BAB 5

Family Completed 626

Sementara itu, Emak mengadu duit simpanan semakin susut, barang-barang keperluan rumah juga semakin kehabisan. Adik-adik pula sibuk meminta aku menjelaskan yuran peperiksaan dan persekolahan mereka. Lebih memilukan apabila Emak mengungkit yang barang-barang kemasnya sudah habis tergadai kerana membayar yuran pembelajaranku di UITM!

Ya Allah, tabahkanlah hatiku ini. Aku tahu, Emak tertekan dan tidak biasa berdepan dengan masalah sebegini kerana selama ini hanya Abah yang menanggung kesusahan dan keperitan seorang diri. Sebagai seorang anak, aku perlu lunaskan tanggungjawab ini walaupun perit. Buat sementara waktu, kugunakan wang pinjaman PTPTN untuk membeli segala keperluan rumah dan adik-adik.

Aku abaikan seketika segala kepentinganku buat masa ini termasuk kos makanku, biar juga perut ku tak terisi asalkan dan adik-adik tidak begitu kerana selama hayat Abah, dia tidak pernah membiarkan isteri dan anak-anaknya berlapar walaupun dia di dalam keadaan yang amat susah dan perit. Padaku, cukuplah bersarapan dengan sekeping roti dan tengaharinya dengan sebungkus maggie. Petang pula, jika aku rajin, cukuplah sekadar beberapa keping biskut bagi mengalas perutku pada waktu malam nanti.
Itulah cara yang paling sesuai dan menjimatkan untukku tampung kos perbelanjaan yang lain.

Di waktu petang, habis waktu kuliah aku akan senyap-senyap keluar ke pekan. Dari sana, aku akan terus ke rumah Datuk Hambali meneruskan tugasku sebagai tutor kepada anak-anaknya yang seramai tiga orang berumur 12, 15 dan 17 tahun. Bayaran yang kuterima sebagai tutor untuk anak-anak Datuk Hambali sangat-sangat lumayan walaupun hanya dua jam sahaja sehari.

Semua ini membuatkan aku sedar, jika kita ada duit, demi untuk menimba
ilmu segalanya boleh kita perolehi. Betul kata arwah Abah.. hanya dengan ilmu sahaja kita akan dihormati dan boleh menentukan ke mana hala tuju kehidupan kita nanti. Ilmu itu sangat luas pengertiannya. Bukan terhad kepada ilmu yang kita belajar di sekolah tetapi apa yang kita belajar dan kita amalkan dalam kehidupan kita.

YA Allah, aku pencinta redhaMu..aku ingin hidup dalam kasihMu, syahid dalam medan jihadMu..Andai aku jatuh, aku lemah, aku derita dalam mencari redhaMu..Kau peliharalah aku, jagalah hatiku, kuatkanlah semangatku, suburilah dengan iman dan ikhlas. “Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari dan berikan kita petir dan kilat, kita tercari-cari dimanakah matahari, rupa-rupanya Allah hadiakan kita pelangi yang indah”

Aku pernah mendengar kata mutiara seperti itu tetapi kurang pasti siapakah yang menuturkannya. Yang pastinya, setiap dugaan yang kita terima dari Allah mengandungi hikmah di sebaliknya.

Aku sedar kini... apabila berhadapan dengan ujian, waktu itu akan terserlah penyakit-penyakit hati yang masih bersarang di dalam hati kita, seperti sombong, pemarah, hasad dengki, dendam dan lain-lain lagi. Penyakit hati ini mungkin tidak terkesan dalam suasana yang selesa tetapi ia akan terasa dan terserlah apabila hati kita tertekan. Penyakit-penyakit inilah yang membuatkan kita tension. Bila tension, barulah kita tahu kita siapa.

Kalau sebelum ini nampak lemah lembut, bila tension kita boleh jadi marah-marah tak tentu pasal. Kalau selama ini nampak sabar sahaja, bila tension kita boleh bertindak di luar batasan. Begitulah yang terjadi kepadaku. Pendek kata, segala sesuatu yang ditimpakan ke atas kita adalah untuk kebaikan diri kita. Dia mahu mendidik setiap kita agar kita kembali kepada-Nya sebagai hamba yang diredhai-Nya. Dengan ini, kita akan terselamat dari kemurkaan-Nya.

Aku sering memohon keampunan dariNya kerana pernah dahulu aku mempersoalkan kenapa aku diberi ujian yang berat sebegitu sekali… Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya imanku. Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadapku..!

Kini…. Kejayaan sudahku raih dengan bangganya.Apa lagi yang kumahukan dalam hidup ini selain menikmati kejayaan demi kejayaan insan-insan yang kusayang! Inilah kepuasan yang kucari dan akhirnya kuperolehi berkat dari kesabaranku selama ini. Soal kebahagiaan? Memang aku bahagia kini. Siapa sangka, aku telah menghantar Emak mengerjakan haji tahun lalu. Tidak ada yang membanggakan hati si anak selain dapat menghantar ibu bapanya menunaikan rukun islam yang kelima atas titik peluhnya sendiri. Inilah antara salah satu penghargaan dari si anak atas pengorbanan ibubapa membesarkan mereka walaupun tidak seratus peratus jasa mereka dapat dibalas.

Adik-adikku juga telah berjaya dalam bidang yang diceburi. Untuk Abah… walau jasadnya sudah lama tiada..namun semangat dan pesanannya sentiasa kubawa ke mana-mana. Semangat arwahlah yang kupinjam sebagai penguat dan pemangkinku dalam menghadapi liku-liku kehidupan. Kerana semangatnyalah aku kini bergelar Professor Madya Ayu Raudhah, pensyarah Sains dan Matematik yang menyampaikan ilmu kepakarannya kepada pelajar-pelajar di beberapa universiti tempatan.

Tidak lupa juga, aku kini bergelar isteri kepada Doktor Tengku Iskandar Shah Putra, seorang Perunding Pakar Bedah Mata yang terkenal di Malaysia sekarang ini. In shaa Allah… aku ingin menjadi isteri mithali buat suamiku yang tercinta..!

Sejak diberitakan khabar gembira yang aku bakal menjadi ibu..barulah aku faham kasih sayang seorang ibu terhadap setiap anak-anaknya. Aku juga tahu kini bahawa Emak memang tidak pernah sekalipun membenci anak-anaknya. Cuma didikan yang Emak terima selama ini yang menjadikan Emak seorang yang tidak pandai menunjukkan rasa sayangnya kepada anak-anaknya. Kaku dan kekok untuk menzahirkan bagaimana sayangnya Emak kepada kami anak-anaknya.

Ya Allah…kurniakanlah Rahmat dan HidayahMu kepada Emak.. Jauhkan dia dari seksaan dan azab neraka. Begitu juga kepada arwah Abah…moga Kau tempatkan arwah Abah di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh…Al-Fatihah….!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience