BAB 4

Family Completed 626

AKU memandang laut yang terbentang luas di hadapanku. Laut yang luas mata memandang seakan tidak ada pangkal dan penghujungnya. Begitu jugalah nasib aku agaknya. Tidak tahu apakah pengakhiran nasibku ini. Bagaimana aku bisa menempuh jalan yang begitu luas terbentang di hadapanku? Aku tidak dapat mengagak apakah lagi yang bakal kutemui di hadapan sana.

Aku menghela nafas panjang. Rutin hidupku di waktu petang sejak tiga bulan yang lalu, selepas habis kuliah, aku akan terus singgah di pantai ini. Jika tiada tugasan, aku akan membaca buku di sini. Lebih senang bersendiri tanpa teman-teman yang lain. Bukan aku mahu melarikan diri dari kenyataan yang telah tersurat untukku tetapi aku lebih senang begini, bermuhasabah diri selain mencari ketenangan dan kekuatan diri.

“Pernah tak awak dengar pepatah Inggeris mengatakan, ‘only the good die young!’” Terimbau kembali kata-kata sahabatku Syaliza sewaktu kami bercerita tentang perihal keluarga masing-masing, di mana Syaliza bercerita tentang pemergian arwah ayahnya sewaktu dia berumur 10 tahun.

Aku hanya tersenyum memandangnya sambil menggelengkan kepala.

“Saya percaya dengan pepatah itu. Saya redha dengan pemergian ayah saya walaupun dia pergi terlalu awal dan kami adik-beradik tidak sempat nak bermanja dengannya. Saya percaya, jika kita sayang kepada seseorang itu, maka Allah terlebih-lebih lagilah sayang kepadanya. Mungkin Allah tak nak jika dia hidup lama, dia akan menanggung derita dan mungkin juga dosa yang berpanjangan. Setiap yang berlaku itu ada hikmah dan sebab-musababnya! Hanya Allah sahaja yang tau..”

Di waktu itu aku kagum dengan arwah Syaliza bagaimana dia begitu tenang dan tabah mengharungi dugaan hidup sebagai anak yatim yang terpaksa memikul tanggungjawab menjaga keluarganya.

Mungkin sudah suratan atau kebetulan yang telah berlaku ke atas diriku ini. Pemergian Abah tersayang dan Syaliza, sahabat yang amat kusayangi akibat penyakit kanser usus, betul-betul telah menduga keimananku. Ya, benar kata arwah Syaliza, hanya mereka yang terbaik dipanggil Allah dahulu!

Mereka berdua merupakan insan yang terbaik lakunya dan in shaa allah yang terbaik di sisi Allah. /“Jika kita fikir, kita susah, kita miskin, kita derita dan sebagainya tetapi ingatlah ada lagi insan yang terlebih derita, terlebih miskin dan diduga oleh Allah lebih hebat lagi dari kita. Sebab itu, anak Abah tak boleh putus asa dan lemah semangat.
Ingat, sabar itu adalah tangkal dan pendinding kita yang paling kuat dalam mempertahankan iman kita agar tidak menjadi lemah. Jika lemah iman… maka, segala-galanya dah tak boleh nak tolong lagi!”/ Kata-kata azimat dari arwah Abah pula terngiang-ngiang.

Sudah tiga bulan pemergian arwah Abah dan juga arwah Syaliza. Selama itu juga aku cuba mengumpulkan kekuatan dalam diriku atas kehilangan orang yang kusayang terutama sekali Abah. Memang aku tak akan lupakan detik-detik terakhir Abah bersamaku sehingga akhir hayatku.

Kekuatanku adalah dari semangat Abah dan kata-kata nasihatnya yang sering terngiang-ngiang di telingaku. Aku sedar, aku perlu tabah demi Emak dan adik-adik. Mereka memerlukan aku. Untuk itu, aku telah menggalakkan Emak mengambil upah menjaga anak-anak pensyarah yang mengajar di kolej-kolej yang berdekatan dengan rumah kami. Aku ingin membiasakan Emak berdikari dan mencari duit sendiri walaupun dari rumah sahaja.

Ya, aku perlu kuat demi Emak dan adik-adik. Aku perlu teruskan hidup demi kesejahteraan mereka. Aku perlu belajar bersungguh-sungguh untuk merubah nasib kami semua.
Yang pergi tetap pergi dan tidak akan kembali. Maka kita yang tinggal harus teruskan hidup dan tabah dalam mengharungi liku-liku kehidupan sebelum dipanggil oleh yang Esa.

RUTIN hidupku kembali seperti biasa. Cuma ‘split personaliti’ku masih tidak banyak berbeza. Bagiku, tidak perlu menunjuk-nunjuk kepada semua orang akan kesusahan kita kerana mereka juga mungkin berhadapan dengan masalah mereka yang tersendiri.

Di waktu siang terutama di kuliah, aku masih lagi Ayu Raudhah yang ‘banyak mulut’, periang dan suka bergurau. Namun di waktu malam, ketika aku bersendirian, segala kesedihan, kerinduan, kepedihan dan rasa tertekanku ini kuhamburkan di hamparan sejadah, memohon keredhaan dan keberkatan Allah di dalam hidupku. Selebihnya, kucurahkan rasa itu di dalam sebuah buku yang sebenarnya telah menemaniku sejak dari kecil lagi!

Di buku itulah segala luahan kesedihan, kegembiraan dan segala-galanya kutuliskan kerana dengan berbuat begitu, fikiran dan dadaku akan menjadi lapang dan tenang.
Aku cuba belajar menjadi seorang yang sabar dalam mengharungi liku-liku hidup. Aku ingin menjadi seperti arwah Abah yang begitu tabah, cekal dan sabar dalam segala hal. Yang pastinya aku tahu, Allah memberiku ujian kerana yakin aku mampu mengatasi ujianNya mengikut batas yang termampu olehku. Selain itu, Allah benar-benar menyayangiku…Alhamdulillah..!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience