BAB 4

Drama Completed 561

Sejak penolakan itu, Irdanirah jarang bertemu Iskandar , ada beberapa kali
dia melihat Iskandar , tapi hanya dari jauh, Irdanirah tidak punya kekuatan
untuk menyapa Iskandar . Mungkin Iskandar sudah punya pengganti lain, dia mesti
senang mencari cinta lain, Irdanirah membuat telahan sendiri bagi
meredakan rasa yang tidak tenteram dalam hati. Memang benar ada juga
rasa suka dalam hatinya buat Iskandar , tapi dia sengaja tidak melayan
perasaan itu. Iskandar memang seorang yang baik dan tidak pernah mengambil
kesempatan terhadapnya, tapi dia tak mampu menerima cinta Iskandar kerana
dia takut Iskandar bukanlah jodohnya, walid dan umminya pasti tidak suka
dia berkawan dengan mana-mana lelaki, apatah lagi bercinta.
Dari kecil ummi menegaskan bahawa biarlah ibu bapa yang mencari jodoh
buat anak kerana pilihan ibu bapa semestinya terbaik buat anak kerana
restu mereka sentiasa mengiringi perkahwinan tersebut. Kakak Irdanirah ,
Umairah juga berkahwin atas pilihan ummi dan walid. Irdanirah tahu
nasibnya juga akan sama dengan kakaknya, awal-awal lagi walid sudah
sibuk mencari jodoh buatnya dari kalangan ustaz dan tahfiz, namun kerana
Irdanirah mahu menyambung pengajiannya, walid menangguhkan dulu hasratnya
untuk mencari menantu. Tak mungkin jejaka moden seperti Iskandar akan
menjadi pilihan ummi dan walidnya.
Irdanirah berjalan perlahan di taman universiti, sengaja mengambil angin
sebelum pulang ke kolej kediamannya. Udara petang itu sungguh segar,
Irdanirah mahu menghilangkan penat dan beban yang berserabut di kepalanya
selepas penat menjawab soalan peperiksaan akhir. Tiba-tiba matanya
tertancap pada insan itu, jejaka yang pernah meluahkan perasaan padanya,
Iskandar . Iskandar kelihatan sedang duduk dengan seorang gadis. Mereka berbual
mesra. Irdanirah dapat merasakan ada api cemburu dalam dirinya tapi dia
sedaya-upaya membuang rasa itu dengan beristighfar dan berselawat. Aku
sendiri yang menafikan rasa cinta ini jadi aku harus redha, Irdanirah
mengingatkan dirinya.
“Irdanirah !” laungan itu mengejutkan Irdanirah yang sedang berjalan. Iskandar
tersenyum padanya dan segera menghampirinya.
“Lama kita tak jumpa, awak sihat?” lembut ucapan Iskandar saat itu.
“Alhamdulillah.”
Iskandar merenung Irdanirah penuh harapan. Mengapa hatinya masih tak mampu
melupakan gadis itu walaupun pengajiannya di universiti hampir sampai ke
penghujungnya. Irdanirah masih tidak berubah, masih suka berjalan
sendirian. Iskandar terasa seperti mahu terjun ke alam sepi gadis itu tapi
dia tak mampu.
Irdanirah tunduk dan diam membisu. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya.
“Awak, esok saya balik, peperiksaan saya dah habis. Mungkin Allah dah
tentukan saya dapat bertemu awak sebelum saya keluar dari tempat ni.”
Irdanirah terkedu. Tak sangka Iskandar masih ada hati untuk bertemunya.
“Awak, sampai saat ini pun saya masih belum dapat lupakan perasaan saya
pada awak. Saya tak sangka perasaan saya pada awak begitu besar
sampailah saya cuba untuk melupakan awak. Pada saat itu saya sedar yang
awak dah berada dalam hati saya yang paling dalam, susah saya nak buang
awak dari hati saya.”
Irdanirah terasa sendu dalam hatinya. Matanya mula berair.
“Saya tahu awak tak sukakan saya, tapi saya minta peluang dari awak,
saya akan buktikan dunia saya dan awak tidak ada bezanya. Kita sama-sama
saudara seIslam walaupun saya sedar saya terlalu hanyut dengan dunia.
Tapi sejak saya jumpa awak, saya makin berubah. Semuanya kerana awak,
Irdanirah . Hati saya jadi tenang setiap kali lihat awak dan saya ingin
jadi setenang awak. Minggu depan saya akan berangkat ke luar negara,
sambung pelajaran saya selama 3 tahun. Saya harap dalam tempoh tu awak
masih boleh tunggu saya. Saya janji saya akan berubah menjadi seorang
Islam yang lebih baik, ikhlas dari lubuk hati saya. Saya harap saat itu
awak akan dapat menerima saya kerana saya mencintai awak, Nur Aisya
Irdanirah .”
Iskandar berlalu pergi, meninggalkan Irdanirah terpinga-pinga. Dia tak mampu
berkata apa-apa kerana dia sendiri terpana dengan kata-kata Iskandar yang
terlalu lunak di halwa telinganya. Perlukah aku menunggunya? Irdanirah
terfikir sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience