Series
4555
Suasana di dalam khemah semakin sunyi apabila malam beranjak lewat. Di luar, angin dingin bertiup menyusuri lereng bukit, sesekali menggerakkan permukaan khemah sehingga kedengaran bunyi geseran halus.
Kabus yang menyelubungi kawasan itu semakin tebal, sementara cahaya lampu dari luar menyelinap masuk melalui celah langsir khemah, menghasilkan bayang-bayang samar di dinding kanvas.
Di dalam, Ervin dan Maya sudah berbaring di katil masing-masing. Dua buah katil single itu dipisahkan oleh sebuah meja kecil di tengah-tengah, cukup untuk memastikan ruang peribadi mereka terjaga.
Namun, entah mengapa, jarak yang tidak seberapa itu terasa begitu jauh pada satu ketika, kemudian terasa terlalu dekat pada ketika yang lain.
Maya menarik selimut hingga ke paras dada, cuba mencari kehangatan dalam udara yang semakin menggigit kulit. Dia memejamkan mata, mengubah kedudukan beberapa kali, tetapi lena tetap tidak kunjung tiba.
Fikirannya masih dipenuhi pelbagai perkara, daripada mesyuarat yang menanti pada keesokan hari hinggalah kepada peristiwa sepanjang malam yang membuatkan hatinya terasa sedikit berbeza.
Dia teringat cara Ervin memandangnya ketika mereka ketawa bersama di luar khemah tadi. Dia juga teringat bagaimana lelaki itu begitu mengambil berat tentang keselesaannya, malah sanggup duduk di luar dalam kesejukan semata-mata untuk memberikannya ruang berehat.
Perhatian kecil itu sepatutnya tidak membawa apa-apa makna yang besar. Ervin cuma bosnya, dan mereka kebetulan terkandas di tempat yang sama kerana keadaan yang tidak dijangka. Namun, semakin Maya cuba meyakinkan dirinya, semakin sukar dia menafikan bahawa kehadiran lelaki itu sudah mula memberikan kesan yang tidak sepatutnya.
Maya membuka mata lalu memandang siling khemah yang samar-samar kelihatan dalam cahaya malap. Dia menghela nafas perlahan sebelum menoleh ke arah katil di seberang meja kecil.
Ervin kelihatan berbaring membelakanginya, tubuhnya tidak bergerak. Maya mengandaikan lelaki itu sudah tidur selepas seharian menguruskan perjalanan dan mesyuarat mereka. Sekurang-kurangnya, salah seorang daripada mereka berjaya merehatkan badan.
Namun, Maya sendiri tidak mampu terus berbaring.
Dia menolak selimut perlahan-lahan, kemudian bangun dan duduk di hujung katil. Kedua-dua tangannya diletakkan di atas paha, sementara pandangannya jatuh pada lantai khemah.
Dia tidak tahu apa yang sedang dicarinya dalam kesunyian itu. Barangkali ketenangan. Barangkali jawapan kepada perasaan yang semakin sukar difahami.
“Awak tak tidur lagi, Maya?”
Suara Ervin yang tiba-tiba kedengaran membuatkan Maya tersentak.
Dia segera menoleh dan mendapati lelaki itu sudah membuka mata, memandang tepat ke arahnya.
Wajah Ervin kelihatan tenang, tetapi pandangan matanya membuatkan Maya tidak pasti sama ada lelaki itu benar-benar baru terjaga atau sebenarnya masih berjaga sejak tadi.
“Eh, awak belum tidur?” soal Maya kembali, cuba menyembunyikan rasa terkejutnya dengan senyuman kecil. Dia membetulkan kedudukan duduk.
Ervin menggeleng perlahan sebelum menolak selimut dan bangun daripada katilnya. Dia duduk di hujung katil sendiri untuk beberapa saat, memandang Maya yang kelihatan gelisah meskipun cuba berlagak tenang.
“Tak boleh tidur,” jawabnya ringkas. Dia mengusap wajahnya.
“Entah kenapa, malam ni kepala saya penuh sangat. Tapi hati saya rasa kosong.” Nada Ervin perlahan.
Maya menundukkan pandangan. Ada sesuatu pada nada suara Ervin yang membuatkan dia merasakan lelaki itu bukan sekadar bercakap tentang urusan kerja. Namun, dia tidak berani bertanya lebih jauh.
“Saya pun,” akui Maya akhirnya. Dia tersenyum hambar sambil merapatkan selimut yang masih tersangkut di bahunya.
“Mungkin sebab tempat baru. Saya tak biasa tidur kat tempat macam ni.”
Ervin memandangnya tanpa terus memberikan jawapan.
Ervin bangun lalu melangkah perlahan ke arah katil Maya. Dia berhenti seketika sebelum duduk di sebelah wanita itu, meninggalkan sedikit ruang di antara mereka. Kehadirannya membuatkan Maya terdiam.
Maya dapat menghidu haruman lembut minyak wangi Ervin yang masih melekat pada pakaian lelaki itu, bercampur dengan bau kopi yang mereka nikmati sebelum masuk ke khemah.
“Vin…” panggil Maya perlahan. Dia menoleh, cuba membaca riak wajah lelaki itu, tetapi pandangan mereka bertemu sebelum sempat dia meneruskan kata-kata.
Ervin tidak segera menjawab. Matanya menelusuri wajah Maya, mencari sesuatu yang boleh memberinya alasan untuk berundur. Tetapi semakin lama dia memandang wanita itu, semakin sukar dia menafikan perasaan yang sudah lama cuba dikawalnya.
“Maya, boleh saya tanya sesuatu?” katanya akhirnya, dengan suara rendah yang kedengaran berbeza daripada nada tegas yang biasa digunakan di pejabat.
Maya mengangguk kecil. Jantungnya mula berdegup lebih pantas apabila menyedari betapa dekatnya mereka kini.
“Awak pernah tak rasa sunyi walaupun awak ada seseorang dalam hidup awak?” soal Ervin, perlahan-lahan membuka ruang kepada persoalan yang selama ini disimpannya sendiri.
Ada kepahitan yang tidak terucap dalam suaranya, seperti pertanyaan itu bukan sekadar ditujukan kepada Maya, tetapi juga kepada dirinya sendiri.
Maya terdiam.
Soalan itu menyentuh tempat paling rapuh dalam hatinya. Dia teringat Faris, suaminya yang jarang bertanya tentang perasaannya, mesej yang dibiarkan tanpa balasan, serta malam-malam panjang ketika dia terpaksa memujuk dirinya sendiri bahawa kesunyian dalam perkahwinan mereka hanyalah sesuatu yang perlu dilalui.
“Pernah,” jawab Maya akhirnya. Suaranya hampir berbisik, sementara matanya kembali jatuh ke tangan sendiri.
“Kadang-kadang kita tunggu seseorang ambil tahu tentang kita, tapi akhirnya kita sendiri yang kena pujuk hati kita supaya tak berharap sangat. Sampai satu tahap, saya dah berhenti berharap…”
Ervin menundukkan kepala seketika. Kata-kata Maya terasa begitu dekat dengan apa yang selama ini dirasainya dalam perkahwinannya sendiri.
Dia tidak perlu meminta Maya menerangkan lebih lanjut untuk memahami betapa letihnya seseorang apabila terlalu lama menunggu perhatian yang tidak kunjung tiba.
“Saya faham,” katanya perlahan. Dia memandang Maya semula, dan kali ini tiada lagi senyuman yang cuba menyembunyikan kesedihan pada wajahnya.
“Sebab itu saya rasa tenang bila dengan awak. Awak sudi mendengar semua yang saya cakap dan saya luah.”
Maya mengangkat wajah. Kata-kata itu membuatkan dadanya terasa sesak, bukan kerana sedih semata-mata, tetapi kerana dia tidak pernah menyangka Ervin akan mengakuinya secara terbuka.
“Jangan cakap macam tu, Vin,” ujar Maya dengan suara yang sedikit bergetar. Dia cuba tersenyum, tetapi matanya tidak mampu menyembunyikan perasaan yang mula bercampur-baur.
“Saya bukan siapa-siapa pun. Hanya pekerja awak. Dan status kita juga…”
“Saya tahu,” balas Ervin tanpa teragak-agak. Dia menundukkan pandangan seketika, seolah-olah sedang mengakui sesuatu yang sepatutnya sudah cukup untuk menghentikan perbualan mereka.
“Saya tahu, Maya. Sebab itulah saya cuba jauhkan diri. Tapi setiap kali saya fikir saya patut berhenti ambil tahu tentang awak, saya tetap nak tahu sama ada awak okey atau tidak. Dan saya tak tahu kenapa saya rasa kita berkongsi rasa yang sama. Saya dan awak ada masalah dalam rumah tangga yang hampir sama.”
Kesunyian kembali menyelubungi khemah.
Maya tidak tahu apa yang patut dikatakannya.
“Kenapa awak buat hati saya rasa macam ni, Vin?” soalnya akhirnya, dengan mata yang mula berkaca. Dia tidak pasti sama ada sedang menyalahkan Ervin atau sebenarnya sedang meluahkan kekeliruan yang sudah lama dipendamnya.
Ervin terdiam. Soalan itu memaksa dirinya melihat perkara yang selama ini cuba dielakkan.
“Saya tak tahu, Maya,” jawabnya jujur. Dia menghela nafas panjang.
“Saya cuma tahu saya dah terlalu selesa dengan awak.”
Maya memandangnya lama. Jarak di antara mereka terasa semakin tipis, bukan kerana kedudukan tubuh mereka semata-mata, tetapi kerana segala perkara yang selama ini disembunyikan akhirnya mula terluah melalui kata-kata.
Ervin mengangkat tangannya perlahan, kemudian berhenti seketika sebelum menyentuh pipi Maya.
Maya terdiam ketika merasakan sentuhan lembut itu. Matanya bertemu dengan mata Ervin, dan dalam beberapa saat yang terasa begitu panjang, dia sedar bahawa dia masih mempunyai pilihan untuk mengakhiri detik tersebut sebelum keadaan berubah menjadi sesuatu yang tidak dapat ditarik kembali.
Namun, dia tidak berundur.
Ervin menatapnya beberapa saat lagi sebelum mendekatkan wajah. Bibirnya menyentuh bibir Maya dengan lembut, pada mulanya begitu singkat seperti masih memberi peluang kepada mereka untuk berhenti.
Maya terkejut, tubuhnya menegang seketika, tetapi dia tidak menolak lelaki itu.
Apabila Ervin mula menjauh, Maya membuka mata dan memandangnya dengan nafas yang tidak lagi teratur. Mereka berdua terdiam, seakan-akan cuba memahami apa yang baru sahaja berlaku.
“Maaf,” bisik Ervin, lalu menundukkan wajah. Dia tahu satu perkataan itu tidak mampu memadamkan apa yang sudah dilakukan, tetapi dia juga tidak mahu berpura-pura bahawa ciuman tadi tidak membawa sebarang makna.
Maya tidak menjawab. Dia memandang wajah Ervin, melihat keraguan dan keinginan yang saling bertentangan dalam mata lelaki itu.
Tetapi ketika Ervin mula mengalihkan tubuh, Maya mencapai tangannya.
Ervin terhenti.
“Maya…” panggilnya perlahan, hampir seperti sebuah amaran kepada dirinya sendiri.
Dia memandang tangan Maya yang menggenggam tangannya, kemudian mengangkat wajah untuk mencari jawapan pada mata wanita itu.
Maya sendiri terkejut dengan tindakannya. Dia tahu dia sedang membuat pilihan, dan pilihan itu bukan sesuatu yang boleh disalahkan pada kesejukan malam, keadaan yang memaksa mereka berkongsi khemah atau kesunyian yang dirasai selama ini.
“Saya tahu kita tak sepatutnya,” katanya dengan suara bergetar. Dia menarik nafas perlahan, tetapi genggamannya tidak terlerai.
“Saya tahu, Vin.”
Ervin memejamkan mata seketika. Dia sedang berjuang dengan sisa pertimbangan yang masih cuba dipertahankannya. Dia tidak mahu menjadi lelaki yang mengambil kesempatan terhadap kesunyian seorang wanita, tetapi dia juga tidak mampu menafikan bahawa Maya bukan satu-satunya yang sedang hanyut dalam perasaan itu.
“Kalau kita teruskan, semuanya akan berubah,” ujar Ervin akhirnya. Dia membuka mata dan memandang Maya dengan penuh kesungguhan, seakan-akan mahu memastikan wanita itu memahami bahawa mereka tidak sedang bermain-main dengan sesuatu yang tidak membawa akibat.
Maya mengangguk perlahan. Tiada lagi senyuman, tiada lagi gurauan tentang embun Jakarta. Hanya dua manusia yang sedar akan kesilapan yang bakal mereka lakukan, tetapi masih belum mampu melepaskan satu sama lain.
“Saya tahu,” bisiknya sekali lagi.
Dan kali ini, apabila Ervin mendekat, Maya menyambut ciumannya.
Ciuman yang kedua itu tidak lagi sekadar sentuhan singkat yang lahir daripada keterlanjuran sesaat. Ia membawa segala rasa sunyi, rindu dan keinginan yang selama ini mereka cuba sembunyikan, seolah-olah masing-masing sedang mencari sesuatu yang sudah lama hilang dalam kehidupan sendiri.
Ervin merapatkan Maya ke dalam pelukannya, sementara Maya membiarkan dirinya bersandar pada lelaki itu, terlupa seketika akan dunia di luar khemah.
Malam terus berlalu, dan kesejukan yang sejak tadi menyelubungi khemah seakan-akan tidak lagi terasa.
Dalam kesunyian yang memisahkan mereka daripada dunia luar, mereka memilih untuk mengikut kata hati, membiarkan keinginan mengatasi pertimbangan yang sepatutnya menghalang mereka.
Dan apabila malam itu akhirnya berakhir, mereka bukan lagi dua orang yang sekadar berkongsi rahsia dan kesunyian.
Mereka sudah melangkah ke satu batas yang tidak mungkin dapat dipadamkan hanya dengan kata maaf.
Di luar khemah, kabus masih menyelimuti lereng bukit.
Dunia terus bergerak seperti biasa, tanpa mengetahui bahawa di sebalik dinding kanvas itu, dua kehidupan telah berubah arah.
Dua jiwa telah bersatu dalam kedinginan mengisi kekosongan hati walaupun cara yang salah!
Ruang yang dibuka demi mengisi kekosongan jiwa.
Share this novel
nak tahu knpa suami maya abaikan maya
next