Sang Rajuna Tapa Penghulu Bendahari kerajaan Singapura yang diperintah Raja Iskandar Syah. Kekayaan negeri, harta dan wang kerajaan dia yang mengurusnya.
“Ampun, Tuanku. Adakah tuanku tahu bahawa Sang Rajuna Tapa, Penghulu Bendahari ada seorang anak gadis yang cantik jelita?” sembah salah seorang menterinya.
“Beta tidak tahu,” tegas raja. “ Ada apa dengan anak gadisnya itu?”
“Menurut pendapat patik, gadis secantik itu molek Tuanku ambil kerana dia memang sepadan dengan tuanku,” ujar menteri itu.
Raja iskandar Syah termakan dengan kata-kata menterinya itu. Akhirnya, baginda menitahkan Sang Rajuna Tapa supaya membawa anak gadisnya menghadap baginda.
Sewaktu kedua-dua anak-beranak datang menghadap baginda, Raja Iskandar Syah tergoda akan kecantikan anak gadis Sang Rajuna Tapa. Makan, tanpa menahan gejolak nafsu yang menggelegak, baginda memerintahkan agar anak gadisnya itu ditinggalkan di dalam istana baginda untuk dijadikan sebagai salah seorang gundik terbaru baginda.
Perintah Raja Iskandar Syah yang mengejut itu membuat Sang Rajuna Tapa tidak dapat melakukan apa-apa untuk membantah titah baginda itu. Sang Rajuna Tapa terpaksa pulang ke rumah dengan hati yang berat kerana anak gadisnya terpaksa ditinggalkan di istana menurut perintah Raja iskandar. Anak gadinsya pula berasa sedih kerana terpaksa melihat ayahnya pulang tanpa membawanya bersam-sama.
Diceritakan bahawa anak gadis Sang Rajuna Tapa tidak berasa bahagia hidup dalam istana di Bukit Larangan itu. Dia memendam perasaan duka sepanjang waktu.
Pada suatu ketika, Raja Iskandar Syah menjatuhi atas anak perempuan Sang Rajuna Tapa yang baginda simpan hukuman bunuh. Anak perempuan Bendahari itu akan disula dengan segera.
Berita itu memeranjatkan Sang Rajuna Tapa dan isterinya. Mereka berdua segera menghadap Raja Iskandar lalu memohon disiasat terlebih dahulu fitnah terhadap anak gadis mereka itu sebelum dijatuhkan hukuman agar anak gadis mereka terselamat daripada hukuman bunuh itu.
“Ampun tuanku, kalaulah benar anak patik itu bersalah, patik rela dengan hukuman itu, tetapi, jika sebaliknya, ….”
Namun, kata-kata itu tidak meredakan kemurkaan Raja Iskandar.
“Sudahlah, jangan cuba hendak membela orang yang salah. Keputusan beta tak boleh diubah-ubah lagi. Hukuman sula akan dijalankan pada pagi besok!”
“Patik merayu, tuanku, kalau anak patik itu hendak dihukum juga, hukumlah patik sebagai gantinya!”
Apabila sampai masanya, hukuman sula itu pun dijalankan. Sang Rajuna Tapa menahan kesabaran. Anak gadis Sang Rajuna Tapa diikat di sebuah kawasan terbuka dengan sebuah pasar. Ramai penduduk kota Singapura keluar dan datang menyaksikan peristiwa hukuman dula itu dijalankan.
Hukuman yang dijatuhkan Raja Iskandar Syah itu amat mendukakan hati Sang Rajuna Tapa. Dia berasa malu kerana anak gadisnya itu disula di hadapan khalayak ramai.
“Anak perempuanku telah difitnah orang, dikatakan perempuan jahat. Dia telah dibunuh oleh Raja. Anak itu anak kesayangan aku sekeluarga. Mengapa tidak disiasat terlebih dahulu? Mengapa dia tidak dibicarakan sebelum dijatuhi hukuman?” tanya Sang Rajuna Tapa kepada dirinya.
“Apa yang hendak dikatakan lagi, anak perempuan kita sudah mati dibunuh Raja akibat fitnah,” tangis isterinya.
Share this novel