BAB 3.

Romance Series 5816

KEESYA AMANDA duduk di tepi jendela bilik, memandang ke luar dengan tatapan yang sukar dibaca.

Tangan halusnya bermain-main dengan rantai kecil yang tergantung di leher. Rantai itu menggenggam sesuatu yang tidak ternilai baginya.

Cincin kecil yang pernah menjadi simbol cinta. Matanya berkaca tetapi bukan kerana kesedihan. Ia adalah campuran obsesi, dendam dan rindu yang menggila.

Dia menundukkan kepala, menggenggam erat cincin itu sambil berbisik perlahan, hampir seperti doa yang disampaikan kepada malam.

“Qyrul... kau adalah milik aku. Tidak kira apa yang berlaku, aku akan cari kau. Aku akan buat kau ingat siapa aku. Kita pernah ada sesuatu yang tak pernah boleh dilupakan…” Keesya Amanda bersuara lembut tapi penuh dengan tekad kerana dia yakin, itulah putera idaman yang seringkali menemani dia.

Dia berdiri, mendekati cermin kecil di bilik itu. Pantulan dirinya kelihatan lebih kuat daripada sebelumnya, seolah-olah dia sedang bersiap untuk pertempuran.

“Chempaka mungkin fikir dia menang. Tapi dia salah. Aku akan dapatkan Qyrul semula. Dia sepatutnya ada di sisi aku, bukan dia,” tokok dia lagi.

Keesya Amanda menyentuh bibirnya, memejamkan mata seolah-olah membayangkan saat Qyrul bersamanya.

Senyuman kecil muncul di bibirnya tetapi ada kegetiran di sebaliknya.

Dia membuka laci kecil di meja dan mengeluarkan peta kota selain rumah sakit jiwa itu sendiri, hasil lakaran dia yang sudah tersimpan agak lama.

Tangannya melingkari nama lokasi tertentu, yang dia yakin berkaitan dengan lelaki bernama Qyrul yang dia temui di kaca televisyen itu.

“Kau boleh cuba lari, Qyrul. Tapi aku tahu ke mana nak cari kau. Bila tiba masanya, kau akan sedar… cinta aku lebih kuat dari apa pun.” Suara yang masih lagi tenang tapi makin dingin sudah Keesya Amanda luahkan.

Dia menggulung peta itu dengan cermat, menyimpannya kembali. Langkah kakinya di bilik itu penuh keyakinan dan malam yang sunyi, menjadi saksi kepada tekad seorang wanita yang tidak pernah melupakan cintanya.

Keesya Amanda duduk di atas katil kecilnya, jari-jarinya bermain dengan rantai lehernya yang tergantung cincin lama, seperti sebuah harta karun yang tidak ternilai.

Dia memandang ke luar jendela bilik, melihat bayangan malam yang sepi.

Bibir tersenyum kecil, tetapi kali ini senyuman itu penuh dengan lamunan, seakan-akan sedang merenung cerita dongeng dalam fikirannya.

“Qyrul... kau adalah prince charming aku dan aku ini Sleeping Beauty yang sentiasa menunggu ketibaan kau. Kau mungkin tidak sedar sekarang tapi aku tahu, kau akan datang untuk aku. Kau akan kejutkan aku dari tidur yang panjang ini… dan kita akan kembali ke dunia kita, seperti yang sepatutnya,” ujar Keesya Amanda bernada bisikan sambil merenung cincin.

Dia berbaring perlahan di atas tilamnya, memejamkan mata sejenak. Membayangkan dirinya dalam dunia dongeng.

Tangannya masih menggenggam rantai leher itu, seolah-olah sedang memegang janji yang tidak pernah dia lupakan.

“Aku tahu kau sibuk sekarang, mungkin terlalu jauh untuk mendengar panggilan aku. Tapi aku sabar, Qyrul. Aku akan tunggu kau. Sebab dalam cerita kita, Sleeping Beauty hanya akan bangun bila prince charming hadir.” Intonasi bicara Keesya Amanda acapkali berubah ritmanya.

Kini dia seakan-akan sedang bersembang pula. Lalu dia ukirkan senyuman lebarnya.

Dia tertawa kecil tetapi ada sedikit kesayuan di matanya. Dia duduk kembali, memandang cermin kecil di biliknya, memperhatikan wajahnya sendiri.

“Chempaka fikir dia Snow White, kan? Kononnya gadis sempurna yang dapat segala-galanya. Tapi dia salah. Kau tahu, dalam setiap kisah
… Snow White selalu kalah dengan Sleeping Beauty. Sebab aku adalah puteri sebenar dan hanya aku yang layak berada di sisi kau,” ujarnya menatap tajam pada wajahnya yang ada di cermin.

Dia memandang keluar jendela lagi, seakan-akan mencari sesuatu di luar sana. Tangannya menggenggam tepi jendela, jemari mengetuk perlahan mengiringi debaran di dadanya.

“Tidur aku tidak akan lama lagi, Qyrul. Aku akan keluar dari sini dan kau akan temui aku semula. Kisah dongeng ini akan berakhir seperti yang sepatutnya… aku dan kau bersama.” Ujar dia lagi.

Malam itu, Keesya kembali kepada lamunan. Sambil memutar-mutar ceritanya sendiri di dalam kepala, seolah-olah dunia nyata hanya sebuah babak sementara dalam kisah dongeng yang dia tulis untuk dirinya dan Qyrul.

HONDA ACCORD yang dipandu Qyrul meluncur perlahan di jalan berliku menuju Bukit Fraser.

Kabut nipis mula menyelimuti jalan, memberikan suasana tenang yang diselang-seli deruan angin dari celahan hutan tebal di kiri dan kanan mereka.

"Ada rasa macam... kita masuk dunia lain, kan?" tanya Chempaka, matanya terarah ke luar tingkap. Kagum melihat pohon-pohon tinggi yang seakan-akan membentuk terowong hijau.

Qyrul menjeling sekilas sebelum kembali fokus pada jalan di hadapannya.

"Memang macam tu. Tempat ni sunyi, jauh dari hiruk-pikuk kota. Sesuai sangat untuk kita," balasnya bersama kuntum senyuman kecil di hujung bibir.

Chempaka tersenyum kembali, tangannya bermain di rambutnya yang terurai.

"Abang rasa ada apa-apa cerita seram tak pasal tempat ni? Bukit Fraser kan terkenal dengan cerita-cerita macam tu,” sempat lagi dia utara perkara taboo itu.

"Kalau ada pun, biar abang jaga awak," jawab Qyrul sambil ketawa kecil, cuba mengusik isterinya.

Chempaka mencubit lengannya.

"Eee, tak payah. Takutlah!" Sahutnya dengan cemikkan muka.

“Aduh! Sejak bila honda abang ada ketam ni?” Giat Qyrul lagi tertawa kuat. Sekejap itu jugalah, isterinya itu tayang muka masam-masam kelat.

“Nak lagi? Ada bapak ketam ni? Hah! Hah!” Chempaka juga tak kurang kaki menggiatnya membuatkan Qyrul terteleng-terteleng tak mahu dah. Sakit!

Setelah menempuh perjalanan yang memakan masa hampir dua jam. Kereta mereka sudah sampai di laman depan Villa Cinta Isabelle.

Villa yang mereka tempah tersergam indah itu, terletak di atas bukit dengan pemandangan langsung ke arah lembah yang berkabus.

“Wah, nyamannya udara kat sini bang. Cantik villa ni bang,” ujar Chempaka penuh keterujaan. Qyrul yang sedang menurunkan bagasi beroda mereka turut tersenyum.

Gaya kolonial Inggeris yang unik terpancar dari reka bentuknya. Itu apa yang pasangan baru mendirikan masjid cinta suci itu, tafsirkan.

“Jom…” Tangan kiri memegang penarik bagasi. Tangan kanan meraih jejemari si isteri untuk berjalan dengannya ke arah villa.

Chempaka berpaling. Qyrul tersenyum. Lalu kedua-duanya melangkah seiringan. Setibanya di hadapan pintu berkerawang indah dengan loceng. Qyrul membuka kuncinya. Dan meminta agar Chempaka masuk dahulu diikuti dia.

Chempaka melangkah masuk, matanya bersinar memandang setiap sudut.

"MasyaAllah, cantiknya! Macam rumah dalam filem," katanya, suara penuh kekaguman.

Melangkah semakin ke depan. Qyrul menarik bagasi setelah itu, dia juga mengintari kawasan luas berdekorasi kolonial British di era Victoria dengan kekaguman.

Setelah itu, barulah dia mengangkat bagasi mereka, meletakkannya di sudut ruang tamu.

"Abang pilih tempat ni sebab suasana dia, sayang. Tenang… romantik. Sesuai untuk kita berbulan madu," ucapnya sambil mengerling ke arah Chempaka yang sibuk menjelajah villa itu.

Chempaka berhenti di tepi tingkap besar yang menghadap ke lembah.
Dia berdiri di situ seketika, menikmati keindahan alam.

"Saya rasa macam tak nak baliklah, abang,” ujar Chempaka berpaling ke arah dalam semula.

Qyrul juga merenungnya sebelum dia datang
mendekat lalu memeluk bahunya dari belakang.

"Kita nikmati masa ni, sayang. Jangan fikir pasal apa-apa yang lain. Hanya kita berdua,” sahut Qyrul pula setelah sampai. Seraya mengucup bahu Chempaka.

Chempaka berpaling memandangnya, senyuman manis di bibirnya.

"Abang janji, kan? Kita akan bahagia macam ni selama-lamanya…” Tanya Chempaka sambil memegang jemari yang ada di atas bahunya dengan senyuman.

Qyrul mengangguk perlahan. Renungan redupnya memandang jauh ke dalam mata Chempaka.

"Selama-lamanya, Chempaka. Itu janji abang,” jawapan pada persoalan Chempaka.

Chempaka tersenyum sambil menalakan pandangannya ke arah perbukitan Fraser Hill itu.

Malam semakin larut. Lampu-lampu villa memberikan cahaya malap yang romantik.

Chempaka menyarungkan gaun satin lembut, duduk di sofa sambil membaca buku sementara Qyrul sibuk menyediakan kopi di dapur kecil.

"Bukit Fraser ni macam ada magis dia sendiri, abang," kata Chempaka perlahan, suaranya seakan-akan berbisik.

Qyrul datang membawa dua cawan kopi, menyerahkannya kepada Chempaka.

"Magis yang buat hati kita rasa tenang, kan?"

Chempaka tersenyum, mengangguk.

"Terima kasih, abang… sebab bawa saya ke sini. Ini malam yang saya takkan lupa."

Qyrul hanya mengusap lembut rambut isterinya, hatinya dipenuhi kehangatan cinta.

Di luar, bunyi cengkerik dan angin sejuk menjadi muzik latar sempurna untuk malam pertama mereka di Bukit Fraser.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience