BAB 2

Family Completed 626

SELESAI Abah mengucap kalimah syahadah itu, kulihat kaki Abah seperti ditarik-tarik ke atas dan aku mendengar kerongkong Abah tersekat-sekat dan bunyinya seperti tercekik sesuatu. Aku menjerit-jerit memanggil Abah sambal menggoyang-goyangkan tubuhnya. “Abah! Kenapa ni? Abah! Abah!” Panggilku sambil menangis.

Di akhir laungan Abah yang menyebut “Allah!”, kulihat Abah tidak bergerak lagi. Puas ku goncang-goncangkan tubuhnya. Namun, Abah masih terkaku di situ. Tidak berapa lama kemudian, keluar buih dari mulut Abah. Lutut dan sendiku terasa lemah sekali namun aku kuatkan semangatku untuk bangun dan terus berlari mendapatkan jiran sebelahku.

Aku meminta pertolongan jiranku untuk membawa Abah ke klinik. Doaku Abah akan selamat jika dihantar ke klinik dengan segera.

AKU masih menunggu di ruang menunggu Klinik Mesra. Ketika Emak keluar, dia seperti orang yang kebingungan dan wajahnya amat pucat sekali.

“Mak! Abah dah sedar ke?” Tanyaku ingin tahu.

“Ayu… Abah.. Abah dah tak ada lagi!...” Jawab Emak masih terkaku berdiri di situ.

Pandanganku mula kelam dan hampir jatuh. Mujurlah jururawat di situ sempat memaut tubuhku. Dengan kudrat yang ada, aku segera berlari masuk ke bilik kecemasan. Di situ kulihat Abah terbaring tenang di situ. Wajahnya seperti orang yang sedang nyenyak tidur.

“Doktor tipu! Abah saya belum mati lagi! Tengok..Abah cuma pengsan saja. Abah okeykan doktor!” Aku seperti orang hilang akal menjerit memarahi Dr Rusdi.

“Adik, saya dah sahkan yang Abah adik sudah meninggal dunia pada 6.45 petang. Puncanya saya sahkan akibat sesak nafas. Adik.. sabar ya adik.. Allah lebih sayangkan dia” Itulah kata-kata Dr Rusdi yang membuatkan aku terus meraung di situ.

Untuk pertama kalinya dalam hidupku, Emak memelukku dengan erat dan kami sama-sama menangis di situ. Tiada bicara antara kami hanya tangisan yang bisa kami luahkan.

“Adik, bawak mak balik. Lepas selesai, kami bawa jenazah ni pulang ke rumah adik ya. Kuatkan semangat dan tabahkan hati. Akak faham, di waktu begini memang sukar untuk menerima hakikat. Tapi dik, tak baik menangisi dan meratap kematian apatah lagi ayah kita. Adik mesti kuat. Adik balik bawak mak adik tu. Mak adik nampak lemah sangat.” Pujuk salah seorang jururawat di situ.

Mendengar suara lembut jururawat itu, aku seperti orang tersedar. Baru aku sedari bahawa tiada siapa yang boleh diharapkan lagi ketika ini di dalam keluargaku kecuali aku, anak yang sulung. Oh Tuhan, berilah aku kekuatan!

Setelah kubawa Emak yang masih dalam kebingungan pulang ke rumah, perkara pertama yang harus kulakukan adalah mengkhabarkan berita pemergian Abah kepada jiran-jiran yang terdekat. Mereka berasa amat terkejut mendengar perkhabaran itu.

“Eh! Bukankah semasa solat Jumaat dia sihat walafiat aje? Apa sakitnya” Tanya Pak Cik Ayob terperanjat.

“Ayah Ayu sakit apa? Kenapa tiba-tiba aje ni” Tanya Mak Cik Kiah pula.

Aku kehilangan kata untuk menjawab pertanyaan mereka kerana dalam fikiranku di waktu ini, aku ingin memberitahu saudara-maraku di kampung pula.

“Ayu jangan main-mainkan Atuk! Apa sakit Abah? Atuk tak dengar pulak yang Abah Ayu sakit? Kenapa tiba-tiba pulak ni?” Datuk sebelah Abah seperti naik angin bila aku mengkhabarkan berita yang mengejutkan ini.

“Atuk, takkanlah benda-benda macam ni Ayu nak buat main Tuk! Cepatlah datang kemari Tuk… Ayu dah tak tau nak buat apa lagi dah ni!” Rayuku sambil menangis.

Aku tahu, di kala ini aku memang benar-benar perlukan seseorang untuk berada di sisi. Mengingatkan Abah yang telah pergi membuatkan aku seperti lemah tidak bermaya.

Setiba di rumah, jenazah Abah telah selamat dibawa pulang. Jiran tetangga sudah ramai memenuhi ruang tamu untuk membaca Yassin buat Abah. Entah kuasa apa, aku seperti terdengar-dengar suara Abah, /“Ayu anak Abah. Ayu anak Abah yang kuat semangat. Bangun dan sedekahkanlah Yassin untuk Abah ya sayang!”/Aku segera bangun kemudian terus mengambil wudhuk.

Aku duduk di sebelah jenazah Abah yang tertutup dengan kain batik lepas. Di situ, aku tidak menghiraukan tetamu yang hadir melainkan aku terus membaca seberapa banyak surah Yassin buat Abah. Air mata tidak usah ditanya, entah berapa banyak ianya mengalir tanpa henti-henti.

Aku sedar, Abah tidak ada anak lelaki yang besar untuk menguruskan perkara-perkara sebegini. Satu-satunya adik lelakiku, Afzan baru berumur tiga tahun. Maka, sudah jelas akulah yang bakal memikul tanggungjawab ini. Kulihat, Emak masih termenung di satu sudut sambil ditenangkan oleh jiran-jiran kami. Aku tidak tahu apakah yang difikirkan oleh Emak ketika ini. Aku memandang adik-adikku. Ya Allah, bagaimana aku harus kuat untuk menempuh semua ini dalam usia menjejaki sembilan belas tahun? Bagaimana?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience