BAB 3

Family Completed 626

SAUDARA-maraku yang berada di kampung tiba di rumahku tengah malam itu juga. Datuk mengambil keputusan untuk mengkebumikan Abah sebelum waktu Zohor esok. Adik-beradik Abah masih tidak mempercayai yang Abah telah pergi buat selama-lamanya. Begitu juga saudara-mara yang lain.

“Jika kamu semua tidak percaya, apatah lagi aku yang berada bersamanya di saat-saat terakhir!” Rintihku sedih di dalam hati.

Ketika aku ingin mengambil kain telekong di dalam bilik, aku terdengar Emak menangis sendirian di atas sejadah di dalam bilik. Sebelum aku bersuara, aku terdengar suara Emak merintih sambil menangis tersedu-sedu.

“Abang, Mah mintak ampun mintak maaf Bang! Mah tak sempat nak minta ampun pada Abang. Mah berdosa pada Abang selama ini.. Abang..!”

Aku tidak jadi menegur Emak. Emak menangisi pemergian Abah.. Sayunya hati bila mendengar Emak menangis dan merintih di situ.. Di kala ini, aku hanya membiarkan Emak dalam keadaan begitu. Aku tidak berhak mencampuri urusan Emak dan Abah.

Serentak itu juga, aku seperti terdengar-dengar suara Abah berbisik, “Abah bangga sebab dapat mengajar dan membimbing anak-anak Abah dan
anak-anak didik Abah menjadi orang yang beragama. Tetapi, Abah kesal sebab Abah gagal membimbing isteri Abah sendiri! Abah tak dapat mengubah sikap Emak Ayu yang degil, tidak mendengar kata suami dan tidak mahu belajar Agama. Abah berdoa agar Allah lembutkan hati Emak Ayu dan Abah berdoa agar Allah tunjukkan jalan supaya Emak akan sedar sendiri dan berubah sikap suatu hari nanti…”

Ya, doa Abah sudahpun termakbul. Aku pasti, Emak sudah mula sedar akan kesalahan dirinya. Namun apalah gunanya bila semua perubahan ini berlaku setelah segala-galanya sudah terlambat…

AKU kembali semula menyambung pengajian ke semester seterusnya di UITM setelah cuti semester berakhir dan tidakku sangka aku memperolehi keputusan cemerlang! Kuterima keputusan itu dengan hati yang kosong dan tiada berperasaan. Kalaulah arwah Abah ada..sudah pasti dia akan gembira dan berkongsi kegembiraan ini.

Aku gunakan wang tabunganku bagi menampung pembiayaan yuran masuk. Aku tinggalkan Emak dan adik-adik setelah segala urusan arwah Abah kuselesaikan termasuk urusan rumah, bank, motor, koperasi, sekolah adik-adik dan perbelanjaan rumah. Pada Emak, kuberpesan agar berjimat dalam menguruskan perbelanjaan rumah dengan menggunakan wang ehsan daripada pihak syarikat Abah bekerja.

Aku masih memikirkan apakah pekerjaan yang sesuai untuk Emak lakukan bagi permulaan untuknya mengenali ‘dunia luar’ dan seterusnya membuka mindanya agar bersifat terbuka. Aku tidak hiraukan apa penerimaan Emak kerana aku yakin Emak memang memerlukan aku untuk mengaturkan hidupnya.

Selama ini, segala urusan rumahtangga dan persekolahan semuanya diuruskan oleh arwah Abah.

Emak bergantung seratus-peratus urusan dan tanggungjawab ke bahu arwah Abah. Hatta urusan rumah seperti membasuh, mengemas dan kadang-kala memasak semuanya dilakukan oleh arwah Abah! Dan selama itu, aku tidak pernah mendengar dan melihat arwah Abah mengeluh dan merungut serta marah malah menjentik Emak sekalipun. MasyaAllah….mulianya hati Abah!

Dan Emak pula melakukan semua itu tanpa rasa bersalah dan berdosa!

Allahhu Rabbi!

Oleh kerana itu jugalah, aku yakin lama-kelamaan keegoan Emak akan luntur dan pudar. Pada adik-adikku, aku tegaskan pada mereka agar tidak terlalu bersedih akan pemergian Abah dan yakinkan mereka bahawa aku akan sentiasa melindungi dan menyokong mereka.

Sepertimana Abah berpesan kepadaku, seperti itu jugalah aku berpesan kepada adik-adikku bahawa harta yang paling berharga adalah pelajaran. Tanpa pelajaran, kita tidak akan ke mana malah kita akan dihina dan dipersendakan.

Pada mereka juga, aku meyakinkan bahawa selama mana aku hidup, selama itulah kebajikan dan kebahagiaan mereka di bawah tanggung-jawabku. Hanya kupinta agar mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran dan selebihnya, biarlah aku yang uruskan.

Pada diriku..? Aku tidak pernah lagi menempatkan diriku sebagai keutamaan. Amanat arwah Abah supaya aku menjaga Emak dan adik-adik tidak akan kupersiakan. Terlalu banyak yang kufikirkan untuk merencanakan kehidupanku dan keluarga walau hakikat sebenarnya, hatiku teramat rapuh.

Selama ini Abah adalah kekuatanku. Segala suka duka, ku kongsi semuanya bersama Abah. Dialah bapa, guru dan rakan baikku.

Ya Allah, berikanlah kekuatan pada diriku untukku teruskan kehidupan ini. Kurniakanlah semangat dan iman yang teguh agar aku bisa menjadi hamba yang diredhai olehMu dan agar aku dapat menyempurnakan amanah Abah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience