Bab 2 - Ayah

Romance Series 3185

DUA minggu kemudian…

Tayar kereta Nayla kebetulan meletup pagi itu, jadi keretanya perlu dihantar ke bengkel. Tapi untuk minggu ini, ayahnya, Zamirul, akan ambil dia dari stesen LRT.

Dia tiba di stesen pada jam 6:47 petang. Sebaik sahaja dia masuk ke dalam kereta, dia terus dengar leteran ibunya.

“Apa yang lambat sangat baliknya? Habis kerja pukul enam, terus balik. Ini nak singgah sanalah, singgah sinilah. Mama sakit kaki, tahu tak? Duduk punyalah lama dalam kereta tunggu kamu sampai,” Nayla menadah telinga dileter ibunya, Zurina.

Nayla mencebik.

“Yang pergi duduk lama-lama tu dah kenapa? Berdirilah.” Jawab Nayla tanpa rasa bersalah. Zamirul terus menjeling Nayla dari cermin tengah.

“Menjawab,” lelaki itu memberi amaran.

Selamba mengangkat bahu, Nayla pejamkan mata di tempat duduk belakang. Kemudian, dia terdengarkan topik yang dibual oleh ibu bapanya di depan.

Disebabkan Nayla sungguh sensitif dalam tidurnya, dia terus terjaga dan mencuri dengar perbualan ibu bapanya. Mereka sedang berbualkan tentang anak buah ayahnya, juga sepupu kepada Nayla.

“Umur dah banyak dah tu,” ujar Zamirul sambil memandu.

“Kak Azirah nak kahwin?” Nayla mencelah.

“Belum. Dia kata dia nak kahwin, tapi dia belum jumpa orang yang sesuai lagi untuk dijadikan suami.” Jelas bapanya sambil memandu laju.

Jalan yang had kelajuannya cuma 40km/j pun dibawanya 70km/j. Senak perut Nayla dengan pemanduan ayahnya. Dia teringat macam mana pemandu van pelancong di Pulau Pangkor semasa usianya lapan lapan tahun.

Laju macam haram!

Tak lama kemudian, ayahnya menjeling memandang Nayla melalui cermin tengah. Pandangan ayahnya ditangkap dari ekor mata. “Kamu nak lelaki yang macam mana nak dijadikan suami nanti, Nay?” soal bapanya.

Walaupun dia tak dapat lihat, dia yakin yang ibunya juga sedang memasang telinga. Kalau mata tu boleh tembus ikut belakang kepala, mungkin Zurina dah mengintai juga.

Belum sempat Nayla menjawab, Zamirul memotong terlebih dahulu. “Kamu tak nak ke cari yang macam papa, Nay?” soal ayahnya dengan selamba dan serius.

“Hah? Kenapa pulak?” soal Nayla, terus melompat keluar soalan itu dari mulutnya.

Ayahnya sekali lagi memandang cermin pandang belakang, sekilas. “Papa tak percaya dengan lelaki yang bukan macam papa untuk anak-anak papa. Kalau untuk Daniel, dia boleh pilih sendiri dia nak macam mana.”

“Err... Pa,” Nayla menggaru lehernya. “Serious ah ni?”

“Betullah! Papa tahu lelaki dekat luar macam mana. Lelaki tak boleh senang-senang nak dipercayai.” Jelas Zamirul dengan penuh berwibawa.

Nayla mengangguk. “Setuju, setuju. Kalau Nay dapat suami macam papa, sumpah Nay menangis,”

Zamirul tersenyum, bangga. “Kan? Papa dah kata, lelaki dekat luar susah nak percaya. Sebab tu Nay kena cari lelaki macam pa-”

“Menangis woo kalau nanti anak dah tiga, dia tinggalkan Nay untuk perempuan lain.” Balas Nayla dengan selamba macam apa yang baru sahaja dikatakannya tak salah.

“...”

“...”

Ibu bapanya terdiam seribu bahasa sementara keadaan kereta berubah sunyi.

BERDEKAH Jane mendengar macam mana kakaknya menceritakan macam mana kakaknya dimarah dengan kemarahan tahap maksima.

Macam biasalah, mesti ibu bapanya akan bersekutu untuk menjatuhkan Nayla yang bermulut lantang.

Asalnya, lepas dia ceritakan tentang jawapannya tadi, Jane menganga mendengar jawapan Nayla tapi bila diceritakan macam mana dia dibedil dileter dan dikatakan anak derhaka tadi, Jane meletus ketawa.

“Mulut kau pun, takde penapis. Padan muka kau!” Jane memeluk perut sendiri sambil mengawal tawanya.

“Eleh, diorang marah sebab apa yang aku cakap tu betul. Lagipun, soalan meminta! Memang taklah aku nak suami perangai macam papa! Gila aku nanti! Argh! Argh!” Nayla dengan dramatiknya hendak menarik-narik rambutnya sampai botak.

“Lantaklah mama dengan papa nak marah sekali pun. Kalau papa marah, maksudnya papa sedarlah yang dia buat salah,”

Nayla menggerutu. “Aku tahu yang aku dah susah nak percayakan lelaki sekarang tapi apa boleh buat? Bapak sendiri pun set a bad example,” Nayla mengemas tempat tidurnya, mengibarkan habuk.

“Err… So kau dengan diorang gaduh teruk ke?” soal Jane, ingin tahu. “Biasanya dulu kau gaduh dengan mama pun sampai tak bercakap sebulan.”

“Entah. Malas nak ambil tahu. Kalau aku simpan duit untuk cari rumah lain pun bukan senang. Kos rumah sekarang mahal.” Nayla mencebik, malas.

“Faham, tapi cuba jelah dulu.”

“…”

“Ke kau nak kahwin je? Eh, tapi kalau lelaki tu kampret macam mana?” soal Jane. “Kau pun tak nak aku langkah bendul, kan?”

Nayla memandang adiknya dengan wajah masam. “Tak habis-habis nak kena mention pasal langkah bendul. Yang minat kau pun semua ting tong je aku tengok.”

Jane terkekeh kecil.

“Takdelah, aku cakap je,” ujar si adik sambil bangun dari tilamnya.

“Kau nak ke mana?” soal Nayla, kehairanan melihat adik perempuannya tiba-tiba menuju ke pintu sedangkan lampu dah tutup untuk tidur.

“Adik kau ah, nak mintak aku temankan dia tengok cerita hantu Thai mana tah. Kau tido la dulu, kak,” ujar Jane sebelum keluar dan tutup pintu bilik dari luar.

SEMENTARA itu, bilik Zamirul dan Zurina...

“Anak awak dah melampau sangat biadabnya,” getus Zamirul, menggosok-gosok betisnya. “Sejak bila dia jadi macam ni?”

Zurina masih memandang skrin telefonnya, melihat video di Fac. “Dulu dia tak macam ni pun. Saya jarang bercakap dengan dia sebab dia asyik dengan kerja dia je.”

“Awak langsung tak bercakap dengan dia? Dia takde cerita kawan dia macam mana atau dengan siapa dia bergaul?”

Senyap.

“Takkanlah abang nak tanya dia terus?”

Zamirul tersengih sinis. “Lepas tu dia nak kata apa? Mestilah dia akan salahkan Daniel. Macamlah awak tak tahu yang diorang berdua tu selalu bergaduh,”

Zurina mengeluh dan pandang suaminya. “Habis tu, abang nak saya buat apa? Dia dah besar. Budak dah besar, bukan senang kena tegur. Lainlah kalau yang tegur dia tu orang luar. Cakap mak ayah sendiri mana dia nak dengar.”

Kepala Zamirul seolah muncul satu mentol yang menyala.

“Orang luar…”

Mata Zurina mengimbas wajah suaminya. Dari mata kiri, ke mata kanan, lubang hidung, dan mulut. “Abang, apa yang abang fikirkan tu?” soal Zurina, dapat baca yang suaminya ada idea. Sama ada baik atau tidak, itu dia tidak tahu.

Tapi iyalah, mana ada ayah yang nak yang buruk-buruk untuk anak sendiri, kan?

“Kita kahwinkan je dia.”

Zurina yang tadi meniarap, terus duduk. “Abang ni salah makan ke apa? Nak kahwinkan anak kita tu, kena cari orang juga. Kita tak boleh cari yang sembarangan. Macam mana kalau-”

“Jangan risau. Saya kenal seseorang yang sesuai untuk didik anak dara kita tu.” ujar Zamirul dengan yakin. Dia kemudian dapat lihat yang isterinya agak teragak-agak dengan ideanya.

“Tapi, abang…”

“Tapi apa lagi? Adik-adik awak pun bermasalah, awak suruh diorang kahwin je, kan? Kalau nasihat tu awak berani bagi dekat adik-adik awak, mestilah awak berani nak bagi dekat anak sendiri.”

“...” Zurina diam, tidak menjawab.

“Dah, awak jangan risau. Saya akan uruskan satu perjumpaan untuk Nayla dengan calon yang ada dalam kepala saya sekarang. Sampai masanya nanti,”

“Tapi, macam mana kalau dia tak nak? Anak kita tu, abang tahu kan macam mana kalau dia tak nak? Bumi pun sanggup dia terbalikkan untuk kata dia tak nak.” Zurina menepuk-nepuk bantalnya.

Zamirul mengeluh dan mengangguk. “Ya, tapi dia dah 25. Eloklah kita jodohkan dia, biar bakal suami dia nanti didik dia. Takdelah orang sibuk nak tanya bila dia nak kahwin.”

Betul.

Belum lima bulan Zamirul pindah semula dengan keluarganya, dah berapa ramai jiran tetangga dan ahli keluarga serta kenalan lamanya bertanya bila anak sulungnya, Nayla Rania akan berkahwin disebabkan umurnya dah 25 tahun.

Walaupun teragak-agak, Zurina menjawab, “Ikut abanglah. Saya ikutkan aje,”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience