Arakian terukirlah sebuah kisah, setelah negeri Temasik dibuka oleh Sang Nila Utama dengan nama yang baru, Singapura, maka baginda pun memerintah negeri tersebut dengan adil lagi bijaksana. Dibina sebuah istana kediaman diraja di atas sebuah bukit dan istana itu digelar Istana Bukit larangan. Di istana inilah terjadinya pelbagai peristiwa.
Tersebutlah kerajaan Majapahit di Pulau Jawa. Jajahan takluknya begitu luas. Seluruh tanah Jawa dan kawasan sekitarnya di bawah pemerintahan Betara Majapahit.
Betara Majapahit mendapat tahu akan Singapura yang telah menjadi sebua negeri yang besar dan makmur namun rajanya tidak menyembah kepada baginda, Betara Majapahit. Betara Majapahit lalu menitahkan utusannya ke Singapura yang akan membawa warkah dan bingkisan baginda. Tiba di Singapura, rombongan utusan itu lalu pergi menghadap Seri Maharaja yang memerintah Singapura pada ketika itu lalu mereka menyerahkan surat dan bingkisan Betara Majapahit itu.
Paduka Seri Maharaja lalu membaca warkah yang diutus betara Majapahit itu.
“Mohon tuanku perkenan melihat akan kepandaian para tukang di Majapahit. Apakah ada, di Singapura ini, tukang yang sedemikian pandainya?”
Maka dibukalah bingkisan kiriman Betara Majapahit itu. Baginda mendapati bingkisan itu mengandungi segulung tatal yang panjangnya tujuh depa. Tatal itu telah ditarah tipis seperti kertas tanpa putus. Tatal itu bergulung dan berbentuk seperti subang.
Melihat akan tatal tersebut, baginda tersenyum lalu bertitah, “Cis, dipertidaknya laki-laki kita ini oleh Betara Majapahit, maka dikirimnya kita subang!”
Maka utusan dari Majapahit segera mendatangkan sembah seraya berkata, “Ampun, Tuanku. Bukanlah demikian kehendak paduka Kakanda itu. Baginda hanya mahu tahu sama ada di Singapura ini tukang-tukang yang pandai seperti itu.”
Setelah diam buat seketika, baginda lalu bertitah, “ Lebih daripada itu pun ada pada kita di Singapura ini.”
Baginda lalu menitahkan Pawang Deraman datang menghadap. Titah baginda, Paduka Seri Maharaja, “Kepandaian tukang-tukang di Singapura ini bukan sahaja cekap menggunakan beliung malah lebih mahir daripada tukang-tukang di sana!”
Tidak lama kemudian, Pawang Deraman mengatur sembah. Seorang budak yang sedang menangis juga disuruh menghadap baginda.
“Pawang Derawan , cukur kepala budak ini dengan beliung kamu. Tunjukkan kepandaian kamu kepada utusan-utusan Majapahit ini!” titah Paduka Seri Maharaja.
Budak itu menjerit-jerit sambil dia meronta-ronta. Meskipun demikian kelakuan budak itu, Pawang Deraman dengan cekapnya dapat melakukan titah baginda Paduka Seri Maharaja. Dalam masa yang sekejap sahaja kepala budak yang sedang menangis lagi meronta-ronta itu menjadi botak. Tangisan dan jeritan bukda lelaki itu tidak diendahkan oleh Pawang Derawan . Para utusan Majapahit itu jadi terpegun melihatkan kecekapan serta kepandaian Pawang Deraman itu.
“Lihatlah oleh kamu sekalian, betapa pandainya tukang kita ini. Kepala budak dapat dicukurnya dengan mudah, apatah lagi menarah tatal seperti subang itu. Senang saja baginya!” titah Paduka Seri Maharaja.
“Bawalah pulang beliung ini ke Majapahit dan persembahkan kepada saudara kita, Betara Majapahit.”
Tidak lama kemudian, rombongan utusan dari Majapahit pulang. Surat dan kiriman raja Singapura itu dipersembahkan kepada Betara majapahit. Para utusan itu memerikan kepada Betara Majapahit akan kepandaian tukang-tukang di Singapura mencukur kepal budak. Mendengarkan akan sembah utusannya itu, Betara Majapahit naik murka.
“Sungguhlah adinda kita itu mahu mengaibkan kita. Daripada sembah kamu itu, adinda kita memberitahu bahawa jikalau kita datang ke Singapura, kepala kita juga akan dicukurnya seperti dicukurnya kepala budak itu!” titah Betara Majapahit.
“Ini penghinaan buat kita!” titah baginda lagi.
Maka Betara Majapahit pun memerintahkan kelengkapan perang dibuat untuk menyerang Singapura.
Khabar angkatan perang kerajaan Majapahit yang sedang dalam perjalanan hendak menyerang Singapura pecah. Beratus-ratus kapal dan tongkang lengkap untuk berperang telah dihantar oleh Betara Majapahit itu. Paduka Seri Maharaja memberikan titah perintah agar rakyat Singapura segera membuat persiapan untuk menghadapi ancaman Majapahit itu.
Setelah sekian lama belayar, ketumbukan Majapahit itu sampailah di perairan Singapura. Angkatan tentera Majapahit pun bertempur dengan orang-orang Singapura. Ramai askar daripada kedua-dua belah pihak telah gugur sewaktu bertempur. Darah askar-askar yang gugur itu mengalir membasahi tanah. Dan sejak itu, kawasan tersebut kekal merah tanahnya hingga sekarang. Kawasan medan pertempuran itu dikenali dengan panggilan Bukit Merah hingga pada hari ini.
Setelah beberapa hari berperang, Singapura masih tidak berjaya tentera Majapahit tawan. Akhirnya, angkatan tentera Majapahit itu pun pulang semula ke Pulau Jawa. Singapura kini terselamat daripada ancaman dan serangan Majapahit pada kali ini.
Share this novel