Lokasi: Pondok Buluh, Hutan Lembah Temir, Pahang.
Waktu: 3:10 pagi.
"Kadang, Tuhan tak bunuh kau.
Dia biar kau hidup… supaya kau dapat lihat semua orang yang kau percaya tikam kau satu-satu. Dan kali ni, kau tak minta belas. Kau minta giliran."
Tiga minggu aku terlantar dalam pondok buluh ni. Jasad hancur, peluru bersarang dalam rusuk. Tapi yang paling sakit, bukan luka. Yang paling dalam — pengkhianatan.
Dulu, nama aku disebut dari Jalan Chow Kit sampai ke Sungai Besi.
Dari kaki lima lorong gelap sampai ke meja rundingan VIP hotel lima bintang.
Aku ketua kepada Gerbang 7, satu-satunya geng yang pegang tiga elemen utama: pelacuran, dadah, dan politik.
Kuala Lumpur tunduk di bawah telapak kaki aku.
Aku kawal siapa jadi menteri, siapa jadi ketua polis daerah, siapa hidup, siapa mampus. Setiap lubang gelap dalam kota tu, aku ada mata.
Dan bila aku bersuara, semua diam.
"Taiko Ray."
Nama yang buat ramai berlutut, dan ramai lagi yang cuba panjat belakang aku.
Tapi itu dulu.
Sekarang?
Orang ingat aku dah mati.
Reput dalam gaung. Hilang ditelan bumi.
Bagus.
Mereka boleh rasa selesa. Boleh tepuk meja. Boleh minum arak dan kutuk nama aku tanpa rasa takut.
Tapi tak lama lagi, mereka akan dengar tapak kaki aku.
Bukan di hadapan. Tapi dari belakang.
Dari bayang.
Sebab aku bukan datang bawa bendera.
Aku datang bawa nama — Bayang Taiko.
Aku tak mahu pengampunan.
Aku cuma nak tahu satu perkara...
Siapa yang mengkhianati aku?
Share this novel