BAB 1

Family Completed 626

CUTI semester telah pun bermula. Aku hanya berehat di rumah sambil melayan adik-adik yang kurindui. Dalam masa yang sama, Emak masih seperti dulu yang kukenali. Masih lagi dengan sikapnya yang sering menengking-nengking Abah apabila bercakap, mengungkit-ungkit malah sering mencari peluang untuk bertengkar dengan Abah apabila Abah ada di rumah.

Aku tahu Abah tertekan. Siang sibuk dengan kerja sebagai kerani di sebuah syarikat minyak dan malamnya pula terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan di rumah-rumah VVIP. Sementara menunggu pukul 11.00 malam waktu bekerja shift malam, Abah tentu ingin berehat dan tidur sekejap di rumah.

Namun, apabila Emak yang memang tidak boleh melihat Abah senang walau sesaat membuatkan Abah tidak pernah dapat peluang untuk berbuat demikian. Kasihan Abah! Walau dia menyembunyikan derita hatinya tetapi dia tidak boleh menipu aku kerana akulah saksi utama pertengkaran mereka sejak aku kecil lagi.

“Walau teruk macam manapun emak tu, dia tetap ibu kepada Ayu dan adik-adik. Ingat, berdosa melawan cakap ibubapa. Derhaka! Hidup tak selamat.” Pesan Abah suatu ketika dulu apabila aku pernah melawan malah menengking Emak. Aku sebenarnya tidak tahan apabila Emak terus-terusan mengatakan aku anak pembawa malang dan anak yang bodoh. Hati mana yang boleh tahan jika emak sendiri yang mendoakan begitu kepada anaknya.

Lebih teruk lagi, Emak yang tidak pernah merasa malu sering menempik Abah di hadapan anak-anaknya terutama aku. Aku tahu, hati Abah terluka. Betapa harga dirinya sebagai seorang suami dipersendakan oleh isterinya sendiri. Aku tidak tahu, bagaimana Abah memperolehi kekuatan dan kesabaran itu dalam melayan kerenah Emak.

“Sabar Ayu.. Abah percaya Ayu seorang yang sabar dan kuat. Abah percaya semangat Ayu seperti semangat Abah juga. Anak Abah ini sabar orangnya. Orang sabar akan disayangi Allah!” Itulah kata-kata semangat Abah yang kujadikan tangkal jika aku dilanda kesusahan.

Tuhan… jika ditakdirkan aku berkahwin nanti, aku berdoa akan bertemu jodoh dengan seorang lelaki sesabar Abah. Sentiasa berfikiran positif dan tenang walaupun menghadapi pelbagai dugaan yang mencabar keimanan. Penyayang dan memahami... juga seperti Abah... Adakah lelaki sebaik Abah di zaman ini? Moga-moga Allah mendengar doaku…

PAGI Jumaat yang indah. Bersyukur aku kepada Allah kerana membenarkan aku bernafas lagi di muka bumiNya ini. Dalam aku memikirkan masa depanku dan nasib keluargaku, aku masih tertanya-tanya mengapa hatiku terasa berdebar-debar sentiasa. Perasaan berdebar-debar ini tidak berhenti sehingga waktu tengahari. Apakah petandanya? Adakah aku bakal mendapat berita gembira? Mungkin juga kerana keputusan peperiksaan bakal kuperolehi dalam sehari dua lagi. Moga-moga aku lulus dengan cemerlang.

Petang itu, selepas Abah pulang dari menunaikan solat Jumaat, Abah mengajak aku berborak-borak di ruang tamu. Ku lihat Abah sering tersenyum sejak kebelakangan ini.
Malah, semenjak balik dari solat Jumaat hingga tadi, Abah ku lihat asyik termenung tetapi masih tersenyum.

Entah apa yang difikirkan hingga membuatkan dia terbawa-bawa senyuman itu. Adik-adik yang lain entah di mana. Barangkali, tidur di dalam bilik. Emak pula, mungkin di biliknya atau mungkin berborak-borak di rumah jiran. Aku dapat mengagak yang Abah dan Emak bergaduh lagi. Emak sedari tadi tidak menunjukkan muka apabila Abah pulang ke rumah. Abah pula, macam biasa malas melayan kerenah Emak.

Banyak perkara yang kami bual dan bincangkan. Seolah-olah, hari itu sajalah hari yang kami dapat berbual tanpa apa-apa halangan. Dalam pada itu, Abah tidak putus-putus berpesan agar aku menjaga adik-adik dan Emak. Mengapa ya? Aku tertanya-tanya sendiri.

“Ayu, kalau apa-apa terjadi, Abah harap Ayu habiskan pengajian dan jangan berhenti. Abah tak dapat bagi apa-apa harta kat anak-anak Abah. Cuma pelajaran itu ajalah harta kamu semua. Abah tak nak anak-anak Abah tak berpelajaran macam Emak. Ayu sendiri dapat tengok contohnya bila tak berpelajaran kan?” Pesan Abah. Aku hanya tersenyum mendengar.

“Insyaallah Abah. Ayu janji, habis belajar, Ayu cari kerja bagus dan tanggung Abah. Kalau boleh Ayu nak hantar Abah pergi Haji. Okey tak Abah?” Tanyaku.

“Alhamdulillah, kalau umur panjang, In shaa Allah…”Jawab Abah. Masih lagi tersenyum panjang.

Tiba-tiba, Abah terjerit sambil memegang dadanya. Aku sempat mendengar Abah melaungkan “Allahhu Akbar!” seterusnya Abah mengucap kalimah syahadah dengan lengkap tetapi dalam nada yang laju dan lancar.

Aku terkaku seketika namun terasa jantungku berdegup kencang. Aku segera menghampiri Abah yang wajahnya tidak lepas memandangku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience