelaki itu terasa seperti batu yang dilempar bertalu-talu ke kepalanya. Sinis dan tajam. Dia cuba membuka mulut untuk menjelaskan, tetapi terbantut kerana tindakan Encik Hadin yang tiba-tiba mencapai kertas dan pen di atas meja.

"Ini kali terakhir aku berurusan dengan kau," kata Encik Hadin sambil menurunkan tandatangan di atas kertas yang dipegangnya.

"Apa maksud babah?"

"Aku akan jadi wali nikah kau lusa ni. Lepas tu..." Encik Hadin mengangkat wajah, menatap tajam wajah anak perempuannya. "...kau bukan anak aku lagi!" lanjutnya sambil melempar kertas di tangannya itu ke atas lantai.

"Abang..." Puan Roslia memegang lengan suaminya sebagai isyarat merayu, berharap agar lelaki itu menarik semula kata-katanya.

Namun, Encik Hadin nampaknya sudah bulat tekad. Ketegangan nada suara dan riak wajahnya jelas menunjukkan bahawa keputusannya muktamad.

"Lepas nikah nanti, kau jangan berani jejak kaki kat rumah ni lagi. Aku tak nak tengok muka kau."

Nada suara Encik Hadin kini datar, tidak sekeras tadi. Tetapi, ia lebih menusuk dan menyakitkan. Zalika tergamam. Matanya yang basah langsung membulat tidak berkedip. Masa seolah-olah terhenti.

"Babah, Ika..."

Belum sempat Zalika meneruskan kata-kata, Encik Hadin sudah berpaling menandakan perbualan tamat di situ.

Bunyi derapan langkah lelaki itu kedengaran berat sebelum menghilang ke dalam bilik. Bunyi pintu yang ditutup rapat itu tidak kuat, tetapi tetap membuatkan Zalika tersentak, kerana pintu itu telah menjadi benteng yang memutuskan sesuatu yang tidak kelihatan.

Sunyi. Dan sunyi itu lebih menyakitkan daripada tempikan dan amukan tadi.

Tubuh Zalika yang sejak tadi cuba bertahan, akhirnya gagal berdiri teguh. Lututnya longgar. Sedikit demi sedikit tubuhnya melurut jatuh ke lantai. Dia terduduk di situ, kaku.

Air matanya yang mengalir tanpa henti tumpah semakin deras. Tangannya menggenggam hujung kain baju sendiri seolah-olah cuba menahan sesuatu yang terasa seperti hendak pecah di dalam dada.

Puan Roslia masih berdiri di tengah ruang tamu itu. Di antara pintu bilik yang tertutup dan anak perempuannya yang terduduk di lantai. Mata dan pipinya basah. Bibirnya terketar-ketar, seolah-olah mahu berkata sesuatu. Namun, tiada sepatah pun yang keluar. Dia tidak tahu hendak berpihak pada siapa.

"Ika..." Suara Puan Roslia kedengaran bergetar lemah. "Kenapa boleh jadi macam ni?"

Zalika tidak menjawab. Dia hanya menunduk dengan bahu terhinjut-hinjut melepaskan tangis yang tidak mampu ditahan. Dia tahu, walau apa pun jawapan yang dia beri, hukuman sudah pun dijatuhkan kepadanya tanpa sempat dia buktikan dia tidak bersalah.

ZALIKA duduk di hujung katil di dalam bilik yang terasa asing. Di hadapannya, sebuah bagasi sederhana besar miliknya terletak tegak belum dibuka.

Buat seketika, dia memerhati ke sekeliling bilik tidur yang terisi dengan set perabot ringkas itu sebelum pandangannya beralih pada lantai dengan pandangan kosong.

Sesi akad nikah yang berlangsung beberapa jam lepas di Pejabat Agama terimbas di fikirannya. Tiada pelamin, tiada kompang dan tiada majlis besar seperti pasangan pengantin lain.

Hanya ada dia, Ammar, ibu bapanya, dua orang saksi dan seorang pegawai agama. Dengan hanya sekali lafaz, dia telah sah bergelar isteri kepada lelaki yang memandangnya tanpa perasaan. Lelaki yang mengikatnya dengan rela, tetapi dalam paksa.

Usai sesi akad nikah, Encik Hadin terus melangkah pergi tanpa memandangnya langsung. Menoleh pun tidak. Seolah-olah urusan dan tanggungjawabnya sudah selesai sampai di situ.

Manakala, Puan Roslia pula sempat memeluknya buat seketika dan berpesan supaya menjaga diri sebelum dia menyusul mengejar suaminya.

Zalika menarik nafas perlahan. Dia cuba menamakan apa yang sedang dirasainya, tetapi dia tidak menemui jawapan. Pelbagai emosi bercampur menjadi satu rasa yang tidak mampu ditafsir.

Klik.

Bunyi tombol pintu dipulas membuatkan tubuh Zalika tersentak kecil, tetapi dia tidak menoleh. Namun, dari ekor matanya, dia dapat melihat gerakan figura tinggi lampai sedang melangkah masuk menghampirinya.

Zalika mengetap bibir. Debaran di dadanya terasa menggoncang seluruh tubuh. Bukan takut, tetapi kerana dia sudah bersedia untuk menghadapi lelaki yang kini telah bergelar suaminya itu.

Dia tidak pasti apa yang bakal dia hadapi, tetapi yang pasti, dia tahu lelaki itu membencinya. Kini, hanya mereka berdua di dalam ruangan itu. Tiada saksi, tiada orang luar dan satu kenyataan yang pasti, dia tiada jalan untuk berpatah balik.

Ammar berhenti beberapa langkah di depan Zalika.

Senyap. Zalika kekal menunduk.

“Pakaian kau... susun kat almari hitam tu. Jangan campur dengan pakaian aku dalam bilik pakaian.” Suara garau Ammar memecah kesunyian.

Zalika mengangkat wajahnya perlahan. Nada lelaki itu kedengaran terlalu tenang. Namun, riak wajahnya terlihat dingin.

"Bilik ni bilik kau. Bilik ni je yang kau boleh masuk dalam rumah ni selain bilik stor dan bilik air," tambah Ammar sambil memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket seluar.

Dahi Zalika sedikit berkerut. Bilik aku? Jadi, maknanya kami tidur asing-asing?

"Kau faham tak apa aku cakap tadi?" soal Ammar dengan suara sedikit keras, tetapi masih terkawal.

Zalika mengangguk perlahan.

"Kau tak ada mulut ke nak jawab?"

Spontan Zalika mengetap bibir. Dadanya terasa sempit dan sesak. Bukan kerana pertanyaan suaminya tadi, tetapi kerana cara lelaki itu memandangnya. Pandangan yang tidak menyentuh, tetapi membuatkan dia rasa kecil.

"Hei, kau tak dengar ke aku..."

"Ya, saya dengar dan saya faham." Laju Zalika memotong. Dia menghela nafas panjang sebelum dia memberanikan diri untuk bertanya. "Kalau ini bilik saya, abang nak tidur kat mana?"

"Abang?" Ammar mengukir senyum sinis. "Jangan panggil aku dengan panggilan tu. Aku tak suka!"

Zalika diam. Pandangannya sengaja dilarikan ke arah lain, tidak berani membalas tatapan tajam suaminya.

"Aku tidur kat bilik sebelah."

Suasana berubah hening seketika sebelum Ammar berdeham kecil dan menyambung bicara.

"Aku kahwin dengan kau sebab nak jaga reputasi keluarga aku. Bukan sebab kau layak jadi isteri aku." Dia berhenti sejenak. Rahangnya mengeras. "Jadi, kau jangan fikir kau ada hak dalam hidup aku."

Kata-kata yang terpacul daripada mulut Ammar menikam tanpa simpati. Zalika menelan liur. Dia memberanikan diri untuk membalas pandangan suaminya.

"Saya tak pernah berniat nak...”

“Niat kau tak penting,” potong Ammar. “Hakikatnya, kau bukan siapa-siapa. Know your limit. Apa-apa peraturan aku, kau kena ikut.”

Sunyi mencengkam ruang. Zalika menunduk sambil menarik-narik hujung baju kurungnya tanpa sedar. Seolah-olah perlakuannya itu mampu memberinya kekuatan.

“One more thing."

Laju Zalika mengangkat wajahnya semula, menanti apa yang hendak diperkatakan oleh lelaki yang sedang menayang muka dingin itu.

"Jangan sesekali harap aku akan layan kau selayaknya seorang isteri.” Suara Ammar semakin rendah, makin dingin. “Kau cuma perlu wujud dalam hidup aku. Itu je.”

Tangan Zalika menggeletar di atas ribanya. “Maksud awak?” Dia memberanikan diri untuk bersuara.

“Maksud aku…” Ammar melangkah lebih dekat, membuatkan Zalika terpaksa mendongak.

“Kau cuma isteri atas kertas. Isteri untuk tunjuk kat orang luar sana yang semuanya selesai dan sebagai hukuman untuk kau atas apa yang dah berlaku."

Senyuman jengkel tersungging di bibir Ammar. Setiap ayatnya lebih menyakitkan daripada tengkingan.

Kenapa aku perlu dihukum? Salah aku ke? Aku sendiri mangsa dalam situasi ni. Ini tak adil! bentak hati Zalika. Dia rasa sendirian tanpa pembelaan.

“Jangan risau... selama kau jadi isteri aku, aku tak akan sentuh kau. Perempuan macam kau ni bukan taste aku,” sambung Ammar dengan nada selamba sambil memandang isterinya dari atas ke bawah dengan pandangan menghina.

Zalika menggengam tangannya yang menggeletar di atas riba. Dia rasa ada sesuatu dalam dirinya sedang retak. Kata-kata yang baru sahaja menerpa gegendang telinganya terasa lebih hina daripada sekadar dibenci.

“Kalau kau bijak dan rasa diri kau ada maruah... kau duduk je diam-diam. Jangan campur urusan aku dan aku pun tak nak peduli pasal kau."

Usai bercakap, Ammar mengalihkan pandangannya ke arah bagasi di hadapan Zalika. Dengan hujung kasutnya, dia menolak bagasi itu sedikit ke tepi seolah-olah beg itu penghalang laluannya.

Lantas, tanpa memandang wajah Zalika lagi, dia terus melangkah ke pintu dengan langkah tenang dan hati yang puas. Tetapi, itu belum cukup. Itu baru permulaan.

Ammar berhenti seketika di muka pintu. “Oh ya… satu lagi aku nak ingatkan.”

Zalika menoleh.

“Kalau nak menangis, jangan menangis kuat sangat. Dinding rumah ni nipis. Aku tak suka bunyi bising.”

Sambil tersenyum sinis, Ammar terus melangkah keluar. Setelah pintu tertutup, tubuh Zalika yang tadi tegang perlahan-lahan mengendur.

Dia sedar, ternyata perkahwinan ini bukanlah jalan penyelesaian untuknya, bukan juga sebagai perlindungan, tetapi sebuah penjara dan lelaki bernama Ammar itulah warden kepada penjara hidupnya.

Happy reading, ya! ? Terima kasih bebanyak kat korang yang sudi singgah baca... ❤

Share this novel

NAT
2026-03-17 12:38:12 

kesian Zalika ...siapa la yg buat khianat pada dia ni...


NovelPlus Premium

The best ads free experience