BAB 4

Romance Completed 362

Maka perdana menteri pun memerintahkan rakyat Singapura keluar dan berdiri di sepanjang pantai. Ikan-ikan todak terus menyerang dan semakin ramai rakyat yang terkorban. Mereka yang tidak dapat melarikan diri mati akibat ditikam ikan-ikan todak itu. Keadaan menjadi huru-hara. Orang-orang yang terkena tikaman menjerit-jerit kesakitan namun mereka tidak berani bersurai sebab takut dimurkai Paduka Seri Maharaja.
Paduka Seri Maharaja kecewa menyaksikan bahawa ikhtiarnya untuk menghentikan serangan ikan-ikan todak itu tidak menjadi. Ramai rakyatnya yang mati berkaparan dan mayat-mayat mereka bergelimpangan di tepi pantai akibat serangan ikan-ikan todak itu.
“Apa akal datuk? Nampaknya, rancangan kita berkubukan betis tidak dapat menghentikan serangan ikan-ikan todak ini!”
“Patik juga tidak tahu, Tuanku!” jawab pembesar tersebut.
Tatkala dalam keadaan bingung itu, datang seorang budak lalu menyembah Paduka Seri Maharaja.
“Ampun tuanku. Mengapakah kita mesti berkubukan betis? Bukankah tindakan sedemikian mengakibatkan ramai rakyat akan mati? Pada hemat patik, alangkah baiknya kalau kita berkubukan batang pisang!”
Sembah budak lelaki itu membuat Paduka Seri Maharaja berfikir sejenak. Kata-kata budak itu baginda dapati ada kebenarannya.
Baginda lalu menitahkan supaya orang-orangnya bersurai dan bersedia membina kubu batang pisang di sepanjang pantai.
“Wahai sekalian rakyat Singapura, Tuanku menitahkan kita bina kubu batang pisang di tepi pantai!”
Itulah arahan yang diberikan oleh beberapa orang pembesar kepada orang ramai di tepi pantai. Maka sekalian rakyat pun pergilah menebang pokok-pokok pisang yang banyak tumbuh di darat dan dipacakkan di sepanjang pantai sebagai kubu. Tidak lama kemudian, ikan-ikan todak menyerang lagi. Ikan-ikan yang menyerang itu itu terlekat pada batang-batang pisang yang dibuat kubu di sepanjang pantai itu dan tidak dapat kembali ke dalam air. Orang-orang Singapura pun datang beramai-ramai menekan dan membunuh ikan-ikan todak yang sudah menyerang mereka sebelum ini. Bangkai-bangkai ikan todak bertimbun-timbun di sepanjang pantai itu. Tidak lama kemudian, serangan ikan-ikan todak itu dapat diatasi.
Paduka Seri Maharaja berasa amat besar hati. Dia memandang kepada budak lelaki itu lalu bertanya, “Siapakah nama kamu, wahai budak?”
“Patik, Hang Nadim, Tuanku!” jawab Hang Nadim.
Paduka Seri Maharaja memuji-muji kepandaian Hang Nadim yang dapat menghentikan serangan ikan-ikan todak itu. Kemudian, baginda menitahkan seorang pembesarnya membawa Hang Nadim menghadap baginda di istana.
“Beta amat terhutang budi atas jasa kamu, Nadim. Kalau tidak kerana kepandaian kamu sudah tentu malapetaka akibat serangan ikan-ikan todak ini masih juga berlaku,” titah baginda.
Tidak berapa lama sesudah peristiwa di pantai, Hang Nadim dibawa menghadap Paduka Seri Maharaja di istana. Dalam upacara yang penuh kebesaran, Paduka Seri Maharaja bertitah, “ Bagi pihak negeri Singapura dan rakyat jelata, beta mengucapkan terima kasih kepada kamu, Hang Nadim. Sebagai menghargai jasa kamu menghentikan serang ikan-ikan todak itu, beta mahu memberi kurnia kepada kamu sekeluarga.”
Selepas menerima kurnia raja itu, Hang Nadim lalu bermohon diri untuk pulang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience