MSB 2 - KECEWA

Romance Completed 675719

KEESOKAN harinya, dalam pukul 12.30 minit tengah hari, Bella tiba di hadapan pintu masuk syarikat tempat kerja Razid. Razid hanya bekerja sebagai sales executive sahaja di syarikat jual insurans.

Ini kali kedua Bella jejak di syarikat itu. Sebelum ini, dia pernah datang ke situ. Itu pun, hanya mahu menghantar makanan kepada Razid sahaja. Mana tidaknya, Razid pernah mengadu dengannya bahawa dia terlalu lapar dan tidak dapat keluar dari pejabat, gara-gara sibuk dengan kerjanya.

Disebabkan rasa kasihan, Bella laju sahaja menghantar makanan kepada Razid. Tina pernah memarahinya, kerana terlalu mengikut permintaan Razid. Tetapi Bella menyakinkan Tina, yang Razid seorang lelaki yang baik. Sebab dia tahu, Razid bukan sengaja mahu memintanya menghantar makanan.

“Hai Alin. Razid ada?” soal Bella, sambil  melemparkan senyuman paling manis kepada wanita itu. Dia tahu nama wanita itu pun setelah diberitahu oleh Razid.

Yang peliknya, Alin hanya memandang Bella atas bawah, sambil memberikan satu jelingan kepadanya. Tetapi Bella tidak peduli. Yang penting, dia perlu bertemu dengan Razid.

“Awak nak apa datang sini?” soal Alin.

“Nak jumpa Razidlah.”

“Tak payahlah awak nak jumpa dia.” Alin menyibukkan dirinya dengan menaip di papan kekunci tanpa memandang ke arah Bella.

“Eh, kenapa pula tak bagi jumpa dia?” soal Bella lagi. Riak wajahnya benar-benar tidak berpuas hati. Kenapa perlu ada halangan pula? Lagipun Razid bukannya milik siapa-siapa pun.

“Saya ni datang elok-elok tau. Janganlah layan saya macam sampah pula.” Bella menahan marah. Dia tahu, pasti wanita itu berasa jelek melihatnya.

“Razid tak ada,” jawab Alin perlahan.

“Apa maksud awak dia tak ada?”

Alin memandang Bella, sambil mengeluh perlahan. “Awak dah kena tipu dengan Razid,”

Berkerut dahi Bella ketika ini. Kenapa pula tiba-tiba sahaja dia ditipu?  “Kena tipu? Maksudnya apa ni?”

“Razid dah ada tunang. Lagi tiga bulan, dia orang akan berkahwin,” jelas Alin lagi.

Membulat mata Bella apabila mendengar kata-kata dari Alin. “Apa? Dia dah bertunang? Isy, awak ni biar betul, yang Razid dah bertunang?”

 Bella sudah berfikir yang bukan-bukan. Adakah Alin sengaja mereka cerita? Entah-entah Alin yang mahukan Razid?

“Apa saya dapat kalau saya tipu? Dari hari pertama awak datang sini pun, sepatutnya saya beritahu awak perkara yang sebenar. Tapi saya tak dapat nak beritahu, sebab ada Razid dengan awak masa tu.”

Bella seakan tidak percaya. Apa maksudnya beritahu perkara yang sebenar? Tetapi Razid kata, dia tidak mempunyai pasangan kekasih, apatah lagi tunang.

“Saya tahu, awak bukan taste Razid sebenarnya, kalau  tengok dari cara pemakaian awak ni. Sebab Razid punya taste tak macam ni. Saya pernah dengar dia mengutuk awak dekat kawan-kawan dia, masa awak hantar nasi tempoh hari,” sambungnya lagi.

“Apa maksud awak, taste Razid lain? Dan dia juga kutuk saya? Siapa tunang dia tu? Staf dekat sini juga ke?” Bella mengepalkan tangannya menahan marah. Sungguh rasa amarahnya seakan mahu meletus seperti gunung berapi.

“Tak. Perempuan tu pramugari. Awak dah kena tipu dengan Razid. Ada tak dia minta duit awak? Dia cakap ibu dia sakit, perlukan ubat?” soal Alin seperti mahukan kepastian.

Bella menganggukkan kepalanya.

“Mak dia dah tak ada. Dah meninggal lama dah. Dua tahun yang lepas. Kalau awak nak tahu, duit yang awak bagi dia pinjam tu, dia simpan untuk belanja kahwin dia nanti. Dia juga guna duit tu, untuk belanja tunang dia.” Alin mengeluh perlahan lagi. Nampak macam berat untuk dia menyambung ceritanya.

Bella tersentak. Ibu Razid sudah meninggal dunia? Tetapi kenapa Razid sanggup menggunakan nama arwah ibunya? Bukankah perkara itu tidak boleh dibuat main-main?

“Saya tak percaya. Takkanlah orang yang dah meninggal boleh dibuat main-main. Apa motif Razid nak gunakan nama ibunya untuk pinjam duit saya?”

“Orang kalau nak duit, apa pun dia boleh buat. Sampaikan orang yang dah meninggal pun dia tak kisah, kalau dia nak menipu.”

“Okey. Tapi kenapa tiba-tiba je, awak sampaikan cerita ni pada saya? Apa motif awak?”

 Wajah Alin tiba-tiba sahaja berubah. Bella memandang Alin lama. Dia tidak mahu mendengar cerita di sebelah pihak sahaja. Dia perlukan bukti. Benarkah Razid menipunya? Dan dia juga tidak nampak yang Razid menipunya.

“Terpulanglah pada awak, nak percaya ataupun tidak. Pergilah siasat sendiri. Sekarang ni dia on the way makan tengah hari dekat restoran area Kampung Baru. Tadi tunang dia datang ambil dia,” ujar Alin.

“Kampung Baru?” Dengar sahaja  perkataan Kampung Baru, Bella terus sahaja mahu melangkah menuju ke sana. Ya, dia perlukan bukti. 

“Awak!” jerit Alin.

Bella berhenti dan memandang Alin semula.

“Sebab kawan saya pernah kena tipu dengan Razid. Jadi, saya tak nak awak kena tipu dengan lelaki tak guna tu. Dia target perempuan lurus macam awak. Sebab kawan saya pun pakai macam ni juga. Kalau awak nakkan kepastian, pergilah cari Razid dekat sana,” sambung Alin.

Bella memandang Alin sekilas, terus sahaja kaki melangkah laju menuju ke arah scooter. Dia perlukan penjelasan dari Razid!

 

 

MELILAU mata Bella mencari kelibat Razid di dalam restoran yang dikatakan Alin tadi. Sehinggalah dia terdengar satu suara dari arah hadapannya. Ya, dia kenal suara itu. Matanya terus sahaja tertumpu ke arah Razid yang pada ketika ini, sedang menyuapkan nasi ke dalam mulut wanita di hadapannya. Laju sahaja Bella melangkah ke arah mereka berdua.

“Razid!” laung Bella. Dia benar-benar marah ketika ini. Semua mata memandang ke arahnya. Dia tidak peduli. Yang penting, dia perlu tahu. Benarkah Razid menipunya.

Razif terkedu memandang Bella. Begitu juga dengan wanita di sebelahnya.

“You kenal ke siapa perempuan ni?” soal wanita di sebelah Razid.

“Razid, you lie to me? Perempuan ni siapa? Patutlah bila saya ajak jumpa, awak selalu cakap awak busy la apa la. Tapi, bila awak nak minta duit dekat saya, pandai pula awak cari saya? Kenapa awak tipu saya ha?”

“Razid! Cakap dengan I. Siapa perempuan ni!” Wanita di sebelah Razid sudah mula naik suara, apabila melihat Razid langsung tidak berkata apa.

Bella  sudah tidak boleh menahan sabar. Terus sahaja dia menghampiri ke arah Razid yang dari tadi diam tidak bersuara.

“Awak cakaplah!  Siapa perempuan ni? Habis tu, saya ni macam mana?”

“Ini taste you Razid? Minah kampung mana yang you jumpa ni? You tipu I? You tahu kan, kita dah bertunang?”

“Awak dah bertunang?” soal Bella. Terkedu dia ketika ini. Benarlah kata Alin tadi. Yang Razid sudah bertunang.

“Eh, kau diam lah perempuan! Ya. Memang aku dah bertunang. Kau tak ada hak nak persoalkan aku dah bertunang ataupun tak. Jangan masuk campur hal peribadi aku!” jerkah Razid tiba-tiba.

“How about me? I thought you like me...” Air mata Bella sudah mula bertakung, tunggu masa sahaja ingin tumpah.

“Macam mana apa? Aku tak pernah bercinta dengan kau pun. Kau tu yang fikir aku nak kau. Kau tengoklah rupa kau ni. Rambut buat tocang dua. Dengan pakai cermin mata besar lagi. Kerja pun dekat kedai buku. Kau tak layak untuk akulah. Tengok pakaian kau pakai ni, entah apa-apa. Malu tahu tak, nak jalan dengan kau!” Razid mula menarik tangan tunangnya, untuk berlalu dari situ meninggalkan Bella.

“You memang ada hubungan dengan dia ke apa Razid?” soal tunang Razid, sambil berpeluk tubuh.

“Tak, I tak ada hubungan apa-apa pun dengan dia. Minah nerd ni je yang selalu ganggu I,” jawab Razid.

“Sampai hati awak cakap macam tu dekat saya Razid? Tapi saya banyak tolong awak. Time awak tak ada duit saya yang tolong, walaupun saya kerja dekat kedai buku. Kenapa awak macam kacang lupakan kulit? Kenapa awak buat saya macam ni? Awak pergunakan saya?” Orang ramai yang berada di dalam restoran itu, mula memandang ke arah mereka bertiga.

“Kau tu yang bodoh! Kau ingat aku nakkan kau ke? Cermin diri tu sikit. Eh, sudahlah aku tak nak explain lagi dah! Jangan jumpa aku lagi. Aku dah ada tunang! Tak payah ganggu aku!” jerkah Razid.

Bella terdiam kaku. Razid menengkingnya? Sungguh dia tidak percaya. Lelaki yang sebelum ini, tidak pernah naik suara, tiba-tiba bersuara tinggi dengan dia. Bodohkah dia? Bodohkah kerana terlalu cepat mempercayai lelaki? Disebabkan terlalu cepat ingin mencari calon suami, dia telah menjadi seperti seorang yang bodoh. Ini kali ketiga dirinya ditipu.

Kenapa kali ini, kau terlampau bodoh sangat Bella? Kenapa? Kau biarkan lelaki ini memaki hamun kau? Argh! Ya, dia bodoh. Selama ini dia memikirkan Razid mencintainya. Ternyata tidak. Lelaki itu hanya mahukan wang sahaja. Sama sahaja Razid dengan kedua lelaki yang sebelum ini. Patutlah Tina selalu mengatakan dia tidak mempercayai Razid.

Tiba-tiba sahaja, tunang Razid menolak Bella dan, Bella jatuh terduduk di situ. Dan tak semena-mena  jus tembikai dituangkan pula di atas kepalanya. Bella benar-benar tidak menyangkakan yang dia boleh dipermalukan sebegitu.

“Ini balasan, sebab kacau tunang aku. Cermin diri tu dulu. Kau langsung tak layak dengan Razid. Dasar perempuan nerd.” Wanita itu ketawa.

“Sudah Rose, tak payah layan perempuan hodoh ni.” Razid terus menarik tangan tunangnya.

“Auch!” Bella menjerit kecil, apabila wanita tadi sempat juga memijak tangannya. Bella melihat tangannya yang sudah kemerahan. Air mata yang ditahan tadi, akhirnya mengalir dengan laju. Tubuh badannya juga sudah melekit dengan air jus tembikai tadi.

Dia benar-benar malu. Kedengaran suara orang mula berbisik, seakan mengejeknya. Air mata diseka. Tanpa menunggu, Bella cuba untuk bangun. Belum sempat kakinya menegak, dia jatuh terduduk semula kerana lantai di situ benar-benar licin, akibat air yang dituang di atas kepalanya tadi. Kedengaran suara orang mula ketawa kecil. Ini kali pertama dia diketawakan oleh orang ramai.

Bella cuba untuk bangun semula, tiba-tiba ada satu tangan dihulurkan kepadanya. Perlahan-lahan matanya terarah pada wajah lelaki itu. Lelaki itu sedang tersenyum manis, dengan tangannya masih dihulurkan kepadanya. Kacak? Ya, memang kacak. Lagi kacak daripada Razid. Jauh panggang dari api jika hendak dibandingkan dengan wajah mereka berdua. Tapi, bukan itu yang difikirkan Bella sekarang ini.

Bella tidak  faham, apa maksud senyuman itu. Adakah lelaki itu tersenyum, sebab ketawakannya? Tangan lelaki itu ditepis.

“Kau pun nak gelakkan aku?” marah Bella.

“No. I just want to help you. Why I must laugh to you?” kata lelaki itu.

Suara serak dalam lelaki itu terus mengusik pintu hati Bella. Sungguh sedap. Dia tidak tipu. Lelaki itu pula, mengenakan sut hitam, lagi menampakkan ketampanannya. Argh, jangan tertipu dengan lelaki seperti itu lagi Bella. Entah-entah dia sama seperti lelaki lain. Tak pun, dia lagi teruk dari Razid. Jangan ingat dia kacak macam ni, dia akan terpaut? No way!

“Are you alright? Here, take my hand...” ujar lelaki itu lagi.

Bella bingkas bangun. Tidak! Dia tidak perlukan pertolongan lelaki itu. Terus sahaja Bella berlari meninggalkan lelaki yang cuba mahu membantunya tadi. Tiada masa dia mahu memikirkan lelaki tadi. Tidak kisahlah lelaki itu ikhlas ataupun tidak. Hatinya sekarang ini sakit memikirkan Razid!

Share this novel

YAZNI-ERNIE
2021-02-01 14:39:45 

hi dear. best. i baru baca


NovelPlus Premium

The best ads free experience