QYRUL dan Chempaka berdiri di hadapan sebuah taman indah yang menjadi lokasi penggambaran untuk segmen liputan televisyen mengenai majlis perkahwinan mereka.
Qyrul mengenakan baju Melayu berwarna putih gading lengkap dengan sampin songket emas. Manakala Chempaka pula, tampak anggun dalam busana pengantin tradisional bersulam indah, lengkap dengan tiara kecil menghiasi rambutnya. Mereka tampak berseri-seri, memancarkan kebahagiaan yang mengundang senyuman sesiapa yang memandang.
Di belakang mereka, kelihatan meja hidangan perkahwinan yang dihias dengan bunga segar dan di sebelahnya ada pelamin dirias penuh elegan dengan rona putih dan emas.
"Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada penonton. Hari ini kita berada di taman yang indah ini untuk bersama pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan mereka tidak lama lagi. Encik Syed Qyrul Dato’ Syed Amran arkitek paling terkemuka dengan Cik Chempaka Sari Mustafar. Boleh tak sekiranya kongsikan perasaan anda menjelang hari bahagia ini?"
"Waalaikumussalam. Perasaan saya tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Gembira, teruja dan sedikit gugup. Tapi yang paling penting, saya bersyukur kerana Chempaka adalah insan yang akan menemani saya hingga ke akhir hayat, insya-Allah,” jawab Qyrul seraya melirik manja ke arah Chempaka membuatkan bakal pengantin perempuannya itu, tersenyum malu.
"Saya rasa sangat bertuah. Qyrul adalah pasangan yang sangat penyayang dan memahami. Majlis ini memang besar maknanya bagi kami berdua dan kami harap semua tetamu akan merasa seperti sebahagian daripada keluarga kami pada hari ini..." Chempaka pula menjawab.
"Pasangan romantik ini benar-benar memberikan inspirasi kepada kita semua. Boleh tak kongsikan sedikit tentang tema majlis perkahwinan anda?" Soal si host sambil mikrofon disuakan kembali.
"Tema kami adalah 'Romantika Seindah Harmonis'. Kami memilih warna putih dan emas bagi melambangkan kesucian dan kemewahan yang sederhana. Kami juga nak semua tetamu rasa tenang dan selesa." Chempaka yang menjawab bagi pihak Qyrul.
"Betul. Selain itu, kami ada elemen tradisional yang digabungkan dengan sedikit sentuhan moden. Jadi, majlis ini adalah refleksi perjalanan cinta kami," sambung Qyrul pula masih menggenggam erat tangan Chempaka.
"Wow, sangat-sangat menarik para audiens. Terima kasih Qyrul dan Chempaka atas perkongsian ini. Kami doakan semoga majlis anda berjalan lancar dan perkahwinan anda kekal bahagia selamanya,” ujar host televisyen swasta itu lagi.
Chempaka melirik dan memandang Qyrul dengan penuh kasih. Aksi romantis yang tanpa sengaja, mereka paparkan mengundang tepukan dari kru televisyen yang berada di situ.
"Sebelum kita akhiri segmen ini…ada apa-apa pesanan atau ucapan kepada mereka yang sentiasa menyokong perjalanan cinta anda berdua?" Aju si host televisyen lalu mikrofon diunjukkan semula.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga kami, terutama ibu dan babah kerana menjadi tulang belakang kami sepanjang persiapan majlis ini. Tanpa doa dan sokongan mereka, mungkin perjalanan ini tidak akan semudah ini. Juga kepada sahabat-sahabat yang sentiasa ada bersama, terima kasih kerana memahami kami,” jawab Chempaka sambil mata terhala ke meja kedua ibubapa mereka dengan senyuman.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis kami. Untuk rakan-rakan dan kenalan yang bakal hadir, kehadiran anda adalah hadiah terbaik buat kami. Dan untuk Chempaka..." Sambil berkata-kata.
Qyrul memandang Chempaka dengan penuh rasa kasih.
"...terima kasih kerana sudi menjadi isteri saya. Awak adalah anugerah terbaik dalam hidup saya." Tambah Qyrul lagi sambil mengangkat kekura sang suri hatinya itu lalu dikucup mesra.
"Dan awak… penyebab saya percaya pada keajaiban cinta,” sahut Chempaka bergetaran suara. Mata tanpa sedar mulai berkaca.
Kru televisyen tersenyum menyaksikan momen indah itu, manakala hos meleretkan mikrofon kembali ke bibirnya.
"Sungguh menyentuh hati! Jangan lupa untuk menonton liputan penuh majlis pasangan romantik ini di rancangan Sentuhan Kasih minggu hadapan. Qyrul Chempaka, semoga bahagia hingga ke syurga!"
Kamera fokus pada Qyrul dan Chempaka yang berpegangan tangan.
Dengan latar belakang bunyi burung berkicau dan air pancut di taman, mereka melangkah beriringan meninggalkan lokasi, melambangkan permulaan perjalanan baharu sebagai pasangan suami isteri.
DI LAMAN rehat rumah sakit jiwa itu, seorang gadis muda duduk sendirian. Pandangannya terpaku pada televisyen besar yang sedang menyiarkan liputan perkahwinan Qyrul dan Chempaka.
Mata gadis itu membesar sedikit, seolah-olah baru saja menyedari sesuatu yang luar biasa.
Wajah Qyrul di skrin memancarkan senyuman yang menawan dan setiap gerak-gerinya terpahat dalam ingatan gadis itu.
Dia membetulkan duduknya. Badannya sedikit condong ke depan dan tangan yang menggenggam kain di pangkuannya mulai bergetar halus.
‘Itu... dia? Wajah itu... senyuman itu... sama seperti yang ada dalam mimpi-mimpi aku. Aku tak pernah fikir dia wujud, tapi... ini dia. Dia nyata’ Hati terus meluah.
Gadis itu menelan air liur, pandangannya tidak berganjak walau sesaat. Bibirnya mengukir senyuman kecil namun matanya penuh dengan kekeliruan dan keasyikan yang tidak normal.
"Qyrul... nama yang cantik untuk seseorang seperti dia. Aku tahu dia untuk aku. Dia milik aku. Tapi... kenapa dia dengan perempuan itu? Itu tak sepatutnya berlaku. Tak… ini salah. Ini memang salah. Perempuan itu hanya bayang-bayang dalam dunia aku... bukan realiti dia…” Dia berkata lagi dengan mata langsung tak berkalih dari wajah Qyrul sang arkitek muda tapi sudah berjaya mencipta nama di Las Vegas. Kemudian dia bangun dan mendekati televisyen.
Dia menyentuh skrin dengan hujung jarinya, seolah-olah ingin menyentuh wajah Qyrul.
"Awak... akhirnya saya jumpa awak. Dunia awak dan dunia saya, perlu bertemu. Kita ditakdirkan untuk bersama, Qyrul. Saya akan cari awak, walau apa pun yang terjadi."
Dia ketawa perlahan, hampir berbisik. Suara tawa itu menusuk keheningan laman rehat yang hanya dihiasi bunyi angin perlahan dan bunyi burung dari jauh.
Jururawat yang lalu di belakang memandang ke arahnya dengan dahi berkerut, sebelum beredar dengan hati-hati membiarkan gadis itu hanyut dalam dunia ilusinya.
Gadis itu terus merenung skrin, seolah-olah dunia di sekelilingnya sirna dan lenyap.
Suara hos televisyen yang sedang berbicara tentang majlis perkahwinan Qyrul dan Chempaka, bergema di udara tetapi dia tidak mendengar apa-apa selain degupan jantungnya sendiri.
Wajah Qyrul di kaca skrin semakin memukau pandangannya dan perasaan yang aneh mula menyelubungi hatinya. Ada rasa kagum dan sesak. Sesak kerana Chempaka dan bukan dirinya yang berada di dalam kaca televisyen.
Dia merapatkan kedua-dua tangannya ke dadanya. Dia cuba menenangkan gejolak dalam dirinya. Namun mata itu, penuh dengan ketakjuban. Dan dia terus terpaku.
"Dia sempurna. Wajah… senyuman… seolah-olah diukir hanya untuk aku. Aku tahu, selama ini aku tak bermimpi tapi dia benar-benar ada di dunia ini. Qyrul… awak akhirnya datang dalam hidup aku,” ujarnya benar-benar dekat dengan skrin televisyen berdekatan bibir lelaki yang baru saja memegang status suami.
Dia menggigit bibir bawahnya perlahan dan satu bayangan melintasi fikirannya.
"Tapi kenapa awak bersama dia? Chempaka… dia tak layak untuk awak. Dia bukan saya. Saya lebih tahu apa yang awak perlukan. Apa yang awak mahukan. Saya yang sepatutnya berada di sisi awak, Qyrul. Hanya saya,” ujarnya benar-benar menegaskan pada wajah di skrin yang dia sebenarnya tidak kenal.
Dengan tangan yang sedikit menggeletar, gadis itu berdiri. Dia menoleh ke sekeliling. Memastikan tiada siapa yang memerhati, sebelum kembali memandang skrin.
Wajahnya berubah dari kekaguman menjadi tekad yang menyeramkan. Dia menarik nafas panjang, lalu berbisik perlahan kepada dirinya sendiri.
"Saya akan cari awak, Qyrul. Saya akan bawa awak keluar dari dunia itu. Kita akan bersama. Dunia awak bukan di sana… dunia awak adalah bersama saya. Tunggu saya." Tekadnya yang bersungguh-sungguh.
Gadis itu perlahan-lahan berjalan meninggalkan laman rehat namun pandangannya masih terpahat pada televisyen, seolah-olah setiap imej Qyrul mengukir janji yang hanya dia boleh tafsirkan.
Di belakangnya, jururawat yang memerhatikan mula menulis sesuatu dalam notepad kecilnya namun dia tidak berani mendekati.
Gadis itu kini hilang dalam obsesinya dan fikirannya hanya dihuni oleh satu nama iaitu Qyrul sang prince charming yang pernah menjadi rakan ilusi dan dia terlalu yakin bahawa lelaki yang dia anggap putera idaman itu, wujud.
Share this novel