MSB 1 - MENYAMAR

Romance Completed 675719

Note : Novel My Sweet Bodyguard sudah dibukukan. Nak lagi mudah, boleh dibeli di Shopee @ Lazada. Ada 4 bab tambahan dalam novel ini. Search tajuk novel, dan dijual di bawah pihak novelplus_book.

BELLA merenung wajahnya di hadapan cermin. Sampai bila dia perlu berpakaian seperti ini? Berambut tocang dua, dan berkaca mata besar? Padahal dia bukanlah  seperti itu. Walaupun umur Bella sudah menginjak ke 28 tahun, sehingga kini dia masih belum mempunyai pasangan hidup.

Dia sebenarnya memiliki paras rupa yang cukup cantik, dan juga pandai bergaya. Disebabkan mahu mencari calon suami, dia terpaksa berpakaian seperti itu.

Ya, Bella ada misinya tersendiri. Iaitu mahu mencari pasangan hidup dengan menyamar dan berpura-pura tidak pandai bergaya. Dengar macam klise, tapi itulah yang sedang dilakukan Bella.

Demi masa depan keluarganya, Bella terpaksa lakukannya. Lebih-lebih lagi, hanya dia seorang sahaja anak tunggal, dan tidak  mempunyai adik beradik.

Sebenarnya Bella pernah ditipu,  dengan dua orang lelaki yang dikenali sebelum ini. Itu pun gara-gara dia menyamar dan berpura-pura tidak pandai bergaya pada hari pertama dia pergi bertemu janji. Dia  sengaja memakai kaca mata besar, dan rambutnya pula, diikat tocang dua. Pakaian pula, hanya mengenakan baju kurung.

Masih segar dalam ingatan, lelaki pertama yang dijumpainya, telah meninggalkannya di restoran mereka bertemu janji. Dia ingat lagi, lelaki itu tiba-tiba sahaja meminta izin untuk mengambil dompet di dalam kereta, dan setelah itu, lelaki tersebut langsung tidak muncul-muncul.

Lelaki yang kedua pula, sengaja menegur cara pemakaiannya dan mahukan dia bergaya. Lebih-lebih lagi, lelaki itu sengaja memperlekehkan wajahnya dengan mengatakan dia adalah seorang yang hodoh. Kerana tidak tahan dengan cercaan lelaki itu, Bella terus sahaja meninggalkan lelaki tersebut. Dia tidak sanggup lagi mendengar  kata-kata hinaan terhadap dirinya.

Dan sekarang ini, Bella sedang berkenalan dengan lelaki yang ketiga pula. Namanya Razid. Walaupun begitu, mereka masih belum lagi menjadi pasangan kekasih. Ini kerana, masing-masing malu untuk meluahkan perasaan. Tetapi hati Bella kuat mengatakan, yang Razid adalah jodohnya.

Sudah enam bulan Bella mengenali Razid. Bella benar-benar sudah jatuh hati pada lelaki itu. Dia tahu, Razid ikhlas dengannya. Bella masih ingat lagi, semasa dia mahu berjumpa dengan Razid buat kali pertama. Lelaki itu tidak seperti kedua-dua lelaki sebelum ini. Razid seorang yang penyayang. Lelaki itu juga tidak pernah menegur pakaiannya. Malah Razid selalu memujinya cantik, walaupun Bella berpakaian seperti seorang yang tidak pandai bergaya.

Bella tersenyum sendiri, apabila teringat saat perkenalannya dengan Razid. Tetapi sampai bila dia perlu berpakaian seperti ini? Ataupun dia berterus terang sahaja dengan Razid,  siapakah dirinya yang  sebenar?

Bella terus berjalan keluar dari biliknya, dan menuju masuk ke dalam perut lif, untuk turun ke bawah.

Tiba sahaja di bawah, matanya terus melilau mencari kelibat abinya. Dari jauh sudah kelihatan Tan Sri Izzuddin sedang membaca akhbar di gazebo. Bella tersenyum kecil, lalu berjalan menuju ke arah abinya.

“Hai abi. Buat apa tu?” tegur Bella. Punggung dilabuhkan di sebelah abinya.

“Abi baca surat khabar aje ni. Ni sampai bila kamu nak pakai pakaian macam ni? Lepas tu berapa lama lagi, kamu nak kerja dekat kedai buku tu?” Tan Sri Izzuddin menggelengkan kepalanya, sambil meletakkan akhbar di atas meja.

Tan Sri Izzuddin merenung wajah anak perempuannya. Bella sahajalah anak yang dia ada. Selepas isterinya meninggal dunia semasa bersalinkan Bella, Tan Sri Izzuddin langsung tidak berkahwin lain. Ini kerana, cintanya terhadap arwah isterinya begitu mendalam. Tiada siapa yang dapat menggantikan tempat isterinya.

“Nantilah abi, Bell nak menyamar dulu. Alah, lagipun Bell kerja dekat kedai buku tu, bukan siapa punya pun. Bell punya jugakan?”

“Itulah kamu. Tak habis-habis nak menyamar. Dah setahun lebih kamu macam ni. Bawa ajelah, bakal suami kamu tu jumpa abi. Lagipun lepas kamu kahwin dengan calon suami kamu tu, abi nak suruh dia gantikan tempat abi. Siapa lagi nak ganti, kan? Kamu seorang aje anak yang abi ada.”

Bella terdiam. Wajah tua Tan Sri Izzuddin dipandang dengan penuh kasih. Memang dari dulu abinya menyuruhnya berkahwin dengan secepat yang mungkin. Dan dia mahukan, bakal menantunya dapat menggantikan tempatnya.

Masalahnya, bukannya Bella tidak mencari. Tetapi, kesemuanya tidak ikhlas. Buatnya mereka hanya mahukan harta abinya bagaimana? Tak ke haru nanti? Sudahlah hanya dia seorang sahaja anak yang abinya ada. Kalau Bella tersilap langkah, pasti dia dan abinya bakal ditipu.

“Okey, abi sabar ya? Bell akan cuba jumpa dengan bakal calon menantu abi tu. Dia sekarang ni busy abi. Bell pun dah berapa hari tak jumpa dia. Esoklah Bell pergi cari dia,” ujarnya.

“Nama dia pun abi tak tahu. Tak pernah kamu ceritakan dekat abi. Abi bukan apa. Abi risaukan kamu. Kamu umur pun dah berapa dah. Sampai bila kamu nak membujang lagi? Buatnya nyawa abi tak panjang macam mana?” Tan Sri Izzuddin mengeluh perlahan. 

“Abi, please janganlah cakap macam tu. Bell tak sukalah dengar.”

“Ha, kalau macam tu cepatlah sikit. Abi ni risau.”

“Abi risau apa?”

Tan Sri Izzuddin menarik tangan Bella. Rambut anak perempuannya diusap lembut. “Kamu tahukan, abi hanya ada kamu aje? Abang angkat kamu dulu pernah tipu abi kamu tahu, kan? Nasib baiklah, semua hasil titik peluh abi tak jatuh ke tangannya dulu.”

“Sudahlah abi. Tak payahlah ingatkan arwah tu lagi. Dia pun dah meninggal dah. Sabar abi. Calon tu dah ada. Cuma tak bawa jumpa abi aje lagi.” Bella sudah tersengih.

“Hmm, yalah. Ni kamu nak ke mana pula?”

“Macam biasa, pergi kedai buku. Buatnya calon menantu abi, cari Bell dekat sana macam mana?”

“Ha, yalah. Hentikanlah pakai spek mata besar ni, siap buat tocang dua pula. Macam-macam...”

“Sabar abi. Tak lama. Lepas ni Bell tak pakai dah macam ni. Tak apalah, esok Bell pergi cari dia, dekat tempat kerja dialah. Bell rasa, Bell patut terus terang dengan dialah.” Bella mengangguk-angguk kepalanya seakan mengiakan kata-katanya tadi.

“Dari dulu lagi kamu sepatutnya buat macam tu. Bukannya sekarang.”

“Yalah abi. Abi kena faham, kenapa Bell kena menyamar macam ni. Untuk kebaikan keluarga kita juga. Tak naklah tersilap pilih orang nanti. Okeylah abi, Bell pergi kedai buku dulu ya?” Bella menghulurkan tangannya untuk bersalam. Satu kucupan diberikan pada tangan Tan Sri Izzuddin.

“Bawa scooter lagi?” Tan Sri Izzuddin menjongketkan keningnya. Riak  wajahnya seakan tidak berpuas hati.

“Mestilah abi. Kan, tengah menyamar ni? Kalau tak, kantoilah nanti.” Bella sudah tersengih seakan kerang busuk. Malas  mahu mendengar abinya membebel lagi. Laju sahaja kakinya menuju ke arah scooter miliknya, yang dibeli setahun yang lepas.

Ya, esok dia perlu berjumpa dengan Razid. Dan dia perlu berterus-terang dengan lelaki itu, siapakah dirinya yang sebenar. Tapi sejak akhir-akhir ini dia jarang berjumpa dengan Razid. Razid selalu mengatakan yang dia sibuk dengan kerjanya. Adakalanya Razid suka meminjam duitnya juga. Kata Razid, duit yang dipinjam adalah mahu membeli ubat-ubatan untuk ibunya. Bella pula jenis cepat lemah, apabila nama ibu disebut. Lebih-lebih lagi dia tidak mempunyai ibu. Jadi dia telah menganggap ibu Razid seperti ibunya juga. Walaupun dia tidak pernah bersua muka dengan ibu Razid.

Bagi Bella, Razid adalah calon suami yang sesuai untuknya. Dia sudah tekad. Dia perlu meluahkan perasaannya pada Razid secepat yang mungkin. Kalau perlu melamar Razid pun, dia tidak kisah.

 

 

LAJU kaki bella melangkah mencari Tina, iaitu kawan baiknya, merangkap setiausahanya juga. Tak pasal-pasal Tina turut dipaksa bekerja di kedai buku miliknya, gara-gara misinya mahu mencari calon suami.

“Tina!” Bella berlari anak menuju ke arah Tina yang sedang termenung di hadapan rak buku.

“Hmm... ada apa?” Lemah sahaja suara Tina ketika ini.

“You dah kenapa ni? Lemah aje?”

“Apa? Apa? Ni sampai bila I nak kerja dekat kedai buku ni?” Tina mengeluh perlahan, sambil menongkat dagunya.

Bella ketawa kecil melihat telatah Tina. “Alah, sabar sikitlah. Esok I akan pergi jumpa Razid. Don't worry okay bebeh?”

Tina mencebik. “I ni kan, sebab fikir you ni kawan baik I aje. Kalau tak, jangan haraplah I nak kerja dekat sini. Ni pun nasib baik bookstore ni you punya juga tau? I ni kalau you nak tahu, dah rindu sangat dekat bilik pejabat I tu, komputer I, keyboard I...” Tangan didepakan seakan memeluk komputernya.

“Alah, janganlah macam tu. I bayar you gaji double kut?” Bella ketawa melihat wajah monyok Tina.

“So, esok you jadi ke jumpa Razid?”

“Yes, jadi. I akan pergi jumpa dia. I hope, dia dapat terima apa yang I akan ceritakan pada dia. Dan, I pun tak perlu lagi pakai macam ni. I tahu, Razid betul-betul ikhlas dengan I,” kata Bella bersungguh-sungguh. 

Tina terdiam sejenak. “You tahu tak, first time I jumpa perempuan yang menyamar sebab nak cari calon suami. I ingatkan dalam drama aje ada. Rupanya realiti pun ada juga. Tapi entahlah, I macam tak berapa berkenan sangatlah dengan Razid tu. Dia pun tak pernah datang sini tau? You percayakan dia?”

“You tahulah kan, I ni kena hati-hati. Nak cari calon suami ni, memang kena cari betul-betul. Buatnya dia menipu macam mana? Lebih-lebih lagi dia bakal gantikan tempat abi I, sebab itulah I terpaksa menyamar macam ni. I buat ni pun untuk kebaikan keluarga I juga.” Bella diam seketika. Ya betul. Razid tidak pernah datang ke sini, walaupun dia sudah memberitahu bahawa dia bekerja di kedai buku ini.

“You, jangan terasa dengan kata-kata I tadi tau? I minta maaf. I bukan apa, I kesiankan you.” Tina memegang tangan Bella.

“Tak apa. I okey. I faham, you risaukan I.”

“Hmm... so, I pun tak perlu kerja sini lagilah lepas ni, kan? Yes!” jerit Tina.

“I tahu, you mesti tak sabar nak balik ke pejabat you, kan? Don't worry, esok semua akan settle.”

Tina menganggukkan kepalanya berulang kali.

Bella bungkam. Kalau hendak diikutkan, sudah sebulan dia tidak  berjumpa dengan Razid. Kali terakhir Razid menghubunginya adalah seminggu yang lepas. Itu pun Razid menghubunginya hanya untuk meminjam wang sahaja. Bella yang tidak kisah, hanya memberi sahaja wangnya kepada Razid. Kenapa dia terlalu mempercayai Razid? Padahal dia baru mengenali Razid tidak sampai setengah tahun.

Just updated chapter

Share this novel

Haniey Nadieya
2021-04-04 22:37:14 

alamakk da kne hempuk . jangan la hilang ingatkann lagi

elysya grose
2021-04-04 21:20:03 

bell garang eh .. qai sabor jelah ..love it :)

Esjasz Malek
2021-03-30 21:56:09 

ala..x habis.. hilang mood dah


NovelPlus Premium

The best ads free experience