BAB 2

Romance Series 5816

MAJLIS resepsi persandingan antara Syed Qyrul dan Chempaka Sari diadakan dengan penuh adat istiadat tradisional Melayu yang memukau setiap tetamu.

Dewan dihias indah dengan gabungan warna emas dan putih, melambangkan keagungan serta kesucian cinta pasangan mempelai.

Lampu chandelier yang tergantung tinggi menambah seri, memancarkan sinaran lembut yang menerangi keseluruhan dewan.

Pelamin di tengah dewan menjadi tumpuan, dihiasi dengan bunga-bunga segar seperti ros putih dan orkid ungu, disusun rapi mengelilingi tempat duduk pasangan mempelai.

Di belakang pelamin, backdrop dihiasi dengan corak songket dan ukiran tradisional Melayu.

Tetamu mula memenuhi dewan, mengenakan pakaian tradisional yang serba indah. Suara kompang bergema, mengiringi pasangan mempelai yang melangkah masuk dengan penuh anggun.

Syed Qyrul atau lebih di kenali sebagai Qyrul segak mengenakan baju Melayu lengkap berwarna putih gading dengan tanjak berhias songket emas, manakala Chempaka Sari atau Chempaka kelihatan anggun dalam busana songket merah maroon yang bersulam benang emas, lengkap dengan mahkota kecil di kepala.

“Alhamdulillah, sama-sama kita panjatkan syukur ke hadrat Ilahi atas ikatan suci dua mempelai kita pada hari yang penuh bermakna ini. Dipersilakan Syed Qyrul dan Chempaka Sari untuk bersemayam di atas pelamin indah, tanda kebahagiaan mereka yang menjadi impian setiap insan.” Suara pengacara majlis menyambut ketibaan pasangan raja sehari itu di pelaminan.

“Chempaka, awak nampak menawan sangat hari ini. Saya rasa macam mimpi dapat berganding tangan dengan awak di atas pelamin ini…” Qyrul sempat berbisik ke telinga sang suri hati yang sudah dia tambat dengan ikatan pernikahan, pagi tadi hanya dengan sekali lafaz.

“Jangan puji lebih-lebih, Qyrul. Nanti saya tak tahu mana nak letak muka,” jawab suara perlahan, Chempaka sambil tersenyum malu.

Setelah kedua-duanya duduk atas singgahsana raja sehari. Mereka tersenyum mesra, menambahkan aura bahagia yang menyelimuti suasana majlis penuh rahmah itu.

“Baiklah. Acara pada malam ini akan dimulai dengan menepung tawar pengantin. Di persilakan ibubapa pengantin lelaki, Dato’ Syed Amran dan isteri Datin Sharifah Ameenah naik ke atas.

Berkerlipan cahaya lensa kamera para photographer dan jurugambar dari segmen Sentuhan Kasih dari sebuah stesyen televisyen swasta, membidik gambar pasangan pengantin.

Giliran kedua ibubapa pengantin perempuan pula untuk naik ke atas pelamin. Setelah itu, diikuti saudara-mara dan rakan taulan.

“Baiklah hadirin kini, kita akan menyaksikan acara menyuap pulut kuning sebagai simbolik kasih sayang pasangan mempelai. Hadirin, sama-sama kita berikan tepukan gemuruh!” Ucap sang pengacara majlis di tepi pentas.

“Semoga kita selalu saling menyempurnakan, seperti pulut dengan serunding ni,” bisik Qyrul sebelum menyuap lembut potongan pulut kuning ke mulut suri hatinya itu.

“Saya harap serundingnya tak pedas sangat, nanti awak pula yang tak tahan,” sempat lagi Chempaka berjenaka sebelum disuapkan.

“Tak apa. Kalau awak yang suapkan. Confirm tak rasa pedas,” sahut Qyrul pula membuatkan Chempaka yang mengambil giliran, tertawa kecil.

“Buka mulut…” Chempaka meminta bila Qyrul dengan sengaja mengusik buat-buat tak mahu buka mulut. Akhirnya berjaya juga disuapkan.

Usai acara suap-menyuap pulut. Qyrul dan Chempaka duduk kembali atas singgahsana pelaminan mereka yang didirikan di dalam dewan ballroom hotel terkemuka sekitar ibukota.

Majlis diteruskan dengan acara santapan beradab, diiringi persembahan muzik ghazal yang mendamaikan.

Sepanjang malam, senyuman tidak pernah lekang dari wajah mempelai, menggambarkan betapa indahnya saat-saat bahagia mereka.

Selepas santapan beradab, tetamu mula bangun dari tempat duduk untuk mengambil giliran bergambar bersama pengantin.

Barisan keluarga terdekat didahulukan, termasuk ibu bapa kedua-dua belah pihak yang kelihatan gembira menyaksikan kebahagiaan anak-anak mereka.

Di satu sudut, beberapa kanak-kanak berlari riang kagum melihat bunga api kecil yang dimainkan oleh kru majlis di luar dewan.

Suara ketawa mereka diselangi dengan alunan muzik tradisional yang masih mengisi ruang dewan.

“Qyrul, duduk tegak sikit. Jangan tunduk sangat, nanti nampak macam tak yakin pula,” tegur Datin Sharifah Ameenah sambil membetulkan sedikit letak duduk tanjak sebelum bergambar.

“Baik, Mak. Tapi kalau saya tegak sangat, nanti tak padan dengan Chempaka pula,” sahut Qyrul yang tak habis-habis mengusik Chempaka.

“Tak apa, Mak. Dia memang selalu suka cari alasan bila suruh bergambar,” sahut Chempaka pula sebelum kesemuanya tertawa. Tahu sangat ulah Qyrul yang tidak suka bergambar.

Di ketika itulah, para jurufoto mengambil peluang merakam gambar spontan mereka yang terlihat amat ceria.

“Qyrul, akhirnya kau kahwin juga. Tak sangka betul. Dulu asyik kata tak nak fikir soal kahwin,” tegur si rakan tatkala dia pula mendekati arkitek muda itu.

“Aku tak fikir dulu sebab belum jumpa orang yang buat aku nak kahwin. Bila jumpa Chempaka, terus rasa semua dah cukup,” sahut Qyrul dan kemudian tersenyum, menepuk-nepuk bahu si rakannya itu.

“Dia pandai cakap saja. Tapi masa mula-mula kenal, saya yang terpaksa tunggu dia buka mulut dulu,” sahut Chempaka tanpa sengaja terdengar perbualan dua orang rakan akrab itu dengan penuh sopan walau sedang berjenaka. Mahu mengusik sebenarnya.

“Kau pula bila lagi? Calon kan dah ada? Kau yang bercinta dahulu, aku yang kemudian pun dah lepas dah ni,” tegur Qyrul pada Johan rakannya.

“Insya Allah. Ada jodoh ada lah nanti. Aku tunggu green light saja ni,” sahut Johan. Pandangan dia dan Qyrul tertumpu ke arah meja di mana kekasih Johan sedang berada.

Sudah tiba masa untuk acara kemuncak dan suara pengacara mengumumkan sudah kedengaran untuk acara memotong kek perkahwinan yang menjadi simbolik kemanisan cinta mereka.

Kek berwarna putih gading dengan hiasan bunga mawar merah menjadi perhatian, terletak di tengah dewan.

Sambil merangkul lengan Qyrul. Chempaka berpapasan ke arah pelamin mereka semula.

“Kini, tibalah saat yang dinantikan. Pasangan mempelai kita akan memotong kek sebagai tanda bermulanya perjalanan hidup mereka sebagai suami isteri. Mari kita sama-sama berikan tepukan gemuruh!”

Sambil melemparkan senyuman. Qyrul dan Chempaka berganding tangan memegang pisau pemotong kek bereben merah sambil menerima tepukan para tetamu yang hadir.
“Awak nak potong bahagian mana dulu? Atau kita ikut saja tradisi?” Qyrul berbisik.

“Kita potong tengah-tengah. Biar semua tahu kita berkongsi segalanya, separuh-separuh.” Sambil tersenyum, Chempaka pun menjawab. Ada makna pada jawapannya itu.

Suara tepukan dan sorakan bergema apabila kek dipotong, diiringi bunyi kamera yang tidak henti-henti merakam momen indah itu.

Malam berakhir dengan sesi bergambar terakhir bersama rakan-rakan pengantin.

Sebelum tetamu beredar, mereka diberikan doorgift berupa kotak kecil berisi manisan tradisional, simbolik kebahagiaan yang ingin dikongsi oleh Qyrul dan Chempaka kepada semua.

Dewan yang penuh dengan cinta dan senyuman menjadi saksi kepada permulaan sebuah kisah cinta abadi.

Ketika malam semakin larut, para tetamu mula meninggalkan dewan dengan wajah puas dan senyuman lebar. Suasana yang meriah perlahan-lahan bertukar tenang dengan hanya bunyi kaki melangkah dan ucapan selamat tinggal memenuhi ruang.

Pasangan pengantin Qyrul Chempaka, berdiri di pintu utama dewan bersama ibu bapa masing-masing, mengucapkan terima kasih kepada setiap tetamu yang hadir.

Walaupun keletihan jelas terpancar di wajah mereka, senyuman tidak pernah lekang.

“Tahniah, Qyrul. Jaga Chempaka elok-elok. Dia isteri yang baik,” pesanan yang sama diberikan oleh beberapa orang tetamu rapat keluarga itu selain rakan bisnes.

“Terima kasih banyak. Doakan kami bahagia sampai akhir hayat,” ucap Qyrul lalu menunduk setelah bersalaman sambil tersenyum.

“Terima kasih sebab sudi datang. Maaf kalau ada kekurangan sepanjang majlis.” Giliran Chempaka pula menghantar kata-kata penghargaannya.

Selepas tetamu terakhir melangkah keluar, Qyrul memandang ke arah Chempaka dan menghela nafas panjang.

“Akhirnya, habis juga majlis. Lega, kan?” Setelah meraih jejemari berinai sang isteri, Qyrul luahkan perasaannya.

“Lega, tapi rasa macam tak percaya semua ni dah berlaku. Kita dah sah jadi suami isteri, Qyrul.”

“Dan ini baru permulaan. Banyak lagi detik indah yang menunggu kita.” Jemari berinai itu, digenggam dengan erat lagi. Qyrul ungkapkan fragmen katanya itu.

Dengan bantuan pasukan majlis, kedua-dua mereka akhirnya melangkah masuk ke bilik pengantin yang disediakan khas di sebuah hotel berdekatan.

Bilik itu dihias indah dengan kelopak bunga mawar merah, lilin aromaterapi dan hamparan kain satin putih yang menambah suasana romantis.

Chempaka membuka selendangnya sambil memandang ke arah cermin, mengimbas kembali momen sepanjang hari itu.

Qyrul berdiri di belakangnya, memerhatikan dengan senyuman penuh kasih.

“Majlis tadi sempurna. Saya tak sangka semuanya boleh jadi seindah ini.” Chempaka bersuara lagi setibanya mereka di suite yang di tempah khas sebagai bilik pengantin.

“Itu sebab awak yang sempurnakan majlis ni, dan hidup saya,” jawab Qyrul. Menunduk lalu memeluk tubuh yang sedang duduk di bangku meja solek itu dari arah belakang.

“Awak selalu tahu nak cakap benda manis.” Sambil memandang tubuh suaminya itu di cermin. Chempaka menjawab dengan kata-katanya pula.

“Bukan manis, tapi jujur.”

“Yelah tu…” Jawab Chempaka pada jawapan yang diiringi tawa halus, Qyrul itu.

Malam itu ditutup dengan ketenangan dan rasa syukur. Pasangan mempelai itu, akhirnya dapat berehat setelah menempuh hari yang panjang.

Dan bersedia untuk memulakan babak baru dalam kehidupan mereka sebagai suami isteri.

Di luar jendela, bulan penuh bersinar terang. Turut mendoakan kebahagiaan mereka.

Malam itu, bilik pengantin diterangi cahaya malap daripada lilin aromaterapi yang berbau lembut vanila dan mawar.

Kelopak bunga ros merah bertaburan di atas katil, mencipta suasana yang romantis dan menggoda.

Udara dalam bilik terasa hangat, seakan mengiringi debaran dua hati yang baru bersatu dalam sebuah ikatan suci.

Chempaka bangkit dan meminta diri untuk mandi dahulu. Qyrul mengizinkan sambil dia juga menanggalkan sampin setelah tanjak.

Setengah jam kemudian, Chempaka berdiri di hadapan cermin. Dia mengenakan kain satin putih yang lembut membalut tubuhnya.

Rambutnya yang panjang terurai, membingkai wajah yang kelihatan sedikit kemerahan.

Di belakangnya, Qyrul mendekat perlahan. Tapi dia masih lagi mengenakan baju melayu yang kini sudah dibuka butang lehernya, mendedahkan sebahagian dadanya.

“Chempaka, awak cantik sangat malam ni. Saya rasa macam tak layak nak tengok lama-lama,” bisik Qyrul lembut di tepi telinga, suri hatinya itu setelah dia bangun dari katil pengantin.

Chempaka tersenyum kecil tetapi matanya tertunduk, malu-malu.

“Jangan cakap macam tu, Qyrul… pergilah mandi,” sahut Chempaka tersasul-sasul bila dada sudah bergendang. Tenungan suaminya itu di cermin teramat tajam.

“Abang… bukan Qyrul. Saya awak lagi, sayang…” giat sang suami menambahkan lagi kemerahan pada pipi Chempaka.

“Pergilah mandi. Bau peluhlah,” usir Chempaka makin tidak tentu hala bila Qyrul terkenyit-kenyit matanya pula.

“Sayang, halau abang ke? Sampai ya hati,” ujar Qyrul berpura-pura merajuk. Mahu melihat reaksi sang isteri.

“Bukan be.. be…begitu bang,” sahut Chempaka tergagap-gagap. Gugup semakin nakal menyerang.

Qyrul mendekatkan dirinya, tangannya perlahan-lahan menyentuh bahu Chempaka. Dalam masa sama, dia juga seakan memastikan sentuhan itu tidak terlalu berat.

Dia tatap wajah isterinya melalui pantulan cermin, memperhatikan setiap lekuk senyum dan debar yang terpancar.

“Awak tahu tak, saya bersyukur setiap saat kerana Allah pilihkan awak untuk saya. Malam ini, saya janji akan jaga awak sepenuh hati saya.” Qyrul membisik lagi. Hembus nafas yang terkena semakin mendebarkan dada sang isteri pada malam pengantin mereka.

Chempaka memandangnya melalui cermin dan matanya berkilau penuh rasa kasih.

Tangan mereka bertaut, jemari Qyrul menyentuh kulitnya dengan penuh kelembutan. Nafas mereka berdua terasa selari, seiring degup jantung yang semakin pantas.

Dia perlahan-lahan memalingkan Chempaka menghadapnya. Dalam suasana senyap yang hanya diiringi bunyi angin lembut dari penghawa dingin, Qyrul mengangkat dagu Chempaka dan mencium dahinya dengan penuh hormat.

Ciuman itu lambat dan tenang, seakan menyampaikan segala kasih yang tidak terungkap dengan kata-kata.

Chempaka menutup matanya, merasai setiap sentuhan itu membawa rasa selamat dan cinta yang mendalam.

Malam mereka diterangi bukan hanya cahaya lilin, tetapi juga kehangatan cinta yang baru bermula, menyelimuti mereka dalam janji untuk saling mencintai hingga akhir hayat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience